Pagi itu, Alisya yang baru sahaja memakirkan keretanya di tempat parkir itu
mula mencapai beg tangan yang berada di tempat duduk di sisi kirinya. Tangannya
mula menggagau satu bekas bedak kompak Mac yang disimpan di dalam beg Chanel
itu.
Wajah yang terbias di
dalam cermin mula diteliti. Lipstik yang menyaluti bibir juga turut diperiksa
kalau-kalau adanya sisa comot yang hanya akan merosakkan solekan di wajahnya.
Bibir Alisya mula menguntumkan senyuman apabila berpuas hati dengan wajahnya.
Kaki melangkah keluar dari kereta kesayangan Maruti Suzuki Ciaz yang berwarna
merah itu.
Alisya mula menghala ke
arah lobi bangunan. Pagi ini, dia ingin melihat sendiri koleksi busana milik
butiknya yang akan diperagakan oleh model-model tempatan untuk sesi fotografi.
Dia menaja segala kos yang diperlukan untuk sesi fotografi itu dan sebagai balasan, koleksi-koleksinya
akan dipaparkan di dalam majalah Pretty sebanyak lapan muka surat. Secara tidak
langsung, dia sudah beroleh promosi untuk koleksinya di situ.
Kaki terus melangkah
menuju ke arah lif. Studio penggambaran majalah itu terletak di aras tujuh.
Sesekali, Alisya memperbetulkan rambutnya yang sudah didandan rapi itu.
Melihatkan pintu sebuah lif yang terbuka, dia mula berlari-lari anak sebelum
terlambat. Baru sahaja hendak melangkah masuk, terasa bahunya dirempuh oleh
seseorang dari arah belakang.
“Hey! Tak nampak ke hah?!”
Alisya menjerit geram.
Hampir terjatuh tubuhnya tadi kalau tidak ada sepasang tangan yang pantas
menyambut.
“Are you okay?” suara lelaki kedengaran.
“Maafkan saya cik.. err.. saya
takut terlepas lif ni tadi.” Suara perempuan pula menyapa pendengaran.
Bersilih ganti kata-kata
itu menusuk ke pendengaran Alisya. Lelaki yang menyambutnya tadi membantunya
untuk berdiri semula.
“Are you okay?” sekali lagi Luth Zafir melepaskan soalan.
Alisya yang memperbetulkan
tali beg Chanel yang tersangkut di bahunya tersenyum sambil menganggukkan
kepalanya.
“Ya, I’m fine. Terima kasih,” balas Alisya. Sempat matanya menjeling
semula ke arah seorang perempuan yang berdiri di dalam lif itu. Perempuan yang
melanggarnya tadi.
“Err... maaf,” tutur Julia
sekali lagi. Bibirnya diketap menahan malu yang semakin menebal. Sudahlah
terlanggar perempuan yang sedang merenungnya sekarang bagaikan singa yang sudah
bersedia hendak menerkam pada bila-bila masa itu, lebih malang di hadapan Encik
Luth pula! Malunya berganda-ganda.
Pintu lif yang sempat
ditahan oleh Luth Zafir tadi mulai tertutup. Alisya menekan butang yang tertera
nombor tujuh. Julia pula menekan butang yang tertera nombor empat belas. Hanya
mereka bertiga yang berada di dalam perut lif. Alisya yang berdiri di
tengah-tengah menjeling lagi ke arah perempuan yang berdiri di sisi kanannya
itu. Penampilan gadis itu dilirik sekali lalu.
Julia yang sedar dirinya
diperhati mula memberikan senyuman. Alisya tidak mengendahkan sebaliknya
matanya menjeling tajam sebelum memandang semula ke depan. Sempat matanya
menjeling nombor aras yang tertera. Baru berada di aras tiga. Masih ada lagi
peluang untuk berkenalan dengan lelaki yang membantunya tadi.
Alisya menoleh ke arah
lelaki yang berdiri di sisi kirinya.
“Terima kasih sebab tolong
I tadi.”
“My pleasure,” balas Luth Zafir sambil menganggukkan kepalanya
sedikit.
“By the way, my name is Alisya,” ucap Alisya sambil tersenyum.
Tangan kanannya dihulurkan ke arah Luth Zafir.
Luth Zafir memerhati. Susuk
gadis di sisinya dikerling sekali lalu atas dan bawah. Sekali lagi dia
menganggukkan kepalanya apabila matanya memandang tepat kepada gadis itu.
“Luth Zafir.”
Alisya yang mengerti
menarik semula tangannya. Oh! Dia tak nak salamlah?
Julia yang memerhati mula
menahan tawa. Padan muka! Dahlah berlagak. Encik Luth pun tak nak salam dengan
kau. Kata-kata yang hendak dilemparkan hanya bergema di dalam hatinya sahaja. Mata
Julia mula mencuri pandang ke arah bosnya. Rambutnya disisir rapi seperti
selalu. Kemas dengan sut Giorgio Amani jenama kegemarannya. Hari ini, sutnya
berwarna kelabu.
Lif kembali sepi. Alisya
mengerling ke arah nombor aras yang tertera. Sudah berada di aras lima.
Tangannya mula menggagau sesuatu di dalam ruang poket beg tangannya. Jumpa!
Bibirnya tersungging senyum. Lelaki yang berada di sisinya ini ada auranya yang
tersendiri. Terasa dirinya bagaikan dicabar apabila tangannya tidak bersambut
tadi.
