Friday, 6 February 2015
REVIEW MY OPPA MR CAPPUCCINO
Haha..saja nak letak besaq2 kat sini. Bukan apa..hepi bila dapat feedback yang positif pasai My Oppa Mr. Cappuccino.. betul juga apa yang dikatakan oleh saudari ni. Jangan2 ramai yang kat luaq sna ingat the whole story pasai My Oppa Mr. Cappuccino ni mesti pasai Korea kan pasai tajuk Oppa tu? Ha..tu..dah ada orang yang buat review.. Kalau sapa2 yang masih teragak2 atau yang belum beli lagi, boleh la order kat Penerbitan Fajar Pakeer ok.
Thursday, 29 January 2015
ORANG GAJI
1
Angin bertiup lembut pada malam itu namun kedinginan malam tetap saja mampu
menggetarkan mereka yang masih berembun
di luar. Sesekali kedengaran cengkerik berbunyi di kiri dan kanan jalan yang
sunyi. Seakan-akan saling berlumba untuk menjulang gelaran juara di malam hari.
Kelihatan sebuah teksi
sedang dipandu perlahan melalui sebatang jalan di hadapan sebuah kawasan
perumahan. Halim sempat menjeling deretan rumah di kawasan perumahan itu yang
sedang dilaluinya kini. Pandangannya berubah pula kepada jam di dalam teksi
yang memaparkan pukul 11.55. Dadanya berdebar tiba-tiba apabila mengenangkan
sebuah rumah banglo yang terletak hampir 500 meter di hadapan.
Halim menekan satu suis.
Alunan lagu dari radio yang tadinya perlahan kedengaran menjadi halwa telinga
mulai kuat berkumandang di dalam teksinya kini.
“Ehem! Ehem!” Halim
berdehem sekali dua untuk mengusir rasa debar yang semakin menebal di dalam
hati. Rasa takut yang hadir cuba dikawal. Teksi terus dipandu sebaik yang
mungkin.
Sara yang berada di tempat
duduk belakang teksi itu menjeling sekali lalu tingkah si pemandu.
“Macam-macam,” bisik Sara
perlahan. Agaknya pemandu ini takut kerana terpaksa menghantarnya ke rumah
banglo itu? Sudahlah di perhentian teksi tadi tiada sesiapa yang sudi menghantarnya
ke situ. Rata-rata pemandu teksi yang ditemuinya semuanya memberikan jawapan
yang negatif.
“Ehem!!”
Halim berdehem lagi. Kali
ini lebih kuat dari yang tadi. Entah kenapa terasa dingin tiba-tiba. Terasa
bulu romanya tegak berdiri. Terasa bagaikan adanya mata yang sedang memerhati. Jantungnya
pula semakin kuat berdegup. Rasa takut semakin kuat mencengkam apabila pintu
pagar rumah banglo itu sudah kelihatan di pandangan mata.
“Abang takut ke?” Tegur
Sara sambil berkerut dahi. Soalannya tidak berbalas. Kerutan di dahi semakin
menambah. Sara mula menjengah ke luar tingkap teksi memerhati rumah banglo yang
menjadi destinasinya. Hanya bumbung rumah banglo itu sahaja yang kelihatan dari
luar. Dinding batu yang dihiasi lampu-lampu yang cantik menyala teguh memagari
sekeliling kawasan rumah tersebut.
Teksi yang dipandu Halim
mula terhenti tanpa sebarang sebab. Tanpa sebarang amaran awal. Hentinya
betul-betul di hadapan pintu pagar rumah banglo tersebut. Halim menelan liur.
Dia yang tadinya tenang mula menggigil sedikit. Kedua tangannya masih kemas
menggenggam stereng.
“Ya Allah...” Halim mula
merintih perlahan. Matanya sedikit terjegil apabila memerhati ke arah pintu
pagar rumah banglo itu. Ketakutan terus menguasai diri. Dia mula kelam-kabut
cuba menghidupkan semula enjin kereta.
“Waktu-waktu ni juga kau
nak buat perangai kan?!” Halim mula jerkah dek hilang sabar setelah beberapa
kali mencuba untuk menghidupkan enjin keretanya namun masih lagi gagal. Di
antara sabar yang kian menipis dan takut yang kian menebal, dia lebih berasa
takut di saat ini.
“Tak apa abang. Memang ni
la rumahnya yang saya cakap tadi. Berapa ringgit bang tambangnya?” Sara mula
melepaskan soalan.
Halim tidak mengendahkan.
Tangannya terus memulas kunci kereta berulang kali.
“Abang? Berapa ringgit?”
Tegur Sara lagi setelah soalannya masih lagi tidak berjawab. Dia terus
memerhati tingkah Halim. Sesekali kepalanya menggeleng perlahan. Pandangannya
ditala semula kepada rumah banglo yang terdapat di pinggir jalan itu.
Pelik-pelik orang kat
sini. Sudahlah tadi di stesyen teksi tiada sesiapa yang sudi menghantarnya ke
rumah banglo ini dan sekarang, si pemandu teksi ini pula takut semacam dengan
rumah banglo ini. Kenapa ya? Sara terus berbiaca di dalam diam.
“Sial, sial!”
Suara Halim yang membentak
menarik semula perhatian Sara. Pemandu teksi itu kembali dipandang. Kelihatan
lelaki itu masih lagi berusaha menghidupkan enjin keretanya. Sesekali lelaki
itu turut memandang ke arah rumah banglo itu.
“Abang, berapa ringgit
saya kena bayar ni?” Sara bertanya lagi.
“Hei! Kau nak turun, turun
aje la!” Jerkah Halim. Dadanya mula berombak menahan rasa yang bercampur baur.
