Sepasang kasut tumit tinggi Charles & Keith yang berwarna putih dan
berjalur ungu itu kembali disimpan di rak yang menempatkan pelbagai lagi jenis
kasut wanita dan lelaki dari pelbagai jenama antarabangsa. Hana tersenyum
senang kerana ini sudah menandakan kerjanya sudah berakhir pada hari itu.
Jam di pergelangan tangan
dikerling sebelum telefon yang berada di tangan mula ditatap. Hana mula mencari
mesej yang diterima daripada Ika beberapa minit yang lalu.
“Ada pun..,” gumam Hana
seorang diri. Dia membaca mesej yang dibalas oleh Ika sebagai jawapan kepada
pertanyaannya tadi. Hari ini, dia harus pulang ke rumah seorang diri kerana
Jojo tiba-tiba saja memberitahunya untuk berjumpa dengan seorang kawan yang
sudah lama tidak bersua muka.
Nombor telefon untuk
menghubungi teksi itu dilihat lagi sebelum telefon kembali disimpan di dalam
beg. Puas memerhati keadaan bilik wardrobe itu, Hana menekan satu suis untuk
menutup lampu sebelum berlalu. Keadaan studio itu sudah lama sunyi sepi sejak
selesainya sesi fotografi lewat tengah hari tadi.
Sebaik melangkah keluar
dari studio, Hana menghala menuju ke arah lif. Beberapa minit melangkah, dia
sudah tiba di depan pintu lif. Matanya yang menjeling ke arah pintu pejabat
mula menarik langkah kakinya ke arah situ.
“Ada lagi ke yang tak
balik?,” bisik Hana perlahan. Jam di tangan mula dikerling apabila kedengaran
batuk yang dilepaskan itu. Selalunya pada waktu yang menginjak ke 6.40 petang
itu, sudah tidak ada mana-mana staf yang masih berada di pejabat.
Kelihatan seseorang yang masih berada di salah sebuah
meja yang terdapat di dalam pejabat itu apabila Hana mula melangkah masuk.
“Eh!Hana...tak balik lagi
ke?.” Zara yang baru perasankan kelibat gadis itu mula menegur.
“Belum lagi tapi dah nak
balik la ni. Er..Cik Zara tak....”
“Ala..tak payahlah nak
bercik-cik dengan saya. Kita sebayakan?Panggil je Zara,” gadis yang menjadi
setiausaha kepada syarikat itu mengukirkan senyuman kepada Hana.
“Er..Zara tak balik
lagi?Banyak kerja ke?.”
“Boleh tahanlah. Saja je malas nak balik awal-awal. Bukannya ada
siapa-siapa pun tunggu kita kat rumah. Lebih baik habiskan kerja ni, ya
tak?Kenapa Hana pun balik lewat?Jojo mana?Selalu tu korang berdua, hari ni
tinggal awak je sorang-sorang.”
Hana tersengih. Nampaknya
satu pejabat ni agaknya sudah tahu yang dia dengan Jojo selalu datang dan
pulang bersama-sama. Gosip, gosip!
“Memang selalu tu saya
datang dan balik sama-sama dengan Jojo tapi hari ni dia ada hal jadi saya balik
sendiri. Er..tadi tu saya dengar Cik..eh!Zara batuk, tak sihat ke?,” Hana yang
berdiri tidak jauh dari meja gadis itu mula melepaskan soalannya.
Zara tersenyum sebelum
membuka mulut. Pandangannya yang tadi tertancap kepada monitor komputer mula
ditalakan kepada Hana yang masih tercegat di situ.
“Tak la. Saya ok. Tadi tu
tersedak sebab minum air ni...” Sebotol air mineral yang berada di atas meja
diangkat lalu ditunjukkan kepada Hana.
Kepala Hana mengangguk
faham.
“Saya ingatkan Zara tak sihat tadi. Kalau macam tu, saya balik dulu ya.”
“Ok. Take care!,” Zara
mula melambai.
“You too. Assalammualaikum,” Hana tersenyum sebelum melangkah.
“Waalaikummussalam.” Mata
Zara mengikut gerak langkah gadis itu sehingga menghilang. Apa yang tidak kena
dengan gadis itu sehingga ramai staf yang memperkatakan perihal dirinya?Bukan
dia tidak tahu, boleh dikatakan setiap hari, ada saja cerita yang si Erin itu
akan sampaikan kepada staf-staf yang lain pasal si Hana itu.
