10
“Nanti hujung minggu ayah dengan mak nak pergi ke rumah Mak Ngah kamu. Nak
ziarah anak sepupu kamu tu. Akak nak ikut tak?,” mak mengutarakan persoalan
yang tak aku harapkan.
Pertanyaan mak aku biarkan
tak berjawab. Kenapa la sekarang ni mak dengan ayah rajin pula nak menziarahi
Mak Ngah tu?Mesti la aku terpaksa tinggal seorang diri lagi. Kalau la tak
kerana perkara-perkara pelik yang sering terjadi, pastinya aku tak akan
mempunyai perasaan sebegini. Takut sudah semestinya!
“Ei!Akak ni dengar tak mak
tanya?,” mak mencuit tangan aku.
Aku terus menyuap nasi ke mulut. Apa ya nak jawab?Nak ikut tak?
“Dengar la....”
“Dah tu?Nak ikut tak?Sekali sekala jom la ikut. Boleh juga kenal-kenal
dengan saudara mara tu. Cucu Mak Ngah tu pun akak tak jenguk lagi.”
Aku masih lagi diam. Malas betul nak ikut mak dan ayah berkunjung ke
mana-mana. Hujung minggu macam tu saja la yang memberikan aku masa yang banyak
untuk menyempurnakan kerja rumah dan lebih-lebih lagi untuk berehat.
“Tengok la..,” aku
memandang mak. Ayah dan adik-adik hanya berdiam diri. Sekali sekala adik Liza
mengusik adik bongsuku, berebutkan lauk yang masih lagi ada di atas meja.
“Tengok?Nak tengok apa?,” mak masih tak berpuas hati.
“Em..kerja sekolah la.
Kalau tak banyak akak ikut tapi kalau banyak tak boleh la nak ikut,” aku
tersengih. Mak hanya menggelengkan kepala. Mesti dia sudah faham perangaiku
yang sebenar.
“Alasan la akak ni. Kalau
nak ikut boleh je. Bukannya kita nak duduk lama-lama.”
“Jadi, tak tidur la kat sana?,” aku kehairanan. Kebiasaannya mak, ayah dan
adik-adik mesti akan menghabiskan sekurang-kurangnya semalam di sana.
“Tidur la. Semalam. Macam biasa tapi bukannya lama pun kan?,” mak memandang
aku.
“Tengok la. Lagipun kan
akak pernah tidur sorang-sorang. Boleh juga kalau nak ajak Aisyah temankan. Mak
dengan ayah tak payah la risau.”
“Mak ayah dia tak kisah ke?,” ayah yang sedari tadi diam mula bersuara.
Sudah menjadi perangainya untuk kurang bercakap ketika makan.
“Dia cakap ok je. Asalkan
tak terlalu lewat la sebabnya kadang-kadang susah juga dia nak dapatkan bas
kalau dah lewat. Jadi, kalau nak ajak dia kena beritahu awal-awal la.”
Ayah menganggukkan kepala.
“Kalau akak tak balik, boleh tak adik pun tak mau ikut?,” adik bongsuku,
Hafiz yang berusia 5 tahun bertanya.
“Mana boleh!Hafiz kena
ikut mak,” adik Liza mencuit telinga Hafiz.
“Habis tu kenapa akak boleh tinggal sorang-sorang?,” Hafiz memandang mak.
“Sebab akak dah besar. Dah
boleh berdikari. Hafiz mana boleh lagi,” mak tersenyum dengan keletah adik
bongsuku itu.
“Lagipun akak dah boleh tidur sorang-sorang. Hafiz nak tidur sorang-sorang?,”
ayah mengusiknya.
“Tak mau, tak
mau!Takut!Ada hantu!,” dia menutup mukanya.
“Hafiz...jangan nak mengarut. Mana ada hantu. Dah, makan tu. Habiskan sayur
tu,” mak menyuap nasi ke dalam mulutnya. Selagi tidak kena tangan mak yang
menolong, selagi itulah juga nasi di dalam pinggannya tidak akan habis.
Hantu?Berdebar jantungku ketika mendengar jawapan adik
aku itu. Seolah-olah dia boleh nampak pula. Aku pernah terdengar yang
orang-orang tua pernah cakap, budak-budak ni selalunya boleh melihat
makhluk-makhluk halus ni, tapi betul ke?Sejauh mana kebenarannya tak pula aku
ketahui.
Koko yang menggesel-geselkan badannya di kaki aku
mengejutkan aku.
“Ya Allah!Koko!Buat orang terkejut je la dia ni.”
“Lapar la tu. Bagi dia
nasi dengan lauk tu,” ayah menunjukkan seekor ikan kembung goreng.
