1
Angin bertiup lembut pada malam itu namun kedinginan malam tetap saja mampu
menggetarkan mereka yang masih berembun
di luar. Sesekali kedengaran cengkerik berbunyi di kiri dan kanan jalan yang
sunyi. Seakan-akan saling berlumba untuk menjulang gelaran juara di malam hari.
Kelihatan sebuah teksi
sedang dipandu perlahan melalui sebatang jalan di hadapan sebuah kawasan
perumahan. Halim sempat menjeling deretan rumah di kawasan perumahan itu yang
sedang dilaluinya kini. Pandangannya berubah pula kepada jam di dalam teksi
yang memaparkan pukul 11.55. Dadanya berdebar tiba-tiba apabila mengenangkan
sebuah rumah banglo yang terletak hampir 500 meter di hadapan.
Halim menekan satu suis.
Alunan lagu dari radio yang tadinya perlahan kedengaran menjadi halwa telinga
mulai kuat berkumandang di dalam teksinya kini.
“Ehem! Ehem!” Halim
berdehem sekali dua untuk mengusir rasa debar yang semakin menebal di dalam
hati. Rasa takut yang hadir cuba dikawal. Teksi terus dipandu sebaik yang
mungkin.
Sara yang berada di tempat
duduk belakang teksi itu menjeling sekali lalu tingkah si pemandu.
“Macam-macam,” bisik Sara
perlahan. Agaknya pemandu ini takut kerana terpaksa menghantarnya ke rumah
banglo itu? Sudahlah di perhentian teksi tadi tiada sesiapa yang sudi menghantarnya
ke situ. Rata-rata pemandu teksi yang ditemuinya semuanya memberikan jawapan
yang negatif.
“Ehem!!”
Halim berdehem lagi. Kali
ini lebih kuat dari yang tadi. Entah kenapa terasa dingin tiba-tiba. Terasa
bulu romanya tegak berdiri. Terasa bagaikan adanya mata yang sedang memerhati. Jantungnya
pula semakin kuat berdegup. Rasa takut semakin kuat mencengkam apabila pintu
pagar rumah banglo itu sudah kelihatan di pandangan mata.
“Abang takut ke?” Tegur
Sara sambil berkerut dahi. Soalannya tidak berbalas. Kerutan di dahi semakin
menambah. Sara mula menjengah ke luar tingkap teksi memerhati rumah banglo yang
menjadi destinasinya. Hanya bumbung rumah banglo itu sahaja yang kelihatan dari
luar. Dinding batu yang dihiasi lampu-lampu yang cantik menyala teguh memagari
sekeliling kawasan rumah tersebut.
Teksi yang dipandu Halim
mula terhenti tanpa sebarang sebab. Tanpa sebarang amaran awal. Hentinya
betul-betul di hadapan pintu pagar rumah banglo tersebut. Halim menelan liur.
Dia yang tadinya tenang mula menggigil sedikit. Kedua tangannya masih kemas
menggenggam stereng.
“Ya Allah...” Halim mula
merintih perlahan. Matanya sedikit terjegil apabila memerhati ke arah pintu
pagar rumah banglo itu. Ketakutan terus menguasai diri. Dia mula kelam-kabut
cuba menghidupkan semula enjin kereta.
“Waktu-waktu ni juga kau
nak buat perangai kan?!” Halim mula jerkah dek hilang sabar setelah beberapa
kali mencuba untuk menghidupkan enjin keretanya namun masih lagi gagal. Di
antara sabar yang kian menipis dan takut yang kian menebal, dia lebih berasa
takut di saat ini.
“Tak apa abang. Memang ni
la rumahnya yang saya cakap tadi. Berapa ringgit bang tambangnya?” Sara mula
melepaskan soalan.
Halim tidak mengendahkan.
Tangannya terus memulas kunci kereta berulang kali.
“Abang? Berapa ringgit?”
Tegur Sara lagi setelah soalannya masih lagi tidak berjawab. Dia terus
memerhati tingkah Halim. Sesekali kepalanya menggeleng perlahan. Pandangannya
ditala semula kepada rumah banglo yang terdapat di pinggir jalan itu.
