Monday, 26 October 2015

MY MR. GENTLEMAN 1



Deringan telefon yang terletak di tepi sebuah radio Sony yang berwarna hitam di ruang tamu menarik perhatian Durrah yang sedang menonton filem Confession of a shopaholic di laptopnya.
“Kacau!” bukan setakat berdesis geram, sempat lagi Durrah menjeling sebelum kembali menalakan pandangannya ke arah skrin laptop. Filem yang baru sahaja bermula lima belas minit kembali ditonton dengan penuh minat.
Bunyi kerja-kerja penurapan jalan yang sedang dijalankan di luar langsung tidak mengganggu perhatian Durrah. Dia tidak mengendahkannya langsung. Dia yang enak bersantai di sebuah sofa yang sudah pudar warnanya terus menonton filem yang diadaptasi daripada sebuah novel hasil karya Sophie Kinsella. Mulutnya pula sibuk mengunyah keropok kentang Mister Potato. Segelas air Nescafe ais turut tersaji di atas meja di ruang tamu itu yang turut menempatkan laptop kesayangannya.
Sedang asyik menonton, telefon bimbitnya yang juga berada di atas meja mula mengalunkan lagu Chicago nyanyian Michael Jackson. Terus, tangan mula mencapai telefon.
“Helo,” dengan mata yang masih lagi terarah di skrin laptop, Durrah mula menjawab sebaik telefon Samsung Galaxy Note 3 miliknya sudah berada di tangan.
“Hello. Boleh saya bercakap dengan Cik Nur Durrah binti Damanhuri?” suara wanita yang kedengaran mula membuatkan Durrah berkerut kening. Dia yang tadinya elok bersila di atas sofa terus terbangun. Nada yang kedengaran formal itu sudah terbiasa di telinganya sejak beberapa bulan yang lalu. Mungkin lebih kurang tiga bulan yang lalu. Telefon yang tadinya dirapatkan ke telinga mula dijarakkan.
“Isy!” Spontan satu patah kata itu meluncur perlahan sebaik Durrah memandang kepada skrin. Kelihatan nama ‘Pengacau 1’ di situ. Matanya mula mengecil sambil menggigit bibir sendiri.
“Awak lagi ya?” tidak bertangguh Durrah terus melepaskan soalan sebaik mendekatkan semula telefon bimbitnya ke telinga.
“Err.. maafkan saya cik. Sebenarnya..”
“Isy! Berapa kali saya nak cakap? Saya takkan setuju. Awak cakap kat bos awak tu, apa nak jadi sekali pun saya tetap takkan setuju, paham?!” Skrin Samsung itu disentuh kasar untuk menamatkan perbualan. Hati yang tadinya senang dan teruja untuk menonton filem kegemarannya itu mula terasa panas. Durrah terus mencampakkan telefon ke sofa. Kaki mula melangkah menghampiri tingkap rumah.
“Tak cukup dengan telefon rumah, sampai ke telefon aku pun depa nak kacau? Huh!” Durrah melempiaskan emosinya di jendela. Matanya tajam menyorot beberapa orang pekerja yang sedang sibuk melakukan kerja-kerja penurapan jalan bertentangan dengan rumahnya. Durrah berlalu semula ke sofa sambil mendengus. Punggung dihenyak kembali ke sofa dengan kepala yang digeleng beberapa kali.
“Apa nak jadi pun jadilah. Aku tetap tak setuju. Bodoh! Depa ingat depa sapa?” Durrah terus menggerutu seorang diri. Filem Confession of a shopaholic yang masih tertayang di skrin laptop tidak lagi menarik minat Durrah untuk terus menonton. Kepalanya kembali berserabut memikirkan satu masalah yang menghantui dirinya lebih kurang tiga bulan yang lalu.

Dia mula menyandarkan kepala ke sofa. Terkebil-kebil mata Durrah memerhati siling rumah. Rumah itu terasa kosong. Sunyi dan sepi dari sebarang bunyi kecuali bunyi yang datang dari seberang jalan. Mata mula dipejam perlahan. Terngiang-ngiang gelak ketawa yang dahulunya pernah memenuhi rumah itu.
