Sunday 16 September 2018

JANJIKAN AKU BAHAGIA 1



Bab 1
            Pagi itu seperti biasa Nadira lincah bekerja di ceruk dapur seperti rutin hari-harinya yang lain. Barang-barang keperluan untuk berniaga sudah disediakan sejak awal pagi tadi sesudah subuh. Hanya menanti waktu untuk dibawa ke tempat yang sepatutnya. Satu bekas yang mengandungi sambal ikan bilis diambil bersama-sama dengan satu bekas lagi yang mengandungi kuih-muih. Langkah diatur dengan cermat meninggalkan ruangan dapur untuk menuju ke pintu utama rumah sambil membawa bekas-bekas tersebut.
            “Dah nak keluar, Dira?”
            Satu suara serak yang menegur menghentikan langkah Nadira berhampiran di ruang tamu. Kelihatan susuk emaknya yang sedang duduk berehat di sebuah kerusi rotan yang sudah usang di sudut ruang tamu itu.
            “Ya, mak. Semua dah siap,” balas Nadira sambil tersenyum.
            Puan Suhaimah yang sedang duduk itu mengangguk-anggukkan kepala. Nafas diambil dalam-dalam sebelum kembali bersuara.
            “Mak tak dapat temankan Dira hari ni. Mak...”
            “Mak, tak apalah. Lagipun, bukannya jauh pun. Depan tu aje, kan? Nanti bila mak dah sihat, mak temanlah Dira balik macam selalu tu.” Nadira memintas kata-kata emaknya. Segaris senyuman tetap meniti di ulas bibirnya.
            “Yalah. Elok-elok jalan tu, ya?” Puan Suhaimah menitipkan pesanan kepada anaknya. Hanya sepasang matanya yang mengekori langkah Nadira sehingga hilang daripada pandangannya. Dari tempat duduknya, dia menjengah ke luar tingkap memandang ke arah gerai kecil yang terletak di depan rumah mereka. Kelihatan payung jualan sederhana besar itu sudah dibuka oleh anaknya untuk menghadang cahaya matahari yang bakal menjengah sebentar lagi.
             Tidak lama kemudian, kelihatan susuk Nadira muncul semula di dalam rumah. Langkahnya terus diatur menuju ke dapur untuk mengambil barang-barang yang lain. Puan Suhaimah hanya mampu memerhati. Kalau hendak ditolong pun, sudah pasti akan ditegah oleh Nadira yang berkeras inginkan dia berehat sehingga demamnya kebah.
            Tiga kali berulang-alik dari dapur rumah ke gerai jualannya untuk mengangkut barang-barang, Nadira sudah bersedia untuk menjual nasi lemak dan kuih-muihnya. Puan Suhaimah memerhati dari tempat duduknya. Tipu kalau hati ibunya tidak tersentuh melihat keadaan

anaknya begitu. Bangun seawal 4.00 pagi untuk menyediakan nasi lemak dan kuih-muih yang ingin dijual, tapi sedikit pun anaknya tidak pernah merungut dengan apa yang sedang dihadapinya sekarang.
            “Kasihan anak, mak...” gumam Puan Suhaimah yang dilanda emosi apabila melihat susuk Nadira di gerai jualan. Kelihatan beberapa orang pelajar sekolah menengah sedang membeli di gerai anaknya itu. Puan Suhaimah tersenyum mengenangkan rezeki yang diterima Nadira pada hari ini.
            Lebih dari satu jam berdiri melayan kerenah pelanggan-pelanggannya, Nadira melabuhkan duduk di sebuah kerusi plastik untuk melepaskan lelah. Tudung yang dirasakan senget dibetulkan. Saat mengerling ke arah bekas yang mengandungi kuih-muih dan nasi lemaknya, ulas bibirnya tersenyum. Kuih-muihnya hanya berbaki separuh. Nasi lemaknya hanya tinggal sedikit saja lagi untuk dihabiskan. Syukur masih ada rezekinya pada hari ini. Rata-rata yang datang membeli daripadanya terdiri daripada orang kampung ini juga. Selalunya para pelajar yang hendak ke sekolah dan mereka yang hendak keluar pergi bekerja. Begitulah kebiasaaannya.
