Friday 9 May 2014

DIA...MIKHAEL 10


10
“Nanti hujung minggu ayah dengan mak nak pergi ke rumah Mak Ngah kamu. Nak ziarah anak sepupu kamu tu. Akak nak ikut tak?,” mak mengutarakan persoalan yang tak aku harapkan.
            Pertanyaan mak aku biarkan tak berjawab. Kenapa la sekarang ni mak dengan ayah rajin pula nak menziarahi Mak Ngah tu?Mesti la aku terpaksa tinggal seorang diri lagi. Kalau la tak kerana perkara-perkara pelik yang sering terjadi, pastinya aku tak akan mempunyai perasaan sebegini. Takut sudah semestinya!
            “Ei!Akak ni dengar tak mak tanya?,” mak mencuit tangan aku.
Aku terus menyuap nasi ke mulut. Apa ya nak jawab?Nak ikut tak?
            “Dengar la....”
“Dah tu?Nak ikut tak?Sekali sekala jom la ikut. Boleh juga kenal-kenal dengan saudara mara tu. Cucu Mak Ngah tu pun akak tak jenguk lagi.”
Aku masih lagi diam. Malas betul nak ikut mak dan ayah berkunjung ke mana-mana. Hujung minggu macam tu saja la yang memberikan aku masa yang banyak untuk menyempurnakan kerja rumah dan lebih-lebih lagi untuk berehat.
            “Tengok la..,” aku memandang mak. Ayah dan adik-adik hanya berdiam diri. Sekali sekala adik Liza mengusik adik bongsuku, berebutkan lauk yang masih lagi ada di atas meja.
“Tengok?Nak tengok apa?,” mak masih tak berpuas hati.
            “Em..kerja sekolah la. Kalau tak banyak akak ikut tapi kalau banyak tak boleh la nak ikut,” aku tersengih. Mak hanya menggelengkan kepala. Mesti dia sudah faham perangaiku yang sebenar.
            “Alasan la akak ni. Kalau nak ikut boleh je. Bukannya kita nak duduk lama-lama.”
“Jadi, tak tidur la kat sana?,” aku kehairanan. Kebiasaannya mak, ayah dan adik-adik mesti akan menghabiskan sekurang-kurangnya semalam di sana.
“Tidur la. Semalam. Macam biasa tapi bukannya lama pun kan?,” mak memandang aku.
            “Tengok la. Lagipun kan akak pernah tidur sorang-sorang. Boleh juga kalau nak ajak Aisyah temankan. Mak dengan ayah tak payah la risau.”
“Mak ayah dia tak kisah ke?,” ayah yang sedari tadi diam mula bersuara. Sudah menjadi perangainya untuk kurang bercakap ketika makan.
            “Dia cakap ok je. Asalkan tak terlalu lewat la sebabnya kadang-kadang susah juga dia nak dapatkan bas kalau dah lewat. Jadi, kalau nak ajak dia kena beritahu awal-awal la.”
            Ayah menganggukkan kepala.
“Kalau akak tak balik, boleh tak adik pun tak mau ikut?,” adik bongsuku, Hafiz yang berusia 5 tahun bertanya.
            “Mana boleh!Hafiz kena ikut mak,” adik Liza mencuit telinga Hafiz.
“Habis tu kenapa akak boleh tinggal sorang-sorang?,” Hafiz memandang mak.
            “Sebab akak dah besar. Dah boleh berdikari. Hafiz mana boleh lagi,” mak tersenyum dengan keletah adik bongsuku itu.
“Lagipun akak dah boleh tidur sorang-sorang. Hafiz nak tidur sorang-sorang?,” ayah mengusiknya.
            “Tak mau, tak mau!Takut!Ada hantu!,” dia menutup mukanya.
“Hafiz...jangan nak mengarut. Mana ada hantu. Dah, makan tu. Habiskan sayur tu,” mak menyuap nasi ke dalam mulutnya. Selagi tidak kena tangan mak yang menolong, selagi itulah juga nasi di dalam pinggannya tidak akan habis.
Hantu?Berdebar jantungku ketika mendengar jawapan adik aku itu. Seolah-olah dia boleh nampak pula. Aku pernah terdengar yang orang-orang tua pernah cakap, budak-budak ni selalunya boleh melihat makhluk-makhluk halus ni, tapi betul ke?Sejauh mana kebenarannya tak pula aku ketahui.
Koko yang menggesel-geselkan badannya di kaki aku mengejutkan aku.
“Ya Allah!Koko!Buat orang terkejut je la dia ni.”
            “Lapar la tu. Bagi dia nasi dengan lauk tu,” ayah menunjukkan seekor ikan kembung goreng.
Aku tatap wajah adik Hafiz yang masih lagi menyuap nasi. Betul ke budak-budak boleh nampak makhluk-makhluk halus ni?Kenapa mereka diberikan keistimewaan ni?Pandanganku beralih kepada Koko yang masih berada di kakiku.
            Haiwan juga dikatakan boleh melihat dan merasai kehadiran benda-benda halus ni. Kalau saja Koko boleh bercakap, nak aku bertanyakan kepada dia apa yang dia nampak di dalam rumah ni kerana aku yakin benar bahawa ada sesuatu yang sering mengikutiku.