Tiba di aras tujuh, pintu
lif terbuka. Alisya berpaling ke arah Luth Zafir sambil menghulurkan sekeping
kad yang diambil daripada beg tangannya tadi.
“Kad I..” meleret suara Alisya yang tersenyum terus.
Julia yang memerhati mula
mencebik. Kad konon! Cakap ajelah yang kau nak kan nombor bos aku tu, huh!
Luth Zafir menghela nafas.
Kad sudah dihulur. Takkanlah hendak ditolak? Kalau diambil, seharusnya ada
balasan pula. Tangannya mula meraba kocek kot. Mujur ada dua keping yang
tersimpan di situ. Sekeping ditarik keluar dan dihulurkan kepada gadis yang
bernama Alisya itu. Dua keping kad masing-masing bertukar tangan.
“Thanks!” sahut Alisya girang. Berjaya! Bukannya susah sangat pun.
Kalau setakat tahu nama saja, nak buat apakan? Kaki mula melangkah keluar.
Sebelum pintu lif tertutup sepenuhnya, sempat dia menoleh ke belakang dan
menghadiahkan senyuman yang paling manis buat lelaki yang berekspresi serius
itu.
Alisya tersenyum terus biarpun pintu lif sudah tertutup
dan membawa pergi kedua orang itu. Sempat dia terfikir sambil kaki melangkah
perlahan menuju ke studio. Kalaulah dia tahu yang dia akan terserempak dengan
lelaki kacak pada hari ini, tak payah dia nak berdandan bagai rambutnya yang
hampir mencecah pinggang. Diluruskan dan sapu pelembap sikit. Bolehlah dia flip tadi sewaktu berpaling. Biar ada
kesan yang dapat ditinggalkan untuk lelaki yang bernama Luth Zafir.
Julia yang memerhati ke arah bosnya dan gadis tadi mula
mengetap bibir. Pandai perempuan berlagak itu mengatur ‘permainannya’. Ah!
Nombor bosnya bukankah dia sendiri pun sudah tahu? Ke Encik Luth ada nombor
lain? Satu untuk urusan kerja dan satu lagi untuk urusan peribadi. Nombor mana
yang diberikan kepada perempuan berlagak tadi?
“Julia, awak okey?”
“Julia, awak okey?”
Belum pun habis memikir, kedengaran suara Luth Zafir.
“Huh?”
“Saya tanya, awak okey ke? Kalut semacam pagi ni sampai orang
pun awak langgar. Mujur seorang, kalau ramai tadi?”
“Urm.. ya..” Julia hilang kata-kata. Tidak tahu apa yang
harus dituturkannya pada saat ini.
Lif terus membawa mereka ke aras empat belas. Sebaik
pintu terbuka, Luth Zafir terus melangkah keluar. Julia mengikut dari belakang.
Bibirnya dirasakan susah pula hendak dikawal. Asyik tersenyum sejak mendengar
soalan dari bosnya tadi. Tak sangka. Dia betul-betul tak sangka yang Encik Luth
Zafir mengambil berat akan dirinya.
Beberapa tapak melangkah, Luth Zafir berhenti.
Dipandangnya Julia yang berada di belakang. Pembantunya itu terpempan sejenak.
“Are you sure you
okay?”
Julia mula merasakan kakinya bagaikan tidak mencecah
lantai kini. Kenapa Encik Luth begitu prihatin? Kenapa Encik Luth begitu
mengambil berat akan dirinya? Sungguh tak sangka. Di sebalik ekspresi wajah
yang senantiasa serius itu, terselit sifat penyayang buat dirinya. Penyambut
tetamu yang tidak seberapa ini. Ya, saya okey sayang. Eh! Encik Luth.
“Julia!”
Luth Zafir menguatkan suaranya apabila melihat pekerjanya
itu kaku dan tidak memberikan respons.
“Ya, ya! Saya okey encik,” sahut Julia gelabah.
Sepasang mata Luth Zafir melirik susuk gadis itu atas
bawah sekali lalu. Ya, dia nampak okey. Lagipun, apa yang kau nak bimbangkan Luth?
Yang nak terjatuh tadi, perempuan yang bernama er.. apa ya nama perempuan itu?
Ah! Tak penting. Bukannya si Julia ini yang nak terjatuh jadi mestilah dia tak
apa-apa kan?
“Saya..” Julia mula hendak mengatur ayat. Ingat perempuan
berlagak itu saja yang tahu hendak mengayat? Dia pun nak cuba!
“Baguslah yang awak tak apa-apa. Don’t forget to bring a cup of coffee to my office then,” tutur Luth Zafran seraya menolak pintu kaca pejabat Perkasa Sdn. Bhd lalu melangkah terus. Sudahlah semalam, kopinya pun lambat dibancuh.
“Baguslah yang awak tak apa-apa. Don’t forget to bring a cup of coffee to my office then,” tutur Luth Zafran seraya menolak pintu kaca pejabat Perkasa Sdn. Bhd lalu melangkah terus. Sudahlah semalam, kopinya pun lambat dibancuh.
Julia ternganga. Patutlah... patutlah Encik Luth tanya
dia okey ke tak. Rupa-rupanya hanya kerana secawan kopi yang memang menjadi
rutin kerjanya. Sama seperti semalam apabila bosnya itu meminta kopi melalui
interkom. Isk, isk! Baru nak perasan yang lelaki itu mengambil berat akan
dirinya. Punah harapan!