Tuesday, 17 December 2013

ISTERI AKU SLEEPING UGLY?! 6


            “Ok class!Any question before I dismiss the class?,” suara lantang Madam Mary, pensyarah berbangsa Cina untuk subjek Bahasa Inggeris itu bergema di dalam bilik kelas di mana berlangsungnya sesi tutorial untuk pagi itu.
            “No..,” terdengar beberapa suara perlahan daripada pelajar yang sudi menyahut pertanyaan daripada pensyarah yang masih setia berdiri menanti jawapan daripada para pelajarnya.
            Madam Mary tersenyum apabila menerima jawapan tersebut. Dia mula mengatur langkah menuju ke meja. Sesekali dia mengerling kepada para pelajarnya yang masing-masing sedang sibuk mengemas buku dan kertas yang masih berada di atas meja.
            ‘Emm..saya nak pergi perpustakaan lepas ni. Nak ikut tak?,” Dalina menyiku Hana yang duduk di sebelahnya.
“Tak pe la. Saya dah janji nak jumpa dengan Ika. Kelas dia kat sebelah ni je,” jawab Hana separuh berbisik. Tangannya mula menggosok mata untuk menyegarkan diri sendiri.
            “Ok. Kalau ada apa-apa cari je saya kat situ. Sebab lepas ni pun, kita ada kelas Puan Sufi kan?Malaslah nak balik ke bilik. Hah!Kerja Puan Sufi tu awak dah siap?.”
“Emm..,” Hana memberikan anggukan kepalanya. Masakan kerja yang dilakukan untuk dua orang itu belum lagi disempurnakan. Apatah lagi setelah menerima amaran daripada Puan Sufi dan juga Rina.
“Ok la. Saya jalan dulu. Awak nak duduk sini ke?,” Dalina yang sudah berdiri memandang kepada Hana.
“Yalah. Kan bilik kelas ni kosong lepas ni. Tak ada kelas kan?Saya dah janji nak tunggu Ika kat sini,” jawab Hana.
Dalina menganggukkan kepalanya. Tangannya mula mencapai beberapa buah buku yang terletak di atas meja.
“Baiklah. Saya pergi dulu. Assalammualaikum.”
“Waalaikummussalam,” sahut Hana sambil membalas senyuman gadis yang menjadi teman baiknya di dalam kelas itu.
            Selain Ika yang sudi berkawan dengannya, Dalina adalah orang kedua yang boleh dipercayai Hana di UiTM ini. Dalinalah yang akan tolong mengejutkan dirinya kalau dia sudah tertidur di dalam mana-mana kelas.
            Hana memerhati sekeliling kelas yang sudah kosong dan sepi sebelum jam yang tersangkut di dinding mencuri pandangan matanya.
“Kenapa Ika tak keluar lagi ni?,” Hana mengerling ke arah pintu. Janji yang sudah dibuat kepada Ika semalam untuk bersarapan bersama-sama di medan selera membuatkan bibir Hana tersenyum senang.
            Dari bersandar di kerusi, Hana mula menongkat dagu. Nota-nota yang berada di atas meja hanya dipandang sekilas lalu sekadar mengisi waktu yang masih bersisa sementara menunggu kedatangan Ika.
            Dari menongkat dagu, sebelah lengannya mula dilunjurkan di atas meja dan Hana mula merebahkan kepalanya. Huruf-huruf yang tertera di depan matanya tidak berjaya membuat Hana untuk terus membaca.
            Pagi itu sekali lagi menjadi saksi Hana terus hanyut di dalam lenanya di dalam kelas yang sunyi sepi itu. Cahaya matahari yang kian menyuluh ke wajahnya juga tidak langsung mengganggu tidur Hana yang terus nyenyak itu.
            “Tengok tu...,” Hafiz menjuihkan bibirnya ke satu arah apabila pintu dikuak.
“What?!It’s her right?,” Zafran yang turut berada di dalam kumpulan itu memandang kepada sebuah meja yang berhampiran dengan tingkap di dalam kelas itu.
            “Kita salah kelas ke?Tak kan?,”  Syamsul yang sudah berada di dalam kelas melangkah keluar semula untuk menyemak jadual yang tertera di dinding di luar kelas.
“Salah kelas apanya. Bukan korang tak tahu perangai si Sleeping Ugly ni. Kat mana-mana pun dia boleh landing cantik punya!Silap-silap kat tengah padang tu pun boleh,” tingkah Zafran sambil mula mengatur langkah.
            “Hei!Kau nak buat apa tu?Biar je la. Nanti dia bangunlah tu,” Hafiz mula berasa cuak apabila melihat kawannya yang sudah tersenyum-senyum.
Langkah kaki Zafran terhenti seketika apabila mendengar kata-kata Hafiz.
            “Apa kau cakap?Bangun?Kau tak ingat waktu orientasi dulu tu?Kalau tak ada er..apa nama minah tu?,” Zafran memetik-metik jarinya cuba untuk mengingati nama pelajar perempuan itu.
            “Entah,” Hafiz menjungkitkan bahunya.
“Ah!Whatever la nama minah tu. Kalau tak ada minah tu yang kejutkan, mana la si Ugly ni tahu nak bangun. Kan?,” tutur Zafran. Kakinya mula melangkah semula mendekati meja di mana Hana sedang berada.
            “Dah tu?Wei!Apa yang kau nak buat tu?,” Hafiz menggeleng-gelengkan kepalanya. Edi yang sedari tadi memerhati mula tertawa apabila sudah mengagak tindakan yang bakal dilakukan oleh kawan mereka itu.
            “Betullah kita tak salah ke..,” Syamsul yang baru melangkah semula ke dalam kelas tidak meneruskan kata-katanya apabila memerhati Zafran yang sudah berdiri di depan meja Hana.
            “Apa yang dia nak buat tu?,” Syamsul menyiku lengan Hafiz.
“Wei!Kau ni..agak-agak la!,” Hafiz bersuara tanda protes. Edi yang sudah mengambil tempat duduk di belakang kelas mula membuka mulut.
            “Biarlah!Bukannya salah pun. Go on Zaf!,” ujar Edi seakan-akan memberikan semangat dan galakan kepada kawan mereka untuk melaksanakan hajatnya itu.
            Zafran yang sudah berdiri di depan meja tersenyum sambil menegakkan ibu jarinya. Penutup sebotol air mineral yang baru dibeli di kedai koperasi di kolej sebelum datang ke kelas, mula dibuka.
            “Kau nak..ish!Tak kan la?,” Syamsul mengerutkan wajahnya apabila melihat botol air yang digenggam Zafran sudah diangkat di atas kepala Hana yang masih tidur.
“Satu, dua, ti...,” bibir Zafran terus mengira dan botol air yang sudah dicondongkan itu hanya menanti masa untuk melimpahkan isi kandungannya.
            “Tiga!.”
Terpinga-pinga Hana apabila sesuatu yang dingin menyapa wajahnya. Dia yang terkejut terus bangun sambil menyapu-nyapu wajah dan tudungnya yang sudah basah.
            Zafran dan Edi yang berasa lucu mula meledakkan ketawa mereka.
“Hei!Apa ni?!,” Hana memandang kepada Zafran yang tercegat di depan mejanya.
            “Apa ni?Kau tak tahu ke?Ni air la. Air mineral. Aku baru beli tadi. Kau untung tau sebab ni air je. Kalau asid?,” Zafran terus tertawa apabila melihat wajah Hana yang basah dengan airnya yang hampir separuh dihabiskan ke atas gadis itu.
            “Kalau asid lebur la jawabnya!,” tingkah Edi yang berada di belakang kelas.
Hana terdiam. Tangannya terus menyapu air yang masih bersisa di wajah. Sesekali lengan baju kurungnya turut dilapkan ke muka untuk mengeringkan air.
            Dia memandang geram kepada Zafran yang terus tertawa gelihati. Kemudian, dia memandang sekeliling kelas mencari siapa lagi yang masih berada di situ. Kelibat Hafiz dan Syamsul yang berada di satu sudut jelas kelihatan sedang memandang ke arahnya. Edi yang sedang tertawa juga dapat dilihat oleh matanya.
            Hana yang mula berasa malu mula mengemas nota-notanya yang sebahagiannya turut terlempias hajat jahat Zafran tadi. Dia ingin segera meninggalkan bilik kelas tersebut. Untung sahaja hanya mereka berlima yang berada di situ. Kalau tidak, dia yakin pastinya suasana akan lebih gamat lagi.
            “Itulah..siapa suruh tidur. Tidurlah lagi. Sana sini kau boleh tidurkan?.”
Celoteh Zafran tidak diendahkan. Hana terus memasukkan nota-notanya ke dalam beg.
            “Ala..tak kan kau marah kut Ugly?Relaks la. Kalau bukan kau penyeri kat UiTM ni, siapa lagi kan?Betul tak?.”
            “Ya lah. Betul tu. Dah la kau tak cantik. Kalau marah lagilah bertambah tak cantik!.”
Suara Edi yang menjadi penyokong setia terus menyahut dan menokok tambah kata-kata kawannya itu.
            Hana terus bergegas melangkah menuju ke pintu dan mula melangkah keluar yang bingit dengan gelak ketawa Zafran dan Edi. Tiba di luar, sakit hati yang ditahan mula membuatkan kelopak matanya digenangi air.
            “Apa salah aku?Aku tak buat apa-apa pun kat dia orang,” getus hati kecil Hana. Kenapa Zafran tergamak melakukan sedemikian rupa?Kalau sekali, bahkan dua kali, mungkin dia boleh bersabar tapi ini adalah kali yang ketiga.
            “Jaga kau Zafran!Aku akan balas dendam!.”