            Mustahil aku boleh bertanyakan kepada adik Hafiz. Tak pasal-pasal dia buka mulut kepada mak dan ayah, pasti mereka akan fikirkan yang bukan-bukan pula pasal aku. Lebih teruk lagi kalau mereka akan menjadi risau dan menganggap aku dah tak betul!
“Nah!Makan ni sampai kenyang,” aku mengusap-usap kepala Koko yang masih setia menunggu makanannya daripada aku, seperti setiap malam.
            Selesai memberi makanan kepada Koko, aku menuju ke sinki untuk membasuh pinggan. Persoalan mak membuatkan aku terfikir. Kalau asyik duduk kat rumah ni mesti akan membuatkan aku terus berfikir, seperti kata Aisyah. Agaknya kalau aku ikut mak dengan ayah, “benda” tu akan berhenti daripada kacau aku?
“Kerja sekolah dah buat?,” suara mak mengganggu apa yang sedang aku fikirkan.
            “Tak. Nak buat lepas makan la ni,” aku meletakkan pinggan pun sudah dibasuh di rak.
“Nak air teh ke?Kalau nak mak boleh buatkan lepas ni sekali dengan air kopi ayah ni.”
            “Tak payah mak. Kalau nak orang buat sendiri la,” aku berlalu ke bilik.
Aku memerhatikan Koko yang sedang menjilat-jilat bulu dan kakinya.
            “Dah kenyang?Jom kita masuk bilik!,” aku mengambilnya untuk di bawa bersama ke dalam bilik.
“Malam ni temankan orang buat kerja rumah tau. Duduk sini diam-diam,” aku meletakkan Koko di atas katil. Kemudian, aku menuju ke meja belajar untuk mencapai glob salji yang kadang-kadang turut dijadikan sebagai penindih kertas selain hiasan di meja tersebut.
            “Nah!Ambik ni. Main yang ni,” aku menggoncangkan beberapa kali sebelum meletakkannya di depan Koko. Dia yang sememangnya berminat dengan glob itu mengais-ngais dengan kakinya. Aku tersenyum melihat keletahnya.
            Koko yang aku jumpa sewaktu balik sekolah hampir 2 tahun yang lalu sememangnya tidak banyak ragam. Makannya juga senang dijaga. Hanya nasi dan berlaukkan ikan goreng. Kadang-kadang aku turut memberikannya ikan bilis goreng. Malah sayur kangkung juga turut dimakannya. Pendek kata, apa yang aku makan, itu juga yang akan dimakannya.
            Aku mendapatkan beg sekolah untuk mengeluarkan buku graf.
“Malam ni orang kena buat Matematik. Banyak lagi nak kena lukis. Nampak tak?,” aku menayangkan buku graf itu di hadapan Koko. Biarpun aku tahu yang dia tak faham tapi aku selesa untuk berbual-bual dengannya.
“Meow,” suara Koko yang sentiasa memberikan tindak balas kepadaku membuatkan aku merasa tak jemu untuk terus berkomunikasi dengannya.
            “Main tu. Orang nak buat ni,” aku menggoncangkan kembali glob salji itu setelah mencapai sebiji bantal untuk dijadikan alas.
Aku meniarap di atas permaidani setelah membuka buku teks Matematik. Pensel yang dah di asah di sekolah memudahkan kerjaku.
            Sekali sekala aku menjeling kepada Koko yang terus bermain-main dengan glob salji itu. Glob yang dikais-kais dengan kakinya bergolek-golek di atas tilam.
“Baik-baik Koko. Jangan bagi jatuh kat bawah sudah. Nanti pecah,” aku meneruskan kerja rumah.
            “Meow, meow,” Koko mengiau seakan-akan memahami.
Aku melihat beberapa ogif yang sudah siap dilukis.
“Sikit je lagi tinggal,” aku meneruskan kembali melukis setelah beberapa titik aku tandakan di atas kertas graf.
            Aku terhibur melihat gelagat Koko yang bermain sendirian dengan glob salji tu. Aku melihat jam yang hampir ke pukul 11.30 malam.
“3 je lagi Koko. Lepas tu dah habis.”
            Aku bangun untuk melihat jadual waktu yang terdapat di meja. Aku mengeluarkan buku-buku teks yang berada di dalam beg sekolah.
“Semua ni nak kena susun. Yang mana nak ke bawa, yang mana nak kena tinggalkan kat rumah. Dengar tak ni Koko?,” aku menoleh ke belakang. Koko yang masih bermain-main di atas katil tidak menghiraukan pertanyaanku.
            Aku mencapai buku teks Biologi dan Bahasa Inggeris. Buku teks Bahasa Melayu pula aku letakkan di atas meja.
“Yang ni nak kena bawa. Nampak?,” aku menunjukkan kepada Koko yang memerhati aku.
            “La..dah tak main ke?,” Koko yang diam tiba-tiba membuatkan aku kehairanan. Kalau tadi bukan main lagi dia sibuk mengejar glob salji tu yang tergolek ke sana sini di atas katil.