Sara semakin keliru. Isy!
Tanya pasal tambang pun, nak marah-marah? Apa? Dia tak perlukan duit tambang
teksi dia itu ke? Akur dengan arahan Halim, Sara mula melangkah turun daripada
teksi itu.
“Terima kasih abang,” ucap
Sara berbahasa. Biarpun masih lagi keliru dan sedikit terasa dengan sikap si
pemandu, dia masih lagi menjaga budi bahasanya.
“Ingat tau. Kat tempat
orang nanti, Sara kena pandai jaga diri. Jaga budi bahasa kita, nak. Insya
Allah, kalau kita buat baik dengan orang, orang pun suka. Bila orang suka, tak
adalah musuh.”
Itu pesanan emaknya.
Pesanan yang masih lagi segar di dalam minda. Pesanan itulah yang dibawanya
bersama ke tempat asing ini untuk mencari rezeki. Sara yang sudah melangkah
keluar daripada teksi, mula bersuara.
“Nanti, kalau abang nak..”
Belum pun sempat hendak
menghabiskan kata-katanya, si pemandu teksi tadi terus memecut laju
meninggalkannya seorang diri di pinggir jalan itu. Sara semakin bingung dengan
sikap pemandu teksi itu. Dia hanya mampu memerhati teksi itu yang semakin
menghilang di dalam gelap malam.
“Nanti kalau abang nak
duit tambang tu, datang jumpa saya kat sini,” ucap Sara perlahan. Kepalanya
terus menggeleng. Kesal dengan sikap pemandu teksi yang membawanya sehingga ke
destinasi yang ingin ditujui tetapi langsung tidak mengenakan sebarang bayaran.
Terasa bersalah pula kepada pemandu tersebut.
Sara memerhati sejenak
dinding batu dan pintu pagar di hadapannya. Dari celahan ukiran bunga di pintu
pagar itu, rumah banglo tersebut sudah kelihatan di pandangan mata. Bibirnya
mula menguntumkan senyuman.
“Inilah rumahnya.” Sara
mengangguk berpuas hati. Langkah kaki mula diatur menuju ke rumah banglo
tersebut. Matanya menjeling memerhati halaman yang disimbahi cahaya dari lampu
hiasan yang terdapat di dinding batu sekeliling kawasan tersebut.
“Cantik!” Sara menzahirkan
rasa kagumnya memerhati pokok-pokok bunga yang menghiasi halaman tersebut di
satu sudut. Terdapat juga ornamen air pancur dihiasi dua ekor patung bangau
putih di sudut kiri halaman itu. Bunyi airnya yang tenang mengalir terasa cukup
mendamaikan. Sebuah gazebo yang berdekatan dengan ornaman itu membuatkan Sara
terus tersenyum sendirian. Gazebo coklat itu tidak ubah seperti pondok
tradisional Melayu. Pondok yang mengingatkannya kepada suasana di kampung.
“Kau buat apa kat sini?!”
Satu suara yang menegur
menyentak Sara. Dia yang tadinya asyik memerhati gazebo itu mula mengubah pandangan
mencari punca suara yang menegurnya dari belakang tadi. Kelihatan seorang
wanita di dalam lingkungan 50-an sedang terpacak berdiri mengadapnya.
Wanita itu menilik Sara
atas dan bawah. Riaknya wajahnya seperti terkejut melihat sosok gadis itu. Sara
mula berasa tidak enak ditenung sebegitu oleh wanita yang sedang memegang
sebuah baldi itu.
“Er..saya datang sini..”
“Sebab apa?!”
Wanita itu bersuara keras
namun masih terkawal. Sesekali dia menjeling sekeliling memerhati kalau-kalau
ada sesiapa yang turut berada di situ selain mereka berdua.
Sara mengetap bibir
menahan gugup. Pandangan matanya saling bertaut dengan sepasang mata wanita itu
yang masih tajam merenung dirinya. Kenapa dengan makcik ni? Macam terkejut
tengok aku kat sini. Agaknya dia tak sangka aku nak sampai sini lewat malam?
Pelbagai andaian mula memenuhi benak Sara.
“Sebab apa?! Macam mana
kau boleh masuk?!”
Wanita itu melepaskan lagi
soalannya. Bebola matanya yang sedikit menjegil itu terus menatap Sara tidak
lepas.
“Er..tadi tu..saya tengok
pintu pagar terbuka jadi..”
Belum pun sempat Sara
menyudahkan kata-katanya, wanita itu laju sahaja menoleh ke belakang. Kelihatan
pintu pagar yang masih terbuka.
“Tak guna! Mesti aku yang
terlupa tutup tadi.” Wanita itu menggerutu perlahan menyesali kesilapan dirinya
sendiri. Kemudian dia menoleh kepada Sara semula. Pandangan matanya dikecilkan
sewaktu melirik gadis itu.
“Kau jangan nak
macam-macam! Kau ingat aku tak tahu kenapa kau datang sini?” Tidak bertangguh
wanita itu terus melepaskan lagi kata-katanya kepada Sara.
Sara mula berkerut dahi.
Dia semakin bingung. Belum pun habis memikir ragam pemandu teksi tadi, sekarang
dia harus berhadapan dengan karenah wanita ini pula.
“Apa yang makcik cakapkan
ni? Saya datang sini sebab tawaran kerja tu. Tuan rumah ni nak guna khidmat
orang gaji, kan? Sebab tu saya ke sini kalau-kalau ada rezeki saya tapi
itulah...sepatutnya petang tadi saya dah sampai tapi di pekan tadi, tak ada
pemandu teksi yang sanggup datang sini sebab tu saya lewat,” ujar Sara terus
menjelaskan perihal dirinya.
