4
Mimpi yang aku alami
semalam bermain semula di dalam kepala. Apakah kerana aku ni banyak sangat
berfikir sepertimana yang dikatakan oleh Aisyah?Kalaulah betul pun aku rasa tak
ada salahnya aku berfikir dan mengagumi kekuasaan Allah di muka bumi ini.
Biar apa pun yang berlaku,
semua itu mendapat izin dari Allah, itu yang selalu ustaz tekankan sewaktu sesi
pembelajaran Pendidikan Islam. Pernah Zaim bertanya kepadanya, kalau sihir itu
melibatkan syaitan, mengapa boleh ada sesetengahnya ada yang menjadi tapi ada
juga yang tidak?
Semua ini berkaitan dengan topik “Perkahwinan” sehingga membawa kepada
cerita bagaimana kadang-kadang si suami atau isteri yang sanggup menggunakan
sihir untuk mengikat pasangan masing-masing agar tetap bersama mereka atau
terus menurut kata.
“Sebab tu la ini semua
kerja buat Allah S.W.T. Kalau jumpa bomoh yang handal sekalipun, guna jampi
mentera yang hebat sekalipun, kalau Dia tak izinkan tak akan menjadi. Ini semua
kita kena yakin, kerja Allah. Syaitan hanya menjadi medium untuk melakukan
kerja-kerja sesat untuk terus menyesatkan manusia. Baik bomoh ataupun orang
yang menggunakan khidmat, sebabnya dia meminta selain daripada Allah,”
penerangan ustaz yang memang jelas sentiasa bermain di kepalaku.
Aku yakin apa yang berlaku
kepada aku sejak kebelakangan ini juga mendapat izin daripada Allah. Aku
teringat mimpi aku mengenai budak yang aku nampak di bangsal basikal itu amat
menakutkan. Tiba-tiba dia berpusing menunjukkan kepadaku wajahnya yang
menggerunkan itu. Kedua-dua matanya tidak ada, hanya 2 lubang yang berwarna
hitam dengan senyumannya yang menunjukkan darah yang keluar daripada mulutnya membasahi
baju dan tudung sekolahnya.
Aku cuba membuang imej
budak itu jauh-jauh. Aku rasa berat hati nak terus mengayuh basikal menuju ke
situ tapi kalau aku tak simpan basikalku di situ, di mana lagi?
Lebih kurang 3 meter dari bangsal basikal, aku memberhentikan basikal dan
menjengah ke kawasan terbabit. Keadaan yang agak gelap menghadkan pandangan
mataku.
“Pukul 6.45,” aku berbisik sendirian. Entah kenapa aku berasa seram apabila
diingatkan kembali apa yang aku nampak di dalam mimpi semalam. Aku tak pernah
berasa takut sebelum ni untuk terus meletakkan basikal ku di situ tapi pagi ni,
lain macam yang aku rasakan.
“Insya-Allah tak ada
apa-apa,” aku memberikan semangat kepada diri sendiri. Aku turun daripada
basikal. Masih lagi teragak-agak untuk memasuki kawasan berbumbung yang
disediakan oleh pihak sekolah ini.
“Tawakkal je la,” aku mulakan dengan membaca bismillah di dalam hati.
Lagipun kan hanya mimpi?Aku meyakinkan diri sendiri.
Aku memerhatikan kepada
sebuah basikal yang ada berhampiran dengan hujung tempat menyimpan basikal.
Mataku dapat menangkap budak yang pernah aku tengok pada pagi Isnin lepas,
budak yang menunjukkan kepadaku mukanya di dalam mimpi!
Aku cepat-cepat mengunci
basikal. Biarlah benda tu hanya berlaku di dalam mimpi. Janganlah dia menunjukkan
wajahnya kepadaku di alam nyata!Aku melihat dia sekali imbas yang masih lagi
setia duduk mencangkung di sis basikal tersebut.
Jantungku berdegup kencang apabila memikirkan sama ada dia betul-betul
orang ataupun seperti yang aku nampak di bilik kaunseling pada hari tu!