Wajah-wajah kesayangannya datang bertamu tanpa dipinta. Ayah, emak dan adik-adiknya. Masing-masing tersenyum kepada Durrah. Air jernih yang mengalir di kedua-dua pipi Durrah membuatkan dia kembali membuka mata. Siling asbestos yang berwarna putih kembali dipandang kosong. Sekosong fikirannya sekarang.
Alunan lagu Chicago yang kembali kedengaran membuatkan Durrah pantas menyeka kedua belah pipinya. Gadjet yang dilepaskan ke sofa tadi mula dicapai.
“Sampai kiamat pun aku takkan jawab!” Durrah melepaskan semula telefonnya ke atas sofa dengan geram. Kelihatan nama ‘Pengacau 2’ di skrin Samsung itu. Nafasnya mula tidak teratur menahan geram yang kembali menyerang. Beberapa saat kemudian, alunan lagu itu berhenti.
“Tak habih-habih nak kacau aku! Berapa kali aku nak cakap yang..”
Belum pun sempat Durrah ingin terus menghamburkan rasa amarahnya seorang diri, telefonnya kembali berdering. Tidak bertangguh, terus telefon itu disambar.
“Hey! Berapa kali saya nak habaq? Saya kata tak mau, tak mau la! Apa yang susah sangat awak nak paham? Bagitau kat bos awak tu yang saya..”
“Durrah, akulah!” Suara yang kedengaran terus mematikan kata-kata Durrah. Telefon dijarakkan dari telinga untuk memerhati nama yang tertera di skrin. Sengaja ingin memastikan biarpun suara itu terbiasa benar di pendengarannya.
“Nuha..” Meleret suara Durrah sebaik mendekatkan semula telefon Samsungnya itu rapat ke pipi.
“Yalah, aku. Yang hang dok hingaq-hingaq ni pasai pa? Marah macam mak naga dok sembuq api tak berhenti-henti. Awatnya?” Tu dia... Keluar habis loghat Utara. Memang Durrah dan Nuha ni orang Utara pun.
“La... hang bukan tak tau pasai pa aku marah. Pasai kes tu la. Hang tau dak..”
“Awatnya? Habaq mai!” Nuha yang tidak sabar terus mencelah.
“Nak habaq la ni. Hang tau dak, dari tadi depa dok call aku. Mula-mula call kat telefon rumah. Aku tak jawab pun. Lantak pi! Tengah aku dok sedap-sedap layan Confession of a shopaholic, depa call lagi. Kali ni, depa telefon handset aku. Bukan sekali tapi dua kali! Tu yang tadi tu, aku ingat depa lagi. Sebab tu aku marah-marah,” Durrah terus mengadu.
“Ya ka? Aku ingat depa seriuslah Durrah. Ala.. aku pun susah nak cakap kat hang tapi err.. hang ni biaq betui. Hang serius ka nak buat lagu ni?” Kata-kata Nuha membuatkan Durrah melepaskan nafas panjang. Bukan setakat kawan baiknya itu, bahkan jiran-jiran yang lain pun sebelum ini asyik bertanyakan hal yang sama. Sudah naik bosan dia ingin menjawab.
“Wehh Nuha... aku bukannya budak-budak tau? Taulah aku apa yang aku buat. Yang depa kat sana tu. Tak paham bahasa? Kan aku dah kata, aku tak mau, tak mau la! Apa yang susah sangat nak paham?” Durrah mula berdesis geram.
Kedengaran Nuha yang menggumam di hujung telinganya. Durrah mula menggigit bibir menanti kata-kata kawan baiknya itu. Bukannya dia tidak tahu pandangan Nuha mengenai hal yang satu itu. Hal yang membuatkan dirinya diganggu dengan panggilan telefon hampir setiap hari. Tak, bukan hampir tapi memang setiap hari kecuali hujung minggu.
“Urmm... aku tahulah yang hang ni bukan budak-budak lagi. Sebab tu aku tanya. Aku tak mau kalau jadi apa-apa kat hang. Lagipun..” Durrah tertawa kecil apabila mendengar ucap kata Nuha.
“Awat hang gelak?”