Monday, 16 December 2013

NOVELIS LELAKI, MEGAT EYRULEZ!!!

          Ha...nak cerita sikit ni..dulu tu, waktu sekolah rendah, darjah 6, saya suka baca buku Enid Blyton yang waktu tu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. so, apa lagi memang enjoy la setiap hari p perpustakaan untuk cari Siri Lima Sekawan atau pun Siri Pelajar. sampailah satu hari tu, kawan kasi pinjam satu novel ni.tahu tak siapa penulis dia, tahu?budak2 zaman sekarang kenal dia as DJ, pengacara kat Astro tu...siapa lagi kalau bukan Pak Nil..ya,percayalah yang dulu Pak Nil ni pernah tulis novel. tajuk novel yang saya baca tu Yo, It's Me!Memang best. kisah kehidupan university students. tapi bukan itu yang saya nak sharekan kat sini.
          lepas novel Pak Nil tu, berkenalan pula dengan novel Bungan Jantan hasil tulisan Ahadiat Akashah. apa yang saya nak cakap, waktu tu, bukannya ramai sangat penulis lelaki ni. memang tak ramai ke atau saya yang tak tahu?hehe..maklumlah, baru 12 tahun ;-)
          lately, semakin ramai yang jadi nak jadi penulis. bukan setakat perempuan je, lelaki pun sama. and, hasil cerita diaorang menarik juga!Contohnya, macam satu penulis lelaki ni yang saya baru je tau 'kewujudannya', hehe..his name, megat eyrulez, glamer gitu!Hehe..so, kalau tadi dah promote blog Miss Imaginative, sekarang siapa2 yang nak baca hasil tulisan megat jemputlah singgah ke blognya di
http://megat92eyrulez.blogspot.com  kita copy terus, hehe..so, klik je la..

p/s: Tq Megat for following me, dah follow awak juga ;-)

yes, akhirnya!!! Miss Imaginative & Penulisan 2u

hehe..at last berjaya juga nak hias blog ni sikit2..dah letak lagu, dah ubah cursor, dah ubat template dan juga dah letak animated cartoon yang tengah tidur tu..juga adanya kelopak2 bunga ;-) baru semangat skit nak berblog kan?hehe...sebenarnya tengah menunggu dengan sabar ni..ada dua benda.

1st, sambungan cerita Mr.Max dari miss imaginative..tak sabar nak tahu apa yang terjadi kat cik annabella lepas tu. on the way katanya so kita faham :-) sebab bagi saya sendiri, nak menulis ni memang wajib ada 3 benda. pertama, mestilah kesihatan yang baik. kalau sakit kepala ke, demam ke, mesti tak bersemangat punyalah nak buat kerja. kedua, idea!!!Ni dah memang sah2 kena ada, last but not least, mood..kalau ada idea tapi mood tak ada, tak berguna juga. kalau ada mood tapi idea tak ada, pun tak berhasil, hehe..

2nd, tengah tunggu dengan sabar bila agaknya cerita yang dihantar kat penulisan 2u tu nak dikeluarkan di web berkenaan. kita faham mesti ramai yang send kat situ..ya la, laman tu famous kut!!saja je nak try hantar kat situ. nak tengok dan dapatkan komen dan juga kritikan dari orang ramai ;-) sama ada diaorang suka atau tak cerita isteri aku sleeping ugly?! tu..itu je..

harapnya akan ada kesinambungan dari Miss imaginative soon, hehe..tak sabar nak baca..siapa2 yang belum pernah, jemputlah singgah ke http://justsonimagination.blogspot.com
 blog pun cantik, hehe..siap ada gambar2 hero and heroin lagi. bila blogwalking hari tu, perasan juga ramai penulis yang letak gambar pelakon@model as hero and heroin diaorang..dah jadi trend ke?Maklumlah, kita tak pandai, huhu..baru nak belajar semua ni..