Hana itulah, Hana inilah dan tempoh hari, dia dengar gelaran yang diberikan
kepada Hana adalah Hana Ugly.
“Sekurang-kurangnya, dia
ambil berat juga pasal aku..,” getus Zara. Boleh saja Hana itu berlalu tanpa
bertanyakan keadaannya tadi kan?Kalau sebelum ini, dia terbatuk-batuk macam
tercekik je, ada orang ambil kisah?Di dalam pejabat ni, kalau tak sebulu, hal
kau hal engkaulah, hal aku hal aku tapi hal dia hal kita okay!Apa lagi,
gosiplah namanya!
Hana yang menanti di depan
pintu lif terpempan sejenak sebaik pintu lif berkenaan terbuka. Sosok tubuh
seorang lelaki yang sedang berdiri di dalam lif itu membuatkan Hana mula
berdebar.
Ah!Masuk je la Hana.
Jangan-jangan dia sendiri pun sudah tak ingat pun hal itu, kan?Hana mula
melangkah masuk apabila mengenangkan waktu yang kian lewat. Jam di telefon yang
dikeluarkan daripada beg untuk menghubungi teksi sebentar lagi, dipandang.
Sudah hampir ke pukul 6.45 petang.
Rayyan mula melonggarkan
ikatan tali lehernya. Kepalanya diteleng ke kiri dan kanan untuk menghilangkan
lenguh-lenguh di leher dengan mata yang dipejamkan. Apa yang dia tahu, dia ingin
segera sampai ke rumah dan berehat di atas tilam empuknya itu.
Seorang gadis yang berdiri
bersama-samanya di dalam lif itu tidak dihiraukan. Penampilan gadis itu dilihat
sekali lalu. Entah makcik cleaner mana atau tea lady syarikat mana yang
berkongsi lif bersama-samanya petang itu, isy!Rayyan mula menjeling.
Tak seksi langsung untuk dibuat cuci mata yang dirasakan
berpinar setelah seharian asyik menyemak fail itu dan ini. Sudahlah itu,
perutnya sendiri sudah mula berkeroncong. Janji temu untuk bersama-sama
menikmati makan tengah hari tadi dengan Puteri dibatalkan oleh buah hatinya itu
pada saat-saat akhir dan sekarang makcik ni?Isy!Isy lagi!
Rayyan menjeling malas nombor yang dipamerkan di dalam
lif itu. Lif itu baru saja bergerak menuruni aras 14.
“Lambatnya!,” desis Hana. Debaran di dadanya mula
berkurangan memandangkan sekejap lagi pasti dia akan tiba di tingkat bawah
tanpa perlu berhadapan dengan lelaki tempoh hari itu. Malu la pula bila
teringatkan bagaimana dia berani meninggalkan nota di dalam bilik lelaki itu
tempoh hari.
Rayyan menghela nafas. Bosan betul!Sudahlah perutnya
lapar, lif pula lambat dan adanya makcik cleaner atau makcik tea lady yang
berada di dalam lif ini dengan..kejap, kejap!Makcik tea lady?Tak kan
la?Penampilan makcik itu dipandang lagi dengan mata yang dikecilkan.
“Ehem...” Rayyan menantikan respons dari makcik yang
sedang berdiri di depannya. Ai!Tak ada pun?Tak pe. Sekali lagi.
“Ehem..ehem!,” Rayyan berdehem sedikit kuat kali ini
dengan harapan makcik itu menoleh kepadanya. Ai!Tak ada juga?
Hana mengetap bibir. Jangan-jangan lelaki itu sudah
perasankan dirinya?Tak pun dia tersedak juga macam Zara tadi?Manalah tahu
kut-kut dia pun minum air mineral. Bukannya aku nampak apa yang dia buat kat
belakang aku kan?
Lif yang hanya dihuni oleh mereka berdua terus bergerak
turun. Rayyan mula gelabah apabila melihat angka yang tertera. Sudah melepasi
aras 10. Cepatlah pula kali ini!Ala, apa susah?Kau panggil je la. Be a
gentleman sikit, boleh?Come on Rayyan!
“Er..makcik?.”
Hana memejamkan mata. Habis!Nampaknya memang lelaki itu sudah perasankan
dirinya. Hana menoleh sedikit ke belakang untuk memastikan. Manalah tahu,
kalau-kalau lelaki itu sedang berbual di telefon dengan makciknya ke, tak ke
malu nanti?