Pelik-pelik orang kat
sini. Sudahlah tadi di stesyen teksi tiada sesiapa yang sudi menghantarnya ke
rumah banglo ini dan sekarang, si pemandu teksi ini pula takut semacam dengan
rumah banglo ini. Kenapa ya? Sara terus berbiaca di dalam diam.
“Sial, sial!”
Suara Halim yang membentak
menarik semula perhatian Sara. Pemandu teksi itu kembali dipandang. Kelihatan
lelaki itu masih lagi berusaha menghidupkan enjin keretanya. Sesekali lelaki
itu turut memandang ke arah rumah banglo itu.
“Abang, berapa ringgit
saya kena bayar ni?” Sara bertanya lagi.
“Hei! Kau nak turun, turun
aje la!” Jerkah Halim. Dadanya mula berombak menahan rasa yang bercampur baur.
Sara semakin keliru. Isy!
Tanya pasal tambang pun, nak marah-marah? Apa? Dia tak perlukan duit tambang
teksi dia itu ke? Akur dengan arahan Halim, Sara mula melangkah turun daripada
teksi itu.
“Terima kasih abang,” ucap
Sara berbahasa. Biarpun masih lagi keliru dan sedikit terasa dengan sikap si
pemandu, dia masih lagi menjaga budi bahasanya.
“Ingat tau. Kat tempat
orang nanti, Sara kena pandai jaga diri. Jaga budi bahasa kita, nak. Insya
Allah, kalau kita buat baik dengan orang, orang pun suka. Bila orang suka, tak
adalah musuh.”
Itu pesanan emaknya.
Pesanan yang masih lagi segar di dalam minda. Pesanan itulah yang dibawanya
bersama ke tempat asing ini untuk mencari rezeki. Sara yang sudah melangkah
keluar daripada teksi, mula bersuara.
“Nanti, kalau abang nak..”
Belum pun sempat hendak
menghabiskan kata-katanya, si pemandu teksi tadi terus memecut laju
meninggalkannya seorang diri di pinggir jalan itu. Sara semakin bingung dengan
sikap pemandu teksi itu. Dia hanya mampu memerhati teksi itu yang semakin
menghilang di dalam gelap malam.
“Nanti kalau abang nak
duit tambang tu, datang jumpa saya kat sini,” ucap Sara perlahan. Kepalanya
terus menggeleng. Kesal dengan sikap pemandu teksi yang membawanya sehingga ke
destinasi yang ingin ditujui tetapi langsung tidak mengenakan sebarang bayaran.
Terasa bersalah pula kepada pemandu tersebut.
Sara memerhati sejenak
dinding batu dan pintu pagar di hadapannya. Dari celahan ukiran bunga di pintu
pagar itu, rumah banglo tersebut sudah kelihatan di pandangan mata. Bibirnya
mula menguntumkan senyuman.
“Inilah rumahnya.” Sara
mengangguk berpuas hati. Langkah kaki mula diatur menuju ke rumah banglo
tersebut. Matanya menjeling memerhati halaman yang disimbahi cahaya dari lampu
hiasan yang terdapat di dinding batu sekeliling kawasan tersebut.
“Cantik!” Sara menzahirkan
rasa kagumnya memerhati pokok-pokok bunga yang menghiasi halaman tersebut di
satu sudut. Terdapat juga ornamen air pancur dihiasi dua ekor patung bangau
putih di sudut kiri halaman itu. Bunyi airnya yang tenang mengalir terasa cukup
mendamaikan. Sebuah gazebo yang berdekatan dengan ornaman itu membuatkan Sara
terus tersenyum sendirian. Gazebo coklat itu tidak ubah seperti pondok
tradisional Melayu. Pondok yang mengingatkannya kepada suasana di kampung.
“Kau buat apa kat sini?!”
Satu suara yang menegur
menyentak Sara. Dia yang tadinya asyik memerhati gazebo itu mula mengubah pandangan
mencari punca suara yang menegurnya dari belakang tadi. Kelihatan seorang
wanita di dalam lingkungan 50-an sedang terpacak berdiri mengadapnya.
