5
Selesai
membaca surah Yasin, aku berdoa. Semoga apa yang bakal aku lalui, akan
dipermudahkan oleh-Nya. Aku memohon biarlah keluarga aku juga dijauhkan dari
segala musibah dan perkara yang boleh mendatangkan dukacita.
Sejadah yang menjadi alas, aku lipat dan aku biarkan di
lantai di dalam bilik aku yang terhamparnya permaidani, yang kadang-kadang turut
menjadi tempat belajarku selain daripada katil.
Aku mencapai jadual waktu untuk aku mengetahui buku-buku
yang harus aku bawa untuk esok.
“BM,” aku tersenyum melihat subjek kegemaranku tertera di dalam jadual.
Pantas aku bangun menuju
ke meja untuk mencapai buku teks Bahasa Melayu dan juga buku kompenen Sastera
yang juga turut aku gemari. Aku melihat catatanku yang dilekatkan di atas meja.
“Esei,” aku melihat catatanku. Aku terus teringat karangan yang dikehendaki
oleh Cikgu Mokhtar untuk esok. Karangan mengenai sebuah filem yang pernah
ditonton dan aku mesti menghuraikan apa nilai-nilai moral yang boleh didapati
daripada filem tersebut.
Aku mengeluarkan kotak
pensil Garfieldku daripada beg sekolah. Terus aku mencapai pen untuk menyambung
eseiku yang terbelengkalai separuh jalan. Aku tersenyum apabila memerhatikan
tak banyak kerjaku yang perlu dihabiskan.
“Buat air dulu la,” aku melepaskan pen di tangan.
Semuanya dah siap, kecuali
yang tu je. Aku berkira-kira di dalam fikirkanku dan cuba mengingati mana-mana
subjek untuk esok yang memerlukan kerja rumah untuk disiapkan.
“Dah nak tidur ke?,” suara mak bertanya sebaik terpandangkan aku keluar
melangkah keluar dari bilik.
“Tak la. Nak buat kerja
rumah sikit. Ni nak buat air,” aku sempat melihat kaca TV yang sedang
menayangkan filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Seniman Bujang Lapok. Langkahku
yang hendak diatur menuju ke dapur terhenti di ruang tamu.
“Kata tadi nak buat air?,”
ayah memandang aku.
“Nanti la. Filem ni best!,” aku ketawa melihat keletah Sudin yang pergi
menghadiri ujibakat untuk menjadi pelakon. Lain yang disuruh, lain yang dia
buat tapi kelakar.
“Ingat, tadi kata ada
kerja rumah,” suara mak pula mencelah.
“Ya, orang ingat la,” aku terus menonton sehingga iklan ditayangkan.
Aku menuju ke dapur. Mak,
ayah dan 2 orang adik aku masih lagi setia menonton TV.
“Kan best kalau aku pun dapat tengok,” aku mengeluh. Kerja rumah mestilah
diutamakan.
“Nak buat air apa ya?,”
aku melihat balang yang berisi teh dan juga milo. Sedang memikirkan air apa
yang hendak aku buat untuk basahkan tekak.
“Teh. Kan awak suka teh,” dekat benar suara tu dengan aku.
Pantas aku menoleh ke
belakang, melihat dapur yang tidak berpenghuni melainkan aku.
Macam mana benda tu boleh tahu aku suka teh?Aku teringatkan bekalku pagi tadi,
yang boleh berada di dalam kelas. Kalau la benda yang sama mengacau, mestilah
dia boleh tahu apabila melihatkan air teh tu yang berada di dalam botol airku.
Aku terus mencapai balang
teh. Kalau la benda itu tidak memberikan jawapan sekalipun, memang aku akan
buat air ni kerana memang ini yang menjadi kegemaranku.
Selesai di dapur, aku berlalu ke bilik. Cemburu juga melihat adik-adik aku
yang terkekeh-kekeh ketawa melihat filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee di TV.
Boleh dikatakan semua
filem allahyarham yang berunsur komedi, semuanya aku suka. Semuanya aku dah
pernah tonton dan memang aku tak jemu untuk melihatnya berulang-ulang kali.