Sunday, 15 December 2013

ISTERI AKU SLEEPING UGLY?! 5


             Makcik Bibah yang baru sahaja menjejakkan kakinya di tingkat tiga rumah banglo mewah itu melangkah menuju ke sebuah bilik yang pintunya tertutup kemas. Tiba di depan pintu itu, tangannya mula diketukkan beberapa kali.
            “Masuklah!.”
             Bibir Makcik Bibah tersenyum apabila mendengar laungan suara dari dalam. Perlahan-lahan, tangannya mula memusing tombol bilik yang tidak berkunci. Sebaik kakinya mula melangkah ke dalam bilik, bebola mata Makcik Bibah terus terarah kepada seorang anak muda yang sedang bersila di atas katil.
            “La...Rayyan tak habis kemas lagi?,” tegur Makcik Bibah diiringi senyuman.
“Sikit je lagi. Tengah kemas-kemas tadi tu terjumpa ni..,” tangan Rayyan, anak majikannya menunjukkan album gambar yang sedang ditatap.
            Makcik Bibah hanya tersenyum kelat. Dia tahu isi hati Rayyan ketika itu. Leka benar pemuda itu membelek gambar-gambar yang menyimpan seribu satu kenangan keluarganya.
            “Kalaulah umi masih ada lagi kan makcik?,” suara yang keluar dari bibir Rayyan membuatkan tangan Makcik Bibah yang sedang melipat sehelai baju T terhenti. Pandangannya diarahkan kepada Rayyan yang masih terus menatap gambar arwah ibunya itu.
            “Umi dah tak ada kan?Sudahlah tu...,” ujar Makcik Bibah lebih kepada memujuk. Dia juga turut merasa kehilangan di atas pemergian majikannya itu. Rayyan yang mendengar hanya mengangguk lemah. Hakikat yang dia sendiri masih sukar untuk menerimanya sehingga kini biarpun hampir tiga tahun berlalu sudah semenjak pemergian arwah uminya yang tersayang.
            Makcik Bibah kembali menyambung kerjanya, melipat beberapa helai baju T milik Rayyan yang masih berada di atas katil.
          “Malam ni Rayyan nak makan apa?Cakap kat makcik. Bolehlah Rayyan makan puas-puas. Nanti kat sana tu belum tentu lagi nak jumpa makanan orang Melayu tau,” Makcik Bibah mula berceloteh. Cuba menarik perhatian Rayyan dari terus tenggelam di dalam emosinya.
            Rayyan yang hanya memandang sekilas kepada Makcik Bibah hanya mengukirkan senyuman.
“Macamlah makcik tak tahu saya suka makan apa.”
            “Masak lemak cili padi. Malam ni makcik masak ya?,” balas Makcik Bibah. Matanya terus memerhati Rayyan yang masih tidak berubah arah pandangan matanya. Terus tertancap kepada album gambar keluarganya itu.
            Makcik Bibah menghela nafas perlahan-lahan. Dia sendiri sedang cuba mengawal perasaannya apabila melihat keadaan Rayyan. Kalau boleh dia sendiri tidak ingin menzahirkan emosinya di depan anak majikannya itu.
            “Hah!Puteri tak telefon Rayyan?,” Makcik Bibah melepaskan soalan yang terlintas di benaknya. Mungkin kawan sejak zaman kanak-kanak itu boleh menarik fokus Rayyan yang entah sejak bila terjatuh kepada album gambar yang sedang dipegangnya itu. Mungkin sejak dari pagi lagi apabila Rayyan tidak keluar daripada biliknya.
            “Puteri?Tak pun. Kenapa dia ada telefon rumah ke tadi?,” terus Rayyan menoleh kepada pembantu rumah itu tatkala mendengar nama gadis itu disebut.
            Tersenyum-senyum Makcik Bibah apabila melihat reaksi yang dipamerkan oleh Rayyan.
“Oh!Kalau dengar je nama Puteri terus gembira semacam. Kalau tadi tu...”
            “Mana ada!Saya biasa je la..,” tingkah Rayyan memintas cakap Makcik Bibah.
            “Betullah. Kalau tadi tu monyok semacam je. Makcik yang kat sini pun macam tak wujud je..,” tutur Makcik Bibah seakan-akan berjauh hati. Tangannya mula mencapai pula sehelai seluar jeans berwarna biru gelap yang berada di atas katil.
            Senyuman yang tadi meniti di bibir Rayyan mulai melebar apabila mendengar luahan Makcik Bibah. Album gambar yang sedari tadi ditatapnya mula dilepaskan ke atas katil. Dia mula mendekatkan dirinya kepada Makcik Bibah. Terus, kepalanya direbahkan ke atas peha wanita yang hanya tua beberapa tahun kalau dibandingkan dengan arwah uminya itu.
            “Oh!Makcik merajuklah ni?,” Rayyan tersenyum apabila memandang riak wajah Makcik Bibah yang kelat.
            “Tengok tu..orang nak kemaskan pakaian dia, nak baring-baring kat sini pulak..,” Makcik Bibah hanya menjeling sebagai jawapan kepada soalan Rayyan. Sengaja soalan itu dibiarkan berlalu tanpa sebarang jawapan.
            “Kalau bukan dengan makcik dengan siapa lagi saya nak bermanja?,” ujar Rayyan. Tangannya melayang mencubit pipi Makcik Bibah sebelum mengiringkan badannya ke kanan. Tangannya mula memeluk pula lutut Makcik Bibah.
            “Ish!Budak ni..pandai je nak ambik hati kita..,” Makcik Bibah menampar lembut bahu Rayyan yang sedang mengiring. Terhenti seketika tangannya yang ingin melipat seluar jeans milik anak muda itu. Wajah Rayyan yang sedang berbaring di ribanya ditatap.
            “Kenapa ni?Rayyan tak suka ke nak pergi sana?,” duga Makcik Bibah. Cuba untuk menyelami hati Rayyan yang sebahagiannya sukar ditelah.
Keadaan bilik itu hening seketika apabila tiada sesiapa yang membuka mulut. Soalan Makcik Bibah berlalu sepi.
            Makcik Bibah sendiri tidak tahu apa yang ingin dikatakannya lagi. Risau kalau-kalau buah bicaranya akan hanya menggores perasaan Rayyan yang sudah sedia terguris.
            “Saya rasa lebih baik je saya pergi makcik. Belajar kat sana. Kat sini dah tak ada apa-apa pun...” Agak lama setelah waktu berlalu, barulah Rayyan membuka mulutnya. Menyuarakan secebis isi hatinya yang dipendamkan selama ini.
             “Habis tu makcik ni siapa?Bukannya siapa-siapa dengan Rayyan?Macam tu?Tu..Pakcik Husin siapa?Kami ni bukan keluarga Rayyan?Emm?,” tangan Makcik Bibah mula menampar bahu Rayyan. Sedikit beremosi hatinya apabila mendengar kata-kata Rayyan sebentar tadi.
            Rayyan yang mendengar hanya tersenyum. Tangan tua yang berada di bahunya itu dicapai dan digenggam sebelum kembali membuka mulutnya semula.
          “Makcik tahukan bukan macam tu maksud saya?Maksud saya Umi..,” mendatar suara Rayyan cuba menerangkan kata-katanya tadi.
            Mata Makcik Bibah mula digenangi air jernih. Tidak lagi berjaya menahan emosinya agar tidak terzahir di depan Rayyan. Sudahlah sedari tadi dia sendiri teringat kepada majikannya yang sudah tiada apabila melihatkan Rayyan yang sedang menatap album gambar itu, sekarang apabila mengenangkan Rayyan yang bakal pergi meninggalkan rumah itu, hatinya bertambah lirih.
            “Kan Puan dah tak ada. Lepas ni Rayyan pula nak tinggalkan rumah ni. Lagilah sunyi...,” Makcik Bibah pula melepaskan emosinya yang terpendam.
            Mendengarkan esakan perlahan daripada Makcik Bibah, Rayyan mula mengiringkan tubuhnya semula. Menelentang agar dapat menatap wajah yang turut tersemat di dalam hatinya selain daripada umi tersayang.
            “Saya pergi bukannya tak balik terus macam Umi tu...”
