Thursday 29 January 2015

ORANG GAJI



1

             Angin bertiup lembut pada malam itu namun kedinginan malam tetap saja mampu menggetarkan mereka yang  masih berembun di luar. Sesekali kedengaran cengkerik berbunyi di kiri dan kanan jalan yang sunyi. Seakan-akan saling berlumba untuk menjulang gelaran juara di malam hari.
            Kelihatan sebuah teksi sedang dipandu perlahan melalui sebatang jalan di hadapan sebuah kawasan perumahan. Halim sempat menjeling deretan rumah di kawasan perumahan itu yang sedang dilaluinya kini. Pandangannya berubah pula kepada jam di dalam teksi yang memaparkan pukul 11.55. Dadanya berdebar tiba-tiba apabila mengenangkan sebuah rumah banglo yang terletak hampir 500 meter di hadapan.
            Halim menekan satu suis. Alunan lagu dari radio yang tadinya perlahan kedengaran menjadi halwa telinga mulai kuat berkumandang di dalam teksinya kini.
            “Ehem! Ehem!” Halim berdehem sekali dua untuk mengusir rasa debar yang semakin menebal di dalam hati. Rasa takut yang hadir cuba dikawal. Teksi terus dipandu sebaik yang mungkin.
            Sara yang berada di tempat duduk belakang teksi itu menjeling sekali lalu tingkah si pemandu.
            “Macam-macam,” bisik Sara perlahan. Agaknya pemandu ini takut kerana terpaksa menghantarnya ke rumah banglo itu? Sudahlah di perhentian teksi tadi tiada sesiapa yang sudi menghantarnya ke situ. Rata-rata pemandu teksi yang ditemuinya semuanya memberikan jawapan yang negatif.
            “Ehem!!”
            Halim berdehem lagi. Kali ini lebih kuat dari yang tadi. Entah kenapa terasa dingin tiba-tiba. Terasa bulu romanya tegak berdiri. Terasa bagaikan adanya mata yang sedang memerhati. Jantungnya pula semakin kuat berdegup. Rasa takut semakin kuat mencengkam apabila pintu pagar rumah banglo itu sudah kelihatan di pandangan mata.
            “Abang takut ke?” Tegur Sara sambil berkerut dahi. Soalannya tidak berbalas. Kerutan di dahi semakin menambah. Sara mula menjengah ke luar tingkap teksi memerhati rumah banglo yang menjadi destinasinya. Hanya bumbung rumah banglo itu sahaja yang kelihatan dari luar. Dinding batu yang dihiasi lampu-lampu yang cantik menyala teguh memagari sekeliling kawasan rumah tersebut.
            Teksi yang dipandu Halim mula terhenti tanpa sebarang sebab. Tanpa sebarang amaran awal. Hentinya betul-betul di hadapan pintu pagar rumah banglo tersebut. Halim menelan liur. Dia yang tadinya tenang mula menggigil sedikit. Kedua tangannya masih kemas menggenggam stereng.
            “Ya Allah...” Halim mula merintih perlahan. Matanya sedikit terjegil apabila memerhati ke arah pintu pagar rumah banglo itu. Ketakutan terus menguasai diri. Dia mula kelam-kabut cuba menghidupkan semula enjin kereta.
            “Waktu-waktu ni juga kau nak buat perangai kan?!” Halim mula jerkah dek hilang sabar setelah beberapa kali mencuba untuk menghidupkan enjin keretanya namun masih lagi gagal. Di antara sabar yang kian menipis dan takut yang kian menebal, dia lebih berasa takut di saat ini.
            “Tak apa abang. Memang ni la rumahnya yang saya cakap tadi. Berapa ringgit bang tambangnya?” Sara mula melepaskan soalan.
            Halim tidak mengendahkan. Tangannya terus memulas kunci kereta berulang kali.
            “Abang? Berapa ringgit?” Tegur Sara lagi setelah soalannya masih lagi tidak berjawab. Dia terus memerhati tingkah Halim. Sesekali kepalanya menggeleng perlahan. Pandangannya ditala semula kepada rumah banglo yang terdapat di pinggir jalan itu.