Wanita itu diam tidak
berkutik buat beberapa ketika. Hanya sepasang matanya yang masih lagi tajam
merenung kepada Sara. Angin malam yang sesekali menyapa membuatkan Sara mula
berdebar. Jantungnya mula berdetak kian rancak.
Apa kena dengan perempuan
ni? Macam ada apa-apa pula dia tengok aku macam tu. Pelik sangatkah kalau aku
lambat sampai? Marahkah? Bukannya aku sengaja. Kata-kata Sara terus
berlegar-legar di dalam hatinya saja.
“Jadi, kau datang sini
sebab kerja tu? Bukan sebab yang lain?” Wanita itu mula bersuara selepas
beberapa ketika.
Laju kepala Sara
mengangguk tanda mengiyakan. Biarpun terasa pelik dengan soalan yang kedua
daripada wanita itu, dia terus mengangguk. Terasa semakin menebal perasaan ingin tahu di dalam hatinya
kini. Ringan saja mulutnya dirasakan untuk bertanya kepada wanita itu. Sebab
yang lain? Sebab apa?
“Urmm..baiklah kalau macam
tu. Aku tak suka sebarang masalah nanti. Lagipun, tuan dengan puan pun macam
tu. Mereka pun tak suka ada sebarang masalah. Kau faham?”
Sara mengangguk lagi. Tiap
patah kata wanita itu terus diberikan perhatian sebaik yang mungkin.
“Ikut aku.” Wanita itu
terus melangkah sambil membawa baldi sebaik memberikan arahan. Sara hanya
mengikut dari belakang. Bau busuk yang datang mencuit-cuit deria pernafasannya
membuatkan Sara mula menutup hidung. Langkah kaki terus diarah mengikut wanita
itu yang menghala ke arah belakang rumah.
“Bau apa ni makcik?” Sara
akhirnya melepaskan juga soalan setelah beberapa ketika. Tidak tertahan rasanya
terpaksa menghidu bau busuk itu biarpun hidungnya sudah ditutup. Berkerut-kerut
wajahnya menahan bau busuk itu. Bau seperti bangkai!
Wanita itu yang berada di
depan mula menghentikan langkahnya. Sara yang mengekori sejak tadi turut
berhenti. Wanita itu menoleh ke belakang. Matanya dijegilkan kepada Sara
sebelum bersuara.
“Jangan tegur! Aku tak
suka! Faham?” Keras suara wanita itu berdesis kepada Sara.
Sara menelan liur.
Lidahnya terus kelu. Terangguk-angguk kepalanya sebagai tanda jawapan kepada
soalan wanita tua itu. Matanya tiba-tiba terarah kepada baldi yang sedang
dipegang oleh wanita itu. Belum pun sempat hendak menjengah isi kandungannya,
wanita itu memulakan langkahnya semula sambil membawa baldi yang berwarna merah
itu.
“Apa yang dia bawa? Tak
kan la bawa pakaian malam-malam macam ni?” bisik Sara. Pelbagai soalan dan
andaian mula muncul di dalam minda. Namun, kakinya tetap saja setia mengekori
langkah wanita itu sehingga mereka tiba di pintu belakang rumah.
Sara terus mengikut wanita
itu yang kini sudah melangkah masuk ke dalam rumah. Daun pintu dapur yang
tadinya terbuka kembali dirapatkan dan dikunci oleh wanita tersebut. Sara hanya
memerhati wanita yang sudah beruban itu dan keadaan dapur yang suram hanya
diterangi cahaya dari lampu hiasan di dinding luar. Selesai melakukan kerjanya,
wanita itu menoleh kepada Sara yang masih tercegat berdiri.
“Nama aku Mariam. Kau
boleh panggil aku Mak Yam. Aku juga orang gaji dalam rumah ni. Aku yang paling
lama di sini jadi kau kena dengar cakap aku. Tuan dan puan dah tidur. Esok saja
aku kenalkan kau kepada mereka. Apa yang penting, di dalam rumah ni ada
peraturan. Kau akan hanya buat kerja-kerja yang aku suruh saja, faham?”
“Faham Mak Yam,” sahut
Sara sambil menganggukkan kepalanya. Segaris senyuman diberikan seiring tangan
yang dihulur untuk bersalam sebagai tanda perkenalan. Tangan tidak bersambut.
Sebaliknya, Mak Yam hanya menjeling. Riak wajahnya masih lagi serius. Tidak
tersenyum langsung kepada Sara. Matanya mengisyaratkan ke satu arah.
“Sana bilik kau. Ingat!
Kau jangan sesekali nak memandai-mandai di sini!” Mak Yam sekali lagi memberi
peringatan kepada Sara.
“Baik Mak Yam,” jawab
Sara. Kakinya mula mengorak langkah ke arah yang ditunjukkan oleh Mak Yam
dengan ekor matanya tadi. Sebuah bilik yang yang sederhana besar lengkap dengan
almari dan katil membuatkan Sara tersenyum.
“Ini pun dah cukup,”
ucapnya syukur. Badannya yang letih terus direbahkan ke atas katil. Matanya
mulai kuyu. Di dapur, Mak Yam sibuk menyental tangannya yang mempunyai kesan
darah kering. Air jernih yang terpasang di sinki terus mengalir berubah warna
menjadi merah kehitaman. Dalam keadaan samar, Mak Yam tersenyum sendirian.
P/S : Saja nak try2 tulis cerita seram..kalau sudi, drop komen ya? Habis malas pun, tick ja dalam kotak tu, hehe..luv u all!!! TQ ;-)
Tuesday, 6 January 2015
DIA MIKHAEL 15
15
Aku menuruni tangga sambil
memerhati kawasan sekolah yang tidak sesunyi seperti selalu sewaktu aku
mengaturkan langkah keluar daripada kelas. Suara-suara pelajar daripada
kelas-kelas yang berhampiran masih lagi boleh didengari. Saling bergelak
ketawa.
