Tuesday 6 January 2015

DIA MIKHAEL 15



15
            Aku menuruni tangga sambil memerhati kawasan sekolah yang tidak sesunyi seperti selalu sewaktu aku mengaturkan langkah keluar daripada kelas. Suara-suara pelajar daripada kelas-kelas yang berhampiran masih lagi boleh didengari. Saling bergelak ketawa.
            “Patut la,” aku melirik jam yang baru hampir ke pukul 2.25. Raut wajah Nadirah yang merenungku tadi terbayang semula. Apa yang tak kena dengan si Nadirah tu?Dulu pun aku perasan bagaimana dia memandangku tapi apabila dia tersenyum kepadaku, aku sangkakan semuanya sudah kembali seperti biasa.
            “Mana Mikhael ni?,” aku mencari-cari kelibat Mikhael yang selalu menunggu aku berhampiran dengan bangsal basikal, seperti selalunya pada waktu-waktu sekarang.
“Jangan-jangan dia dah balik dulu?,” aku mengerling jam di tangan sekali lagi.
            Selepas berpisah di bangsal pagi tadi, tak pula kami berjanji sama ada untuk pulang bersama-sama. Mungkinkah Mikhael menyangka aku masih lagi memarahkannya?
“Tak kan la...,” aku mengaturkan langkah ke bangsal yang kebanyakannya ruangnya sudah pun kosong. Hanya beberapa buah basikal yang masih ada.
            Aku mengerling ke hujung bangsal.
“Ada lagi?,” aku melihat basikal yang berwarna merah itu. Budak perempuan yang selalu menunggu di sisi basikalnya itu tidak pula kelihatan bayangnya.
            “Entah-entah dia pun selalu balik lewat?,” aku membuat tekaan sendiri. Kalau la pada waktu pagi yang membuatkan aku tak berjaya untuk menegurnya, apa salahnya aku menggunakan waktu sekarang?
            Aku meletakkan buku-buku yang dipegang ke dalam raga basikal sambil memandang ke hujung bangsal. Kalau-kalau tuan basikal tu datang, aku tak akan kehilangan peluang ni lagi. Kalau pada waktu pagi, ada saja halangan yang menghalang aku daripada menegur budak perempuan tu.
            Seakan-akan jelas lagi di pendengaranku bagaimana dia teresak-esak menangis. Mungkin dia memerlukan bantuan?
“Duit ke?,” aku mengerling jam. Dah hampir 10 minit aku menunggu.
            “Mana budak tu?,” aku memandang basikal yang masih ada di hujung bangsal. Dua orang pelajar perempuan yang baru datang untuk mengambil basikal mereka, melemparkan senyuman kepadaku.
“Adik..,” aku memanggil kerana berdasarkan fizikal mereka yang kecil daripada aku.
            “Kenapa kak?,” salah seorang daripada menyahut. Mereka berdua yang sedang menyorong basikal masing-masing, memberhentikan langkah.
“Tingkatan berapa?”
            “Tingkatan 3. Akak?.”
“Tingkatan 5,” aku menunjukkan 5 jari kepada mereka.
            “Selalu balik lambat ke?,” aku bertanya sambil mengerling basikal yang masih lagi berada di hujung bangsal.
“Em..tak juga. Kadang-kadang kalau ada kerja baru balik lambat. Kenapa kak?,” salah seorang daripada mereka bertanya.
            Niat yang terlintas untuk bertanya kepada mereka mengenai budak perempuan itu harus aku luahkan sekarang. Mana tahu kalau mereka berdua ni kenal budak tu?
            “Macam ni..akak nak tanya. Kenal tak budak yang selalu simpan basikal dia kat hujung tu?,” aku menunjukkan ke hujung bangsal.
“Kat hujung?,” budak yang mengenakan tanda nama “Sofea” itu bertanya.
            Aku menganggukkan kepala.
“Siapa ya kat situ?,” mereka berdua berbual sesama sendiri. Aku yakin, hari ni mesti aku akan dapat jawapannya.
            “Kat hujung tu..,” aku mencelah sambil menunjukkan ke hujung bangsal sekali lagi.
“Setahu kami...kalau kat hujung tu basikal Ika...”
            Ika?Sedap nama budak tu. Jadi, namanya Ika tapi kenapa dia menangis?
“Tapi tak la betul-betul kat hujung sangat. Selalunya dia simpan basikalnya dekat dengan basikal kami juga. Kat tengah-tengah tu,” kawan kepada Sofea yang memakai tanda nama “Yasmin” menunjukkan kepadaku.