            Pelik-pelik orang kat sini. Sudahlah tadi di stesyen teksi tiada sesiapa yang sudi menghantarnya ke rumah banglo ini dan sekarang, si pemandu teksi ini pula takut semacam dengan rumah banglo ini. Kenapa ya? Sara terus berbiaca di dalam diam.
            “Sial, sial!”
            Suara Halim yang membentak menarik semula perhatian Sara. Pemandu teksi itu kembali dipandang. Kelihatan lelaki itu masih lagi berusaha menghidupkan enjin keretanya. Sesekali lelaki itu turut memandang ke arah rumah banglo itu.
            “Abang, berapa ringgit saya kena bayar ni?” Sara bertanya lagi.
            “Hei! Kau nak turun, turun aje la!” Jerkah Halim. Dadanya mula berombak menahan rasa yang bercampur baur.
            Sara semakin keliru. Isy! Tanya pasal tambang pun, nak marah-marah? Apa? Dia tak perlukan duit tambang teksi dia itu ke? Akur dengan arahan Halim, Sara mula melangkah turun daripada teksi itu.
            “Terima kasih abang,” ucap Sara berbahasa. Biarpun masih lagi keliru dan sedikit terasa dengan sikap si pemandu, dia masih lagi menjaga budi bahasanya.
            “Ingat tau. Kat tempat orang nanti, Sara kena pandai jaga diri. Jaga budi bahasa kita, nak. Insya Allah, kalau kita buat baik dengan orang, orang pun suka. Bila orang suka, tak adalah  musuh.”
            Itu pesanan emaknya. Pesanan yang masih lagi segar di dalam minda. Pesanan itulah yang dibawanya bersama ke tempat asing ini untuk mencari rezeki. Sara yang sudah melangkah keluar daripada teksi, mula bersuara.
            “Nanti, kalau abang nak..”
            Belum pun sempat hendak menghabiskan kata-katanya, si pemandu teksi tadi terus memecut laju meninggalkannya seorang diri di pinggir jalan itu. Sara semakin bingung dengan sikap pemandu teksi itu. Dia hanya mampu memerhati teksi itu yang semakin menghilang di dalam gelap malam.
            “Nanti kalau abang nak duit tambang tu, datang jumpa saya kat sini,” ucap Sara perlahan. Kepalanya terus menggeleng. Kesal dengan sikap pemandu teksi yang membawanya sehingga ke destinasi yang ingin ditujui tetapi langsung tidak mengenakan sebarang bayaran. Terasa bersalah pula kepada pemandu tersebut.
            Sara memerhati sejenak dinding batu dan pintu pagar di hadapannya. Dari celahan ukiran bunga di pintu pagar itu, rumah banglo tersebut sudah kelihatan di pandangan mata. Bibirnya mula menguntumkan senyuman.
            “Inilah rumahnya.” Sara mengangguk berpuas hati. Langkah kaki mula diatur menuju ke rumah banglo tersebut. Matanya menjeling memerhati halaman yang disimbahi cahaya dari lampu hiasan yang terdapat di dinding batu sekeliling kawasan tersebut.
            “Cantik!” Sara menzahirkan rasa kagumnya memerhati pokok-pokok bunga yang menghiasi halaman tersebut di satu sudut. Terdapat juga ornamen air pancur dihiasi dua ekor patung bangau putih di sudut kiri halaman itu. Bunyi airnya yang tenang mengalir terasa cukup mendamaikan. Sebuah gazebo yang berdekatan dengan ornaman itu membuatkan Sara terus tersenyum sendirian. Gazebo coklat itu tidak ubah seperti pondok tradisional Melayu. Pondok yang mengingatkannya kepada suasana di kampung.
            “Kau buat apa kat sini?!”
            Satu suara yang menegur menyentak Sara. Dia yang tadinya asyik memerhati gazebo itu mula mengubah pandangan mencari punca suara yang menegurnya dari belakang tadi. Kelihatan seorang wanita di dalam lingkungan 50-an sedang terpacak berdiri mengadapnya.