“Patut la,” aku melirik
jam yang baru hampir ke pukul 2.25. Raut wajah Nadirah yang merenungku tadi
terbayang semula. Apa yang tak kena dengan si Nadirah tu?Dulu pun aku perasan
bagaimana dia memandangku tapi apabila dia tersenyum kepadaku, aku sangkakan
semuanya sudah kembali seperti biasa.
“Mana Mikhael ni?,” aku
mencari-cari kelibat Mikhael yang selalu menunggu aku berhampiran dengan
bangsal basikal, seperti selalunya pada waktu-waktu sekarang.
“Jangan-jangan dia dah balik dulu?,” aku mengerling jam di tangan sekali
lagi.
Selepas berpisah di
bangsal pagi tadi, tak pula kami berjanji sama ada untuk pulang bersama-sama.
Mungkinkah Mikhael menyangka aku masih lagi memarahkannya?
“Tak kan la...,” aku mengaturkan langkah ke bangsal yang kebanyakannya
ruangnya sudah pun kosong. Hanya beberapa buah basikal yang masih ada.
Aku mengerling ke hujung
bangsal.
“Ada lagi?,” aku melihat basikal yang berwarna merah itu. Budak perempuan
yang selalu menunggu di sisi basikalnya itu tidak pula kelihatan bayangnya.
“Entah-entah dia pun
selalu balik lewat?,” aku membuat tekaan sendiri. Kalau la pada waktu pagi yang
membuatkan aku tak berjaya untuk menegurnya, apa salahnya aku menggunakan waktu
sekarang?
Aku meletakkan buku-buku yang
dipegang ke dalam raga basikal sambil memandang ke hujung bangsal. Kalau-kalau
tuan basikal tu datang, aku tak akan kehilangan peluang ni lagi. Kalau pada
waktu pagi, ada saja halangan yang menghalang aku daripada menegur budak
perempuan tu.
Seakan-akan jelas lagi di
pendengaranku bagaimana dia teresak-esak menangis. Mungkin dia memerlukan
bantuan?
“Duit ke?,” aku mengerling jam. Dah hampir 10 minit aku menunggu.
“Mana budak tu?,” aku
memandang basikal yang masih ada di hujung bangsal. Dua orang pelajar perempuan
yang baru datang untuk mengambil basikal mereka, melemparkan senyuman kepadaku.
“Adik..,” aku memanggil kerana berdasarkan fizikal mereka yang kecil
daripada aku.
“Kenapa kak?,” salah
seorang daripada menyahut. Mereka berdua yang sedang menyorong basikal
masing-masing, memberhentikan langkah.
“Tingkatan berapa?”
“Tingkatan 3. Akak?.”
“Tingkatan 5,” aku menunjukkan 5 jari kepada mereka.
“Selalu balik lambat ke?,”
aku bertanya sambil mengerling basikal yang masih lagi berada di hujung bangsal.
“Em..tak juga. Kadang-kadang kalau ada kerja baru balik lambat. Kenapa kak?,”
salah seorang daripada mereka bertanya.
Niat yang terlintas untuk
bertanya kepada mereka mengenai budak perempuan itu harus aku luahkan sekarang.
Mana tahu kalau mereka berdua ni kenal budak tu?
“Macam ni..akak nak tanya.
Kenal tak budak yang selalu simpan basikal dia kat hujung tu?,” aku menunjukkan
ke hujung bangsal.
“Kat hujung?,” budak yang mengenakan tanda nama “Sofea” itu bertanya.
Aku menganggukkan kepala.
“Siapa ya kat situ?,” mereka berdua berbual sesama sendiri. Aku yakin, hari
ni mesti aku akan dapat jawapannya.
“Kat hujung tu..,” aku
mencelah sambil menunjukkan ke hujung bangsal sekali lagi.
“Setahu kami...kalau kat hujung tu basikal Ika...”
Ika?Sedap nama budak tu.
Jadi, namanya Ika tapi kenapa dia menangis?
“Tapi tak la betul-betul kat hujung sangat. Selalunya dia simpan basikalnya
dekat dengan basikal kami juga. Kat tengah-tengah tu,” kawan kepada Sofea yang
memakai tanda nama “Yasmin” menunjukkan kepadaku.
Aku memandang ke arah yang
ditunjukkan olehnya.
“Kan Sofea?Selalu kat situ kan?,” suaranya menarik semula perhatianku.
“Kenapa kak?Akak kenal ke
Ika?,” Sofea memandangku.
“Tak la. Bukan kat tengah tapi..”
“Selalunya Ika datang
dengan kami. Balik pun sama..cuma hari ni dia balik awal sikit sebab tadi kami
singgah kat perpustakaan. Kalau akak nak jumpa dia, nanti kami boleh bagitahu
dia.”
“Bukan, bukan..bukan nak
jumpa dia,” aku pantas menidakkan. Bukan itu yang menjadi hajatku.
“Bukan kat tengah-tengah ni,” aku memandang ruang tengah bangsal.
“Tapi..kat huj..,”
kata-kataku mati sebaik memandang ke arah hujung bangsal. Dah kosong!
“Tapi..” aku memandang mereka berdua yang masih lagi memandang aku.
“Apa akak cakap tadi?,”
Yasmin bertanya.
“Em..Ika tu..basikal dia warna apa?.”
“O..basikal Ika tu sama
macam basikal saya. Ni..,” Sofea menjawab sambil menunjukkan kepada basikalnya.