Aku tatap wajah adik Hafiz yang masih lagi menyuap nasi. Betul ke
budak-budak boleh nampak makhluk-makhluk halus ni?Kenapa mereka diberikan
keistimewaan ni?Pandanganku beralih kepada Koko yang masih berada di kakiku.
Haiwan juga dikatakan
boleh melihat dan merasai kehadiran benda-benda halus ni. Kalau saja Koko boleh
bercakap, nak aku bertanyakan kepada dia apa yang dia nampak di dalam rumah ni
kerana aku yakin benar bahawa ada sesuatu yang sering mengikutiku.
Mustahil aku boleh
bertanyakan kepada adik Hafiz. Tak pasal-pasal dia buka mulut kepada mak dan
ayah, pasti mereka akan fikirkan yang bukan-bukan pula pasal aku. Lebih teruk
lagi kalau mereka akan menjadi risau dan menganggap aku dah tak betul!
“Nah!Makan ni sampai kenyang,” aku mengusap-usap kepala Koko yang masih
setia menunggu makanannya daripada aku, seperti setiap malam.
Selesai memberi makanan
kepada Koko, aku menuju ke sinki untuk membasuh pinggan. Persoalan mak
membuatkan aku terfikir. Kalau asyik duduk kat rumah ni mesti akan membuatkan
aku terus berfikir, seperti kata Aisyah. Agaknya kalau aku ikut mak dengan
ayah, “benda” tu akan berhenti daripada kacau aku?
“Kerja sekolah dah buat?,” suara mak mengganggu apa yang sedang aku
fikirkan.
“Tak. Nak buat lepas makan
la ni,” aku meletakkan pinggan pun sudah dibasuh di rak.
“Nak air teh ke?Kalau nak mak boleh buatkan lepas ni sekali dengan air kopi
ayah ni.”
“Tak payah mak. Kalau nak
orang buat sendiri la,” aku berlalu ke bilik.
Aku memerhatikan Koko yang sedang menjilat-jilat bulu dan kakinya.
“Dah kenyang?Jom kita
masuk bilik!,” aku mengambilnya untuk di bawa bersama ke dalam bilik.
“Malam ni temankan orang buat kerja rumah tau. Duduk sini diam-diam,” aku
meletakkan Koko di atas katil. Kemudian, aku menuju ke meja belajar untuk
mencapai glob salji yang kadang-kadang turut dijadikan sebagai penindih kertas
selain hiasan di meja tersebut.
“Nah!Ambik ni. Main yang
ni,” aku menggoncangkan beberapa kali sebelum meletakkannya di depan Koko. Dia
yang sememangnya berminat dengan glob itu mengais-ngais dengan kakinya. Aku
tersenyum melihat keletahnya.
Koko yang aku jumpa
sewaktu balik sekolah hampir 2 tahun yang lalu sememangnya tidak banyak ragam.
Makannya juga senang dijaga. Hanya nasi dan berlaukkan ikan goreng.
Kadang-kadang aku turut memberikannya ikan bilis goreng. Malah sayur kangkung
juga turut dimakannya. Pendek kata, apa yang aku makan, itu juga yang akan
dimakannya.
Aku mendapatkan beg
sekolah untuk mengeluarkan buku graf.
“Malam ni orang kena buat Matematik. Banyak lagi nak kena lukis. Nampak
tak?,” aku menayangkan buku graf itu di hadapan Koko. Biarpun aku tahu yang dia
tak faham tapi aku selesa untuk berbual-bual dengannya.
“Meow,” suara Koko yang sentiasa memberikan tindak balas kepadaku
membuatkan aku merasa tak jemu untuk terus berkomunikasi dengannya.
“Main tu. Orang nak buat
ni,” aku menggoncangkan kembali glob salji itu setelah mencapai sebiji bantal
untuk dijadikan alas.
Aku meniarap di atas permaidani setelah membuka buku teks Matematik. Pensel
yang dah di asah di sekolah memudahkan kerjaku.
Sekali sekala aku
menjeling kepada Koko yang terus bermain-main dengan glob salji itu. Glob yang
dikais-kais dengan kakinya bergolek-golek di atas tilam.
“Baik-baik Koko. Jangan bagi jatuh kat bawah sudah. Nanti pecah,” aku
meneruskan kerja rumah.
“Meow, meow,” Koko mengiau
seakan-akan memahami.
Aku melihat beberapa ogif yang sudah siap dilukis.
“Sikit je lagi tinggal,” aku meneruskan kembali melukis setelah beberapa
titik aku tandakan di atas kertas graf.