            Aku memandang ke arah yang ditunjukkan olehnya.
“Kan Sofea?Selalu kat situ kan?,” suaranya menarik semula perhatianku.
            “Kenapa kak?Akak kenal ke Ika?,” Sofea memandangku.
“Tak la. Bukan kat tengah tapi..”
            “Selalunya Ika datang dengan kami. Balik pun sama..cuma hari ni dia balik awal sikit sebab tadi kami singgah kat perpustakaan. Kalau akak nak jumpa dia, nanti kami boleh bagitahu dia.”
            “Bukan, bukan..bukan nak jumpa dia,” aku pantas menidakkan. Bukan itu yang menjadi hajatku.
“Bukan kat tengah-tengah ni,” aku memandang ruang tengah bangsal.
            “Tapi..kat huj..,” kata-kataku mati sebaik memandang ke arah hujung bangsal. Dah kosong!
“Tapi..” aku memandang mereka berdua yang masih lagi memandang aku. 
            “Apa akak cakap tadi?,” Yasmin bertanya.
“Em..Ika tu..basikal dia warna apa?.”
            “O..basikal Ika tu sama macam basikal saya. Ni..,” Sofea menjawab sambil menunjukkan kepada basikalnya. Aku memandang basikalnya yang berwarna biru.
            “Biru?,” aku bertanya.
“Ya. Macam ni la. Biru. Kenapa?.”
            Biru?Maksudnya bukan Ika yang aku cari.
“Tak ada apa-apa. Terima kasih. Maaf la sebab susahkan adik-adik ni,” aku mengerling ke hujung bangsal.
            “Sama-sama,” mereka tersenyum kepadaku sebelum berlalu.
“Mana basikal tu?Tak kan la secepat tu dia menghilang?,” aku memandang ke hujung bangsal. Baru tadi, sewaktu aku berbual dengan budak-budak dua orang tu, basikalnya masih lagi ada di situ.
            “Kalau dia balik sekalipun, tak kan la kami bertiga tak nampak?,” aku kehairanan apabila memikirkan kemungkinan yang mungkin berlaku. Sama ada aku, Sofea ataupun kawannya yang bernama Yasmin itu pasti akan nampak dia yang mesti melewati kami untuk menuju ke pintu pagar sekolah.
            “Tak ada rezeki lagi,” aku membuka kunci basikal. Nampaknya, harapanku tadi apabila terdengar nama Ika, kini sia-sia. Mustahil dia yang aku cari kerana basikalnya berwarna biru, bukannya merah seperti yang aku nampak di hujung bangsal.
            “Assalammualaikum,” suara yang menegur mengejutkan aku yang melayang jauh memikirkan budak perempuan tersebut.
“Mikhael!Ingatkan awak dah  balik,” aku memandangnya yang sedang tersenyum.
            “Tak lagi. Tadi ada kerja sikit. Awak sembang dengan siapa tadi tu?.”
“Awak nampak budak-budak tadi tu?,” aku bertanya kembali.
            “Nampak. Kan tadi saya dah berjalan dari sana. Awak yang tak perasan,” dia menunjukkan ke arah bangunan yang terletak di belakang sekolah.
            “Tak la. Saja tanya budak-budak tu tingkatan berapa. Bosan tunggu kat sini,” aku berbohong kepada Mikhael. Tak kan la aku nak memberitahunya tujuan sebenar aku bersembang dengan budak-budak tu?
            “Tunggu?Apa yang awak tunggu?,” Mikhael berjalan di sisiku sewaktu kami berdua meninggalkan bangsal tersebut.
Alamak!Terlepas cakap la pula. Tak kan aku nak mengaku yang aku sengaja menghabiskan masa di situ untuk bertemu dengan budak perempuan tu?
            “A..awak. Tunggu awak la. Mana la tahu kalau awak tak balik lagi,” aku memerhati raut wajah Mikhael yang merenungku. Dia percaya ke?
            “Ya la tu. Macam la saya tak tahu...”  
Aku mendiamkan diri. Terasa bersalah pula apabila berbohong kepadanya yang menolong aku pagi tadi.
            “Kan saya dah pesan. Ingat tak?,” Mikhael memandangku.
Aku terus mendiamkan diri. Pasti Mikhael sudah boleh mengagak kenapa aku tunggu di bangsal tadi.
            Sewaktu melewati pondok pengawal, Pakcik Mahfiz yang berada di situ memanggilku.
“Lida..kenapa tak naik basikal tu?,” dia menunjukkan kepada basikalku.
            “Tak apa la pakcik. Nak jalan,” aku tersenyum kepadanya yang sudah mengenaliku sejak aku mula bersekolah di sini.
