Friday 20 November 2015

MY MR. GENTLEMAN BAB 2



Pagi itu, Alisya yang baru sahaja memakirkan keretanya di tempat parkir itu mula mencapai beg tangan yang berada di tempat duduk di sisi kirinya. Tangannya mula menggagau satu bekas bedak kompak Mac yang disimpan di dalam beg Chanel itu.
            Wajah yang terbias di dalam cermin mula diteliti. Lipstik yang menyaluti bibir juga turut diperiksa kalau-kalau adanya sisa comot yang hanya akan merosakkan solekan di wajahnya. Bibir Alisya mula menguntumkan senyuman apabila berpuas hati dengan wajahnya. Kaki melangkah keluar dari kereta kesayangan Maruti Suzuki Ciaz yang berwarna merah itu.
            Alisya mula menghala ke arah lobi bangunan. Pagi ini, dia ingin melihat sendiri koleksi busana milik butiknya yang akan diperagakan oleh model-model tempatan untuk sesi fotografi. Dia menaja segala kos yang diperlukan untuk sesi fotografi  itu dan sebagai balasan, koleksi-koleksinya akan dipaparkan di dalam majalah Pretty sebanyak lapan muka surat. Secara tidak langsung, dia sudah beroleh promosi untuk koleksinya di situ.
            Kaki terus melangkah menuju ke arah lif. Studio penggambaran majalah itu terletak di aras tujuh. Sesekali, Alisya memperbetulkan rambutnya yang sudah didandan rapi itu. Melihatkan pintu sebuah lif yang terbuka, dia mula berlari-lari anak sebelum terlambat. Baru sahaja hendak melangkah masuk, terasa bahunya dirempuh oleh seseorang dari arah belakang.
            “Hey! Tak nampak ke hah?!”
            Alisya menjerit geram. Hampir terjatuh tubuhnya tadi kalau tidak ada sepasang tangan yang pantas menyambut.
            “Are you okay?” suara lelaki kedengaran.
            “Maafkan saya cik.. err.. saya takut terlepas lif ni tadi.” Suara perempuan pula menyapa pendengaran.
            Bersilih ganti kata-kata itu menusuk ke pendengaran Alisya. Lelaki yang menyambutnya tadi membantunya untuk  berdiri semula.
            “Are you okay?” sekali lagi Luth Zafir melepaskan soalan.
            Alisya yang memperbetulkan tali beg Chanel yang tersangkut di bahunya tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.
            “Ya, I’m fine. Terima kasih,” balas Alisya. Sempat matanya menjeling semula ke arah seorang perempuan yang berdiri di dalam lif itu. Perempuan yang melanggarnya tadi.
            “Err... maaf,” tutur Julia sekali lagi. Bibirnya diketap menahan malu yang semakin menebal. Sudahlah terlanggar perempuan yang sedang merenungnya sekarang bagaikan singa yang sudah bersedia hendak menerkam pada bila-bila masa itu, lebih malang di hadapan Encik Luth pula! Malunya berganda-ganda.
            Pintu lif yang sempat ditahan oleh Luth Zafir tadi mulai tertutup. Alisya menekan butang yang tertera nombor tujuh. Julia pula menekan butang yang tertera nombor empat belas. Hanya mereka bertiga yang berada di dalam perut lif. Alisya yang berdiri di tengah-tengah menjeling lagi ke arah perempuan yang berdiri di sisi kanannya itu. Penampilan gadis itu dilirik sekali lalu.
            Julia yang sedar dirinya diperhati mula memberikan senyuman. Alisya tidak mengendahkan sebaliknya matanya menjeling tajam sebelum memandang semula ke depan. Sempat matanya menjeling nombor aras yang tertera. Baru berada di aras tiga. Masih ada lagi peluang untuk berkenalan dengan lelaki yang membantunya tadi.
            Alisya menoleh ke arah lelaki yang berdiri di sisi kirinya.
            “Terima kasih sebab tolong I tadi.”
            “My pleasure,” balas Luth Zafir sambil menganggukkan kepalanya sedikit.
            “By the way, my name is Alisya,” ucap Alisya sambil tersenyum. Tangan kanannya dihulurkan ke arah Luth Zafir.
            Luth Zafir memerhati. Susuk gadis di sisinya dikerling sekali lalu atas dan bawah. Sekali lagi dia menganggukkan kepalanya apabila matanya memandang tepat kepada gadis itu.
            “Luth Zafir.”
            Alisya yang mengerti menarik semula tangannya. Oh! Dia tak nak salamlah?
            Julia yang memerhati mula menahan tawa. Padan muka! Dahlah berlagak. Encik Luth pun tak nak salam dengan kau. Kata-kata yang hendak dilemparkan hanya bergema di dalam hatinya sahaja. Mata Julia mula mencuri pandang ke arah bosnya. Rambutnya disisir rapi seperti selalu. Kemas dengan sut Giorgio Amani jenama kegemarannya. Hari ini, sutnya berwarna kelabu.
            Lif kembali sepi. Alisya mengerling ke arah nombor aras yang tertera. Sudah berada di aras lima. Tangannya mula menggagau sesuatu di dalam ruang poket beg tangannya. Jumpa! Bibirnya tersungging senyum. Lelaki yang berada di sisinya ini ada auranya yang tersendiri. Terasa dirinya bagaikan dicabar apabila tangannya tidak bersambut tadi.