Aku terhibur melihat
gelagat Koko yang bermain sendirian dengan glob salji tu. Aku melihat jam yang
hampir ke pukul 11.30 malam.
“3 je lagi Koko. Lepas tu dah habis.”
Aku bangun untuk melihat
jadual waktu yang terdapat di meja. Aku mengeluarkan buku-buku teks yang berada
di dalam beg sekolah.
“Semua ni nak kena susun. Yang mana nak ke bawa, yang mana nak kena
tinggalkan kat rumah. Dengar tak ni Koko?,” aku menoleh ke belakang. Koko yang
masih bermain-main di atas katil tidak menghiraukan pertanyaanku.
Aku mencapai buku teks
Biologi dan Bahasa Inggeris. Buku teks Bahasa Melayu pula aku letakkan di atas
meja.
“Yang ni nak kena bawa. Nampak?,” aku menunjukkan kepada Koko yang
memerhati aku.
“La..dah tak main ke?,”
Koko yang diam tiba-tiba membuatkan aku kehairanan. Kalau tadi bukan main lagi
dia sibuk mengejar glob salji tu yang tergolek ke sana sini di atas katil.
“Bosan ya?,” aku
mengusap-usap badannya setelah glob yang aku goncangkan tu tidak berjaya juga
untuk menarik semula perhatiannya. Aku menuju ke tingkap.
“Koko, cantik bulan malam ni. Bintang pun banyak,” aku tersenyum memandang
langit yang begitu indah ciptaan Yang Maha Berkuasa.
“Meow, meow, meow,” suara
Koko mengalihkan pandanganku kepadanya.
“Kenapa ni?Nak tengok bulan juga ke?,” aku pergi kepadanya. Aku mengangkat
Koko yang berada di atas katil.
“Tu..cantik kan?,” aku
mengusap-usap kepala Koko yang berada di pangkuanku.
“Meow, meow,” Koko melompat dari pangkuanku.
“Kenapa ni Koko?,” aku
terkejut apabila Koko tiba-tiba melompat begitu. Aku melihat Koko yang juga
turut memerhatikan aku.
“Sini,” aku pergi untuk mendapatkannya kembali. Koko berjalan menuju ke
pintu bilik aku. Di situ, dia berlegar-legar beberapa kali.
“O..nak keluar ya?Dah
bosan ya temankan orang?,” aku mengangkatnya kembali. Suaranya yang tidak
berhenti mengiau menandakan kegelisahannya. Aku membuka pintu bilik. Koko yang
berada di dalam pelukanku terus melompat turun ke lantai.
“Kenapa ni Koko?,” aku
melihatnya yang masih memandang aku.
Koko masih lagi tidak berhenti mengiau.
“Sshh!Diam la. Semua orang
dah tidur tau. Nak apa ni?,” aku mengusap-usap badannya.
“Nak susu ya?Jom, kita pergi dapur,” aku mengatur langkah menuju ke dapur.
Jam di dinding yang mengalunkan irama pada setiap jam sebelum berdenting,
mematikan langkahku.
“Dah pukul 12. Jom la Koko,”
aku memandangnya yang tidak berganjak dari depan pintu bilikku. Suaranya masih
lagi mengiau seperti di dalam bilik tadi.
“Tadi nak keluar. Nak masuk balik ke?,” aku mendapatkan Koko semula.
Aku melihat kain langsir di
dalam bilik yang diterjah angin malam yang lembut bertiup.
“Kenapa ni Koko?,” aku melihatnya yang masih setia di duduk situ. Suaranya
yang dari tadi asyik mengiau tidak lagi kedengaran.
“Nak susu ke Koko?,” aku
menjadi hairan dengan sikapnya. Entah-entah dia sakit tak?
“Meow, meow,” suaranya berubah menjadi manja semula. Tenang dan tidak lagi
kegelisahan seperti tadi. Dia menggesel-geselkan badannya di tanganku.
“Kenapa ni?Nak tidur ya,”
aku melihat gelagatnya yang merebahkan badannya ke lantai. Matanya juga
ditutupkan.
“Nakal ya malam-malam ni,” aku mengusap kembali kepalanya. Aku melihatnya
yang sudah kembali tenang. Agaknya Koko penat bermain dengan glob tadi sewaktu
berada di dalam bilik.
Aku melangkah ke bilik
semula. Kain langsir yang diterbangkan angin tadi, aku singkap semula. Bulan
dan bintang yang sememangnya begitu cantik sentiasa membuatkan aku terpaku di
jendela hampir setiap malam. Aku tersenyum apabila mengenangkan keletah Koko
yang bermain dengan glob salji itu tadi.