“Eh!Betullah!Memang betul
makcik!Saya dah agak tadi!,” Rayyan mula bersorak.
“Hmm..,” Hana melepaskan keluhan seraya menganggukkan kepala.
“Hari tu saya...”
“Er..saya minta maaf la sebab tinggalkan nota tu kat bilik...” Hana
memintas kata-kata lelaki itu.
“Tak. That’s okay. Saya
tak kisah pun. Saya yang kena minta maaf sebab tersilap hari tu. So sebenarnya
makcik ni tea lady kat syarikat mana ya?Tak pernah nampak pun sebelum ni,”
Rayyan mula beramah.
Tea lady?!Makcik?Hari tu
makcik, hari ni makcik. Ok, dia sudah tahu jalan penyelesaiannya. Hana mula
membuka mulut.
“Sebenarnya pakcik..,”
Hana mengerling kepada lelaki itu.
“Saya bukannya tea lady. Rasanya hari tu dah tulis kan kat kertas tu?.”
Rayyan terdiam. Iya ke dah
tulis?Ah!Tak ingatlah. Malaslah nak ingat-ingat. Bukannya penting pun kan?Yang
penting benda yang dia ingin luahkan sekarang ini.
“Oh!Ya ke?Er..sebenarnya
saya...”
Hana mengerling angka yang terpamer. Lif sudah bergerak melewati aras 7.
Masih tiada sesiapa yang menanti ketibaan lif ini di mana-mana aras setakat
ini.
“Sebenarnya
saya..er..itulah kan..saya tahu makcik ini bukannya...”
Hana menoleh ke arah lelaki itu. Matanya memandang raut wajah lelaki itu
yang terkebil-kebil memandang kepadanya juga.
“Sebenarnya?,” Hana
mengangkat kening.
“Sebenarnya..,” Rayyan menelan air liur. Gugup pula bila melihat anak mata
makcik itu yang sedang memandang tepat kepadanya. Habis ayat-ayat yang baru
elok disusun sebentar tadi.
Hana kembali memandang ke
arah pintu lif. Apa saja yang lelaki ini ingin katakan kepadanya?Sudahlah asyik
panggilnya makcik, tadi boleh pula tanya dia bekerja sebagai tea lady kat
syarikat mana!Lelaki ini sama saja dengan mereka yang lain di Fabuloustar yang
akan menilai orang berdasarkan pakaian kecuali Jojo dan beberapa orang lagi
yang jumlahnya boleh dikira dengan jari.
“Saya..er..,” Rayyan
menarik nafas. Dia harus meluahkan sekarang. Kalau tidak nanti, siapa yang akan
menyesal?Dia jugakan?Tapi mahukah makcik itu menolongnya?
Ah!Setidak-tidaknya dia harus mencuba.
“Makcik, saya nak makcik
tolong buatkan saya kopi yang macam hari tu, boleh?,” sebaris ayat itu
dihabiskan dengan satu nafas. Rayyan melepaskan nafas kelegaan setelah
meluahkan apa yang ingin dikatakannya.
Hana menoleh ke arah
lelaki itu. Dahi mula berkerut. Terkebil-kebil matanya menatap raut wajah
lelaki yang sedang tersengih kepadanya. Dia sendiri macam tak percaya dengan
apa yang baru didengarinya.
“Pakcik...er..pakcik nak
saya buatkan air?.”
“Hmm, hmm,” Rayyan menganggukkan kepalanya.
“Bila?.”
“Sekarang.”
“Apa?!Sekarang ni dah nak
pukul tujuh. Jangan nak mengada-ngada,” Hana menjeling. Buatkan dia air Nescafe
macam hari itu?Sudahlah tu, sekarang?Jangan harap!Aku nak balik.
“Tapi..tapi saya
nak..sejak hari tu...”
“Saya nak balik. Dah lewat. Lagipun tak kan la kat pejabat pakcik tak ada
orang yang buatkan air?Suruhlah dia buatkan air Nescafe tu. Bukannya susah pun.
Letak serbuk kopi Nescafe tu dulu. Lepas tu letak susu, jadilah,” Hana mula
membebel. Sudahlah hari itu, Rina suruhnya buatkan air untuk dia dengan Erin
dan sekarang pakcik ni pun nak suruhnya buat benda yang sama?Lebih baik aku
letak jawatan kat Fabuloustar dan apply jadi tea lady terus!