             Nadira membelek telefon bimbitnya. Skrin telefon Samsung Galaxy W yang digunakan sejak dia bergelar pelajar itu, disentuh dengan rasa tidak sabar. Segaris harapan yang muncul tadi, kalau-kalau adanya mesej yang diterima daripada orang yang diharapkannya terus menghilang apabila melihat hanya ada satu pesanan ringkas SMS yang dikirimkan oleh Suraya, kawan baiknya.
            “Dia sibuk agaknya?” gumam Nadira sendirian. Jari-jemarinya terus lincah menekan di skrin untuk menaip mesej membalas SMS yang dikirimkan oleh Suraya. Kemudian, satu lagi pesanan ringkas ditaip dengan pelbagai soalan dalam fikiran. Harapnya mesej yang bakal dikirimkan pada si dia itu akan mendapat balasannya nanti.
            Sebuah kereta Toyota Camry berwarna hitam yang baru berhenti betul-betul di depan gerainya menarik pandangan mata Nadira. Dia memerhati siapa gerangannya yang bakal menjengah keluar dari kereta itu. Jarang orang-orang yang membeli daripadanya datang dengan menaiki kereta mewah sebegitu.
            Melihatkan pintu di bahagian tempat duduk pemandu dibuka, Nadira segera berdiri untuk bersedia melayan pelanggannya. Sempat, jarinya menyentuh di skrin telefon untuk menghantar mesej ringkas yang ditaip tadi untuk dikirimkan.
            “Assalamualaikum.”
            “Waalaikumussalam. Abang Rafiq... saya ingatkan siapa tadi,” balas Nadira sambil menguntumkan senyuman saat melihat susuk yang sedang menghala ke arah gerainya.
            “Kenapa? Dira ada tunggu siapa-siapa ke?” soal Rafiq.
            “Taklah. Saya nak tunggu siapa pagi-pagi macam ni. Abang nak kuih ke nasi lemak?” Nadira mencapai satu beg plastik apabila melihat Rafiq yang sedang memilih kuih-muih. Beg plastik itu dihulurkan kepada Rafiq untuk memasukkan kuih yang dipilih.
            “Nasi lemak ada lagi ke?” soal Rafiq sambil menjengah ke dalam periuk yang sederhana besar itu.
            “Ada sikit aje lagi. Kenapa beli banyak hari ni? Selalu tu bila abang balik bercuti hujung minggu macam ni, abang beli sikit aje.” Nadira melepaskan soalan apabila melihat sebahagian kuih-muihnya tadi hampir habis dimasukkan oleh Rafiq ke dalam beg plastik yang diberikannya tadi.
            “Abang...”
            “Fiq! Cepatlah!” Suara yang kedengaran mematikan kata-kata Rafiq yang baru ingin diluahkan. Kedua-dua mereka mengerling ke arah kereta. Kelihatan raut wajah seorang lelaki di sebalik cermin tingkap kereta yang baru diturunkan.
            “Isy! Sabarlah, boleh tak?” balas Rafiq.
            “Siapa tu?” tegur Nadira separuh berbisik.
            “Kawan abang merangkap bos. Kali ni abang balik dengan dia sebab tu beli lebih sikit. Bagilah semua nasi yang ada tu. Cepat sikit, ya Dira? Kang mengamuk pula si singa dalam kereta tu,” ujar Rafiq.
            Nadira melepaskan tawa apabila mendengarkan kata-kata Rafiq. Tangannya terus lincah membungkus nasi lemak yang masih berbaki.
            “Berapa bungkus yang dapat Dira?” tegur Rafiq sambil mengerling ke arah nasi lemak yang sedang dibungkus oleh Nadira.
            “Tiga aje. Boleh? Ni yang terakhir,” jawab Nadira sambil menunjuk ke arah nasi lemak yang baru hendak dibungkus.
            “Emm... okeylah daripada tak ada. Kenapa Dira masak sikit hari ni? Ke selalu memang waktu-waktu macam ni dah habis?” Rafiq terus menyoal.
            “Dira masak kurang sikit daripada selalu tu sebab mak tak sihat dua tiga hari ni,” terang Nadira.
            Bunyi pintu kereta yang dihempas menarik pandangan mata Nadira dan Rafiq yang sedang berbual. Kelihata susuk seorang lelaki dengan wajah yang kelat menapak ke arah gerai jualan itu sebaik melangkah keluar dari kereta.