Aku berjalan pantas menuju
ke kelas apabila mengenangkan semua itu. Kalau la betul dia bukan orang, tak
mustahil dia akan menunjukkan wajahnya kepadaku seperti yang berlaku di dalam
mimpi. Entah-entah muka yang lebih menakutkan!
Kalau la dia mengikutku dari belakang?Ish!Itu pula yang aku bayangkan sekarang
ni.
Aku menoleh ke belakang
biarpun dah jauh meninggalkan tempat menyimpan basikal tersebut.
“Allah!,” hanya itu yang mampu aku sebut ketika terlanggar seseorang di
hadapanku. Minta-minta janganlah cikgu. Mesti la aku malu dengan sikap cuaiku
pagi-pagi macam ni.
“Awak?,” aku terkejut
apabila melihat pelajar lelaki yang sama yang bertembung dengan aku ketika aku
hendak ke tandas. Jangan-jangan dia ni pun bukan manusia?
Aku memandangnya cuak ketika dia tunduk mengutip buku dan failnya yang
berada di atas jalan. Tapak perhimpunan yang menjadi saksi kecuaian aku tadi
sedikit lembap.
Aku sempat melihat kulit
buku latihannya yang sedikit basah.
“Ma..maafkan saya. Saya betul-betul tak sengaja,” aku meminta maaf. Masih
lagi seperti kali pertama aku bertembung dengannya, aku membiarkan hanya dia
yang tunduk mengutip semula buku-buku yang terlepas dari pegangannya.
“Tak apa. Saya faham,” dia
tersenyum. Sudahlah aku melanggarnya tadi, sempat pula aku fikirkan benda yang
bukan-bukan pasal dia. Masakan hantu baik seperti dia?Senyuman pun manis!
“Awak..a..,” aku cuba menyusun ayat untuk bertanya. Persoalan siapa dia
akan yang sering bermain-main di benakku sejak kali pertama bersua, mesti diselidik!
“Saya Mikhael,” sopan dia
memperkenal diri.
Aku mengangguk. Dia masih lagi tersenyum.
“A..apa ya nak tanya
tadi?Terlupa pulak,” aku tertunduk malu. Entah kenapa kelu pula lidah aku nak
berkata-kata. Sedangkan banyak benda yang nak aku tanya kepada dia.
“Em..sa..saya Halida. Norhalida,” aku memaklumkannya.
“Dah tahu,” dia tersenyum.
Dah tahu?Raut wajahku terus berubah. Macam mana dia tahu?Betul la dia ni
pun bukan orang. Jelmaan yang nak menggganggu aku, seperti yang aku nampak di
tempat menyimpan basikal tadi. Juga di bilik kaunseling!
“Janganlah terkejut
sangat. Kelakar awak ni,” dia ketawa.
Manis. Memang manis raut wajah pelajar lelaki ni!Dagunya yang mempunyai lurah yang
membuatkannya nampak seakan-akan terbelah, menambahkan lagi kemanisan pada raut
wajahnya.
“Tu..”dia menunjukkan
kepada tudung sekolahku.
Aku tunduk melihat.
Ya Allah, malunya!Memang
la dia boleh tahu kalau aku dah pakai tanda nama di tudungku.
Mataku bertembung semula dengan matanya. Dia setia mengukirkan senyuman,
sedangkan aku tersenyum kerana malu dengan sikapku yang kelam kabut pada pagi
ni.
“Saya pergi dulu,” dia
berjalan menuju ke bangunan belakang sekolah. Betul tanggapan aku sebelum ni.
Kelas dia terletak di belakang sekolah, kelas untuk pelajar-pelajar tingakatan
6 Rendah dan juga 6 Atas.
“Mikhael..,” aku tersenyum menyebut namanya. Sedap namanya, sama manis
dengan tuannya juga!
Setibanya di depan pintu
kelas, aku membuka pintu yang dikunci. Perasaan seram yang bersarang di dalam
diriku, terbang dibawa pergi apabila mengenangkan pelajar lelaki tadi.
“Mikhael,” sekali lagi aku menyebut namanya.