Aku memandang basikalnya yang berwarna biru.
“Biru?,” aku bertanya.
“Ya. Macam ni la. Biru. Kenapa?.”
Biru?Maksudnya bukan Ika
yang aku cari.
“Tak ada apa-apa. Terima kasih. Maaf la sebab susahkan adik-adik ni,” aku
mengerling ke hujung bangsal.
“Sama-sama,” mereka
tersenyum kepadaku sebelum berlalu.
“Mana basikal tu?Tak kan la secepat tu dia menghilang?,” aku memandang ke
hujung bangsal. Baru tadi, sewaktu aku berbual dengan budak-budak dua orang tu,
basikalnya masih lagi ada di situ.
“Kalau dia balik
sekalipun, tak kan la kami bertiga tak nampak?,” aku kehairanan apabila
memikirkan kemungkinan yang mungkin berlaku. Sama ada aku, Sofea ataupun
kawannya yang bernama Yasmin itu pasti akan nampak dia yang mesti melewati kami
untuk menuju ke pintu pagar sekolah.
“Tak ada rezeki lagi,” aku
membuka kunci basikal. Nampaknya, harapanku tadi apabila terdengar nama Ika,
kini sia-sia. Mustahil dia yang aku cari kerana basikalnya berwarna biru,
bukannya merah seperti yang aku nampak di hujung bangsal.
“Assalammualaikum,”
suara yang menegur mengejutkan aku yang melayang jauh memikirkan budak
perempuan tersebut.
“Mikhael!Ingatkan awak dah balik,”
aku memandangnya yang sedang tersenyum.
“Tak lagi. Tadi ada kerja
sikit. Awak sembang dengan siapa tadi tu?.”
“Awak nampak budak-budak tadi tu?,” aku bertanya kembali.
“Nampak. Kan tadi saya dah
berjalan dari sana. Awak yang tak perasan,” dia menunjukkan ke arah bangunan
yang terletak di belakang sekolah.
“Tak la. Saja tanya
budak-budak tu tingkatan berapa. Bosan tunggu kat sini,” aku berbohong kepada
Mikhael. Tak kan la aku nak memberitahunya tujuan sebenar aku bersembang dengan
budak-budak tu?
“Tunggu?Apa yang awak
tunggu?,” Mikhael berjalan di sisiku sewaktu kami berdua meninggalkan bangsal
tersebut.
Alamak!Terlepas cakap la pula. Tak kan aku nak mengaku yang aku sengaja
menghabiskan masa di situ untuk bertemu dengan budak perempuan tu?
“A..awak. Tunggu awak la.
Mana la tahu kalau awak tak balik lagi,” aku memerhati raut wajah Mikhael yang
merenungku. Dia percaya ke?
“Ya la tu. Macam la saya
tak tahu...”
Aku mendiamkan diri. Terasa bersalah pula apabila berbohong kepadanya yang
menolong aku pagi tadi.
“Kan saya dah pesan. Ingat
tak?,” Mikhael memandangku.
Aku terus mendiamkan diri. Pasti Mikhael sudah boleh mengagak kenapa aku
tunggu di bangsal tadi.
Sewaktu melewati pondok
pengawal, Pakcik Mahfiz yang berada di situ memanggilku.
“Lida..kenapa tak naik basikal tu?,” dia menunjukkan kepada basikalku.
“Tak apa la pakcik. Nak
jalan,” aku tersenyum kepadanya yang sudah mengenaliku sejak aku mula
bersekolah di sini.
Aku mengerling Mikhael yang mendiamkan diri.
“Saya..saya cuma pelik,”
aku menuturkan kata-kata tu. Biar Mikhael tahu kenapa aku begitu teringin untuk
bertemu dengan budak perempuan tu.
“Balik dulu pakcik!,” aku melambai kepada Pakcik Mahfiz yang masih
memerhati aku. Aku melihat dia yang juga turut mengangkat tangannya kepadaku.
“Apa yang awak pelik?,”
Mikhael yang sedari tadi membatukan diri mula bersuara selepas kami melintas
jalan untuk berada di lorong kiri.
“Em..budak tu la,” aku mengaku.
“Kenapa?.”
“Hari tu..pagi tu. Awak ingat tak pagi yang awak panggil saya tu?,” aku
bertanya kepada Mikhael.
Aku melihat dia
menganggukkan kepalanya.
“Ha..pagi tu la. Saya dengar dia menangis. Mesti dia ada masalah. Betul
tak?.”
Mikhael melonggarkkan tali
leher yang dipakainya. Aku perhati riak wajahnya yang seakan-akan tidak
menyenangi sesuatu.
“Kenapa?Panas ke?,” aku bertanya lagi.
Dia memandang aku seketika
dan kemudian menggelengkan kepalanya.
“Masalah..,” perlahan suaranya memasuki pendengaranku.
“Masalah?Awak ada masalah?,”
aku memandangnya. Sesekali aku memerhati buku-buku Mikhael yang turut
diletakkannya di dalam raga basikalku.
“Bukan saya. Masalah yang awak cakap tadi tu. Budak tu...”
“Mana awak tahu dia ada
masalah?,” Mikhael pula mengambil giliran bertanya kepadaku.
“Sebab saya dengar dia menangis. Jadi, mesti la dia ada masalah,” aku
menjawab yakin.
Tak kan la budak perempuan tu sengaja nak menangis di pagi hari?Apa yang
dia dapat?
“Macam mana kalau
sebaliknya?Awak pernah fikir macam tu?.”
“Sebaliknya?,” aku memandang Mikhael yang menganggukkan kepalanya.