            “Lambatnya!” Lelaki itu memandang Nadira dan Rafiq bersilih-ganti dengan pandangan yang tidak berpuas hati.
            “Kau ni, sabarlah...” Rafiq sudah menjegilkan mata tanda protes dengan tingkah kawannya itu. Baru saja dia hendak bertanya tadi mengenai emak Nadira.
            “Maaf. Dah siap dah,” balas Nadira. Ketiga-tiga bungkus nasi lemak yang siap dibungkus tadi dimasukkan ke dalam beg plastik.
            Lelaki tadi melepaskan jelingan. Beg plastik yang sedang dipegang Rafiq diambil. Kelihatan beberapa kuih-muih berada di dalam beg plastik itu. Sebiji donat diambil lalu terus digigit. Rafiq menggelengkan kepala apabila melihat tingkah kawannya itu.
            “Apa, apa? Lambat sangat tunggu kau. Kau beli nasi lemak ke masak nasi lemak?” balas lelaki itu masih dengan nada tidak berpuas hati.
            “Dira, tadi Dira cakap mak tak sihat. Kenapa? Dia sakit apa? Teruk ke?” Rafiq melepaskan soalan tidak bertangguh.
            “Eh! Taklah. Dia demam aje, tapi biasalah kan orang-orang tua ni. Kadang-kadang tu, susah nak kebah. Tu yang Dira risau,” ujar Nadira.
            “Aku tunggu kau dalam keretalah.” Lelaki tadi bersuara mencelah perbualan Nadira dan Rafiq. Baki donat di tangannya terus dihabiskan. Biarlah kalau si Rafiq hendak terus berbual pun. Yang penting, dia sudah ada bekalan makanan untuk mengalas perutnya yang kosong.
            “Dira nak bawa emak Dira ke klinik? Abang boleh tolong bawakan. Lagipun sementara abang ada kat sini, biarlah abang tolong apa yang boleh.” Rafiq menawarkan pertolongannya dengan riak wajah yang serius.
            “Terima kasihlah, tapi Dira dah beli ubat pun untuk mak. Tengoklah macam mana sehari dua ni. Kalau tak okey juga, baru Dira nak paksa dia ke klinik. Mak tu pun boleh tahan degil,” balas Nadira.
            Lelaki tadi mengerling ke arah beg plastik yang sedang dipegangnya. Hajat di hati ingin mengambil lagi sebiji kuih yang berada di dalam beg plastik itu. Tapi, pandangannya tiba-tiba kelihatan kabur. Dia menggosok-gosok mata. Entah kenapa kepalanya tiba-tiba saja dirasakan berat semacam. Keadaan sekelilingnya dirasakan berpusing 360 darjah sebelum dia tumbang tidak sedarkan diri.
            “Ya Allah! Kawan abang tu!” Nadira menjerit apabila melihat susuk lelaki tadi yang rebah ke tanah berhampiran kereta. Rafiq bergegas mendapatkan kawannya yang sudah terjelepuk ke tanah. Nadira mengikut untuk melihat apa yang berlaku.
            “Kenapa dengan dia?!” soal Nadira cemas.
            “Entah! El! El!” Rafiq memangku kepala kawannya itu. Sebelah tangannya menepuk-nepuk wajah kawannya yang tidak sedarkan diri.
            “Err... macam nilah. Bawa dia masuk ke rumah Dira dulu. Macam mana?” Nadira memberikan pendapatnya.
            “Okey, okey!” Rafiq terus bersetuju tanpa bantahan. Dengan bantuan Nadira yang memegang kedua-dua kaki lelaki itu, kedua-dua mereka membawa susuk tubuh lelaki itu ke dalam rumah lalu dibaringkan di tengah-tengah ruang tamu.
            Puan Suhaimah yang sedang berehat di ruangan itu sejak pagi tadi tersentak apabila melihat susuk lelaki yang tidak sedarkan diri itu.
            “Kenapa ni?! Siapa dia ni?”
            Nadira kalut berlalu ke arah dapur untuk mengambil air. Dia percaya soalan emaknya itu akan dijawab oleh Rafiq.
            “Entahlah mak cik. Tiba-tiba saja kawan saya ni pengsan kat luar tu,” terang Rafiq.
            Nadira muncul semula di ruang tamu itu dengan segelas air. Gelas itu dihulurkan kepada Rafiq yang kelihatan panik dengan apa yang menimpa kawannya itu. Rafiq menuangkan sedikit air dari dalam gelas lalu direnjiskan ke wajah kawannya. Beberapa kali dia mengulangi sehingga kawannya itu mulai sedar.