Aku memetik suis lampau
seperti kebiasaan. Melihat keseluruhan keadaan kelas yang masih lagi tak
berubah, sama seperti hari semalam sewaktu aku, Asyraf dan juga Fakri yang menjadi
orang terakhir meninggalkan kelas seperti kebiasaannya. Cuma yang berbezanya
semalam, kami bertiga turut ditemani oleh Aliya, yang kelewatan kerana menunggu
emaknya datang menjemput.
Aku ke belakang ke kelas
untuk mencapai penyapu, melakukan tugas yang
bukan tugasanku secara benarnya pada setiap hari. Aku menyanyi-nyanyi
kecil, lagu “As long as you love me,” nyanyian kumpulan BSB yang menjadi
kegemaranku.
Entah kenapa aku berasa cukup gembira apabila mengenangkan kejadian yang
berlaku di tapak perhimpunan tadi. Kejadian yang membuatkan aku mengetahui nama
dia.
Aku mula menyapu dari
bahagian belakang kelas, bermula dengan tempat duduk Amin yang bersebelahan
dengan tempat duduk Aziz yang berhampiran dengan tingkap. Tempat mereka berdua
memang tidak banyak menyusahkan aku berbanding tempat duduk si Khairul.
Boleh dikatakan setiap hari, ada saja kertas-kertas yang dibuangnya di
bawah meja.
Beberapa minit mula
menyapu, bunyi enjin bas sekolah mengganggu sebentar kerjaku. Aku mengerling
jam di tangan yang hampir ke pukul 7. Bolehlah aku bersarapan dengan Aisyah,
sandwich yang aku bawa daripada rumah.
Sandwich!Aku teringat
bekas plastik yang berisi beberapa keping sandwich berintikan sardin yang
dibuat emak pagi tadi. Bekal air teh aku juga turut tertinggal di dalam raga
basikalku. Ni semua kelam kabut sangat mengenangkan mimpi budak perempuan tu
malam tadi!
Mesti kawasan tempat letak
basikal tu masih lagi bergelap. Aku memikirkan apa yang hendak aku lakukan. Ah!Baik
ajak Aisyah temankan sewaktu dia nak ke koperasi nanti. Tangan yang terhenti
dari menyapu tadi, aku teruskan. Selesai meyapu di tempat duduk Mazirah dan
Husna, aku ke depan. Sebuah pasu bunga kecil yang diletakkan di atas meja guru,
aku angkat dan letakkan di atas meja Fauziah, tempat duduk yang paling hampir
dengan meja guru.
Aku mencapai pembersih
habuk untuk menyapu meja guru. Walaupun tak banyak, sekurang-kurangnya aku
berpuas hati setelah mengemas tempat duduk guru juga. Aku mengerling ke luar
tingkap, melihat pelajar-pelajar yang berjalan memenuhi kawasan sekolah.
“Mikhael...,” aku tak dapat menghindarkan wajah manisnya yang tersenyum
daripada ingatanku.
Selesai mengemas meja
guru, aku menyapu semula. Sedikit habuk aku kaiskan dengan penyapu sehingga ke
bahagian depan kelas, berhampiran dengan tempat dudukku dan Aisyah agar
memudahkan kerjaku untuk memasukkannya ke dalam penyodok sampah.
Penyapu yang berada di dalam genggaman hampir terlepas apabila aku
terpandangkan 2 buah bekal yang berisi sandiwich dan juga air teh di atas meja.
Aku yakin, aku
tertinggalnya di dalam raga basikalku. Macam mana sekarang ni boleh ada?!Aku
duduk di kerusiku, merenung kepada bekalku yang berada di atas meja. Kalau saja
bekas-bekas ni boleh bercakap, pasti aku akan bertanya dan meminta penjelasan
mereka.
Aku menutup mata dan
menarik nafas. Sudah, jangan difikirkan sangat. Aku mengingatkan diri sendiri.
Aku bangun untuk menyambung semula kerjaku. Pantas pandangan mataku menangkap
susuk seseorang yang seakan-akan berlari daripada meja guru.