“Dak la... hang tu risau tak bertempat. Dah... tak payah nak risau sangat. Lagipun, ni memang rumah aku. Memang aku yang ada hak bukannya depa. Selagi aku tak sign mana-mana surat untuk lepaskan hak rumah ni, selagi tu depa tak boleh buat apa, hang tau kan?” balas Durrah yang sudah kembali serius.
“Yang tu aku pun tau. Cuma..”
“Cuma apa?”
“Isy! Aku pun tak tau dah nak cakap macam mana. Aku memanglah sokong hang sebab hang kawan aku tapi..”
“Dahlah Nuha. Aku tak mau pikiaq apa dah. Apa nak jadi sekali pun aku tetap dengan keputusan aku. Titik. Muktamad.”
“Urm.. yalah, yalah. Aku telefon ni sebab nak habaq satu benda. Benda penting.” Nada suara Nuha yang kedengaran sedikit teruja itu mula membuatkan Durrah berkerut dahi.
“Apa dia?”
“Nanti Miss World ajak buat reunion.”
“Apa?!” Mata Durrah sudah terjegil sebaik mendengar maklumat yang disampaikan oleh Nuha.
“Ya. Dia ajak buat reunion. Hang nak pi dak?”
“Malaih la. Awat? Hang nak pi?” Durrah pula melepaskan soalan kepada Nuha.
“Kalau dah hang tak pi, takkan aku nak pi. Agak-agaklah...”  Durrah terdiam sejenak. Miss World. Sudah berapa lama mereka tidak ketemu dan sekarang ingin buat majlis pertemuan semula? Ah! Mesti ada agenda si Miss World itu. Peraturan pertama, jangan sesekali percaya dengan cakap Miss World itu. Never ever!
“Helo Durrah, hang dengaq dak ni?”  Suara Nuha yang kembali kedengaran menyedarkan Durrah yang baru memutarkan kenangan masa lalu bersama-sama dengan Miss World.
“Err.. ya.. awatnya?”
“Awatnya? Hang ni mamai ka apa? Aku kata tadi, kalau hang tak pi takkanlah aku nak pi kan.”
“Oh! Ya, ya.. memang dak la aku nak pi. Hang ni pun Nuha... macamlah hang tak tau dia dengan kita macam mana kan? Atau lebih tepat lagi, dia dengan aku,” ujar Durrah sambil mencebik. Siap dengan jari telunjuk menuding ke dada sendiri. Terasa jengkel apabila bercakap mengenai Miss World yang seorang itu.
“Aku tahulah tapi benda tu dah lama kut? Waktu kita kat sekolah menengah. Takkan hang ingat lagi?” balas Nuha yang sudah tergelak di hujung talian.
“Mestilah! Cuba kalau hang yang kena, takkan hang tak ingat?” Durrah bernada serius. Semakin geram pula rasanya kepada Miss World sekarang apabila kenangan lalu diungkit. Lebih sakit hati apabila ketawa Nuha semakin kuat pula di hujung talian.
“Gelaklah, gelak... gelak kat orang mesti seronok kan?”  Dengan tawa yang masih bersisa, Nuha cuba bersuara.
“Dak la... hang tu... benda dah lepaih kan? Tak payahlah nak sakit hati sangat.”
“Tak payah nak sakit hati sangat? Kalau hang tanya kat Steve pun, tah-tah dia pun ingat lagi, hang tau dak ? Senang ja hang nak cakap tak payah nak sakit hati kan?” Durrah masih bernada serius.
“Okay, okay. Kita tak payah cakap dah pasai perempuan tu, ya? Jadi, hang dok contact lagi ka dengan Steve?” soal Nuha mengubah topik perbualan. Namun, bibirnya masih lagi menguntumkan senyuman mengenangkan hal yang satu itu. Ala, bukannya Durrah boleh nampak pun!
“Mestilah. Aku dok contact dia guna FB,” sahut Durrah. Dia yang tadinya menyandar di sofa terus membongkok ke depan untuk mencapai tetikus. Tangan mula menggerakkan tetikus untuk menutup VLC player yang masih memainkan filem Inggeris lakonan Isla Fisher itu. Terus, anak panah digerakkan untuk membuka Facebook dan mulut masih rancak berbual dengan Nuha.