Tangan Rayyan sekali lagi mencuit pipi Makcik Bibah. Bibirnya menghadiahkan senyuman kepada pembantu rumah yang lebih dianggap sebahagian daripada keluarganya itu.
            “Kamu ni kan..kalau bercakap tu beralas la sikit!,” Makcik Bibah mengerutkan wajahnya.
“Betullah kan?Saya pergi sana nak belajar. Bila dah habis, saya balik la sini. Um..Puteri ada ke telefon sini tadi?.”
            “Tengok tu..ingat lagi tu..Tak ada. Dia tak telefon pun. Kenapa Rayyan je yang tak telefon dia?,” Makcik Bibah memberikan cadangan. Air mata yang masih bersisa di pipinya diseka.
            “Nantilah. Nak tidur kejap,” Rayyan mula mengiringkan semula badannya. Tangannya mula memeluk kemas lutut Makcik Bibah.
“Hah!Pandailah kamu. Makcik nak kena masak ni. Ni..semua ni..nak harapkan kamu sampai esok pun tak habis lagi,” Makcik Bibah mula berleter apabila memandang atas katil Rayyan yang masih bersepah dengan sebahagian pakaiannya yang belum berkemas.
            “Biarlah..nanti saya tak boleh tidur macam ni lagi..,” tutur Rayyan.
Makcik Bibah tertawa kecil mendengar kata-kata Rayyan.
            “Kamu ingat kamu ni kecik lagi ke?Budak-budak?Nak khawin esok lusa pun dah boleh tau. Dulu tu kalau 17, 18 tahun tu dah ada anak dua tiga orang dah.”
            “Tu la pasal. Siapa suruh makcik tua cepat sangat?Kalau tak...”
“Hei!Budak ni..kamu ingat makcik ni apa hah?,” Makcik Bibah menjerit kecil dengan usikan nakal Rayyan. Tertawa anak majikannya itu apabila rambutnya ditarik oleh Makcik Bibah.
            “Makcik kan girlfriend saya. Dah lupa ke?Saya akan sayang makcik sampai bila-bila!.”
Makcik Bibah terseyum senang mendengar bicara Rayyan yang lebih kepada anaknya itu.
    ###########        
            “Wanginya!Dari atas lagi saya dah boleh bau kuah ni..,” Rayyan yang baru menuruni anak tangga bergegas ke meja makan apabila hidungnya tertarik dengan aroma masakan Makcik Bibah.
            “Nak bodek la tu,” jeling Makcik Bibah yang baru meletakkan sejag air di atas meja makan. Suaminya, Pakcik Husin yang turut berada di meja makan hanya tersenyum memerhati tingkah Rayyan yang terus menyendukkan nasi ke dalam pinggannya sebaik melabuhkan punggungnya di kerusi. Seperti malam-malam sebelumnya, ketiadaaan penghuni rumah yang lain membuatkan hanya mereka bertiga yang berada di meja makan untuk menikmati makan malam.
            Makcik Bibah yang baru duduk di kerusi terus memerhati gelagat Rayyan yang menyudu kuah masak lemak cili padi ikan kembung ke dalam pinggannya.
“Makanlah makcik, pakcik. Sedap ni!,” tutur Rayyan sebelum memulakan suapannya yang pertama.
            Makcik Bibah dan Pakcik Husin yang memerhati tingkah anak majikan mereka itu saling bertukar senyuman.
“Macam mana?Lulus?,” tegur Pakcik Husin sambil menegakkan ibu jarinya kepada Rayyan.
            “Ni bukan setakat lulus je ni. Dapat markah penuh lagi. Terbaik la!,” Rayyan tersenyum kepada Makcik Bibah. Berpuas hati dengan air tangan wanita itu yang tersaji di depan matanya kini. Bahkan, sudah pun mula memasuki ke dalam perutnya.
            Makcik Bibah tersenyum bangga. Dalam banyak-banyak masakannya, itulah menu yang menjadi kegemaran Rayyan. Masak lemak cili padi. Anak yang diasuhnya bersama-sama majikannya yang telah tiada itu, sudah dianggap seperti anak sendiri.
            Apatah lagi, mereka suami isteri ditakdirkan untuk tidak mempunyai zuriat sendiri biarpun hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga. Jadi, semenjak bekerja di rumah itu, Rayyanlah racun apabila dia mula membuat perangai tetapi Rayyan jugalah penawar dengan segala usikan-usikan nakalnya. Sekarang, dia memanggil pula Makcik Bibah sebagai ‘teman wanitanya’. Ada-ada saja!
            “Hah!Makcik...senyum-senyum tu kenapa?Ada apa-apa ke ni?,” Rayyan menegur Makcik Bibah sambil mengangkat keningnya.
            Pakcik Husin yang baru menjamah nasi mengerling kepada isterinya yang masih belum menyentuh makanan mahupun minuman itu.
          “Kamu ni pandai-pandai je. Kenapa?Salah ke kalau makcik senyum?,” Makcik Bibah bersuara. Tangannya mula menyendukkan nasi ke dalam pinggan.
            “Salah tu tak tapi manalah tahu kalau makcik ada ingatkan siapa-siapa ke?,” Rayyan terus mengusik. Suka hatinya apabila dapat melihat jelingan mata Makcik Bibah apabila sering diusik olehnya sebegitu. Kalau bukan jelingan, pasti wanita yang dianggap seperti ibu keduanya itu akan mula menarik muncung.
            “Pandai-pandai la kamu ni. Sudah, makan tu. Makan banyak-banyak. Nanti...”
Mati kata-kata yang ingin diluahkan oleh Makcik Bibah. Sedikit demi sedikit hatinya mula dikuasai oleh emosi apabila mengenangkan Rayyan yang bakal melanjutkan pelajarannya ke Amerika Syarikat.
            Rayyan yang sedang mengunyah makanannya memerhati wajah Makcik Bibah yang menunduk. Tangan kirinya mula menjalar mengenggam tangan wanita itu.
           “Dah la. Tak payahlah nak sedih sangat. Saya pergi bukannya lama pun. Kejap je. Em..empat lima tahun macam tu. Lepas tu baliklah sini. Sedar tak sedar, bila makcik buka je mata terus saya ada kat sini,”  tutur Rayyan cuba menghiburkan hati Makcik Bibah.
            Pakcik Husin yang sedari tadi mendiamkan diri tersenyum mendengar bicara Rayyan.
          “Dah tu. Makan Rayyan. Jangan dilayan sangat emosi makcik kamu ni. Makin dilayan nanti, ai..tak tahulah apa nak jadi. Sekarang ni kamu masih lagi ada depan mata kami dia dah jadi macam ni. Kalau esok-esok kamu dah pergi?Maunya sebaldi air mata dia tu. Kalau sebaldi tak mengapa juga, kalau banjir?.”
            Pakcik Husin menjeling sambil tangannya terus menyuap nasi. Sempat dia memerhati renungan tidak puas hati yang diberikan oleh isterinya tadi.
          “Makanlah makcik. Tak payahlah nak sedih-sedih macam ni. Kalau boleh saya pun nak terus sambung belajar kat sini tapi makcik fahamkan keadaan sini macam mana?,” ungkap Rayyan sambil terus memerhati Makcik Bibah.
            Kepala wanita itu mengangguk perlahan diiringi satu keluhan. Mustahil dia tidak mengerti situasi yang harus dihadapi oleh Rayyan seandainya anak muda itu memilih untuk terus belajar di situ.
            “Nah!Saya dah sendukkan nasi untuk makcik. Makan la..sedap ni!.”
Suara Rayyan menarik kembali perhatian Makcik Bibah yang sedikit tersasar dari alam nyata. Senyuman yang terukir di bibir anak majikannya itu turut dibalas untuk menyenangkan hati Rayyan.
            “Macamlah makcik tak tahu sedap ke tak. Makcik yang masak kan?,” balas Makcik Bibah sambil tangannya mula menjamah makanan yang terhidang.
           “Oh!Sedap ya?Maksudnya makcik masuk bakal angkat sendiri la ya?Macam tu?,” tutur Rayyan berpura-pura terkejut dengan kata-kata pembantu rumahnya itu.
            “Rayyan!Kamu ni...”
Hilang kata-kata yang ingin dikeluarkan oleh Makcik Bibah apabila melihat Rayyan dan suaminya yang sedang tertawa. Sekali lagi Rayyan menang pada malam itu dengan usikannya.
           