“Siapa tu?!,” aku melihat, cuba mencari ke mana ia menghilang. Mataku
melihat semula ke meja guru, pasu bunga sudah berada di situ semula!
Aku tak dapat menghalang
fikiranku daripada terus berfikir sewaktu berjalan menuju ke makmal Fizik yang
terletak berhampiran dengan kantin dan juga bangunan yang menempatkan
kelas-kelas tingkatan 6.
Siapa pelajar lelaki itu
bukan lagi menjadi tanda tanya kepada aku. Apabila aku memandang sekali imbas
bangunan 2 tingkat itu untuk melintas ke makmal Fizik, mengingatkan aku kepada
si dia yang memiliki senyuman yang manis. Aku turut tersenyum mengenangkan
pertembungan kami yang memberikan aku peluang untuk mengetahui namanya.
Selepas waktu Fizik pukul
10 pagi nanti, akan tiba waktu rehat. Bekal sandwich yang aku bawa dari rumah
menjadi perkara utama yang bermain di dalam kepalaku sekarang.
“Ai, mengelamun ke?Sampai saya tanya pun tak berjawab?,” Aisyah menyiku
aku.
Fauziah, Mazirah dan
beberapa lagi kawan sekelas yang berjalan di hadapan kami menoleh ke belakang.
“Mengelamun?Siapa?Siapa?,” pantas Fauziah bertanya.
“Mesti la dia ni. Siapa
lagi,” Aisyah memaut bahuku.
“Ha, ni mesti ingatkan seseorang ni,” Aliya yang berada di depan turut
menyertai perbualan.
“Ingatkan siapa?Fakri ke?,”
Nadirah pula mencelah.
Aku hanya mendiamkan diri. Tak berminat untuk melayan apa yang
diperkatakan. Lain benar dengan apa yang sedang aku fikirkan.
“Ha, betul la tu. Mamat tu
kan?Tu ha, dia ada kat depan. Dah sampai pun kat makmal. Sabar la. Dah tak jauh
pun,” kata-kata sinis Fauziah meletuskan ketawa mereka.
Langsung tak ada kaitan
dengan Fakri, nak saja aku suarakan perkara ni, tapi bukannya mereka akan
faham. Nanti cerita yang lain pula bakal timbul.
Aisyah memegang tanganku.
“Kenapa ni?Ada masalah?.”
Aku memerhati mereka yang dah berjalan agak jauh meninggalkan aku berdua dengan
Aisyah.
“Tak ada apa-apa la,” aku berbohong. Masakan aku nak menceritakan perkara
yang berlaku pagi tadi?Kalau aku menceritakan perkara yang sebenar pun, belum
tentu dia akan mempercayainya. Tak kan la bekal makanan dan airku boleh berjalan
masuk sendiri ke dalam kelas setelah aku tertinggal di dalam raga basikalku?
Lepas tu, kejadian yang
kedua. Belum sempat aku nak tenangkan diri sendiri kerana terkejut melihat
bekas tu yang sudah berada di atas meja, ternampak pula susuk seseorang yang
pantas meninggalkan meja guru yang berada berhampiran tingkap tu. Pasu bunga
yang aku terlupa nak letakkan kembali di atas meja setelah aku alihkan, dah pun
berada di situ balik.
Nak ke percaya si Aisyah ni kalau aku ceritakan pun?
Aku melirik kepadanya yang
turut mendiamkan diri. Agaknya dia cuba memikirkan apa yang bersarang dibenakku
pada ketika ini.
“Saya bawa sandwich hari ni. Nanti kita makan sama-sama tapi balik nanti,
saya nak singgah kat pusat sumber dulu. Nak pulangkan ni..,” aku menunjukkan
buku soalan latihan Biologi yang turut dibawa bersama-sama dengan buku
eksperimen Fizik.
“Ok. Saya pun nak singgah
kat koperasi. Kalau macam tu, makan dalam kelas lagi la kita hari ni?,” Aisyah
bertanya kepadaku.