            “El, kau okey?” Rafiq menyoal dengan wajah yang berkerut. Dadanya masih lagi berdebar dengan apa yang baru terjadi.
            Nadira terus memerhati. Lelaki yang disapa El oleh Rafiq itu kelihatan mengerdipkan kedua-dua kelopak matanya sebagai tanda jawapan kepada soalan Rafiq.
            “Nak pergi klinik? Mana tahu kalau ada apa-apa,” tambah Rafiq yang masih risau dengan keadaan kawannya itu.
            “Tak payahlah. Aku rasa sebab err...”
            Rafiq membantu kawannya yang ingin bangun daripada terus berbaring.
            “Sebab apa?” soal Rafiq tidak sabar.
            Nadira menjungkitkan bahu tanda tidak tahu apabila pandangan matanya bertaut dengan pandangan mata Puan Suhaimah.
            “Entah-entah sebab donat awak, kan?” Lelaki itu mengerling kepada Nadira dengan pandangan tidak berpuas hati.
            “Apa?! Tak... takkanlah sebab...” Nadira tergagap-gagap. Tidak sangka jawapan itu yang bakal diberikan oleh lelaki tersebut. Sangkanya tadi mungkin sebab cuaca yang kian membahang ke apa.
            “Isy! Kau ni El. Mengarut betul. Takkanlah sebab donat tu kau pengsan? Dah berapa tahun dah Mak Cik Su dengan Dira berniaga kat sini. Sejak aku sekolah lagi aku dah biasa makan kuih dengan nasi lemak dia orang tau? Langsung tak ada apa-apa pun,” sanggah Rafiq sambil tergelak kecil.
            “Dira masak semuanya elok kan, nak?” celah Puan Suhaimah. Terbit segaris kerisauan kalau-kalau betul dengan apa yang dikatakan oleh lelaki itu.
            “Ya, mak. Pagi tadi Dira sediakan semua tu. Barang yang saya gunakan semuanya elok dan segar. Takkanlah...” Belum sempat Nadira hendak memberikan penjelasan ketika menoleh kepada lelaki itu, lelaki tersebut mencelah terlebih dahulu.
            “Entah-entah lalat ke apa... mesti keracunan makanan.” Lelaki itu terus bersuara dengan yakin sambil menganggukkan kepala. Juga, ingin terus mencari punca kesalahan Nadira.
            “Saya tutup semua bekas kuih dan sambal. Macam mana lalat nak hinggap? Bila orang nak beli, baru dibuka penutup bekas tu,” balas Nadira membela diri. Memang betul apa yang dia cakap. Aspek kebersihan memang dititik-beratkan oleh dia dan emaknya ketika mereka berniaga.
            “Err... habis tu kenapa saya boleh pengsan?” Lelaki itu tetap tidak berpuas hati. Pandangannya dihalakan kepada Nadira tanda tidak mahu mengalah. Juga, mahukan jawapan.
            “Manalah saya tahu! Saya bukannya doktor.” Nadira melepaskan jelingan. Sakit hati dan marah mula berpadu dalam hati menjadi satu. Penat sejak pagi tadi menyediakan barang-barang jualannya belum hilang, kini ditambah dengan seorang lelaki yang entah dari mana datanganya menuduh kuihnya punca masalah ini.
            “Isy! Dahlah tu El. Kau ni pun... Kalau kau tak puas hati, jom! Kita pergi periksa kat klinik kat pekan tu. Bukannya jauh pun,” ujar Rafiq memberikan cadangan.
            Lelaki tadi yang duduk di ruang tamu terus bergegas bangun tanpa mempedulikan kata-kata  Rafiq. Nadira mengerling langkahnya yang dihalakan ke arah kereta.
            “Err... maaflah Dira, mak cik. Perangai dia memang macam tu. Berapa ringgit Dira semua tadi tu?” Rafiq mengeluarkan dompet untuk membayar harga nasi lemak dan kuih-muih yang diambilnya tadi.
            “Tak payahlah bang,” balas Nadira mendatar.
            “Eh! Mana boleh macam tu. Dira berniaga. Dahlah, tak payah nak ambil hati dengan si singa tu,” balas Rafiq. Sehelai not RM50 diambil dari dompetnya lalu dihulurkan kepada Nadira.