 ##########
            Rayyan yang sedang membaca buku di sofa berhampiran tingkap biliknya dek tidak dapat melelapkan mata, tersentak apabila mendengar bunyi pintu yang dikuak dari luar. Terus pandangannya terarah ke arah sosok tubuh yang sedang melangkah ke arahnya.
            “Shasha!Apa yang you buat kat sini?!.”
Sebuah buku yang berada di tangannya sejak beberapa jam yang lalu dilepaskan ke atas meja. Rayyan mula bangun dari pembaringannya apabila melihat Shasha yang kian menghampiri.
            “Sshh!!,” gadis itu meletakkan jari telunjuk di bibirnya sendiri. Isyarat agar Rayyan mendiamkan dirinya daripada terus berkata-kata.
            Rayyan mengerling jam di tangannya. Hampir ke pukul 3.30 pagi. Pandangannya berubah pula kepada Shasha, melirik dress ketat berwarna hitam yang membaluti tubuh gadis itu.
            “You tak tidur lagi?,” Shasha bersuara seakan-akan berbisik. Bibirnya terus murah menghadiahkan senyuman kepada Rayyan yang masih merenung kepadanya.
“Keluar. I tak nak bergaduh dengan you at this hour. Keluar.” Tangan Rayyan mengarah ke pintu.
            Shasha hanya menjungkitkan bahunya. Seakan-akan tidak kisah dengan apa yang diperkatakan oleh Rayyan. Dia mula melabuhkan punggungnya di birai katil.
          “Not bad katil you ni kan..,” ujar Shasha sambil tangannya menepuk-nepuk tilam. Pandangannya mula dihadapkan kembali kepada Rayyan yang masih tidak berganjak sedari tadi.
            “Apa yang you nak hah?I cakap tadi...”
            “Good question!Emm...what do I want?I nak tidur sini malam ni..can I?,” Shasha bersuara manja. Tangannya mengusap-usap tilam yang menjadi alas duduknya kini.
            “Get out Shasha!I dah cakap tadi I tak nak bergaduh dengan you sekarang. So, just leave!.”
            “You ni kan, entah apa-apa tah. Apa salahnya kalau kita share katil ni?Hmm?Tak salahkan?,” tingkah Shasha. Dia yang duduk terus menelentang di atas tilam. Dress ketatnya yang cukup-cukup menutup lutut tersingkap sedikit ke atas sekaligus menyerlahkan paras pehanya menjadi tatapan percuma kepada Rayyan yang masih bersabar dengan kelakukannya.
            “Enough!Bangun, bangun!.” Rayyan yang tidak berjaya lagi membendung emosinya terus meluru ke katil dan menyentak lengan gadis itu yang sedang berbaring.
            “Hei!Sakitlah!You ni tak gentleman tau!.” Shasha tertawa kecil biarpun diseret oleh Rayyan menghala ke pintu. Wajah lelaki yang sebaya dengannya itu ditatap dalam-dalam dengan senyuman yang masih meniti di ulas bibir terang disaluti lipstik merah menyala.
            Sebaik pintu dibuka, Rayyan menolak gadis itu keluar. Sakit hatinya apabila melihat Shasha yang berterusan tersenyum kepadanya.
            “You know Rayyan...”
            “You listen to me!,” tingkah Rayyan sambil menuding jarinya kepada Shasha.
“Just so you know, you orang yang paling teruk pernah I kenal. And maybe perempuan yang...,” Rayyan menggelengkan kepalanya perlahan. Tidak tergamak untuk mengeluarkan kata-kata keji kepada perempuan yang kalis malu seperti Shasha.
            “Yang apa?Hmm?I tahu yang you tahu you pun sukakan I juga kan?Sebab tu la you tak cakap I perempuan yang macam mana. Kan?Right?.” Rayyan tersenyum sinis mendengar luahan kata-kata Shasha.
            “You perempuan yang classless, you hear me?Classless!,” desis Rayyan sebelum terus menutup pintu. Kali ini, pintu biliknya terus dikunci untuk memastikan Shasha, anak saudara kepada ibu tirinya itu tidak akan lagi mengganggu dirinya sama seperti malam-malam sebelumnya.