“Ya la. Eleh, macam la tak biasa pulak,” aku mencuit pinggangnya. Dia
ketawa.
Aku mengerling sepintas
lalu kelas tingkatan 6 di tingkat 2.
“Mikhael!.”
“Apa dia?,” Aisyah
bertanya sewaktu kami menjejakkan kaki ke dalam makmal Fizik tersebut.
“Apa?,” aku bertanya kembali.
“Tadi tu. Apa yang awak
sebut?Saya dengar macam sesuatu yang awak cakap,” Aisyah merenungku.
Ish!Telinga lintah betul la si Aisyah ni. Masakan sebutan yang perlahan itu
pun dia boleh mendengar.
“O..tu. sandwich!,” aku
berbohong lagi.
“Amboi!Tak kan la dah lapar?,” dia tersenyum.
“Ya la. Pagi tadi saya tak
sempat nak makan apa-apa pun,” aku mengenangkan air teh yang sempat aku minum
seteguk dua.
“Ala, bukan pagi ni je. Pagi semalam, 2 hari lepas, 3 hari lepas pun sama
kan?Dah keluar rumah awal-awal. Apa salahnya kalau awak keluar...em..dalam
pukul 7 ke?,” Aisyah bertanya.
“Amboi-amboi!Senangnya
cakap,” aku mencubit lengannya.
Dia ketawa. Makmal Fizik yang masih kosong dengan kedatangan guru yang
mengajar, menjadi tempat berbual bagi kami seisi kelas. Riuh-rendah dengan
suara 19 orang pelajar yang mengisinya. Saling bertingkah-tingkah dan disertai
dengan gelak ketawa daripada pelajar lelaki.
“Kan saya ni kayuh basikal
tu lambat-lambat. Kalau pukul 7 baru nak keluar rumah, awak boleh bayangkan
pukul berapa saya sampai?,” aku pula bertanya kepadanya.
“Em...tah-tah pukul 8 tak?,”
sekali lagi Aisyah ketawa, dituruti aku.
“Pandai la awak. Selambat-lambat saya pun tak la sampai ke tahap macam
kura-kura!,” aku melayangkan lagi cubitan di lengannya.
Meja makmal kami berdua
yang turut dikongsi oleh Khairul dan Fakri bertambah bingit dengan gelak ketawa
mereka berdua apabila mendengarkan jawapan aku.
“Woi, cikgu datang tu!,” Asyraf menunjukkan ke luar. Serentak dengan itu,
seisi kelas memandang ke luar, melihat Cikgu Syamsiah yang sedang berjalan
pantas menuju ke makmal.
Mungkin dia ada hal yang
melambatkan kedatangannya seperti biasa ke sini.
Aisyah yang masih lagi tersenyum membangkitkan geram aku kepadanya.
“Gelak tu gelak juga. Eksperimen
yang hari tu dah siap?,” aku mengingatkannya.
“Yang pasal getaran dalam air tu?,” dia bertanya kembali.
“Ya la. Yang mana lagi. Tu
la, dalam kepala tu asyik ingat pasal kura-kura je,” aku memperlahankan suara
apabila Cikgu Syamsiah melangkah masuk ke dalam makmal.
Aisyah menyiku aku.
“Assalammualaikum cikgu!,”
suara Zaim yang memberikan salam mewakili kami terus mematikan sisa-sisa suara
yang masih kedengaran biarpun tidak sekuat tadi. Zaim, ketua kelas akan
memberikan salam sebagai tanda, sebentar lagi kelas yang telah diisi dengan
kehadiran cikgu akan dimulakan pada bila-bila masa.
Semua yang berdiri sebagai
tanda hormat kepada cikgu, duduk semula setelah Cikgu Syamsiah menjawab salam.
Aku memandangnya yang sedang sibuk menatap buku nota yang berada di depannya.
“Awak..,” perlahan suara
Fakri memanggil. Aku melihatnya.
“Saya ke Aisyah?,” aku meminta kepastian.
“Awak la. Awak yang
terdekat kan?,” dia menunjukkan kepadaku.
“Kenapa?.”