*********************************************************************
Kelihatan seorang lelaki dengan sebuah briefcase di tangan melangkah keluar sebaik pintu lif di aras 14 itu terbuka. Riak wajahnya serius. Jam di pergelangan tangan dikerling sekali lalu seiring dengan langkah kaki yang menghala ke pintu kaca yang lutsinar.
Bibir lelaki itu mengorak senyum apabila mata melirik ke arah papan tanda nama yang berkilat di dinding di luar pintu kaca. Tertera ‘Perkasa Holdings’ yang selalu memberinya semangat untuk memulakan hari-hari kerjanya.
“Selamat pagi Encik Luth,” tegur seorang wanita yang berada di belakang kaunter.
“Morning,” balas Luth sambil menganggukkan kepalanya kepada wanita tersebut. Itu adalah Julia yang bertugas sebagai penyambut tetamu di Perkasa Holdings.
Julia tersenyum simpul menerima balasan bosnya. Lelaki yang menjunjung nama Luth Zafir itu adalah 
CEO kepada syarikat tersebut. Syarikat yang menguruskan bidang hartanah dan pembangunan itu kini semakin giat berkembang di bawah pimpinan Luth Zafir yang berusia 32 tahun.
Sepasang mata Julia terus galak menyorot gerak langkah Luth yang menghala ke biliknya. CEO itu kelihatan segak dan kemas seperti selalu. Susuk tubuh lelaki itu kelihatan bertambah menarik dan terserlah di dalam sepasang suit Giorgio Amani yang berwarna hitam.
“Aduhai Encik Luth... ai la.. bertuahlah badan siapa yang jadi kekasih dia tu.” Tergeleng-geleng kepala Julia yang seorang diri berada di kaunter itu. Di dalam kepalanya, dia mula memasang angan-angan. Kalau boleh wujudnya kisah dongeng Beauty and the Beast, Cinderella and The Prince Charming, kenapa di dunia sebenar tidak boleh Julia dan Luth, kan? Saling bergandingan bersama-sama menghala ke pelamin dan..
“Hah! Berangan!” Satu suara yang menyergah menyentak Julia yang elok tersengih seorang diri di kaunter. Siap dagu sudah ditongkatkan dengan tangan lagi sambil mata yang tak lepas mengikut gerak langkah Luth Zafir yang sudah memboloskan diri ke dalam bilik.
“Isy! Kak Pah ni..” Julia mula berdecit. Wajah cemburut sengaja ditayangkan di pandangan mata Kak Pah yang bekerja sebagai akauntan di syarikat itu. Kelihatan Kak Pah yang sudah terpacak di depan kaunter penyambut tetamu.
“Apa, apa? Kau tu kan... kalau tengok bos kita, amboi! Bukan main lagi. Dari tadi akak perhati aje perangai kau tu. Pandang Encik Luth tu tak berkelip langsung.” Kak Pah sudah memulakan sesi menjuih bibir di pagi hari.
Julia tersenyum sebaris sebaik mendengar nama lelaki itu. Luth Zafir. Oh! Indah! Terasa dirinya cukup bertuah dan bersemangat sekali untuk datang bekerja apabila mengenangkan seraut wajah kacak itu. Kalau Perkasa Holdings memerlukan khidmatnya tujuh hari seminggu pun tidak mengapa, dia sanggup! Pembetulan, bukan Perkasa Holdings tetapi Encik Luth Zafir ya.
“Hah! Berangan lagilah tu. Tak payahlah Ju. Kau ingat akak tak tahu apa yang kau fikirkan? Apa yang kau angankan? Hmm?” Kak Pah bersuara lagi.
“Saya tak cakap apa-apa pun kan?” balas Julia sambil mengangkat kening dan tersengih. Geram pula melihat Kak Pah yang bagaikan boleh menelah isi hatinya itu.
Terherot-herot mulut Kak Pah ingin membalas. Tidak puas rasa hati ingin memulakan kerja selagi tidak bergosip dengan Julia. Sesekali, mata ikut menjeling ke arah pintu bilik Encik Luth Zafir. Risau kalau-kalau majikan mereka itu melangkah keluar dan sekaligus mengganggu sesi gosip yang baru berlangsung.
“Ala... kau tak cakap pun akak tahu. Akak pun perempuan. Macamlah akak tak boleh nak agak apa yang ada dalam kepala otak kau tu,” tempelak Kak Pah sambil menjeling.