Saturday, 14 December 2013

ISTERI AKU SLEEPING UGLY?! 4


            “Assalammualaikum..,” satu ketukan yang diberikan di pintu sebelum pintu dikuak menarik pandangan mata Hana yang sedang berbaring di katil.
           “Waalaikummussalam, baru balik?Kata tadi nak dinner sama-sama?Konon la!,” Hana mula menarik muncung apabila melihat Ika yang sudah melangkah ke dalam bilik.
            “Ala..tak kan merajuk kut?Ni..tengok ni..ada kan saya beli?Ni Ika la!Mana pernah lupa janji,” sahut Ika berbangga sambil menunjuk bungkusan beg plastik di tangannya.
             Hana yang sedang menyandar di kepala katil sambil membaca sebuah buku hanya mengerling sekilas ke arah Ika yang sedang duduk di birai katilnya yang bertentangan dengan katil Hana itu.
            Kelihatan Ika yang tersengih kepadanya sambil mengangkat kening.
          “Man ada saya merajuk la. Acah je tadi tu,” balas Hana tersenyum. Apatah lagi apabila matanya turut melihat beg plastik KFC yang ditunjukkan oleh Ika tadi!
            “Eh!Tahu tak..,” Ika yang sudah berlalu untuk menggantikan bajunya mula membuka mulut untuk menyampaikan berita terbaru  kepada Hana.
            “Apanya?Awak tak nak mandi dulu ke?,” tegur Hana apabila melihat Ika yang sudah berkemban dengan tualanya. Seksi tu!
            “Ala..panas lagi ni. Kan tak elok mandi kalau badan masih panas kan?,” Ika tersengih. Dia yang sudah berlalu ke katilnya mula tidak sabar untuk bercerita.
            “Alasan je..,” Hana yang sudah mencapai satu beg plastik tersenyum lebar apabila melihat isi kandungan beg plastik itu.
“Suka..mentang-mentang Zinger Burger,” Ika yang memerhati gelagat Hana senang hati apabila melihat senyuman yang terukir di bibir Hana.
            Dia sendiri turut mencapai beg plastik yang turut mengandungi isi kandungan yang sama seperti Hana. Makan burger maksudnya masa untuk bergosip!
            “Dengar ni..teka tadi saya jumpa si Rina tu dengan siapa?,” Ika mula membesarkan matanya apabila melepaskan soalan kepada Hana yang sedang menggigit burger kegemarannya itu.
            Beberapa ketika dibiarkan berlalu tanpa sebarang jawapan apabila mulut Hana dipenuhi dengan isi burger yang sedang dikunyah itu. Hanya matanya yang memerhati kepada Ika yang mengangkat keningnya kepada soalan yang masih belum diberikan jawapan.
            “Tak payah teka pun saya dah tahu la..,” jawab Hana berbasa-basi. Sekadar untuk memberikan respons kepada Ika yang masih menantikan jawapan daripadanya.
“Awak dah tahu?,” sedikit terjegil mata Ika apabila mendengar jawapan yang keluar daripada bibir Hana.
            Kawan baiknya itu hanya memberikan anggukan kepala berulang kali. Ika memerhati Hana yang kembali menggigit burger yang masih berada di tangannya.
          “Pelik..awak yang tak keluar ke Sungai Petani tu pun tahu si Rina tu keluar dengan siapa?,” Ika mula memuncungkan mulutnya. Pandangan matanya tidak berubah. Masih melekap kepada Hana yang bersila di atas katil.
            Puas mengunyah burger yang berada di dalam mulut, Hana kembali membuka mulutnya.
“Sebabnya tadi dia datang sini. Jadi saya tahulah dengan siapa dia nak keluar sebab dia sendiri yang cakap. Senior Adif tu kan?,” Hana memuncungkan mulutnya ke luar tingkap bilik. Seolah-olah senior Adif berada di situ.
            Ika yang mendengar mula tersenyum. Dia mula membuka mulut menggigit burgernya untuk kali yang kedua. Barulah berselera semula!
            Hana yang memerhati reaksi Ika tidak menghiraukan. Terus dia menikmati burger yang masih berbaki di tangannya. Kalau bukan dengan Adif, dengan siapa lagi Rina nak keluar?Macamlah satu UiTM ni tak tahu dengan siapa yang selalu dia berkepit. Perpustakaan dan medan selera bukan lagi tempat yang asing bagi dua orang pelajar itu.
            “Salahlah. Bukan dengan Adif tu,” Ika mula memberitahu. Kalau hendak tunggu Hana yang bertanya, esok pun belum tentu lagi!Dia yang terserempak dengan Rina di Central Square petang tadi, sudah tidak sabar hendak berkongsi cerita dengan Hana.
             Terperanjat Hana yang baru hendak menyedut air. Terjongket kedua-dua keningnya ke atas apabila mendengar kata-kata Ika.
“Hah!Tu la..terkejut kan?Tadi...”
            “Tapi tadi...tadi dia sendiri yang cakap..,” Hana mula menggelabah. Tangannya menunjuk pula ke arah pintu bilik seolah-olah Rina sedang berdiri di situ.
“Apa yang dia cakap tak semestinya itu yang dia buat kan?Don’t tell me Hana yang awak boleh percayakan dia. Percayakan perempuan yang macam tu!,” desis Ika geram.
            Sejak hari pertama lagi dia dengan Rina sudah ditakdirkan untuk berseteru.
“Apa dia ingat dia sorang je yang mampu beli semua benda-benda tu?,” detik hati Ika apabila mengenangkan perangai berlagak Rina yang tidak bertempat itu.
            “Tak la..bukan macam tu tapi dia sendiri yang cakap tadi nak keluar dengan senior Adif,” tutur Hana. Terkebil-kebil matanya seiring dengan akalnya yang memproses maklumat yang disampaikan oleh Ika tadi.         
            “Dah dia cakap dan awak pun percayalah?Macam tu?,” duga Ika.
“Bukan macam tu tapi...,” Hana tidak meneruskan kata-katanya. Kenapa Rina berbohong?Dia tidak kisah kalau Rina berbohong kepadanya sebab dia tahu, gadis itu tidak pernah pun berbaik-baik dengannya tapi sekarang ada dua pihak yang sedang ditipu oleh Rina.