“Macam-macam Koko ni,” aku menuju ke meja untuk mengeluarkan kertas kosong
daripada laci.
“Nak tulis apa ni,” aku
meniarap semula di permaidani. Aku mencapai pen daripada “perut” Garfield.
Sesekali aku menjeling di luar tingkap, melihat bulan yang cantik bersinar,
biarpun bukan bulan purnama.
Sebagai seorang insan
Aku selalu berfikir akan kejadian
Ciptaan Dia seperti keajaiban
Selalu membuatkan aku berasa hairan…
Aku sering tertanya-tanya
Apa yang mungkin akan terjadi
Seandainya mereka berbicara
Mungkin aku lebih menginsafi
Seandainya bulan berbicara....
“Em…ok ke ni?,” aku melihat apa yang aku tulis. Teringin
pula aku nak sertai Pertandingan Menulis yang akan dianjurkan oleh Persatuan
Bahasa Sastera dan Budaya nanti.
“Nanti-nanti la fikir isinya. Nak letak tajuk apa ya,” aku melepaskan pen
di tangan.
Mata yang hampir layu, aku
pejamkan. Angin yang kadang-kadang berhembus lembut menambahkan ngantuk yang
ada. Ditambah dengan penat yang dirasai setelah selesai membuat kerja rumah
Matematik tadi.
“Seandainya mereka berbicara,” suara itu menusuk masuk ke pendengaranku.
“Dia”kah yang berbisik
itu?
*****************************************************************
Jam loceng yang berbunyi
mengejutkan aku. Pantas aku mencapai jam yang berada di sebelah bantalku untuk
menghentikannya.
Aku bangun sambil mengeliat beberapa kali. Aku bangun mencapai tuala untuk
keluar menuju ke bilik air.
“Meow, meow,” aku terkejut sebaik membuka pintu. Koko yang berada di depan
pintu datang menggesel-geselkan badannya ke kaki aku.
“Kenapa ni?Orang nak kena
pergi sekolah la,” aku mengusap-usap kepalanya sebelum berlalu ke bilik air.
“Nak masuk bilik ya?,” aku membuka semula pintu bilik yang telah ditutup.
Suara Koko yang mengiau berhenti.
“Kenapa ni?Tak nak masuk
pulak?,” aku menutup semula pintu bilik. Langkah diatur menuju ke bilik air.
Kalau nak dilayankan karenah Koko ni, mesti lewat aku akan ke sekolah.
“Mak buat apa tu?,” aku menyapa mak yang sudah berada di dapur.
“Sandwich. Nak bawa tak
pergi sekolah?.”
“Kalau sandwich mesti la nak,” aku tersengih kepada mak.
“Kenapa Koko tu?Dari
semalam asyik gelisah je.”
“La..mak dengar juga ke?Entah..ingatkan dia dah jemu dalam bilik tu. Orang
bagi la dia keluar. Kat luar pun buat ragam juga. Jangan-jangan dia sakit tak,”
aku menyuarakan kebimbangan kepada mak.
Aku melihat Koko yang
masih berada di depan pintu bilik aku. Risau pula apabila mengenangkan
perangainya semalam. Aku tidak menyangka pula mak boleh mendengar suaranya yang
asyik mengiau semalam kerana aku fikir, mak dengan ayah serta adik-adik sudah
pun tidur kerana sudah lewat.
“Dah la. Pergi mandi.
Biasa la tu. Agaknya dia pun bosan asyik dalam rumah. Tak sabar-sabar nak
tunggu siang nak keluar bermain.”
“Ya ke?,” aku bertanya sangsi dengan jawapan mak. Aku melihat mak yang
pantas memotong timun dan juga cili.
“Ya la. Ingat haiwan pun
tak tahu berkawan?Dia pun tahu rasa sunyi. Dah cerah nanti, mak bagi dia
keluar. Bagi dia main-main dengan kucing Zila tu.”
Aku melangah masuk ke bilik air. Mungkin juga tekaan yang dibuat oleh mak
tu betul. Koko yang selalu bermain-main dengan kucing Zila, kawan kepada adik
Liza yang juga jiran sebelah rumah aku ni, mesti tak sabar-sabar untuk bertemu
dengan kawannya yang bernama Che Teh tu.
Selesai mandi aku
melangkah masuk ke bilik untuk bersolat. Koko yang sudah berubah tempat, dari
depan pintu bilik aku kini sudah berada di atas sofa. Bukan main lagi dia
sedap-sedap tidur di situ.
Aku tersenyum
memandangnya. Sekurang-kurangnya dia tak lagi asyik mengiau seperti semalam.