“Akak...” Julia yang sedang meneliti beberapa keping surat itu mula memanggil Kak Pah dengan nada meleret sambil menjeling sekilas.
“Dah.. kau tak payah nak berdrama nak cakap yang konon-kononnya kau tak fikir atau bayangkan apa-apa bila kau tengok Encik Luth tadi atau..” Kak Pah mula menaikkan jari telunjuknya.
“Apa?” balas Julia yang tidak ingin mengalah.
“Atau, bukan setakat tadi aje tapi setiap kali kau tengok Encik Luth, kan? Hey, akak perasanlah gerak-geri kau tu.” Julia melepaskan nafas. Beberapa sampul surat yang berada di tangan diletakkan ke atas kaunter sebelum mula menalakan pandangan kepada Kak Pah.
“Fine... memang saya sukakan bos kita tu okey? Puas hati?”
“Memang..” Belum pun sempat Kak Pah ingin berkata-kata, kedengaran interkom di hadapan Julia sudah berbunyi. Terus, laju sahaja tangan Julia menekan satu punat untuk menjawab.
“Where’s my coffee?” kedengaran suara Encik Luth.
“Err.. ya Encik Luth. Five minute!” tergagap Julia menjawab sebaik mendengar soalan yang dilepaskan oleh majikannya itu. Kak Pah mula tersengih.
“Akaklah ni!” sempat lagi Julia bersuara sambil menampar bahu Kak Pah sebaik bergegas bangun dari duduknya. Sekaligus menyalahkan Kak Pah di atas kekhilafannya sendiri pada pagi itu. Salah satu tugasannya adalah untuk menyediakan kopi untuk Encik Luth Zafir. Kaki mula tergesa-gesa menuju ke bilik pantri.
“Eh! Kita pulak yang nak disalahkan. Sendiri yang..” Julia berpaling sambil menjegilkan matanya kepada Kak Pah. Segera bebola matanya menjeling kepada beberapa orang staf yang lain yang berada di kubikel masing-masing sebagai isyarat ‘nanti – pecahlah – rahsia – kita’ kepada wanita itu.
Kak Pah menunjukkan ibu jarinya sebagai tanda mengerti. Ya, hal yang dibualkan di antara dirinya dengan Julia tadi harus dijaga rapi. Apatah lagi hal tersebut berkaitan dengan majikan mereka sendiri. 

Bukannya calang-calang jawatan. CEO! Susuk Julia yang sudah lagi tidak kelihatan di pandangan matanya membuatkan Kak Pah pulang semula ke mejanya.
Luth Zafir yang berada di dalam bilik pejabatnya mula mencapai sebuah fail yang sudah tersedia di atas meja. Kelihatan label “PROJEK UTARA” di hadapan fail tersebut. Berkerut seketika dahinya sebelum mula membuka fail yang berwarna hitam itu. Beberapa minit diambil untuk meneliti laporan yang tersaji di depannya. Kerutan yang baru saja hilang 
mulai muncul semula. Salah satu butang interkom mula ditekan.

“Su, pasal Projek Utara ni..”
“Ya Encik Luth. Encik Farhan cakap, pagi ni dia akan terangkan kepada encik.” Suara Suhana, setiausaha kepada Luth Zafir tenang menjawab.
“Pagi ni? Bila?” soal Luth tidak sabar. Jam yang melilit kemas di pergelangan tangan mula dikerling.
“Hah! Itu pun Encik Farhan sudah sampai.”
“Send him in.” Terus satu butang ditekan untuk menamatkan perbualan. Butiran-butiran yang tercatat di dalam fail itu kembali menarik perhatian Luth Zafir.
“Morning Luth.” Suara yang kedengaran sebaik pintu bilik dikuak segera menarik pandangan mata Luth Zafir dari terus tertancap kepada fail.
“Ni.. apa masalahnya?” Fail yang elok dipegang tadi terus dilepaskan ke meja sebaik kelibat Farhan kelihatan.
“Well...” Farhan yang baru melabuhkan punggung ke kerusi itu cuma memberikan senyuman sebagai jawapan.
“Well?” Luth Zafir yang tidak berpuas hati melepaskan lagi soalannya. Pandangan matanya tepat menghala ke arah raut wajah Farhan.