            “Dah tu?,” Ika terus menyoal. Dia mula berasa pelik dengan wajah Hana yang bertukar serius sedari tadi. Hilang moodnya untuk terus bergosip!Dah bertukar jadi sesi ala-ala tutorial di dalam kelas pula.
            “Dengan siapa dia keluar?,” Hana melepaskan soalannya kepada Ika. Wajah kawan baiknya itu direnung.
            “Dengan Zafran,” jawab Ika. Mulutnya yang ingin dibuka untuk menggigit burger yang berada di tangan, terbantut seketika apabila melihat raut wajah Hana yang berkerut.
            “Zafran pelajar Bisnes tu?Bukan dia sama batch dengan kita ke?,” soal Hana lagi inginkan kepastian.
“Em..budak tu la. Budak mana lagi. Bukan main manja lagi Rina berkepit dengan dia kat CS tadi. Ish!Tak tahu malu langsung!,” Ika mencebikkan bibirnya. Terasa meluat apabila teringatkan gelagat Rina dengan Zafran di CS petang tadi.
            “Yang awak ni kenapa?Muka ketat semacam je..,” tegur Ika apabila melihat Hana yang terkebil-kebil seorang diri. Hanya jarinya yang bermain-main dengan penyedut minuman yang sedang dipegangnya.
            “Tak la. Cuba awak fikir...”
            “Ala..malaslah!Nak kena fikir-fikir ni..,” Ika mula menarik muncung apabila mendengar kata-kata Hana.
            “Dengarlah dulu. Tadi Rina kata dia nak keluar dengan Adif tapi alih-alih awak cakap, dia keluar dengan Zafran. Maksudnya sekarang ada dua orang yang kena tipu dengan dia kan?,” Hana mengangkat kening kepada Ika apabila melepaskan teori yang bermain-main di dalam kepalanya sedari tadi.
            “Emm..,” Ika mengetap bibir. Sesekali, kepalanya dianggukkan.
            “Sama ada Adif dan Zafran tu kena tipu atau hanya seorang je daripada dia orang yang kena tipu dengan minah tu,” tingkah Ika dengan andaiannya.
            “Adif!,” serentak Hana dan Ika menutur nama tersebut apabila pandangan mata mereka bertaut.
            “Sebabnya satu UiTM ni tahu kut yang minah tu selalu berkepit dengan Adif. Tak kan si Zafran tu tak tahu?Tak perasan atau tak pernah terserempak dengan dia orang kat mana-mana kan?Tu..kat medan selera tu, selalu sangat,” Ika mengerling ke luar tingkap.
            Hana termangu-mangu. Kenapa Rina sanggup menipu senior Adif tu?Apa yang tak kena?
“Dia tipu tu satu hal tapi Zafran tu..,” hilang kata-kata Hana apabila seraut wajah lelaki yang berkulit sawo matang itu menjelma di ruang benaknya.
            “Bodoh!Sebab dia bodoh la, dia sanggup jadi spare tyre si Rina tu!,” tempelak Ika. Muka je boleh tahan tapi akal tak ada!
            Hana mengerling kepada Ika.
“Amboi!Senang je awak cakap dia bodoh kan?Tak baik tau...”
            “Betul apa, apa yang saya cakap. Tak kan la dia tak tahu yang Rina tu rapat dengan Adif?Kalau dari apa yang mata ni tengok...,” tutur Ika sambil menunjuk kepada kedua-dua matanya.
            “Lagak dia orang tu bukannya setakat kawan je. Siap berpegang-pegang tangan, makan pun bersuap, apa bendanya tu?Tak jadi spare tyre kalau dah mesra macam tu?Tak ke bodoh namanya?,” Ika membesarkan matanya. Geram apabila memperkatakan perihal si Rina.
            Hana membatukan diri. Di dalam hati, dia mengiyakan kebenaran kata-kata kawan baiknya itu. Memanglah bodoh kalau sanggup jadi ‘simpanan’ kalau dah tahu Rina tu ada hubungan dengan Adif.
            “Dah la..tak payah bercakap pasal dia orang tu. Bukannya ada faedah pun,” tutur Hana sekaligus mematikan niat Ika yang ingin membuka mulutnya lagi.
            “Betul juga. By the way, kenapa Rina datang sini?Tadi awak cakap dia datang bilik kita kan?,” soal Ika sebelum kembali menyambung menikmati burgernya.
            “Er..pasal assignment. Kan ke kami satu kumpulan,” jawab Hana berbohong.
“Satu kumpulan?,” Ika tersenyum sinis. Kepalanya digeleng beberapa kali. Anak matanya terus memandang kepada Hana yang sedang menyedut air.
            “Satu kumpulan apanya kalau awak je yang buat kerja?Dia?Berseronok sana-sini!,” tempelak Ika geram.
Hana yang sudah boleh mengagak arah bicara Ika hanya mendiamkan diri. Dia tahu kawan baiknya itu akan terus membebel melepaskan rasa tidak puas hatinya.
            “Walaupun Puan Sufi tak percaya dengan cerita awak tapi saya percaya. Cuma salahnya, kita tak ada bukti je. Kalau ada, memang siaplah si Rina tu!,” Ika terus melepaskan emosinya. Dia yang tahu permasalahan yang pernah timbul dahulu turut merasa simpati kepada kawan baiknya.
            “Dah la. Tak guna cakap pasal tu lagi. Beria-ia saya bercerita hal yang sebenar kat Puan Sufi tapi alih-alih dia tak percaya pun. Siap bagi amaran lagi. Sia-sia je apa yang kita rancangkan tu,” luah Hana kecewa.
            Ika turut melepaskan keluhan. Dia yang memberikan cadangan kepada Hana untuk terus pergi berjumpa dengan pensyarah tersebut dan menerangkan hal yang sebenar bahawa tugasan yang diberikan sebelum ini adalah hasil kerja Hana dan bukannya Rina.
            “Saya pun tak sangka jadi macam tu. Mesti Rina yang pergi jumpa Puan Sufi dulukan?Licik betul perempuan tu!,” Ika mengetap bibir. Geram!
            “Saya pun tak tahu apa yang dia buat. Mungkin betul juga dia yang pergi jumpa puan terlebih dahulu. Sebab tu bila dengar cerita saya, Puan Sufi macam nak tak nak je,” tutur Hana yakin apabila mengimbau semula pertemuannya dengan Puan Sufi yang berlangsung di bilik pensyarah wanita berkenaan.
            “Kalau Rina boleh menukar cerita yang sebenar, tak mustahil dia boleh terus buat macam tu lagi. Aku tak nak fail!,” detik hati kecil Hana apabila mengingatkan amaran baik daripada Puan Sufi mahupun daripada Rina.