“Biar lambat macam
kura-kura, asalkan selamat!,” Fakri menegakkan ibu jarinya.
“Awak nak pergi koperasi
kan?,” aku bertanya kepada Aisyah yang sibuk mencuci tangan di sinki.
“A’ah. Nak pergi jumpa si Devi sekejap. Awak pun memang tak balik kelas
lagi kan?.”
“Pusat sumber. Nak
pulangkan buku tu,” aku mengemas buku ekperimen dan nota Fizik di atas meja.
Pen dan juga pensil yang berselerak, aku masukkan semula ke dalam kotak pensil
aku yang berbadan Garfield tu.
“Eh, ni bukan aku punya,” aku tersedar pen yang berwarna biru yang sudah
berada di dalam kotak pensilku.
Aku dan Aisyah yang
menggunakan pen berwarna hitam memang tak kan kisah kalau tercampur aduk
alat-alat tulis kami berdua, tapi aku yakin ini memang bukan milik aku atau pun
Aisyah.
“Khairul, pen awak ke?,”
aku bertanya.
“Apa la. Ni apa?,” dia menggoyang-goyangkan pen yang sedang berada di dalan
tangannya. Aku melihat pen yang ditunjukkannya.
Betul juga. Dari tadi dia
asyik menulis, masakan aku tak boleh nampak. Kalau la dia tak ada pen, pasti
dia akan meminta daripada aku mahupun Aisyah seperti kebiasaannya. Tak pun,
yang selalu menjadi mangsanya juga adalah Fakri yang turut berada di dalam
kumpulan ni.
“Bukan saya. Ni,” Fakri
yang seakan-akan mengerti maksud pandanganku terus menunjukkan pennya, sebelum
sempat aku membuka mulut untuk bertanya.
“Ala, simpan je la. Entah-entah dah memang ada dalam bekas tu dari rumah,
tapi awak yang tak sedar,” Fakri bersuara.
Dari rumah?Mungkin juga.
Aku dah malas nak berfikir banyak. Lebih-lebih lagi perkara-perkara yang akan
membuatkan aku menjadi semakin buntu setelah tidak menemukan jawapan ataupun
penjelasan yang logik untuk diterima akal.
Entah kenapa semakin pelik
aku rasakan. Aku cuba membuang perasaan takut yang bersarang di dalam hati.
Cikgu Syamsiah yang telah meninggalkan kelas sebaik kelas tamat sempat
berpesan kepada kami yang menjadi kumpulan terkahir untuk mengemaskan meja dan
peralatan yang telah digunakan.
“Sudah?,” aku bertanya
kepada Aisyah yang datang semula ke tempat duduk.
Dia hanya mengangguk sambil tersenyum.
“Wah!Awak tolong kemaskan?,”
dia bertanya.
“Habis tu, ingat semua pen dengan pensil ni lompat masuk sendiri?,” aku
menunjukkan kepada kotak pensilnya yang berwarna biru tu.
“Jom la!Nanti nak makan
lagi,” aku mengingatkannya.
“Saya beli air. Nanti kita jumpa kat dalam kelas,” Aisyah mencapai
buku-bukunya.
“Nak pergi mana?,” Fakri
bertanya.
“Pusat sumber. Nak pulangkan buku,” aku memaklumkannya.
“Tunggu, tunggu. Saya pun
nak pulangkan buku. Boleh la jalan sekali,” pantas Fakri mengemas buku-bukunya
yang masih lagi berselerak.
“Nak pulangkan buku ke saja cari alasan?,” Khairul yang sibuk menulis
sempat mendengar perbualan kami.
Aisyah menyiku aku sambil
mengangkat keningnya.
Aku menyikunya kembali, mengerutkan muka tanda tidak suka dengan sikapnya.
“Betul la, ni buku ni,”
aku melihat buku soalah latihan Sejarah yang ditunjukkannya.
“Jom la,” aku dan Aisyah mengikut Fakri yang mendahului.
Khairul yang masih lagi
sibuk menulis di dalam buku ekperimennya bingkas bangun.