“Ada tu memang ada
tapi..,” Rayyan melepaskan keluhan. Makcik yang sebaya dengan Makcik Bibah itu
memang baik tapi airnya tak sedap!Jujur ni, tak kan nak bohong pula?Tapi
mestilah dia tak cakap sendiri kat makcik tea lady tu. Hati orang tua-tua ni
nak kena jaga, ya tak?
Hana memejamkan mata.
Tidak Hana, tidak. Kau kena kuat. Tapi kalau tolong orang dapat pahalakan?Habis
tu kau tak payah balik?Bukan macam tu tapi..
“Tapi tak sedap yang macam
pernah saya minum dulu tu,” suara lelaki itu menerjah semula ke pendengaran
Hana.
“Tapi sekarang dah lewat.
Saya...”
“Please... Kali ni je. Lepas ni saya tak kan suruh lagi.” Apa nak jadi ni
Rayyan?Untuk secawan kopi itu, kau sanggup merayu?Tak macho la beb!Ah!Macho tak
macho. Kopi yang makcik ni buat, kaw tu!Sedap oo!
Hana menoleh kepada lelaki
itu. Biar betul lelaki ni?Merayu pula nak kan secawan kopi yang tak seberapa
itu. Ala, tolong je la Hana. Tengok, mata dia dah ala-ala Puss, Cat in the
boots dah tu. Kalau dia nangis nanti, siapa yang susah?
Rayyan masih setia menatap
pandangan anak mata makcik itu. Yes!Teknik mata Shin Chan yang digunakan
rasanya sudah mula memberi kesan kepada makcik ini. Atau mungkin tidak?
Sedar tak sedar, pintu lif
sudah terbuka di lobi. Hana mula berbelah bagi. Rasanya kalau buatkan air tu,
kejap je kut kan?
“Please..,” Rayyan merayu
lagi. Kali ini, keningnya diangkat dan dia mula mengetap bibir.
“Ya la, ya la..cepat
sikit!,” Hana mula mengalah.
Yes!Rayyan bersorak di
dalam hati. Nampaknya tidak sia-sia dia menggunakan teknik mata Shin Chan itu
untuk melembutkan hati makcik ini. Bukan senang
tau. Cuba korang buat!Hah, baru tau susah ke senang, iya tak?
Pantas jarinya mula menekan
punat yang tertera angka 17. Hana yang memerhati punat yang ditekan oleh lelaki
itu mula teringat bagaimana dia boleh tersalah aras tempoh hari. Patutlah,
syarikat pakcik ni berada di ‘atas’ syarikatnya. Cuma berbeza satu aras.
“Er..bukan tadi pakcik pun
dah nak balik ke?Tak kan nak minum kopi sekarang juga?Esok-esok tak boleh?,”
Hana mula bersuara apabila lif mula bergerak membawa mereka semula ke tingkat
atas.
“Boleh tu memang boleh
tapi makcik nak ke buatkan?Dah sekarang saya terjumpa makcik, peluang keemasan
tu!,” balas Rayyan.
Hana yang sedang memeluk
tubuh mengerling sekilas ke arah lelaki yang kini sudah berdiri di sisinya.
Ada-ada saja jawapan pakcik ni!
“Nantilah, lepas
ni,er..maksud saya kejap lagi lepas saya buatkan air kopi tu, saya tulis berapa
banyak susu dan kopi yang nak digunakan. Lepas tu, pakcik boleh bagi kat tea
lady syarikat pakcik suruh dia buat macam tu. Senang, bila-bila nak minum dah
boleh,” ujar Hana.
“Hmm...”
Hana menjeling lagi kepada pakcik itu. Ai!Punyalah panjang berjela dia
cakap, pakcik tu hanya menggumam je?Lebih baik aku pun diam.
“So, tadi saya tanya
sebenarnya makcik ni kerja sebagai tea lady kat syarikat mana?Memang langsung
tak pernah nampak pun sebelum ni. Er..kecuali hari tu je la,” Rayyan bersuara
memecahkan kesunyian setelah melihatkan makcik itu yang masih membatukan diri,
biarpun lif sudah bergerak melewati aras 8.
“Kan saya dah cakap tadi
saya bukannya tea lady. Berapa kali nak cakap?,” desis Hana sedikit beremosi.