            Wanita itu menilik Sara atas dan bawah. Riaknya wajahnya seperti terkejut melihat sosok gadis itu. Sara mula berasa tidak enak ditenung sebegitu oleh wanita yang sedang memegang sebuah baldi itu.
            “Er..saya datang sini..”
            “Sebab apa?!”
            Wanita itu bersuara keras namun masih terkawal. Sesekali dia menjeling sekeliling memerhati kalau-kalau ada sesiapa yang turut berada di situ selain mereka berdua.
            Sara mengetap bibir menahan gugup. Pandangan matanya saling bertaut dengan sepasang mata wanita itu yang masih tajam merenung dirinya. Kenapa dengan makcik ni? Macam terkejut tengok aku kat sini. Agaknya dia tak sangka aku nak sampai sini lewat malam? Pelbagai andaian mula memenuhi benak Sara.
            “Sebab apa?! Macam mana kau boleh masuk?!”
            Wanita itu melepaskan lagi soalannya. Bebola matanya yang sedikit menjegil itu terus menatap Sara tidak lepas.
            “Er..tadi tu..saya tengok pintu pagar terbuka jadi..”
            Belum pun sempat Sara menyudahkan kata-katanya, wanita itu laju sahaja menoleh ke belakang. Kelihatan pintu pagar yang masih terbuka.
            “Tak guna! Mesti aku yang terlupa tutup tadi.” Wanita itu menggerutu perlahan menyesali kesilapan dirinya sendiri. Kemudian dia menoleh kepada Sara semula. Pandangan matanya dikecilkan sewaktu melirik gadis itu.
            “Kau jangan nak macam-macam! Kau ingat aku tak tahu kenapa kau datang sini?” Tidak bertangguh wanita itu terus melepaskan lagi kata-katanya kepada Sara.
            Sara mula berkerut dahi. Dia semakin bingung. Belum pun habis memikir ragam pemandu teksi tadi, sekarang dia harus berhadapan dengan karenah wanita ini pula.
            “Apa yang makcik cakapkan ni? Saya datang sini sebab tawaran kerja tu. Tuan rumah ni nak guna khidmat orang gaji, kan? Sebab tu saya ke sini kalau-kalau ada rezeki saya tapi itulah...sepatutnya petang tadi saya dah sampai tapi di pekan tadi, tak ada pemandu teksi yang sanggup datang sini sebab tu saya lewat,” ujar Sara terus menjelaskan perihal dirinya.
            Wanita itu diam tidak berkutik buat beberapa ketika. Hanya sepasang matanya yang masih lagi tajam merenung kepada Sara. Angin malam yang sesekali menyapa membuatkan Sara mula berdebar. Jantungnya mula berdetak kian rancak.
            Apa kena dengan perempuan ni? Macam ada apa-apa pula dia tengok aku macam tu. Pelik sangatkah kalau aku lambat sampai? Marahkah? Bukannya aku sengaja. Kata-kata Sara terus berlegar-legar di dalam hatinya saja.
            “Jadi, kau datang sini sebab kerja tu? Bukan sebab yang lain?” Wanita itu mula bersuara selepas beberapa ketika.
            Laju kepala Sara mengangguk tanda mengiyakan. Biarpun terasa pelik dengan soalan yang kedua daripada wanita itu, dia terus mengangguk. Terasa semakin  menebal perasaan ingin tahu di dalam hatinya kini. Ringan saja mulutnya dirasakan untuk bertanya kepada wanita itu. Sebab yang lain? Sebab apa?
            “Urmm..baiklah kalau macam tu. Aku tak suka sebarang masalah nanti. Lagipun, tuan dengan puan pun macam tu. Mereka pun tak suka ada sebarang masalah. Kau faham?”
            Sara mengangguk lagi. Tiap patah kata wanita itu terus diberikan perhatian sebaik yang mungkin.