Aku harap jangkaan yang dibuat oleh mak adalah betul mengenai Koko. Biarpun aku
hanya kutip dia daripada tepi jalan tapi aku sudah pun menyayanginya. Aku tak
mahu dia sakit dan kemudian berlaku perkara yang tak pernah aku harapkan itu.
Matanya yang juga berwarna
kecoklatan seperti bulunya itu membuatkan aku sentiasa tenang setiap kali
memeluknya. Suaranya yang seakan-akan turut berkomunikasi bersama aku apabila
dijadikan teman membuatkan hidup aku tidak pernah sunyi. Biarpun ia hanyalah
seekor kucing.
Selesai menunaikan solat,
aku melipat semula sejadah dan telekung.
“Apa yang tak kena ya pagi ni?,” aku cuba mengingati.
“Jadual waktu..”
Aku menuju ke meja. Rasa-rasanya aku dah menyemak semalam buku-buku yang
harus aku bawa ke sekolah pada pagi ni. Aku mencapai beg sekolah yang berada di
kerusi.
“Betul la dah ada,” aku
tersenyum apabila memandang buku-buku teks dan buku nota yang dah terdapat di
dalamnya. Kotak pensil Garfield kesayanganku juga turut berada di dalamnya. Aku
mencapai sikat untuk menyisir rambut.
Aku melihat katil yang
sudah aku kemaskan selepas bangun tadi. Rasa seperti ada yang tak kena pada
pagi ni tapi apa ya?
“Sudah la. Semua ok je,” aku meyedapkan hati sendiri.
Sewaktu aku meletakkan
kembali sikat di atas meja solek yang sederhana saiznya itu, aku sempat melihat
glob salji yang berada di atas meja belajar.
“Itu dia!,” aku mengikat rambut sebelum mencapai glob tersebut. Inilah
benda yang buatkan aku rasa seperti kekurangan sesuatu.
Sekeping kertas yang
berada di bawahnya, aku capai. Aku tersenyum sendiri apabila membaca semula apa
yang aku tuliskan semalam.
“Ada hati nak masuk pertandingan. Entah-entah tak menang pun,” aku
meletakkan semula kertas tersebut di atas meja.
Aku merasa lucu sendiri
apabila mengingatkan bagaimana bulan dan bintang yang cantik pada malam semalam
memberikan aku ilham untuk menulis ayat-ayat yang tertera di atas kertas
tersebut. Konon-konon nak dijadikan puisi!
Selesai memakai tudung
sekolah, aku menjeling kertas tersebut sekali lagi yang berada di atas meja.
“Mustahil!,” jantungku berdetak kencang.
Aku duduk di birai katil
untuk menenangkan diri sendiri. Aku menarik nafas perlahan-lahan.
“Katil?,” aku melihat kepada bantal. Kakiku yang menyentuh permaidani mengalihkan pandangan mataku
kepadanya.
Ya, bukan glob itu yang
membuatkan aku rasa tak kena. Aku dah mengingatinya. Semalam, aku yakin aku
merebahkan diri di atas permaidani ni tapi pagi tadi, aku berada di atas katil.
Sama seperti malam tempoh hari aku menyiapkan kerja rumah di meja tapi esoknya
aku berada di katil.
Buku-buku teks sekolah
yang dimasukkan ke dalam beg juga bukan aku yang lakukannya. Aku yakin!Seratus
peratus aku yakin kali ni kerana aku hanya tinggalkan buku-buku tersebut di
atas meja belajarku. Kenapa “dia” begitu baik kepada aku?Sedangkan aku langsung
tak mengenalinya. Kenapa “dia” melakukan semua ni?
Glob tu...
Aku melihat glob yang menindih sekeping kertas yang aku cuba rangkaikan
sebuah puisi yang tak menjadi semalam. Aku bangun menuju semula ke meja untuk
mencapai kertas tersebut.
“Seandainya mereka
berbicara!,” aku teringat suaranya yang membisikkan ayat tersebut semalam.
Kali ini aku tak bermimpi!
P/S: New entry cite ni khas untuk AQILAH yang request ;-) juga untuk mereka, kalau adalah yang dok baca cite ni. Tq!
bila agaknya akak nak reveal siapa 'dia' tu?
ReplyDeleteHehe..akan tiba masanya Miss Imaginative. tq sudi komen;-)
ReplyDeleteada lagi tak sambungan dia..
ReplyDeleteWadda, kejap lagi akak update;-) tq sudi singgah
ReplyDeleteWaaaaaaa.. best ! best !!!!!!!!!!!! Mana bab satu ya kak ?
ReplyDelete