Aku terus menuju ke meja
belajarku untuk meletakkan mug yang berisi air teh suam. Bungkusan kecil yang
berisi biskut juga turut aku bawa bersama. Aku melihat katil yang berselerak
dengan buku-buku yang aku ambil dari mejaku tadi untuk dimasukkan ke dalam beg
sekolahku.
“Nanti la,” aku menarik
kerusi. Perlahan aku menghirup air teh suam yang berada di dalam mug. Aku tersenyum
kerana memang hanya air ni yang boleh membuatkan aku merasa tenang, biarpun tak
banyak.
Bungkusan yang berisi biskut aku buka. Satu biskut coklat aku capai. Mataku
terus meniti semula baris-baris ayat yang dah ku tulis di dalam buku karangan.
Filem “Armagedon,” yang menjadi pilihanku cuba aku ingati semula.
Aku melihat ke luar
tingkap. Langsir yang masih tersingkap kemas seolah-olah memanggil aku untuk
menghampirinya.
“Cantiknya!,” aku terpesona melihat bintang-bintang di langit. Biarpun
bayang bulan sedikit terlindung pada malam ni, tapi bintang-bintang yang memang
tak terkira jumlahnya itu tetap nampak berseri.
“Ya, Independence!,” aku
memetik jari apabila teringatkan nama salah sebuah kapal angkasa yang terdapat
di dalam filem itu. Aku pantas bergerak semula ke meja dan mencapai pen yang
dari tadi tak bersentuh.
Biskut yang masih separuh
aku letakkan di atas meja berhampiran mug.
“Pengorbanan..,” aku membebel seorang diri memikirkan nilai-nilai moral
yang perlu aku tuliskan, sambil tangan terus menyambung menulis mengenai
sinopsis filem tersebut.
“Ish!Pen ni waktu-waktu ni
juga nak buat hal,” aku mengetuk pen tu beberapa kali ke meja. Aku cuba
menconteng-conteng di atas kertas kosong tapi tak juga berhasil. Sah, dah habis
dakwat.
Aku menyeluk tangan ke dalam kotak pensilku, mencapai mana-mana pen yang
masih ada.
Aku meneruskan semula
ayat-ayat yang terhenti. Hampir 2 rangkap aku menulis, aku mencapai semula mug
yang berisi air teh. Sesekali aku membaca semula ayat-ayat yang dah tertera di
dalam buku karangan.
Jantungku berdegup kencang sebaik terpandangkan pen yang berada di atas
meja. Tadi tu kat makmal...
Ya Allah, betulkah apa
yang aku nampak ni?Aku cuba mengingati kembali apa yang berlaku di makmal. Aku
yakin apa yang aku nampak. Memang pen yang selalu aku gunakan berwarna hitam
dan pen yang tiba-tiba muncul di dalam makmal, yang berada di atas bukuku tadi
berwarna biru.
Aku mencapai pen tu. Aku
membelek-beleknya. Kenapa sekarang boleh bertukar dakwatnya menjadi hitam,
seperti yang selalu aku gunakan?Aku cam benar alat-alat tulisku. Pen ni
walaupun tidak pernah nampak dan tidak ada pula jenamanya, memang bukan pen
kepunyaanku.
“Jangan fikir banyak sangat,” kata-kata Aisyah bermain semula di benakku.
Aku terus menulis
menggunakan pen tersebut, biarpun memang aku tak boleh berhenti daripada terus
berfkir apa sebenarnya yang sedang berlaku di dalam hidupku. Setidak-tidaknya,
apa yang sedang berlaku sekarang.
Aku terus menulis sehingga cukup 2 muka surat. Cikgu Mokhtar
memang menggalakkan kami semua untuk memenuhui 2 muka surat untuk karangan yang
dibuat.
“Dah pukul 11,” aku mengerling jam loceng. Aku mengeliat untuk
menghilangkan lenguh-lenguh badan.