Aku mengerling Mikhael yang mendiamkan diri.
            “Saya..saya cuma pelik,” aku menuturkan kata-kata tu. Biar Mikhael tahu kenapa aku begitu teringin untuk bertemu dengan budak perempuan tu.
“Balik dulu pakcik!,” aku melambai kepada Pakcik Mahfiz yang masih memerhati aku. Aku melihat dia yang juga turut mengangkat tangannya kepadaku.
            “Apa yang awak pelik?,” Mikhael yang sedari tadi membatukan diri mula bersuara selepas kami melintas jalan untuk berada di lorong kiri.
“Em..budak tu la,” aku mengaku.
            “Kenapa?.”
“Hari tu..pagi tu. Awak ingat tak pagi yang awak panggil saya tu?,” aku bertanya kepada Mikhael.
            Aku melihat dia menganggukkan kepalanya.
“Ha..pagi tu la. Saya dengar dia menangis. Mesti dia ada masalah. Betul tak?.”
            Mikhael melonggarkkan tali leher yang dipakainya. Aku perhati riak wajahnya yang seakan-akan tidak menyenangi sesuatu.
“Kenapa?Panas ke?,” aku bertanya lagi.
            Dia memandang aku seketika dan kemudian menggelengkan kepalanya.
“Masalah..,” perlahan suaranya memasuki pendengaranku.
            “Masalah?Awak ada masalah?,” aku memandangnya. Sesekali aku memerhati buku-buku Mikhael yang turut diletakkannya di dalam raga basikalku.
“Bukan saya. Masalah yang awak cakap tadi tu. Budak tu...”
            “Mana awak tahu dia ada masalah?,” Mikhael pula mengambil giliran bertanya kepadaku.
“Sebab saya dengar dia menangis. Jadi, mesti la dia ada masalah,” aku menjawab yakin.
Tak kan la budak perempuan tu sengaja nak menangis di pagi hari?Apa yang dia dapat?
            “Macam mana kalau sebaliknya?Awak pernah fikir macam tu?.”
“Sebaliknya?,” aku memandang Mikhael yang menganggukkan kepalanya.
            Aku tak faham. Apa yang dimaksudkan oleh Mikhael ni?Sebaliknya?
“Maksud awak..apa?.”
            Aku melihat senyuman yang terukir di bibirnya. Manis!
“Maksud saya..kalau dia ada masalah. Macam mana kalau sebaliknya, dia tak ada masalah?,” Mikhael bertanya kepadaku sambil tersenyum.
            Aku cuba memikirkan logik soalan Mikhael tu. Mustahil!Kalau la dia tidak mempunyai sebarang masalah, kenapa dia nak menangis?
“Kalau dia tak ada masalah, kenapa pula dia nak menangis?,” aku tak berpuas hati dengan andaian yang dibuat oleh Mikhael.
            Sekali lagi Mikhael tersenyum.
“Jangan-jangan awak ni..kenal budak tu tak?,” aku menyerkap jarang. Sebab tu juga dia menghalang aku daripada menegur budak perempuan yang berada di hujung bangsal tu.
            “Mana la saya kenal siapa budak tu,” Mikhael menafikan.
“Dah tu..awak cakap macam awak kenal je,” aku memerhati jalan raya yang lengang.
            “Awak tak faham Lida. Kadang-kadang elok, kalau satu-satu benda tu, kita biarkan macam tu.”
Aku memandang Mikhael. Semakin aku tak faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Mikhael ni. Jauh benar dengan apa yang sedang bermain-main di fikiranku.
            “Biarkan?Macam mana kalau dia perlukan pertolongan?,” aku membangkang cakap Mikhael.
“Kalau dia perlukan pertolongan. Macam mana kalau sebaliknya?,” Mikhael juga membantah cakapku.    
            “Awak ni tak habis-habis. Sebaliknya, sebaliknya..macam mana kalau betul apa yang saya cakap?,” aku semakin tak berpuas hati dengan andaian-andaian Mikhael yang lebih kepada membangkang pendapat aku.
“Tak salahkan kalau kita fikirkan kedua-dua kemungkinan?Mungkin dia perlukan bantuan awak..ataupun mungkin juga tidak.”
            “Kalau tak, kenapa pula dia nak menangis?Tu maksudnya dia perlukan bantuan la,” aku mengemukakan alasan yang aku kira kukuh untuk menyokong pendapatku.
            “Itu apa yang awak dengar. Mungkin berbeza dengan keadaan yang sebenar.”
Aku menghela nafas. Terasa penat apabila bercakap dengan Mikhael. Geram sudah semestinya!