Aku tak faham. Apa yang
dimaksudkan oleh Mikhael ni?Sebaliknya?
“Maksud awak..apa?.”
Aku melihat senyuman yang
terukir di bibirnya. Manis!
“Maksud saya..kalau dia ada masalah. Macam mana kalau sebaliknya, dia tak
ada masalah?,” Mikhael bertanya kepadaku sambil tersenyum.
Aku cuba memikirkan logik
soalan Mikhael tu. Mustahil!Kalau la dia tidak mempunyai sebarang masalah,
kenapa dia nak menangis?
“Kalau dia tak ada masalah, kenapa pula dia nak menangis?,” aku tak berpuas
hati dengan andaian yang dibuat oleh Mikhael.
Sekali lagi Mikhael
tersenyum.
“Jangan-jangan awak ni..kenal budak tu tak?,” aku menyerkap jarang. Sebab
tu juga dia menghalang aku daripada menegur budak perempuan yang berada di
hujung bangsal tu.
“Mana la saya kenal siapa
budak tu,” Mikhael menafikan.
“Dah tu..awak cakap macam awak kenal je,” aku memerhati jalan raya yang
lengang.
“Awak tak faham Lida.
Kadang-kadang elok, kalau satu-satu benda tu, kita biarkan macam tu.”
Aku memandang Mikhael. Semakin aku tak faham dengan apa yang cuba
disampaikan oleh Mikhael ni. Jauh benar dengan apa yang sedang bermain-main di
fikiranku.
“Biarkan?Macam mana kalau
dia perlukan pertolongan?,” aku membangkang cakap Mikhael.
“Kalau dia perlukan pertolongan. Macam mana kalau sebaliknya?,” Mikhael
juga membantah cakapku.
“Awak ni tak habis-habis.
Sebaliknya, sebaliknya..macam mana kalau betul apa yang saya cakap?,” aku
semakin tak berpuas hati dengan andaian-andaian Mikhael yang lebih kepada
membangkang pendapat aku.
“Tak salahkan kalau kita fikirkan kedua-dua kemungkinan?Mungkin dia
perlukan bantuan awak..ataupun mungkin juga tidak.”
“Kalau tak, kenapa pula
dia nak menangis?Tu maksudnya dia perlukan bantuan la,” aku mengemukakan alasan
yang aku kira kukuh untuk menyokong pendapatku.
“Itu apa yang awak dengar.
Mungkin berbeza dengan keadaan yang sebenar.”
Aku menghela nafas. Terasa penat apabila bercakap dengan Mikhael. Geram
sudah semestinya!
“Nasihat saya, biarkan dia
kat situ. Tak susah pun kan nak buat macam tu?,” sekali lagi pandangan mata
kami bertemu.
Aku hanya mengangguk. Jauh di hati, sukar sekali untuk aku menerima apa
yang dikatakan oleh Mikhael.
***************************************************
Aku mengiringkan badan ke kanan, memerhati meja tulis dan
cahayanya yang menerangi bilik. Entah kenapa, susah pula rasanya untuk
melelapkan mata pada malam ni. Kata-kata peringatan daripada Mikhael dan esakan
budak perempuan itu seakan-akan bersatu di dalam fikiranku.
Kenapa Mikhael mempunyai
fikiran sebegitu?Bertentangan benar dengan apa yang aku fikirkan. Lain yang aku
fikirkan, lain pula yang dia nasihatkan. Mujur juga kami berdua bercakap
mengenai hal ni siang tadi, jadi sedikit sebanyak aku sudah mengetahui
pandangannya.
“Negatif betul Mikhael tu,”
aku bangun daripada berbaring. Aku memandang beg sekolah yang sudah aku
masukkan buku-buku yang perlu dibawa untuk esok.
“Sebaliknya la...itu la ini la. Kesian budak tu,” aku menyepit rambut
sebaik kakiku melangkah menuruni katil.
Aku mencapai glob salji
yang berada di atas meja. Glob yang sudah berada di tangan tu, aku goncangkan
beberapa kali.
“Cantiknya!,” aku memandang salji-salji yang berselerakan di dalam glob tu.
Sememangnya, satu pandangan yang tak kan pernah aku jemu. Malah, glob ini juga
salah satu perkara yang boleh membuatkan aku berasa tenang dan gembira.
Aku mencapai sekeping
kertas yang ditindih di bawah glob. Sudah beberapa hari aku cuba untuk
menyiapakan kata-kata yang sesuai untuk dianggap sebagai puisi di dalam
Pertandingan Menulis nanti.
“Layak ke ni?Macam bukan
puisi je,” aku membaca sekali lalu apa yang sudah tertulis.
Aku mencapai pen yang turut berada di atas meja.
“Tak habis lagi ke?,” aku menconteng sedikit di atas kertas untuk melihat
dakwatnya. Aku rasakan sudah banyak kerja yang dilakukan dengan menggunakan pen
ni.
“Ada lagi?,” aku
menconteng sedikit lagi untuk melihat hasilnya. Memang ada lagi dakwat pen yang
aku ketemu di atas buku sewaktu di makmal dulu.
“Guna je la,” aku berbaring di atas karpet yang gebu tu.
Aku mengetuk-ngetuk pen yang berada di tangan ke atas
kertas sambil mencari-cari idea apa yang harus ku tulis untuk menyempurnakan
apa yang sudah ada. Hampir beberapa minit aku berbaring di atas karpet tanpa
tanganku bergerak menjalankan tugasnya di atas kertas.
“Tak ada idea la pulak,” aku melepaskan pen di tangan.
Perlahan-lahan aku
menyingkap kain langsir.
“Banyaknya bintang!,” aku bersorak girang. Gembira melihat ciptaan Tuhan
yang cantik tu.