“Kalau kat katil kan lagi
best,” aku menjeling ke katil yang masih bersepah dengan buku-buku. Sebentar
lagi boleh la aku masukkan semua buku-buku tu.
Aku menyemak sekali lagi karanganku, dari ayat yang pertama sehingga ayat
yang terakhir.
“Minta-minta cikgu kata ok,”
aku tersenyum. Aku membelek semula karangan-karanganku yang lepas. Markah di
antara 70-90 membuatkan aku tersenyum sekali lagi.
“Matematik,” perlahan suara yang datang dari belakangku.
“Siapa?!,” aku menoleh ke
belakang.
Diam. Tidak ada jawapan yang aku dapat. Keadaan sepi. Hanya sekali-sekala
kedengaran suara ketawa keluargaku yang berada di ruang tamu.
Aku mengadapkan semula
pandangan ke meja belajar. Perasaan yang tenang tadi berkocak kembali.
Aku menarik nafas perlahan-lahan. Adakah aku yang banyak berfikir atau
sememangnya betul ada sesuatu di sisiku?
Kata-kata Aisyah berperang
dengan perasaan ingin tahuku. Betulkah cakap Aisyah, aku ni yang terlampau
banyak fikir?
“Matematik,” sekali lagi suara tu kedengaran.
Aku menoleh semula ke
belakang. Tidak ada sesiapa. Hanya aku seorang yang berada di dalam bilik.
“Masakan kita boleh melihat mereka yang bertubuh halus,” tiba-tiba kata
ustaz bermain semula.
Halus?!Ya Allah,
jauhkanlah aku daripada makhluk-makhluk ni. Suara yang mengatakan kepadaku tadi
membuatkan aku terfikir.
Aku mencapai buku latihan
Matematik yang dah aku susun di atas meja bersama buku kompenen Sastera untuk
dimasukkan ke dalam beg bersama-sama buku-buku yang lain yang masih berada di
atas katil.
“Histogram!,” aku menepuk
dahi. Aku mencari di mana letaknya kertas graf
yang aku perlukan untuk melukis carta tersebut. Mujurlah jalan kiranya
dah aku siapkan, hanya tinggal nak melukis cartanya sahaja.
Sebaik menemukan buku
graf, aku mengira carta-carta yang perlu aku lukis.
“10?!,” aku seakan-akan tak percaya. Aku melepaskan keluhan. Penat la macam
ni tapi salah aku juga. Cuai.
Aku mencapai mug. Biskut
coklat yang separuh tu tak berjaya membuatkan tanganku untuk mencapainya
semula.
Aku meneruskan kerja-kerjaku. Mata yang hampir layu aku gagahkan juga
apabila terkenangkan Cikgu Khalida yang mengajar subjek berkenan. Dia memang
guru yang baik. Cikgu Khalida langsung tak kisah kalau perlu menjelaskan
satu-satu topik tu berulang kali.
Aku menguap beberapa kali.
Kadang-kadang aku tersenyum sendirian, lucu dengan histogram yang aku lakarkan,
berbeza dengan jawapannya. Tanganku berperang dengan mata yang hampir tertutup.
Aku menggosok-gosok mata.
“Pukul berapa ni?,” aku mengerling jam loceng. Dah pukul 3 pagi.
“Apa la,” aku menepuk muka
sendiri. Mujurlah aku terjaga. Aku teringatkan jam loceng yang belum aku kunci.
Kalau tidak mesti aku akan lewat bangun pagi nanti.
Aku mengeliat ke kiri dan
ke kanan. Malas benar nak aku bangun, meninggalkan bantal dan selimut.
Kadang-kadang mataku hampir tertutup semula.
Matematik?Katil?
Aku terus bangun dari
pembaringan. Macam mana aku boleh tidur atas katil?Perkara terakhir yang aku
ingatkan ialah aku sedang melukis histogram di meja. Macam mana pula aku boleh
ada atas katil?
Aku memandang sekeliling.
Lampu bilik sudah
dipadamkan. Bilikku hanya diterangi cahaya lampu daripada meja belajarku. Aku
memicit dahi beberapa kali. Apa ni?Aku tak faham!