Wanita itu menilik Sara
atas dan bawah. Riaknya wajahnya seperti terkejut melihat sosok gadis itu. Sara
mula berasa tidak enak ditenung sebegitu oleh wanita yang sedang memegang
sebuah baldi itu.
“Er..saya datang sini..”
“Sebab apa?!”
Wanita itu bersuara keras
namun masih terkawal. Sesekali dia menjeling sekeliling memerhati kalau-kalau
ada sesiapa yang turut berada di situ selain mereka berdua.
Sara mengetap bibir
menahan gugup. Pandangan matanya saling bertaut dengan sepasang mata wanita itu
yang masih tajam merenung dirinya. Kenapa dengan makcik ni? Macam terkejut
tengok aku kat sini. Agaknya dia tak sangka aku nak sampai sini lewat malam?
Pelbagai andaian mula memenuhi benak Sara.
“Sebab apa?! Macam mana
kau boleh masuk?!”
Wanita itu melepaskan lagi
soalannya. Bebola matanya yang sedikit menjegil itu terus menatap Sara tidak
lepas.
“Er..tadi tu..saya tengok
pintu pagar terbuka jadi..”
Belum pun sempat Sara
menyudahkan kata-katanya, wanita itu laju sahaja menoleh ke belakang. Kelihatan
pintu pagar yang masih terbuka.
“Tak guna! Mesti aku yang
terlupa tutup tadi.” Wanita itu menggerutu perlahan menyesali kesilapan dirinya
sendiri. Kemudian dia menoleh kepada Sara semula. Pandangan matanya dikecilkan
sewaktu melirik gadis itu.
“Kau jangan nak
macam-macam! Kau ingat aku tak tahu kenapa kau datang sini?” Tidak bertangguh
wanita itu terus melepaskan lagi kata-katanya kepada Sara.
Sara mula berkerut dahi.
Dia semakin bingung. Belum pun habis memikir ragam pemandu teksi tadi, sekarang
dia harus berhadapan dengan karenah wanita ini pula.
“Apa yang makcik cakapkan
ni? Saya datang sini sebab tawaran kerja tu. Tuan rumah ni nak guna khidmat
orang gaji, kan? Sebab tu saya ke sini kalau-kalau ada rezeki saya tapi
itulah...sepatutnya petang tadi saya dah sampai tapi di pekan tadi, tak ada
pemandu teksi yang sanggup datang sini sebab tu saya lewat,” ujar Sara terus
menjelaskan perihal dirinya.
Wanita itu diam tidak
berkutik buat beberapa ketika. Hanya sepasang matanya yang masih lagi tajam
merenung kepada Sara. Angin malam yang sesekali menyapa membuatkan Sara mula
berdebar. Jantungnya mula berdetak kian rancak.
Apa kena dengan perempuan
ni? Macam ada apa-apa pula dia tengok aku macam tu. Pelik sangatkah kalau aku
lambat sampai? Marahkah? Bukannya aku sengaja. Kata-kata Sara terus
berlegar-legar di dalam hatinya saja.
“Jadi, kau datang sini
sebab kerja tu? Bukan sebab yang lain?” Wanita itu mula bersuara selepas
beberapa ketika.
Laju kepala Sara
mengangguk tanda mengiyakan. Biarpun terasa pelik dengan soalan yang kedua
daripada wanita itu, dia terus mengangguk. Terasa semakin menebal perasaan ingin tahu di dalam hatinya
kini. Ringan saja mulutnya dirasakan untuk bertanya kepada wanita itu. Sebab
yang lain? Sebab apa?
“Urmm..baiklah kalau macam
tu. Aku tak suka sebarang masalah nanti. Lagipun, tuan dengan puan pun macam
tu. Mereka pun tak suka ada sebarang masalah. Kau faham?”
Sara mengangguk lagi. Tiap
patah kata wanita itu terus diberikan perhatian sebaik yang mungkin.