            “Ikut aku.” Wanita itu terus melangkah sambil membawa baldi sebaik memberikan arahan. Sara hanya mengikut dari belakang. Bau busuk yang datang mencuit-cuit deria pernafasannya membuatkan Sara mula menutup hidung. Langkah kaki terus diarah mengikut wanita itu yang menghala ke arah belakang rumah.
            “Bau apa ni makcik?” Sara akhirnya melepaskan juga soalan setelah beberapa ketika. Tidak tertahan rasanya terpaksa menghidu bau busuk itu biarpun hidungnya sudah ditutup. Berkerut-kerut wajahnya menahan bau busuk itu. Bau seperti bangkai!
            Wanita itu yang berada di depan mula menghentikan langkahnya. Sara yang mengekori sejak tadi turut berhenti. Wanita itu menoleh ke belakang. Matanya dijegilkan kepada Sara sebelum bersuara.
            “Jangan tegur! Aku tak suka! Faham?” Keras suara wanita itu berdesis kepada Sara.
            Sara menelan liur. Lidahnya terus kelu. Terangguk-angguk kepalanya sebagai tanda jawapan kepada soalan wanita tua itu. Matanya tiba-tiba terarah kepada baldi yang sedang dipegang oleh wanita itu. Belum pun sempat hendak menjengah isi kandungannya, wanita itu memulakan langkahnya semula sambil membawa baldi yang berwarna merah itu.
            “Apa yang dia bawa? Tak kan la bawa pakaian malam-malam macam ni?” bisik Sara. Pelbagai soalan dan andaian mula muncul di dalam minda. Namun, kakinya tetap saja setia mengekori langkah wanita itu sehingga mereka tiba di pintu belakang rumah.
            Sara terus mengikut wanita itu yang kini sudah melangkah masuk ke dalam rumah. Daun pintu dapur yang tadinya terbuka kembali dirapatkan dan dikunci oleh wanita tersebut. Sara hanya memerhati wanita yang sudah beruban itu dan keadaan dapur yang suram hanya diterangi cahaya dari lampu hiasan di dinding luar. Selesai melakukan kerjanya, wanita itu menoleh kepada Sara yang masih tercegat berdiri.
            “Nama aku Mariam. Kau boleh panggil aku Mak Yam. Aku juga orang gaji dalam rumah ni. Aku yang paling lama di sini jadi kau kena dengar cakap aku. Tuan dan puan dah tidur. Esok saja aku kenalkan kau kepada mereka. Apa yang penting, di dalam rumah ni ada peraturan. Kau akan hanya buat kerja-kerja yang aku suruh saja, faham?”
            “Faham Mak Yam,” sahut Sara sambil menganggukkan kepalanya. Segaris senyuman diberikan seiring tangan yang dihulur untuk bersalam sebagai tanda perkenalan. Tangan tidak bersambut. Sebaliknya, Mak Yam hanya menjeling. Riak wajahnya masih lagi serius. Tidak tersenyum langsung kepada Sara. Matanya mengisyaratkan ke satu arah.
            “Sana bilik kau. Ingat! Kau jangan sesekali nak memandai-mandai di sini!” Mak Yam sekali lagi memberi peringatan kepada Sara.
            “Baik Mak Yam,” jawab Sara. Kakinya mula mengorak langkah ke arah yang ditunjukkan oleh Mak Yam dengan ekor matanya tadi. Sebuah bilik yang yang sederhana besar lengkap dengan almari dan katil membuatkan Sara tersenyum.

            “Ini pun dah cukup,” ucapnya syukur. Badannya yang letih terus direbahkan ke atas katil. Matanya mulai kuyu. Di dapur, Mak Yam sibuk menyental tangannya yang mempunyai kesan darah kering. Air jernih yang terpasang di sinki terus mengalir berubah warna menjadi merah kehitaman. Dalam keadaan samar, Mak Yam tersenyum sendirian.

P/S : Saja nak try2 tulis cerita seram..kalau sudi, drop komen ya? Habis malas pun, tick ja dalam kotak tu, hehe..luv u all!!! TQ ;-)

No comments:

Post a Comment

EH, EH..ADA ORANG NAK BAGI KITA KOMEN?YEAYYY!!!