Selimut yang tadi menyelimutiku juga menimbulkan tanda tanya. Mustahil!
Aku melihat beg sekolahku
yang berada di kerusiku. Aku bangun menuju ke meja.
Beg sekolahku dah siap dipenuhkan dengan buku-buku teks. Aku melihat ke
katil sekali lagi.
Aku ke yang buat semua ni
sebelum tidur?Ke aku yang tak ingat?Tak kan la...
Aku melihat kipas angin yang ligat berpusing. Aku yakin, memang aku tak
hidupkan suis kipas angin sewaktu sedang menyiapkan kerja rumah, tapi sekarang
ni kipas angin sibuk meniupkan angin yang membuai tidurku tadi.
Aku merenung mug yang dah
tertutup kemas dengan penutupnya. Ke mana hilangnya biskut aku yang separuh tu?
Aku mencari di atas meja. Memang aku makan tak habis biskut tu.
Aku tunduk melihat ke
dalam bakul sampah yang berwarna biru. Ada di situ!Mustahil aku yang buangkan
kerana aku letakkan di atas meja.
Aku duduk di lantai sambil memegang bakul tu. Apa yang berlaku sebenarnya
ni?Aku betul-betul keliru.
Mataku yang minta ditutup semula
membuatkan aku mencapai jam loceng yang berada di atas meja.
“Dah berkunci?!,” aku
terkejut. Apa sebenarnya yang berlaku ni?Tak kan la aku yang buat semua ni tapi
aku sendiri yang tak sedar, atau mungkin tak ingat?
Aku bukan jenis yang cepat terlupa tapi sejak akhir-akhir ni,
perkara-perkara macam ni membuatkan aku menjadi keliru.
Aku mengerling sejadah
yang dah tersidai di tempatnya semula. Aku yakin sejadah tu aku biarkan di atas
permaidani selepas habis aku menunaikan solat Isya dan membaca surah Yasin.
“Tidurlah,” mataku yang
dari tadi meminta ditutup semula membuatkan aku merebahkan badan di atas
permaidani. Malas nak menuju ke katil mengenangkan hanya tinggal lebih kurang 3
jam untuk aku menutup mata.
Kelibat seseorang yang
berada di sisi meja belajarku membuatkan mataku terbuka semula. Mataku pantas
melilau mencari kelibat yang mencuri pandanganku sebentar tadi.
“Tak ada apa-apa pun,” aku mengiring ke kanan, membelakangkan meja
belajarku.
“Assalammualaikum,”
telingaku dapat mendengar suara yang memberikan salam. Bercampur dengan lena
yang datang. Ke hanya aku yang bermimpi di saat-saat ni?
“Tak mau bawa bekal hari
ni?,” mak bertanya sewaktu aku mencapai cawan yang dah berisi air teh.
“Tak pa la mak. Hari ni tak payah,” aku menghirup perlahan-lahan air teh
yang masih suam.
“Kalau nak mak boleh
sendukkan nasi lemak tu. Sambal bilis, akak suka kan?Telur rebus pun ada ni,”
mak yang sibuk mengupas kulit telur seakan-akan memancing minatku.
“Boleh la,” aku tersenyum mengenangkan bekal yang akan ku kongsi dengan
Aisyah seperti selalu.
“Nak bawa lagi satu ke
untuk Syah?,” mak yang dah habis mengupas kulit telur tu mencapai timun pula.
“Tak payah mak. Selalu orang kongsi je dengan Syah,” aku masih mengirup air
teh yang masih suam.
“Ayah mana mak?.”
“Surau,” mak menjawab ringkas.
Aku hanya mengangguk.
Betul juga. Kalau dah tak ada kat rumah pagi-pagi ni, mestilah ayah dah ke
surau untuk sembahyang Subuh.
“Nah, bawa elok-elok.”
Aku menyambut bekal yang mak hulurkan.
“Sekali dengan air juga?,”
aku membelek-belek botol air.