“Tunggu la!Tak kan nak tinggalkan aku kat sini kot,” dia mencapai
buku-bukunya yang berada di atas meja.
“Awak pun nak ke perpustakaan
ke?,” aku bertanya. Tak kan la semua sibuk nak memulangkan buku hari ni juga!
“Tak la. Nak pergi koperasi. Nak beli liquid paper, dah habis,” dia
menunjukkan botol liquid paper yang berada di dalam tangannya.
“Koperasi?,” serentak aku
dengan Fakri bertanya. Kami berdua saling berpandangan dan tersenyum.
“Nak beli liquid paper ke saja nak cari alasan?,” Fakri pula memulangkan
paku buah kerasnya.
“Hah?,” memek muka Khairul
menunjukkan dia tak faham.
“Boleh pergi dengan Aisyah la. Dia pun nak pergi sana, jumpa Devi,” aku
pula menyiku lengannya yang berada di sisiku.
Merona merah muka Aisyah.
Baru dia tahu apa yang aku rasa tadi, hehe...
“Oh, macam tu, ok je,” Khairul yang seakan-akan tidak faham, mengiyakan apa
yang dikatakan oleh aku dan Fakri.
“Jom la,” sekali lagi
Fakri bersuara.
Setibanya di kantin, aku danFakri harus menukar haluan menuju ke
perpustakaan, manakala Aisyah dan Khairul pula singgah di kantin untuk membeli
minuman dan makanan ringan.
“Selalu awak ke Pusat
Sumber ni?,” Fakri bersuara sewaku kami sama-sama melangkah menaiki anak
tangga.
“Bergantung la. Kalau selalu pinjam buku, selalu juga la.” Fakri tersenyum.
“Sama la dengan saya, tapi dulu awak kerap kan datang
sini?.”
“Dulu?,” aku memandangnya cuak.
“Maksud saya tahun lepas. Asal waktu rehat, mesti awak kat sini. Orang lain
makan, awak kat sini. Dalam 10-15 minit sebelum rehat habis, baru awak keluar.”
Aku terkejut dengan
kata-kata Fakri. Seakan-akan dia tahu apa yang aku lakukan.
“Macam mana awak...”
“Sebab saya pun selalu kat
sini dulu. Waktu rehat saya banyak habiskan kat sini. Sebab tu nampak awak tapi
awak je yang tak perasan saya,” aku mengangguk mendengar penjelasannya.
“Ya la. Kita daripada kelas lain yang digabungkan. Macam mana nak
perasankan?,” tambahnya lagi.
Memang betul apa yang
dikatakannya tu. Kelas kami yang sudah menjadi 19 orang pada tahun ni
membuatkan kami lebih mula mengenali dan rapat di antara satu sama lain.
Kalau tidak, jangan katakan nak berjalan berdua begini dengannya ke
perpustakaan atau ke mana saja, nak bertegur sapa pun tidak walaupun kami satu
kelas. Masing-masing hanya melakukan kerja masing-masing.
“Walaupun awak tak perasan
tapi saya nampak awak. Ya la, pelajar cemerlang. Mesti la jadi tumpuan. Saya ni
siapa la,” tersenyum Fakri menuturkan kata-katanya. Bagiku dia hanya merendah
diri. Masakan dia tak menyedari kebolehannya, yang menjadi pelajar terbaik
Biologi dan Bahasa Inggeris.
“Awak pun apa kurangnya.
Tu, Biologi dengan Inggeris,” aku mengingatkannya.
“Tapi awak lagi hebat. Kimia, Bahasa Melayu, Sejarah,” dia mengira-ngira
dengan jarinya.
“Dah la. Nak kira, nanti
pun boleh,” aku menunjukkan kepada perpustakaan sebaik sampai di depan
pintunya.
siapa si Mikhael sebenarnya???
ReplyDeleteadikku asyu yang sudi lagi tinggalkan komen..tq soooo much!!! siapa mikhael, kenalah tungguuu, hehe..
ReplyDeleteBest..nk lg..
ReplyDeletetq tie kaname;-)
ReplyDelete