            “Nasihat saya, biarkan dia kat situ. Tak susah pun kan nak buat macam tu?,” sekali lagi pandangan mata kami bertemu.
Aku hanya mengangguk. Jauh di hati, sukar sekali untuk aku menerima apa yang dikatakan oleh Mikhael.
             ***************************************************
        Aku mengiringkan badan ke kanan, memerhati meja tulis dan cahayanya yang menerangi bilik. Entah kenapa, susah pula rasanya untuk melelapkan mata pada malam ni. Kata-kata peringatan daripada Mikhael dan esakan budak perempuan itu seakan-akan bersatu di dalam fikiranku.
            Kenapa Mikhael mempunyai fikiran sebegitu?Bertentangan benar dengan apa yang aku fikirkan. Lain yang aku fikirkan, lain pula yang dia nasihatkan. Mujur juga kami berdua bercakap mengenai hal ni siang tadi, jadi sedikit sebanyak aku sudah mengetahui pandangannya.
            “Negatif betul Mikhael tu,” aku bangun daripada berbaring. Aku memandang beg sekolah yang sudah aku masukkan buku-buku yang perlu dibawa untuk esok.
“Sebaliknya la...itu la ini la. Kesian budak tu,” aku menyepit rambut sebaik kakiku melangkah menuruni katil.
            Aku mencapai glob salji yang berada di atas meja. Glob yang sudah berada di tangan tu, aku goncangkan beberapa kali.
“Cantiknya!,” aku memandang salji-salji yang berselerakan di dalam glob tu. Sememangnya, satu pandangan yang tak kan pernah aku jemu. Malah, glob ini juga salah satu perkara yang boleh membuatkan aku berasa tenang dan gembira.
            Aku mencapai sekeping kertas yang ditindih di bawah glob. Sudah beberapa hari aku cuba untuk menyiapakan kata-kata yang sesuai untuk dianggap sebagai puisi di dalam Pertandingan Menulis nanti.
            “Layak ke ni?Macam bukan puisi je,” aku membaca sekali lalu apa yang sudah tertulis.
Aku mencapai pen yang turut berada di atas meja.
“Tak habis lagi ke?,” aku menconteng sedikit di atas kertas untuk melihat dakwatnya. Aku rasakan sudah banyak kerja yang dilakukan dengan menggunakan pen ni.
            “Ada lagi?,” aku menconteng sedikit lagi untuk melihat hasilnya. Memang ada lagi dakwat pen yang aku ketemu di atas buku sewaktu di makmal dulu.
“Guna je la,” aku berbaring di atas karpet yang gebu tu.
        Aku mengetuk-ngetuk pen yang berada di tangan ke atas kertas sambil mencari-cari idea apa yang harus ku tulis untuk menyempurnakan apa yang sudah ada. Hampir beberapa minit aku berbaring di atas karpet tanpa tanganku bergerak menjalankan tugasnya di atas kertas.
“Tak ada idea la pulak,” aku melepaskan pen di tangan.
            Perlahan-lahan aku menyingkap kain langsir.
“Banyaknya bintang!,” aku bersorak girang. Gembira melihat ciptaan Tuhan yang cantik tu.
            “Bulan..bintang?,” aku memikirkan ayat terakhir yang tertulis di atas kertas.
“Em..cuba je la,” aku kembali meniarap di atas karpet sambil mencapai pen.
Melihat bulan dapat berkata
Mungkin bintang-bintang juga ingin bersuara
Seandainya bintang-bintang berbicara
Mungkin mereka akan bertanya…
            “Apa ya mereka akan tanya?,” suara yang begitu hampir denganku membuatkan pen yang berada di tangan, terlepas.
“A..aw..awak?Awak ke tu?!,” aku berpusing memandang sekeliling. Cuba mencari gerangan si dia yang sememangnya takkan pernah menunjukkan rupa. Aku yakin mesti “dia” yang selalu mengekoriku.

            Sepi. Tiada jawapan yang aku terima.

P/S: Untuk sesiapa yang mengikuti cerita ni..khas untuk sue sebenarnya yang katanya, dia nantikan next entry ni..juga buat Miss Imaginative yang drop komen untuk bab 14. Tq2 ^_^

3 comments:

  1. tak sabar nak tau sape Mikhael yg sebenarnya.

    ReplyDelete
  2. Miss Imaginative, nanti akak update lagi. Tq :)

    ReplyDelete
  3. next chapter pleaseee..!!! x sbar nk tau smbngan dia nih.. :)

    ReplyDelete

EH, EH..ADA ORANG NAK BAGI KITA KOMEN?YEAYYY!!!