“Dah alang-alang bawa sekali la,” mak seakan-akan memahami perangai aku
yang keberatan untuk membawa sekali botol air tu.
“Dulu boleh je akak bawa,”
mak tersenyum.
“Dulu kat sekolah rendah lain. Sekarang nak beli kat kantin pun boleh.”
“Tapi tak samakan?,” mak
menduga.
“Hehe...betul-betul. Kalau sama dah lama tak bawa ni,” aku menunjukkan
kepada botol air tu.
“Macam-macam la akak ni.
Selalu awal akak pergi tapi hari ni...tengok, jam dah pukul berapa?.”
“Saja nak pergi lewat sikit.”
“Kalau macam tu makan la
dulu nasi lemak. Sempat lagi,” mak bangun mencapai satu pinggan.
“Tak payah la mak. Nanti kat sekolah orang makan la dengan Syah,” aku
menghalang mak yang dah menyendukkan nasi lemak.
“Betul ni?,” mak memandang
aku.
Aku mengangguk sambil terus menghabiskan air teh yang masih berbaki.
“Betul. Lagipun orang dah
nak pergi dah ni,” aku berjalan menuju ke ruang tamu untuk mencapai beg
sekolah.
Aku melihat ayah yang sedang berjalan balik dengan Pakcik
Razali. Rancak mereka berdua berbual-bual.
“Dah nak pergi dah?,” ayah bertanya sewaktu aku menyorong
basikal.
Aku mengangguk. Pakcik Razali tersenyum kepadaku.
“Dah tingkatan berapa
sekarang?.”
“Tingkatan 5, pakcik,” aku tersenyum.
“Pergi dulu ayah, pakcik,”
aku berbahasa sebelum mula mengayuh.
Aku melihat langit yang tidak gelap seperti selalu. Hampir cerah.
“Patut la,” aku melihat
jam di tangan yang menunjukkan hampir ke pukul 7.
Biarpun aku bangun awal tadi setelah dibangunkan oleh bunyi jam loceng,
yang pastinya bukan dikunci oleh aku, tetapi aku sengaja bertolak lewat hari
ni. Tak sanggup aku nak terus berhadapan dengan peristiwa-peristiwa aneh di
sekolah tu.
Aku mengayuh basikal
perlahan-lahan, seperti kebiasaannya juga. Aku tak perlu bimbangkan kelas yang
berkunci kalau-kalau rakan-rakan sekelasku yang datang awal dah pun sampai ke
sekolah sekarang ni. Kan ada si Asyraf yang memegang kunci pendua?
Aku tersenyum. Tenang
sekali pagi ni. Biarpun fikiranku masih tak dapat berhenti daripada memikirkan
siapa yang mengemas buku-buku aku yang berselerak di atas katil?Malah, siap
dimasukkan ke dalam beg sekolahku. Mug aku juga tertutup kemas.
Bukan setakat itu, pagi
tadi sewaktu aku terjaga pun, kepalaku sudah dialas dengan bantalku yang
berwarna merah jambu tu. Kalau la aku yang mencapai bantal tu, aku yakin
selimut masih lagi berada di atas katil apabila aku merebahkan badan di atas
permaidani.
Kipas angin yang bertiup ke arahku juga membangkitkan keraguan di hatiku.
Aku yakin. Malah,
amat-amat yakin bahawa bukan aku yang buat semua ni tapi kalau aku ceritakan
kepada mak dan ayah, pastinya mereka tak akan percaya. Hanya aku yang berada di
dalam bilik. Tidak ada orang lain. Jadi, siapa punya kerja kalau bukan aku?Itu
kalau diikutkan logik akal.
“Entah la,” aku menghela
nafas.
“Ya Allah!Garfield,” aku memberhentikan basikalku. Pantas aku turun
daripada basikal untuk memeriksa beg sekolahku yang tergalas di belakang.
“Assalammualaikum,” suara
yang menegur membuatkan aku terkejut.
“Mikhael!,” aku memandangnya. Jalan yang di kiri kanan tidak memiliki
mana-mana rumah tu membuatkan aku memandangnya dengan penuh syak wasangka.