Matanya menjeling pakcik yang berada di sisi kanannya.
Ambik kau Rayyan!Orang tu
dah cakap tadikan?Berapa kali dia nak ulang?Dia bukannya tea lady, ingat
sikit!Kalau Puteri, bolehlah aku nak ingat. Dia ni bukannya Puteri. Tapi bukan
Puteri kan yang nak buat air untuk kau?
Rayyan mengerling riak
kelat wajah makcik yang terpamer kini. Nampaknya, dia sudah tersilap memilih
topik untuk berbual dengan makcik ni. Dia berfikir sejenak sebelum membuka
mulut.
“Er..habis tu makcik kerja
kat syarikat mana?.”
“Aras 16,” sahut Hana
sepatah. Malas nak melayan karenah pakcik yang banyak tanya ni. Sudahlah dia
belum menghubungi teksi lagi. Agak-agaknya bila teksi tu dah sampai sini, mesti
dah lewat. Jangan-jangan malam nanti baru dia sampai rumah. Memang pasti malam
la jawabnya sebab sekarang ni pun dah nak pukul tujuhkan?
“Enam belas..emm...,”
Rayyan mengangguk-anggukkan kepalanya. Aras tu berada di aras bawah
syarikatnya. Syarikat apa ya?Dia cuba untuk mengingat.
Hana yang memerhati
gelagat lelaki itu yang mengangguk-anggukkan kepalanya, mula menjeling. Apa
kena dengan lelaki ini?
“What?!Biar betul!,”
Rayyan memekik kecil.
Hana yang terkejut menoleh ke arah lelaki itu yang menjerit secara
tiba-tiba. Terjegil matanya yang baru dirasakan hendak kuyu tadi.
“Makcik cakap tadi makcik
kerja kat tingkat enam belaskan?Tak kan la?!I mean..ya..,” Rayyan mula tertawa
kecil. Dia sudah ingat syarikat mana yang ‘bermastautin’ di aras itu. Matanya
menjalar lagi memerhati penampilan makcik yang berdiri di sebelahnya. Isy,
kidding me?Dia ni nak kerja kat situ?
Hana menghela nafas. Dia sudah boleh agak
maksud kata-kata pakcik ni tadi, dari segi intonasi terkejutnya itu dan juga
tawa pakcik ini yang diberi seiring dengan lirikan mata ke arahnya tadi.
“Pakcik nak minum ke tak
air kopi tu?Ke nak suruh saya balik sekarang juga?,” soal Hana.
Rayyan terjeda. Mati tawa
yang baru tercetus beberapa saat yang lalu. Amboi!Makcik dah marah nampaknya.
Itu nada berbaur ugutan. Isy, Rayyan kau ni pun satu hal. Agak-agaklah kalau
nak gelak ke apa, mestilah makcik tu terasa.
“Er..sorry la makcik.
Saya...”
“Kenapa?Kalau nak kerja
kat sana kena pakai yang berjenama?Kena cantik?Kalau tak cantik dan tak ada
barang-barang yang berjenama tu, tak boleh nak kerjalah?Macam tu?!,” Hana mula
melempiaskan emosi yang ditahan. Kenapa semua orang yang ditemui harus bersikap
prejudis kepada dirinya?Penting sangat ke semua barang berjenama itu sehingga
dijadikan kayu pengukur untuk menilai seseorang?
Rayyan menelan air liur.
Cuak juga bila mendengar lantunan vokal makcik yang sedang dikuasai emosi ini.
Padan muka kau Rayyan!Orang dah nak tolong apa yang kau minta tu, bukannya tahu
nak bersyukur tapi gelakkan lagi kat makcik tu. Sekarang, rasakan!
“Saya..er..saya
betul-betul minta...”
“Dah la. Daripada pakcik nak bercakap dan sakitkan hati saya, baik tak
payah. Jom!.” Pintu lif yang baru terbuka membuatkan Hana terus melangkah
keluar. Dia mula mengorak langkah tanpa menanti pakcik itu terlebih dahulu.
Rayyan mengetuk dahi
sendiri.