            “Bosan ya?,” aku mengusap-usap badannya setelah glob yang aku goncangkan tu tidak berjaya juga untuk menarik semula perhatiannya. Aku menuju ke tingkap.
“Koko, cantik bulan malam ni. Bintang pun banyak,” aku tersenyum memandang langit yang begitu indah ciptaan Yang Maha Berkuasa.
            “Meow, meow, meow,” suara Koko mengalihkan pandanganku kepadanya.
“Kenapa ni?Nak tengok bulan juga ke?,” aku pergi kepadanya. Aku mengangkat Koko yang berada di atas katil.
            “Tu..cantik kan?,” aku mengusap-usap kepala Koko yang berada di pangkuanku.
“Meow, meow,” Koko melompat dari pangkuanku.
            “Kenapa ni Koko?,” aku terkejut apabila Koko tiba-tiba melompat begitu. Aku melihat Koko yang juga turut memerhatikan aku.
“Sini,” aku pergi untuk mendapatkannya kembali. Koko berjalan menuju ke pintu bilik aku. Di situ, dia berlegar-legar beberapa kali.
            “O..nak keluar ya?Dah bosan ya temankan orang?,” aku mengangkatnya kembali. Suaranya yang tidak berhenti mengiau menandakan kegelisahannya. Aku membuka pintu bilik. Koko yang berada di dalam pelukanku terus melompat turun ke lantai.
            “Kenapa ni Koko?,” aku melihatnya yang masih memandang aku.
Koko masih lagi tidak berhenti mengiau.
            “Sshh!Diam la. Semua orang dah tidur tau. Nak apa ni?,” aku mengusap-usap badannya.
“Nak susu ya?Jom, kita pergi dapur,” aku mengatur langkah menuju ke dapur. Jam di dinding yang mengalunkan irama pada setiap jam sebelum berdenting, mematikan langkahku.
            “Dah pukul 12. Jom la Koko,” aku memandangnya yang tidak berganjak dari depan pintu bilikku. Suaranya masih lagi mengiau seperti di dalam bilik tadi.
“Tadi nak keluar. Nak masuk balik ke?,” aku mendapatkan Koko semula.
            Aku melihat kain langsir di dalam bilik yang diterjah angin malam yang lembut bertiup.
“Kenapa ni Koko?,” aku melihatnya yang masih setia di duduk situ. Suaranya yang dari tadi asyik mengiau tidak lagi kedengaran.
            “Nak susu ke Koko?,” aku menjadi hairan dengan sikapnya. Entah-entah dia sakit tak?
“Meow, meow,” suaranya berubah menjadi manja semula. Tenang dan tidak lagi kegelisahan seperti tadi. Dia menggesel-geselkan badannya di tanganku.  
            “Kenapa ni?Nak tidur ya,” aku melihat gelagatnya yang merebahkan badannya ke lantai. Matanya juga ditutupkan.
“Nakal ya malam-malam ni,” aku mengusap kembali kepalanya. Aku melihatnya yang sudah kembali tenang. Agaknya Koko penat bermain dengan glob tadi sewaktu berada di dalam bilik.
            Aku melangkah ke bilik semula. Kain langsir yang diterbangkan angin tadi, aku singkap semula. Bulan dan bintang yang sememangnya begitu cantik sentiasa membuatkan aku terpaku di jendela hampir setiap malam. Aku tersenyum apabila mengenangkan keletah Koko yang bermain dengan glob salji itu tadi.
“Macam-macam Koko ni,” aku menuju ke meja untuk mengeluarkan kertas kosong daripada laci.
            “Nak tulis apa ni,” aku meniarap semula di permaidani. Aku mencapai pen daripada “perut” Garfield. Sesekali aku menjeling di luar tingkap, melihat bulan yang cantik bersinar, biarpun bukan bulan purnama.
Sebagai seorang insan
Aku selalu berfikir akan kejadian
Ciptaan Dia seperti keajaiban
Selalu membuatkan aku berasa hairan…
Aku sering tertanya-tanya
Apa yang mungkin akan terjadi
Seandainya mereka berbicara
Mungkin aku lebih menginsafi
Seandainya bulan berbicara....
        “Em…ok ke ni?,” aku melihat apa yang aku tulis. Teringin pula aku nak sertai Pertandingan Menulis yang akan dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Sastera dan Budaya nanti.
“Nanti-nanti la fikir isinya. Nak letak tajuk apa ya,” aku melepaskan pen di tangan.
            Mata yang hampir layu, aku pejamkan. Angin yang kadang-kadang berhembus lembut menambahkan ngantuk yang ada. Ditambah dengan penat yang dirasai setelah selesai membuat kerja rumah Matematik tadi.
“Seandainya mereka berbicara,” suara itu menusuk masuk ke pendengaranku.
            “Dia”kah yang berbisik itu?