Farhan berdehem sekali dua sebaik melihatkan ekspresi wajah Luth Zafir. Fail yang berada di atas meja segera dicapai dan diimbas sekali lalu. Memang dia sendiri yang menyediakan laporan tersebut tetapi dia ingin memastikan kalau-kalau adanya maklumat yang terlepas dari pandangan matanya.
“Hah! Kau sendiri dah baca kan? Macam tu la.. macam mana lagi aku nak explain? Kalau tuan tu sendiri tak nak jual, kita tak boleh nak paksa, you know it right?” Farhan mula mengangkat kening.
Baru saja hendak membuka mulut, kedengaran ketukan di pintu.
“Masuk!” lantang suara Luth Zafir kedengaran.
Gulp! Kuatnya suara Encik Luth. Julia menelan air liur. Dia yang membawa secawan kopi terus berdebar-debar sebaik menguak daun pintu. Kelihatan pandangan mata majikannya itu tajam menyorot kepadanya.
“Err.. saya tak tahu yang Encik Farhan pun ada. Kalau tak..”
“No.. that’s okay Julia. I dah breakfast pun tadi,” balas Farhan sambil tersenyum. Sempat matanya dikenyitkan kepada gadis itu. Julia tidak berani memberikan sebarang respons. Secawan kopi panas yang sudah siap dibancuh diletakkan dengan penuh cermat ke atas meja Luth Zafir. Kaki terus diatur untuk melangkah keluar sebaik selesai menjalankan tugasannya.
Melihatkan daun pintu yang sudah dirapatkan kembali, Luth Zafir mula bersuara.
“There’s nothing that we can do, really?”
Farhan terjeda. Nada itu kedengaran cukup sinikal di hujung telinganya.
“Habis tu, what do you expect then? Kau nak aku paksa tuan tu tandatangan juga untuk lepaskan hak dia? Macam tu?” balas Farhan dengan tenang. Ah! Macamlah dia tidak tahu segala ragam dan tingkah Luth Zafir itu. Bukannya orang lain, sepupu dia juga!
“Well, if you have to,” sahut Luth Zafir tidak mahu mengalah.
Farhan menggeleng tidak percaya mendengar jawapan Luth Zafir.
“Sama ada kau gila atau..”
“I choose the second one. Smart!” Luth Zafir memintas cakap Farhan. ‘Sama ada kau gila atau bijak’ itu sudah seringkali dilontarkan oleh Farhan kepada dirinya. Kali ini, raut wajah yang sedari tadi serius mula berubah corak. Adanya segaris senyum yang tersungging di bibir Luth Zafir.
“Kalau kau bijak, then I bet.. mesti kau boleh selesaikan masalah ni, right?” soal Farhan sambil tersenyum. Sengaja ingin menduga reaksi sepupunya itu.
“Maksudnya, kau nak cakap yang memang kau mengaku kalah, macam tu?” Luth Zafir memandang sekilas kepada Farhan sebelum mula mencapai cawan yang berada di sisinya.
Farhan menghela nafas. Sesekali, boleh panas hatinya apabila berbahas dengan sepupunya yang seorang ini. Sentiasa ingin menang.
“Kalau kau boleh selesaikan hal ni, ya.. aku akan mengaku kalah,” sahut Farhan yakin.
Luth Zafir yang baru hendak menyisip air kopinya mengerling kepada Farhan. Terbantut hajatnya. Kelihatan sepupunya itu sudah tersenyum kepadanya. Dia tahu, Farhan pun bukannya calang-calang lelaki. Nada yang dilepaskan tadi kedengaran seperti mencabar dirinya tetapi kerana sikap Farhan yang satu itulah membuatkan dia menyerahkan Projek Utara itu dengan yakin kepada Farhan.
“Fine. I’ll do this!” balas Luth Zafir sambil tersenyum. Cawan yang dipegang mula dibawa rapat ke bibir dan bebola mata terus memerhati butiran yang tersedia.

P/S : Tq sudi baca. Jangan malu2 bagi komen ^_^

No comments:

Post a Comment

EH, EH..ADA ORANG NAK BAGI KITA KOMEN?YEAYYY!!!