“Bulan..bintang?,” aku
memikirkan ayat terakhir yang tertulis di atas kertas.
“Em..cuba je la,” aku kembali meniarap di atas karpet sambil mencapai pen.
Melihat
bulan dapat berkata
Mungkin
bintang-bintang juga ingin bersuara
Seandainya
bintang-bintang berbicara
Mungkin
mereka akan bertanya…
“Apa ya mereka akan tanya?,” suara yang begitu hampir denganku membuatkan pen yang berada di tangan,
terlepas.
“A..aw..awak?Awak ke tu?!,” aku berpusing memandang sekeliling. Cuba
mencari gerangan si dia yang sememangnya takkan pernah menunjukkan rupa. Aku
yakin mesti “dia” yang selalu mengekoriku.
Sepi. Tiada jawapan yang
aku terima.
P/S: Untuk sesiapa yang mengikuti cerita ni..khas untuk sue sebenarnya yang katanya, dia nantikan next entry ni..juga buat Miss Imaginative yang drop komen untuk bab 14. Tq2 ^_^
Thursday, 2 October 2014
PEMBERITAHUAN;-)
Assalammualaikum semuanya..
Nampaknya saya kena ubah psal detail saya..coz sekarang ni dah ada FB..so, sesiapa yang ada FB tu sudi2kan la add saya, Daisy Zahra.. insya Allah, tak sombongnya, hehe.. Masih baru dengan FB so fenin sikit, hehe..
Nampaknya saya kena ubah psal detail saya..coz sekarang ni dah ada FB..so, sesiapa yang ada FB tu sudi2kan la add saya, Daisy Zahra.. insya Allah, tak sombongnya, hehe.. Masih baru dengan FB so fenin sikit, hehe..
Tuesday, 30 September 2014
HERO n HEROIN MY OPPA MR KAPUCINO
Siapa Istifan Maher?
Penyanyi popular berusia 27 tahun. Minuman kegemaran? Mestilah kapucino! Ada ramai pekerja. Tegas dengan para pekerjanya. Bila dengan Khausar, ubah terus perangai dia. Uiks?!
Kawan baik? Patrick. PA? Patrick juga.
Tak suka sembarangan orang masuk ke dalam biliknya. Patrick tak pe. Khausar pun, hehe..
Degil dan kurang sabar tapi sikit aje. Bila dengan Khausar, boleh pula dia bersabar, pelik kan?
Baik hati, loving, bertanggungjawab. Agak nakal tapi dengan Khausar aje tau!
“Okay, last choice. Kiss me, here..” Istifan menyuakan pipinya hampir kepada wajah Khausar.
“Tak naklah!” desis Khausar geram. Istifan mula tertawa.
“Then, you choose honey. Yang pertama atau kedua?” nakal Istifan memberikan pilihan kepada isterinya.
“Oh! Yang pertama ke, kedua ke yang untungnya awak kan?” balas Khausar tidak berpuas hati.
“La..kenapa tak cakap awak nak juga?Meh sini..I can kiss you,” acah Istifan sambil mendekatkan wajahnya kepada Khausar. Mulutnya sengaja dimuncungkan.
“Tak naklah!” desis Khausar geram. Istifan mula tertawa.
“Then, you choose honey. Yang pertama atau kedua?” nakal Istifan memberikan pilihan kepada isterinya.
“Oh! Yang pertama ke, kedua ke yang untungnya awak kan?” balas Khausar tidak berpuas hati.
“La..kenapa tak cakap awak nak juga?Meh sini..I can kiss you,” acah Istifan sambil mendekatkan wajahnya kepada Khausar. Mulutnya sengaja dimuncungkan.
Siapa Khausar Naem?
Gadis biasa-biasa yang berusia 22 tahun. Masih belajar lagi. Ada tiga orang kawan baik, Pijat, Denia dan Cecila. Dia orang semua ni satu kelas.
Anak yatim piatu. Anak tunggal. Dia teringin sangat nak balik ke Jannatul Naem tapi tu la..tak mampu.
Degil dan keras hati sebab dah terbiasa hidup susah. Bila dengan Istifan, cair pula hati dia macam aiskrim. Heh!
Tak nak mengaku sayang kat Istifan. Padahal risau sangat kalau terjadi apa2 kat oppa dia tu.
“Tak payah nak risaukan apa-apa pun, ya?”
Khausar menganggukkan kepalanya.
“Sayang abang tak?”
Mengangguk lagi. Mestilah sayang kalau tak, tak kanlah dia risaukan Istifan?
“Cinta abang tak?” Istifan mula bernada nakal.
Laju Khausar menggeleng. Istifan mula melepaskan tawa. Takut sangat!
Khausar menganggukkan kepalanya.
“Sayang abang tak?”
Mengangguk lagi. Mestilah sayang kalau tak, tak kanlah dia risaukan Istifan?
“Cinta abang tak?” Istifan mula bernada nakal.
Laju Khausar menggeleng. Istifan mula melepaskan tawa. Takut sangat!
NOVEL BARU ;-)
Assalammulaikum dan selamat petang semuanya. Nampak tak cover kat atas ni? CUTE sangat2!! Terima kasih kepada pihak PFP untuk cover ni, hehe..
Alhamdulillah, ni la novel saya yang bakal berada di pasaran bulan 10 ni..tajuk My Oppa Mr. Cappuccino. Jom! Layan sinopsis sikit..
Khausar, seorang penuntut kolej di sebuah pekan kecil. Bersahabat dengan Cecila, Denia dan Pijat yang sering membantu. Namun, harapannya hanya satu. Dia ingin kembali ke Jannatul Naem. Bekerja dengan Encik West pun kena pecat. Menyewa bilik Mak Cik Rita pula kena halau.