 *****************************************************************
            Jam loceng yang berbunyi mengejutkan aku. Pantas aku mencapai jam yang berada di sebelah bantalku untuk menghentikannya.
Aku bangun sambil mengeliat beberapa kali. Aku bangun mencapai tuala untuk keluar menuju ke bilik air.
“Meow, meow,” aku terkejut sebaik membuka pintu. Koko yang berada di depan pintu datang menggesel-geselkan badannya ke kaki aku.
            “Kenapa ni?Orang nak kena pergi sekolah la,” aku mengusap-usap kepalanya sebelum berlalu ke bilik air.
“Nak masuk bilik ya?,” aku membuka semula pintu bilik yang telah ditutup. Suara Koko yang mengiau berhenti.
            “Kenapa ni?Tak nak masuk pulak?,” aku menutup semula pintu bilik. Langkah diatur menuju ke bilik air. Kalau nak dilayankan karenah Koko ni, mesti lewat aku akan ke sekolah.
“Mak buat apa tu?,” aku menyapa mak yang sudah berada di dapur.
            “Sandwich. Nak bawa tak pergi sekolah?.”
“Kalau sandwich mesti la nak,” aku tersengih kepada mak.
            “Kenapa Koko tu?Dari semalam asyik gelisah je.”
“La..mak dengar juga ke?Entah..ingatkan dia dah jemu dalam bilik tu. Orang bagi la dia keluar. Kat luar pun buat ragam juga. Jangan-jangan dia sakit tak,” aku menyuarakan kebimbangan kepada mak.
            Aku melihat Koko yang masih berada di depan pintu bilik aku. Risau pula apabila mengenangkan perangainya semalam. Aku tidak menyangka pula mak boleh mendengar suaranya yang asyik mengiau semalam kerana aku fikir, mak dengan ayah serta adik-adik sudah pun tidur kerana sudah lewat.
            “Dah la. Pergi mandi. Biasa la tu. Agaknya dia pun bosan asyik dalam rumah. Tak sabar-sabar nak tunggu siang nak keluar bermain.”
“Ya ke?,” aku bertanya sangsi dengan jawapan mak. Aku melihat mak yang pantas memotong timun dan juga cili.
            “Ya la. Ingat haiwan pun tak tahu berkawan?Dia pun tahu rasa sunyi. Dah cerah nanti, mak bagi dia keluar. Bagi dia main-main dengan kucing Zila tu.”
Aku melangah masuk ke bilik air. Mungkin juga tekaan yang dibuat oleh mak tu betul. Koko yang selalu bermain-main dengan kucing Zila, kawan kepada adik Liza yang juga jiran sebelah rumah aku ni, mesti tak sabar-sabar untuk bertemu dengan kawannya yang bernama Che Teh tu.
            Selesai mandi aku melangkah masuk ke bilik untuk bersolat. Koko yang sudah berubah tempat, dari depan pintu bilik aku kini sudah berada di atas sofa. Bukan main lagi dia sedap-sedap tidur di situ.
            Aku tersenyum memandangnya. Sekurang-kurangnya dia tak lagi asyik mengiau seperti semalam. Aku harap jangkaan yang dibuat oleh mak adalah betul mengenai Koko. Biarpun aku hanya kutip dia daripada tepi jalan tapi aku sudah pun menyayanginya. Aku tak mahu dia sakit dan kemudian berlaku perkara yang tak pernah aku harapkan itu.
            Matanya yang juga berwarna kecoklatan seperti bulunya itu membuatkan aku sentiasa tenang setiap kali memeluknya. Suaranya yang seakan-akan turut berkomunikasi bersama aku apabila dijadikan teman membuatkan hidup aku tidak pernah sunyi. Biarpun ia hanyalah seekor kucing.
            Selesai menunaikan solat, aku melipat semula sejadah dan telekung.
“Apa yang tak kena ya pagi ni?,” aku cuba mengingati.