“Awak..dari mana?,” aku
memandangnya.
Dulu, aku masih ingat melihat dia yang sedang berjalan di jalan yang menuju
terus ke Pekan Melati untuk meninggalkan sekolah. Sekarang dia muncul di
belakangku, seolah-olah dia datang dari Pekan Tanjung.
“Dari rumah la. Sana rumah
saya,” dia menunjukkan jalan berlorong yang bertentangan dengan jalan kiri yang
menjadi laluanku setiap hari.
Aku melihat ke arah yang ditunjukkan. Jalan yang menuju ke sebuah kampung
yang tak pasti apa pula namanya.
“Kat situ la tempat
tinggal saya,” dia tersenyum.
“Tapi hari tu saya nampak awak..,” aku menunjukkan ke arah sekolah yang
masih tinggal separuh perjalanan.
“Saya ke rumah kawan.
Rumah dia kat lorong yang dekat dengan sekolah,” dia menjelaskan.
Betul juga. Sebab tu
agaknya bila aku menoleh untuk melihat dia, dia dah lesap dari pandangan mataku
hari tu.
“Awak ni cari apa?Tiba-tiba berhentikan basikal macam tu tadi.”
“Oh..tu..kotak pensil saya,”
aku menurukan beg yang masih tergalas di belakangku.
“Terlupa ke?,” dia bertanya.
Aku hanya mengangguk.
Entah kenapa sejak kebelakangan ni, ada saja benda yang aku tertinggal. Bekal
la dan sekarang ni kotak pensil pula. Aku melirik Mikhael yang masih setia
berdiri. Dia tersenyum.
“Pelik!,” aku melihat kotak pensil yang berada di dalam beg sekolahku. Tadi
aku yakin yang aku tertinggalkannya di atas meja belajarku sewaktu aku
melukiskan histogram semalam.
Mustahil aku yang memasukkannya ke dalam
beg sekolahku. Sudahlah pagi tadi aku sempat mengerlingnya yang masih berada di
atas meja selepas aku menunaikan sembahyang Subuh. Akibat asyik bertangguh nak
memasukkannya ke dalam beg sekolah, aku yakin ia masih berada di situ.
“Kenapa?Ada tak?,” Mikhael
bersuara.
Aku memandangnya.
“Ada. Pelik betul,” hanya
itu yang mampu aku ucapkan.
Dia tersenyum.
“Apa yang peliknya?.”
“Ya la. Semalam saya yakin Garfield ni tertinggal atas meja belajar saya,”
aku mengeluarkan kotak pensilku untuk ditunjukkan kepada Mikhael yang masih
setia menunggu.
“Agaknya perasaan awak je
tu. Tu kan dah ada dalam beg?,” dia mengisyaratkan matanya kepada kotak pensil
yang berada di tangan.
Aku kehairanan. Kenapa sejak kebelakangan ni begitu banyak benda pelik yang
terjadi?Seakan-akan peristiwa ni bersifat satu pertolongan yang sentiasa
memudahkan kerjaku.
“Dah la. Jom!Nanti lewat,”
suara Mikhael mengingatkan.
Keadaaan jalan raya mulai sibuk dengan beberapa buah kereta dan juga van
yang membawa pekerja-pekerja kilang. Sempat aku mengerling beberapa buah kereta
cikgu yang mengajar di sekolahku.
“Eh!Tak naik ke?,” Mikhael bertanya kehairanan selepas
aku menyorong basikalku untuk berjalan beriringan dengannya.
“Kita jalan sekali ya,” aku tersenyum.
Tak enak pula rasanya
kalau aku nak terus menaiki basikal dan meninggalkannya yang sedari tadi setia
menunggu di sisiku.
“Tak takut lewat?,” dia
menduga.
“Ya la. Kan selalu awak awal-awal dah sampai ke sekolah.”
Aku memandangnya.