Istifan merupakan seorang penyanyi terkenal. Hidupnya biasa bersulamkan kemewahan dan mempunyai ramai pekerja. Minuman kegemaran, mestilah kapucino! Minuman itu jugalah yang membawa dirinya ke Siputeh. Tempat yang memaut hatinya. Sekurang-kurangnya, tidak ada Ruby di situ!
Kerana segelas kapucino, Khausar dan Istifan ditakdirkan bertemu.
“Saya yang beli rumah ni. Macam mana boleh jadi rumah awak pula?” Istifan cuba mengawal dirinya.
“Kalau macam tu awak tahulah berapa bilik yang ada kat sini?” Khausar bertanya.
Sengaja ingin melihat respons yang bakal diterimanya.
Bila dah bertemu dan suka, Istifan mula melamar.
“Kalau saya cakap err... tak?” duga Khausar.
“Saya terima dan nampaknya terpaksalah saya terus goda awak setiap hari.” Selamba Istifan menyahut.
Hari-hari yang dilalui bersama Mr. Cappuccino mula membuatkan Khausar jatuh hati. Bila sudah bahagia, Istifan lupa akan dirinya lalu memilih Ruby! Lalu, bolehkah dia bersatu semula dengan oppanya?
Istifan merupakan seorang penyanyi terkenal. Hidupnya biasa bersulamkan kemewahan dan mempunyai ramai pekerja. Minuman kegemaran, mestilah kapucino! Minuman itu jugalah yang membawa dirinya ke Siputeh. Tempat yang memaut hatinya. Sekurang-kurangnya, tidak ada Ruby di situ!
Kerana segelas kapucino, Khausar dan Istifan ditakdirkan bertemu.
“Saya yang beli rumah ni. Macam mana boleh jadi rumah awak pula?” Istifan cuba mengawal dirinya.
“Kalau macam tu awak tahulah berapa bilik yang ada kat sini?” Khausar bertanya.
Sengaja ingin melihat respons yang bakal diterimanya.
Bila dah bertemu dan suka, Istifan mula melamar.
“Kalau saya cakap err... tak?” duga Khausar.
“Saya terima dan nampaknya terpaksalah saya terus goda awak setiap hari.” Selamba Istifan menyahut.
Hari-hari yang dilalui bersama Mr. Cappuccino mula membuatkan Khausar jatuh hati. Bila sudah bahagia, Istifan lupa akan dirinya lalu memilih Ruby! Lalu, bolehkah dia bersatu semula dengan oppanya?
Kalau nak order, klik kat sini - - > FajarPakeer
Sunday, 14 September 2014
SEBAB SAYA SUKA MEMBACA ;-)
Assalammualaikum dan selamat petang...dah makan ka? Sini hujan..seronok pula rasanya dapat golek2 atas katil sambil baca2 kan..okay la, nak share dengan korang novel2 yang baru dibeli..dalam 2 weeks macam tu..tapi langsung tak bersentuh lagi coz sibuk edit cita Istifan n Khausar tu..so ni la list nya:
1) Impiana 1 - Perangkap Pertama Ain Maisarah
2) Impiana 2 - Tiada Jalan Keluar Ain Maisarah
3) Mr. Right Selebriti Ain Maisarah
4) Jutawan Gedik Ain Maisarah
5) Dia...Isteri Luar Biasa Umie Nadzimah
6)Erti Cinta Camellia
7)Impiana 3 - Misteri Terbongkar Ain Maisarah
8)Impiana 4 - Finale Ain Maisarah
9)Aku Mahu Popular Ain Maisarah
10)Aku Mahu Buli Ain Maisarah
11)Suar tengah Malam Maria Kajiwa
12)Sejak Kita Bertemu Maria Kajiwa
13)Plain Jane Nurul Syahida
14)Potret Dua Wajah Haiza Najwa
15)Dendam Ratu Ular Annur Shanana
So, itulah listnya..mana la tahu kot2 ada yang tak jelas dalam pic tu n ada yang korang nak carikan..kalau korang tengok, banyak buku dari Ain Maisarah kan, why? Sebabnya, saya tak pernah baca 1 pun buku dia. langsung tak pernah n nak try untuk pertama kali. bila dah beli Impiana, rasa macam tak lengkap kalau tak beli sampai habis siri tu. bila dah beli, baru tau yang siri Impiana ni, ada permulaan kisahnya which is, Aku Mahu Buli. Aku Mahu Popular memang basic la untuk semua watak2 yang ada kan? Lagi satu, kenapa saya minat nak beli n baca ialah, bila baca sinopsis je dah remind me to Enid Blyton punya buku yang pernah saya baca waktu kat sekolah rendah dulu. Ada Siri Lima Sekawan, Siri Pelajar, memang best!!! Agaknya, Ain Maisarah boleh la jadi Enid Blyton Malaysia ;-) Hehe..
Yang lain-lain tu banyak genre cam seram n misteri sebab saya dah banyak sangat beli novel cinta so nak ubah angin kejap. lagi satu, bila baca sinopsis mestilah tertanya2 nak tau apa yang terjadi kan?
Orang cakap, nak jadi penulis pun kena banyak membaca kan? So that, baru la kita tau kelemahan kita kat mana, how come bku tu boleh jadi best n hebat n kita akan dapat belajar semua tu indirectly. So,meh la sini share dengan saya buku apa yang korang tengah baca sekarang atau bku mana yang korang rasa best untuk recommend kan kat saya, okay? Tinggalkan komen kat bawah n tq sudi singgah. LUV U!
Subscribe to:
Posts (Atom)