            “Rina tu memang tak berguna!Dia yang suruh awak buat kerja dia tapi Puan Sufi pula boleh percaya yang sebaliknya. Percayakan cakap perempuan bodoh tu!,” bentak Ika. Dia sendiri pelik macam mana Puan Sufi boleh percaya dengan kata-kata Rina.
            “Dah la. Kan tadi dah cakap tak payahlah kita cakap pasal hal ni lagi. Awak tu yang emosi sangat kenapa?Cemburu ke Rina keluar dengan Zafran tu?,” usik Hana cuba mengubah topik perbualan. 
            “Cemburu?!Tolong sikit. Saya tak berminat dengan lelaki tak ada otak macam tu. Muka, em..boleh tahan..,” Ika menganggukkan kepalanya.
Hana yang memerhati keletah kawannya itu cuma tersenyum.
            “Tapi sini..,” jari Ika naik menunjuk kepada kepalanya.
“Kosong!,” bertemu jari telunjuk dan ibu jari Ika membentuk huruf ‘O’ apabila ditunjukkan kepada Hana.
            “Tak baik tau awak ni Ika. Dari tadi lagi asyik cakap macam tu,” tegur Hana.
Kawan baiknya yang masih lagi berkemban tu hanya tersengih apabila menerima teguran itu. Mulutnya terus mengunyah burger yang masih berbaki.
            Hana yang masih mengacau-ngacau air dengan penyedut minumannya, melepaskan keluhan. Mindanya terus menerawang memikirkan hal Rina yang langsung tiada kaitan dengan dirinya.
            “Ehem!Awak tu yang termenung bukan main lagi. Ke awak yang cemburu?,” Ika tersenyum-senyum kepada Hana yang menoleh kepadanya.
“Saya cemburu?Sebab?.”
            “Sebab Adif,” jawab Ika sambil mengangkat keningnya beberapa kali.
“Ish!Tak kuasa la saya. Ikut suka hati dia orang la apa yang dia orang nak buat. Yang saya tahu, saya datang sini nak belajar, grad dan lepas tu nak kerja,” balas Hana.
            “Ya la Cik Skema. Saya tahu cita-cita awak tu. Orang usik je la!,” Ika yang ingin berlalu ke luar bilik sempat mencucuk jarinya ke pinggang Hana. Berderai ketawa kedua-dua gadis itu menyerikan bilik hanya dihuni oleh mereka berdua.
            “Pergilah mandi. Dah busuk tau!,” jerit Hana biarpun pintu telah pun ditutup oleh Ika yang ingin menuju ke bilik air.
            Senyuman yang terukir di bibir Hana semakin melebar apabila kata-kata Ika terngiang-ngiang di hujung telinganya.
“Adif?Ish!Siapa yang suka?,” Hana menjungkitkan bahunya. Gerangan seseorang yang menerjah mindanya lebih mencuri tempat di hatinya berbanding pemilik nama yang dituturkan oleh Ika tadi.
            “Siapa dia?,” bisik Hana seorang diri di atas katil. Kakinya mula melangkah menuruni katil. Cawan air KFC yang masih berada di tangannya diletakkan di atas meja belajar sebelum mula melangkah menuju ke almari yang disediakan oleh pihak UiTM.
            Pintu almari yang bertutup itu ditarik perlahan-lahan. Beg yang berada di dalam almari itu mula dicapai. Laju tangan Hana menarik zip beg tersebut. Sehelai kain mafela yang berada di situ dikeluarkan.
            Leka Hana menikmati kelembutan kain yang berada di dalam genggaman tangannya itu. Peristiwa pada hari Khamis yang lalu di stesyen bas Sahab Perdana bermain semula di dalam benaknya.
            “Siapa awak?,” bisik Hana seorang diri kepada mafela. Seakan-akan kain tersebut dapat memberikannya jawapan yang masih tidak berjawab.
“Macam mana dia tahu aku menangis?,” detik hati Hana. Soalan yang turut tidak mempunyai jawapan sehingga kini.
            Sejak hari Khamis yang lalu, sebahagian dirinya terus diselubungi tanda tanya perihal lelaki misteri itu. Juga, di dalam hatinya terdetik sedikit rasa kesal. Kesal kerana tidak mempunyai keberanian untuk pergi bersemuka dengan lelaki itu.
            Hana terus tersenyum. Terasa dirinya terbuai-buai setiap kali menatap kain mafela itu. Tenang. Aman. Gembira. Ah!Semuanya ada la!Kalau sahaja dia berani pada hari itu, tentu dia sudah tahu siapa gerangan lelaki yang baik hati itu.
            Bunyi pintu yang ditolak menyentakkan Hana. Cepat-cepat dia memasukkan kembali kain mafela itu ke dalam beg sebelum menutup pintu almari. Kelihatan Ika yang sudah melangkah ke dalam bilik sambil menyanyi kecil-kecil.
            “Sejuklah mandi malam-malam ni...”
“Emm..,” Hana hanya menggumam. Dia yang sudah kembali ke katil terus berbaring di situ. Di dalam kepalanya, dia mula membuat pertimbangan. Wajarkah dia berkongsi cerita perihal jejaka mafela itu kepada Ika?Tapi malulah!
            “Emm..Ika, awak pernah tak suka kat orang yang awak tak pernah kenal?,” Hana memulakan mukadimahnya.
“What?!Tak kenal?Gila ke apa nak suka kat orang yang kita tak kenal,” Ika tertawa kecil. Dia yang sudah lengkap mengenakan baju tidur kembali melabuhkan punggung di birai katil. Tangannya terus mengelap rambut yang masih basah.
            “Maksud saya er..macam tak pernah tengok muka dia. Ada ke orang yang boleh saling suka kalau tak kenal macam tu?,” Hana mengerling sekilas kepada Ika.
“Oh!Apa pula tak ada?Macam orang yang chatting guna komputer tu. Kan ada yang bercinta dan lepas tu berkhawin. Asalnya berbual je kat dunia maya. Tak kenal, tak pernah berjumpa. Er..macam tu ke maksud awak?,” soal Ika inginkan kepastian.
            “Ya lah. Kiranya tak salahlah kan?Tak semestinya kenal, bertentang mata baru boleh suka. Betul tak?.”
“Yup!,” Ika menganggukkan kepalanya. Tangannya terus mengirai-ngirai rambut yang masih basah dengan tuala.
            Jawapan Ika membuatkan Hana terus tersenyum. Jadi, kalau dia juga sukakan jejaka mafela itu, tidak salahlah kan?Yahuu!