“Kan hari tu kita bertembung kan?,” dia seakan-akan boleh membaca mindaku
yang hairan macam mana dia boleh tahu rutin harianku ke sekolah.
“Betul la. Terlupa,” aku
tertunduk malu. Macam-macam pula aku syak kepada Mikhael ni. Memandangkan
banyak perkara pelik yang terjadi, aku sering menyimpan sedikit syak wasangka
kepadanya.
“Awak..memang selalu
berjalan kaki ke sekolah?,” aku mula bertanya perkara yang bermain di
fikiranku.
“Ya. Memang berjalan kaki sebab rumah pun tak jauh sangat.”
“Tapi..saya tak pernah
nampak awak pun sebelum ni?.”
Mikhael tersenyum lagi. Senyumannya memang manis!
“Macam mana nak nampak...”
Aku merenungnya.
“Maksud awak?.”
“Ya la. Saya baru berpindah kat kampung tu. Mestilah awak tak kan pernah
nampak saya kan?.”
Aku mengangguk, mengakui
kebenaran kata-kata Mikhael. Macam anggapan yang pernah aku buat dulu. Dia
mengikut keluarganya berpindah ke sini.
Jadi mestilah aku tak
pernah bertemu dengannya di sekolah sebelum ni.
“Dah sampai pun,” suara Mikhael mematikan lamunanku.
“Cepat kan?,” aku
kehairanan. Aku melihat pintu pagar sekolah. Mengapalah aku merasakan cepat
benar aku dan dia berjalan sedangkan separuh lagi perjalanan kami ke sekolah?
“Kita tak sedar masa cepat
berlalu,” suara Mikhael menerjah ke telingaku.
“Betul tu,” aku terus menyorong basikal ke tempat yang sepatutnya.
Agaknya bila kita selesa
dengan seseorang atau sesuatu, memang tak kan sedar masa yang berlalu.
Selesai aku mengunci basikal, aku memerhati kepada salah satu basikal yang
berada di hujung barisan. Basikal budak perempuan yang setiap pagi aku nampak
tuannya tapi tidak untuk pagi ini.
“Kenapa?,” Mikhael
bertanya.
“Tak ada apa-apa,” aku berbohong. Tak kan la aku nak ceritakan perihal
budak yang pernah aku nampak di situ?Sehinggakan terbawa-bawa ke dalam mimpi.
Lagipun, mungkin dia di situ menunggu sehingga kawannya datang. Kalau la dia
bukan manusia, masakan basikalnya ada di situ?
“Sudah?.”
“Dah. Awak tak pergi kelas lagi?,” aku membetulkan tudung. Aku kira dia
sudah berlalu ke kelasnya tadi.
“Nak pergi la ni. Mana la
tahu awak tertinggal apa-apa lagi,” dia tersenyum mengusik aku.
Aku mengetap bibir menahan
malu.
Mikhael ketawa kecil. Mestilah dia tahu apa perasaan aku sekarang ni.
“Tu..,” dia menunjukkan
kepadaku.
“Apa?,” aku melihat ke bawah. Tali kasut sekolahku terungkai ikatannya.
Tanganku yang memegang bekal dan buku pantas meletakkannya di atas pangkin
basikalku.
“Tak apa. Saya tolong,”
belum sempat aku nak membuka mulut Mikhael sudah pun menunduk mengikat tali
kasut sekolahku di sebelah kanan.
“A..awak, tak apa. Biar
saya yang buat,” pantas aku menarik kakiku.
“Dah siap!,” dia bangun semula mencapai bukunya yang turut diletakkan di
atas pangkin basikalku.
Malunya!
“A..tt..terima kasih!,” terkeluar juga kata-kata tu dari bibirku. Kelu
lidahku nak bersuara.
“Sama-sama,” dia tersenyum
sambil membetulkan anak rambutnya.
“Saya pergi dulu,” aku mula mengaturkan langkah.
“Hati-hati!,” suara
Mikhael menjerit kecil.
Aku menoleh kepadanya sambil tersenyum.
Dia masih di situ, setia
mengukirkan senyumannya yang manis di pandangan mataku!