            “Jadual waktu..”
Aku menuju ke meja. Rasa-rasanya aku dah menyemak semalam buku-buku yang harus aku bawa ke sekolah pada pagi ni. Aku mencapai beg sekolah yang berada di kerusi.
            “Betul la dah ada,” aku tersenyum apabila memandang buku-buku teks dan buku nota yang dah terdapat di dalamnya. Kotak pensil Garfield kesayanganku juga turut berada di dalamnya. Aku mencapai sikat untuk menyisir rambut.
            Aku melihat katil yang sudah aku kemaskan selepas bangun tadi. Rasa seperti ada yang tak kena pada pagi ni tapi apa ya?
“Sudah la. Semua ok je,” aku meyedapkan hati sendiri.
            Sewaktu aku meletakkan kembali sikat di atas meja solek yang sederhana saiznya itu, aku sempat melihat glob salji yang berada di atas meja belajar.
“Itu dia!,” aku mengikat rambut sebelum mencapai glob tersebut. Inilah benda yang buatkan aku rasa seperti kekurangan sesuatu.
            Sekeping kertas yang berada di bawahnya, aku capai. Aku tersenyum sendiri apabila membaca semula apa yang aku tuliskan semalam.
“Ada hati nak masuk pertandingan. Entah-entah tak menang pun,” aku meletakkan semula kertas tersebut di atas meja.
            Aku merasa lucu sendiri apabila mengingatkan bagaimana bulan dan bintang yang cantik pada malam semalam memberikan aku ilham untuk menulis ayat-ayat yang tertera di atas kertas tersebut. Konon-konon nak dijadikan puisi!
            Selesai memakai tudung sekolah, aku menjeling kertas tersebut sekali lagi yang berada di atas meja.
“Mustahil!,” jantungku berdetak kencang.
            Aku duduk di birai katil untuk menenangkan diri sendiri. Aku menarik nafas perlahan-lahan.
“Katil?,” aku melihat kepada bantal. Kakiku yang menyentuh  permaidani mengalihkan pandangan mataku kepadanya.
            Ya, bukan glob itu yang membuatkan aku rasa tak kena. Aku dah mengingatinya. Semalam, aku yakin aku merebahkan diri di atas permaidani ni tapi pagi tadi, aku berada di atas katil. Sama seperti malam tempoh hari aku menyiapkan kerja rumah di meja tapi esoknya aku berada di katil.
            Buku-buku teks sekolah yang dimasukkan ke dalam beg juga bukan aku yang lakukannya. Aku yakin!Seratus peratus aku yakin kali ni kerana aku hanya tinggalkan buku-buku tersebut di atas meja belajarku. Kenapa “dia” begitu baik kepada aku?Sedangkan aku langsung tak mengenalinya. Kenapa “dia” melakukan semua ni?
Glob tu...
Aku melihat glob yang menindih sekeping kertas yang aku cuba rangkaikan sebuah puisi yang tak menjadi semalam. Aku bangun menuju semula ke meja untuk mencapai kertas tersebut.
            “Seandainya mereka berbicara!,” aku teringat suaranya yang membisikkan ayat tersebut semalam.

Kali ini aku tak bermimpi!

P/S: New entry cite ni khas untuk AQILAH yang request ;-) juga untuk mereka, kalau adalah yang dok baca cite ni. Tq!

5 comments:

  1. bila agaknya akak nak reveal siapa 'dia' tu?

    ReplyDelete
  2. Hehe..akan tiba masanya Miss Imaginative. tq sudi komen;-)

    ReplyDelete
  3. ada lagi tak sambungan dia..

    ReplyDelete
  4. Wadda, kejap lagi akak update;-) tq sudi singgah

    ReplyDelete
  5. Waaaaaaa.. best ! best !!!!!!!!!!!! Mana bab satu ya kak ?

    ReplyDelete

EH, EH..ADA ORANG NAK BAGI KITA KOMEN?YEAYYY!!!