            Tiba di aras tujuh, pintu lif terbuka. Alisya berpaling ke arah Luth Zafir sambil menghulurkan sekeping kad yang diambil daripada beg tangannya tadi.
            “Kad I..” meleret suara Alisya yang tersenyum terus.
            Julia yang memerhati mula mencebik. Kad konon! Cakap ajelah yang kau nak kan nombor bos aku tu, huh!
            Luth Zafir menghela nafas. Kad sudah dihulur. Takkanlah hendak ditolak? Kalau diambil, seharusnya ada balasan pula. Tangannya mula meraba kocek kot. Mujur ada dua keping yang tersimpan di situ. Sekeping ditarik keluar dan dihulurkan kepada gadis yang bernama Alisya itu. Dua keping kad masing-masing bertukar tangan.
            “Thanks!” sahut Alisya girang. Berjaya! Bukannya susah sangat pun. Kalau setakat tahu nama saja, nak buat apakan? Kaki mula melangkah keluar. Sebelum pintu lif tertutup sepenuhnya, sempat dia menoleh ke belakang dan menghadiahkan senyuman yang paling manis buat lelaki yang berekspresi serius itu.
Alisya tersenyum terus biarpun pintu lif sudah tertutup dan membawa pergi kedua orang itu. Sempat dia terfikir sambil kaki melangkah perlahan menuju ke studio. Kalaulah dia tahu yang dia akan terserempak dengan lelaki kacak pada hari ini, tak payah dia nak berdandan bagai rambutnya yang hampir mencecah pinggang. Diluruskan dan sapu pelembap sikit. Bolehlah dia flip tadi sewaktu berpaling. Biar ada kesan yang dapat ditinggalkan untuk lelaki yang bernama Luth Zafir.
Julia yang memerhati ke arah bosnya dan gadis tadi mula mengetap bibir. Pandai perempuan berlagak itu mengatur ‘permainannya’. Ah! Nombor bosnya bukankah dia sendiri pun sudah tahu? Ke Encik Luth ada nombor lain? Satu untuk urusan kerja dan satu lagi untuk urusan peribadi. Nombor mana yang diberikan kepada perempuan berlagak tadi?
            “Julia, awak okey?”
Belum pun habis memikir, kedengaran suara Luth Zafir.
“Huh?”
“Saya tanya, awak okey ke? Kalut semacam pagi ni sampai orang pun awak langgar. Mujur seorang, kalau ramai tadi?”
“Urm.. ya..” Julia hilang kata-kata. Tidak tahu apa yang harus dituturkannya pada saat ini.
Lif terus membawa mereka ke aras empat belas. Sebaik pintu terbuka, Luth Zafir terus melangkah keluar. Julia mengikut dari belakang. Bibirnya dirasakan susah pula hendak dikawal. Asyik tersenyum sejak mendengar soalan dari bosnya tadi. Tak sangka. Dia betul-betul tak sangka yang Encik Luth Zafir mengambil berat akan dirinya.
Beberapa tapak melangkah, Luth Zafir berhenti. Dipandangnya Julia yang berada di belakang. Pembantunya itu terpempan sejenak.
Are you sure you okay?”
Julia mula merasakan kakinya bagaikan tidak mencecah lantai kini. Kenapa Encik Luth begitu prihatin? Kenapa Encik Luth begitu mengambil berat akan dirinya? Sungguh tak sangka. Di sebalik ekspresi wajah yang senantiasa serius itu, terselit sifat penyayang buat dirinya. Penyambut tetamu yang tidak seberapa ini. Ya, saya okey sayang. Eh! Encik Luth.
“Julia!”
Luth Zafir menguatkan suaranya apabila melihat pekerjanya itu kaku dan tidak memberikan respons.
“Ya, ya! Saya okey encik,” sahut Julia gelabah.
Sepasang mata Luth Zafir melirik susuk gadis itu atas bawah sekali lalu. Ya, dia nampak okey. Lagipun, apa yang kau nak bimbangkan Luth? Yang nak terjatuh tadi, perempuan yang bernama er.. apa ya nama perempuan itu? Ah! Tak penting. Bukannya si Julia ini yang nak terjatuh jadi mestilah dia tak apa-apa kan?
“Saya..” Julia mula hendak mengatur ayat. Ingat perempuan berlagak itu saja yang tahu hendak mengayat? Dia pun nak cuba!
            “Baguslah yang awak tak apa-apa. Don’t forget to bring a cup of coffee to my office then,” tutur Luth Zafran seraya menolak pintu kaca pejabat Perkasa Sdn. Bhd lalu melangkah terus. Sudahlah semalam, kopinya pun lambat dibancuh.
Julia ternganga. Patutlah... patutlah Encik Luth tanya dia okey ke tak. Rupa-rupanya hanya kerana secawan kopi yang memang menjadi rutin kerjanya. Sama seperti semalam apabila bosnya itu meminta kopi melalui interkom. Isk, isk! Baru nak perasan yang lelaki itu mengambil berat akan dirinya. Punah harapan!