“Adus!Bodoh!Dah marah dah makcik tu.” Kaki mula menapak
menghala semula ke arah pejabat yang baru ditinggalkan. Sebaik menolak daun
pintu, kelihatan beg berwarna hitam yang disandang oleh makcik tadi diletakkan
di salah sebuah meja. Kerusi milik salah seorang stafnya itu ditarik hampir
kepada dirinya sebelum dia mengambil tempat di situ sementara menunggu makcik
itu yang diyakini sudah berada di bilik pantri. Rasa kesal mula bertamu di hati
apabila mengenakan insiden di dalam lif sebentar tadi. Beberapa minit berlalu,
kelihatan makcik itu muncul dengan sebuah mug di tangan.
“Nah..lain kali kalau nak
minum, suruh tea lady syarikat pakcik letak dua sudu kecil kopi dan lima sudu
kecil susu. Kalau nak kurang manis, empat sudu susu pun dah ok. Kalau nak lebih
manis, tambahlah dalam satu sudu macam tu. Saya balik dulu,” ujar Hana sebaik
meletakkan sebuah mug di atas meja di hadapan lelaki itu. Beg mula dicapai.
“Tunggu dulu. Saya
betul-betul minta maaf sebab tadi.
Saya...”
Hana yang baru melangkah menoleh semula ke arah belakang sebelum membuka
mulut. Raut wajah lelaki itu ditatap.
“Saya nak tanya, pakcik
suka kalau orang menilai pakcik walhal benda tu tak betul pun?Contohnya, macam
syarikat ni..,” Hana memerhati sekeliling syarikat sebelum pandangannya jatuh
semula ke arah lelaki itu yang sudah berdiri mengadapnya.
“Macam mana perasaan
pakcik kalau orang cakap, pakcik ni bukannya layak pun nak kerja kat sini tapi
boleh masuk kerja sebab syarikat ni ayah pakcik yang punya kan?Jadi, tak payah
nak kena lalui temuduga apa pun, am I right?,” Hana menjongketkan keningnya.
Adus!Bisa, cukup bisa.
Nampaknya makcik ni dah kenakan kau balik, Rayyan. Baru kau tahu macam mana dia
rasa tadikan?Satu-kosong. Satu untuk makcik dan kosong untuk kau, Rayyan.
Rayyan mengetap bibir. Kelu lidahnya untuk menjawab. Memang betul pun dia masuk
ke syarikat ini tanpa sebarang temuduga.
“Saya tak marah bila
pakcik tersalah anggap saya tea lady sebab kerja tea lady tu pun kerja yang
halal tapi tadi bila pakcik gelak-gelak macam tu, apa maksudnya?Sebab saya
pakai macam ni, saya tak boleh nak kerja kat situ?Sebab tak glamour macam
model-model yang lain atau kakitangan yang lain-lain tu?.” Dua-kosong.
Rayyan terdiam. Memang apa
yang makcik ni katakan ada benarnya tapi tak sangka pula makcik ni emosi pula
petang-petang macam ni. Ala, orang perempuan Rayyan, what do you expect?Diam je
la.
“Saya nak balik. Enjoy
your coffe.”
“Tunggu!.” Hana yang sudah
berada di pintu menoleh semula ke belakang.
“Er..biar saya hantar makcik balik. Saya betul-betul minta maaf.
Hmm..makcik dah buatkan saya kopi so biarlah saya hantar makcik balik,” Rayyan
membuat pelawaan.
“Tak payahlah,” Hana mula
menarik daun pintu.
“Tunggu!Makcik, saya betul-betul ikhlas. Er..tanda saya nak minta maaf,
please!,” Rayyan yang mengejar makcik itu sehingga ke pintu mula menggunakan
tekniknya.
Hana mengetap bibir. Argh!Tak kan kau lemah lagi
Hana?Tengok..anak mata pakcik ni. Sama macam dalam lif tadi la.
“Okay?Kira jadi ya?Tapi
tunggulah kejap. Saya nak minum dulu,” Rayyan tersengih. Nampaknya teknik mata
Shin Chan menjadi lagi kali ini, hehe..
Hana berdiri di muka
pintu. Matanya mengerling memerhati tindak-tanduk lelaki itu yang kini sudah
mengambil semula tempat di kerusi. Mug yang berada di atas meja mula diangkat
dan dibawa ke bibir. Rayyan mula meniup perlahan air kopi yang masih lagi panas
itu sebelum disisip sedikit.
“Aahh..ni baru air kopi!,”
Rayyan tersenyum berpuas hati sebelum menoleh ke arah makcik itu dan
mengenyitkan matanya.
“Mengada-ngada!,” desis
Hana perlahan sebelum membuang pandangan ke arah lain.