“Ikut aku.” Wanita itu
terus melangkah sambil membawa baldi sebaik memberikan arahan. Sara hanya
mengikut dari belakang. Bau busuk yang datang mencuit-cuit deria pernafasannya
membuatkan Sara mula menutup hidung. Langkah kaki terus diarah mengikut wanita
itu yang menghala ke arah belakang rumah.
“Bau apa ni makcik?” Sara
akhirnya melepaskan juga soalan setelah beberapa ketika. Tidak tertahan rasanya
terpaksa menghidu bau busuk itu biarpun hidungnya sudah ditutup. Berkerut-kerut
wajahnya menahan bau busuk itu. Bau seperti bangkai!
Wanita itu yang berada di
depan mula menghentikan langkahnya. Sara yang mengekori sejak tadi turut
berhenti. Wanita itu menoleh ke belakang. Matanya dijegilkan kepada Sara
sebelum bersuara.
“Jangan tegur! Aku tak
suka! Faham?” Keras suara wanita itu berdesis kepada Sara.
Sara menelan liur.
Lidahnya terus kelu. Terangguk-angguk kepalanya sebagai tanda jawapan kepada
soalan wanita tua itu. Matanya tiba-tiba terarah kepada baldi yang sedang
dipegang oleh wanita itu. Belum pun sempat hendak menjengah isi kandungannya,
wanita itu memulakan langkahnya semula sambil membawa baldi yang berwarna merah
itu.
“Apa yang dia bawa? Tak
kan la bawa pakaian malam-malam macam ni?” bisik Sara. Pelbagai soalan dan
andaian mula muncul di dalam minda. Namun, kakinya tetap saja setia mengekori
langkah wanita itu sehingga mereka tiba di pintu belakang rumah.
Sara terus mengikut wanita
itu yang kini sudah melangkah masuk ke dalam rumah. Daun pintu dapur yang
tadinya terbuka kembali dirapatkan dan dikunci oleh wanita tersebut. Sara hanya
memerhati wanita yang sudah beruban itu dan keadaan dapur yang suram hanya
diterangi cahaya dari lampu hiasan di dinding luar. Selesai melakukan kerjanya,
wanita itu menoleh kepada Sara yang masih tercegat berdiri.
“Nama aku Mariam. Kau
boleh panggil aku Mak Yam. Aku juga orang gaji dalam rumah ni. Aku yang paling
lama di sini jadi kau kena dengar cakap aku. Tuan dan puan dah tidur. Esok saja
aku kenalkan kau kepada mereka. Apa yang penting, di dalam rumah ni ada
peraturan. Kau akan hanya buat kerja-kerja yang aku suruh saja, faham?”
“Faham Mak Yam,” sahut
Sara sambil menganggukkan kepalanya. Segaris senyuman diberikan seiring tangan
yang dihulur untuk bersalam sebagai tanda perkenalan. Tangan tidak bersambut.
Sebaliknya, Mak Yam hanya menjeling. Riak wajahnya masih lagi serius. Tidak
tersenyum langsung kepada Sara. Matanya mengisyaratkan ke satu arah.
“Sana bilik kau. Ingat!
Kau jangan sesekali nak memandai-mandai di sini!” Mak Yam sekali lagi memberi
peringatan kepada Sara.
“Baik Mak Yam,” jawab
Sara. Kakinya mula mengorak langkah ke arah yang ditunjukkan oleh Mak Yam
dengan ekor matanya tadi. Sebuah bilik yang yang sederhana besar lengkap dengan
almari dan katil membuatkan Sara tersenyum.
“Ini pun dah cukup,”
ucapnya syukur. Badannya yang letih terus direbahkan ke atas katil. Matanya
mulai kuyu. Di dapur, Mak Yam sibuk menyental tangannya yang mempunyai kesan
darah kering. Air jernih yang terpasang di sinki terus mengalir berubah warna
menjadi merah kehitaman. Dalam keadaan samar, Mak Yam tersenyum sendirian.
P/S : Saja nak try2 tulis cerita seram..kalau sudi, drop komen ya? Habis malas pun, tick ja dalam kotak tu, hehe..luv u all!!! TQ ;-)