            “Kejap. Biar Dira...”
            Rafiq menggelengkan kepala apabila melihat Nadira yang tergesa-gesa ingin berlalu semula ke luar. Bukan dia tidak tahu niat wanita itu. Pastinya ingin mengambil duitnya yang berada di gerai untuk memulangkan baki duit yang diberikannya tadi.
            “Eh! Mana boleh bang. Banyak sangat ni bakinya. Nasi lemak dan kuih tu berapa ringgit sangatlah,” balas Nadira. Kakinya tetap melangkah keluar. Tergesa-gesa dia berlalu semula ke arah gerai jualannya. Sempat matanya melihat susuk lelaki tadi yang sedang menyandar di kereta sambil mengunyah sesuatu. Huh! Makan lagi dia kuih yang aku buat? Keracunan makanan, konon! Nadira melepaskan geram dalam hati.
            “Dira! Tak payah.” Rafiq yang mengikut langkah Nadira tadi bertegas dengan keputusannya.
            “Mana boleh bang macam tu. Segan Dira macam ni.” Nadira tetap menghulurkan baki duit kepada Rafiq.
            Rafiq menggeleng perlahan. Baki duit itu disambut biarpun hatinya berat untuk berbuat demikian.
            Nadira tersenyum. Beg plastik yang mengandungi tiga bungkus nasi lemak dihulurkan kepada Rafiq.
            “Cepatlah Fiq! Jom! Balik nanti boleh cuba nasi lemak tu. Kalau aku pengsan juga, maksudnya mesti ada sesuatu. Confirm!”
            Nadira menoleh ke arah lelaki tadi. Eii! Sabar ajelah. Mulut jahat!
            “Jangan dengar sangat cakap dia, Dira. Abang balik dulu. Kalau ada apa-apa nak minta tolong, pasal mak ke apa, jangan segan nak telefon abang.” Rafiq menitipkan pesanan itu dengan serius.
            Nadira menganggukkan kepala. Sepasang matanya menyorot langkah Rafiq sehingga ke kereta. Sempat lelaki itu memberikan hon sebelum kereta dipandu meninggalkan gerai jualannya.
            “Kau ni kan El, cakap macam tu kasihan pada Dira.” Rafiq bersuara di dalam kereta. Dia mengerling kepada Elman yang berada di sisinya.
            “Cakap apa?” balas Elman selamba tanpa rasa bersalah.
            “Yalah. Pasal keracunan makanan semua tu. Kau tak fikir macam mana dia rasa? Entah-entah kau pengsan sebab cuaca panas ke apa. Kau tu bukannya pernah duduk di kampung,” balas Rafiq.
            Elman mengerling kepada Rafiq yang sedang memandu.
            “Betul apa, apa yang aku cakap. Manalah tahu kalau betul keracunan makanan? Kalau bukan keracunan makanan, entah-entah dia letak sesuatu ke apa dalam makanan ni... sebab tu kau ketagih nak makan nasi lemak dengan kuih semua ni kan? Macam kau cakap tadi, kau makan sejak kau bersekolah lagi kan?” ujar Elman.
            Rafiq tergelak kecil mendengarkan kata-kata Elman.
            “Sesuatu apa? Kau ingat kau hot sangat? Lagi satu, tak ada maknanya dia nak buat semua tu.” balas Rafiq.
            “Maksud kau?” soal Elman yang sedang mengunyah kuih ketayap pula.
            “Dira tu dah bersuamilah. Isteri orang tu. Kau ingat dia ada masa nak jampi-jampi makanan tu nak bagi lelaki syok kat dia?” balas Rafiq.
            “Isteri orang? Takkanlah? Aku tengok macam anak dara aje lagi,” ujar Elman sambil terus mengunyah kuih ketayap.
            “Pandailah kau. Isteri oranglah si Dira tu. Aku kenal suami dia. Kita orang dulu satu sekolah. Dari sekolah rendah sampai ke sekolah menengah. Masuk universiti aje lain-lain. Aih... kasihan Dira. Mak dia tak sihat tu,” omel Rafiq sambil melepaskan keluhan.
            Elman terus memasang telinga mendengar cerita Rafiq. Satu demi satu kuih yang berada di dalam beg plastik itu diambil lalu dimakan.