1
Aku mengayuh basikal perlahan-lahan sambil menyedut udara
segar pagi yang menyapa lembut wajahku. Aku sengaja memilih waktu ini, 6.30
pagi untuk keluar ke sekolah memandangkan keadaan jalan raya yang tidak sibuk
berbanding waktu yang akan datang sebentar lagi. Sekolah yang terletak hampir satu
kilometer dari kawasan perumahanku sudah menjadi destinasiku pada setiap hari
Isnin sehingga Jumaat, semenjak aku berada di Tingkatan 1 lagi. Tahun ini akan
menjadi tahun yang kelima aku bersekolah di sini.
Di kiri dan kanan jalan
raya diterangi cahaya dari tiang lampu yang kadang-kadang tidak berfungsi. Pada
waktu-waktu macam itu, memang keadaan di sekeliling gelap. Kalau aku bernasib
baik, perjalananku akan diterangi oleh cahaya yang datang dari kenderaan di
belakangku. Bukannya basikalku tidak mempunyai lampu, tapi aku perlu mengayuh
dengan laju untuk membuatkan ia terang
menerangi jalan. Sedangkan aku lebih suka bersantai begini. Tak perlu tergesa-gesa
kerana pastinya aku akan menjadi orang yang pertama menjejakkan kaki di
kelasku. Kadang-kadang orang yang pertama juga meletakkan basikal di bangsal
yang disediakan oleh pihak sekolah.
Beberapa meter sebelum
sampai di sekolah, aku melihat gerai yang menjual nasi lemak di jalan yang
bertentangan ke pintu masuk. Suami isteri itu sibuk menyediakan kelengkapan
untuk berjualan sebentar lagi. Memang nasi lemak mereka mendapat sambutan dari
pelajar-pelajar sekolah aku. Selain sedap kerana aku sendiri pernah merasanya,
tidak pernah pula dilaporkan kes-kes keracunan makanan. Mungkin sebab itu pihak
sekolah pun tidak pernah menghalang pelajar-pelajar untuk membawa masuk makanan
dari luar.
Sebaik mengunci basikal,
aku berjalan menuju ke kelas. Keadaan yang sunyi sepi membuatkan aku tenang
bukannya takut seperti yang pernah ditanya oleh Aisyah, kawan baikku. Dia
hairan mengapa aku berani datang ke sekolah seawal begini. Jawapan aku kerana
senang kalau nak dibandingkan dengan jalan raya yang akan menjadi sibuk dan
yang pasti akan bertambah bising.
Kelasku, Tingkatan 5 Sains terletak di tingkat 2,
bersebelahan bilik kaunseling. Bangunan ini bertentangan dengan dewan sekolah
yang dipisahkan oleh tapak perhimpunan yang kadang-kadang dijadikan juga tapak
meletak kereta oleh kebanyakan guru di sini. Sebaik sampai di depan kelas, aku
mencari kunci mangga yang disimpan di poket kanan beg sekolahku. Aku
diamanahkan untuk menjaga kunci kelas kerana aku selalu menjadi orang yang
pertama tiba awal di sekolah, selain turut menjadi bendahari kelas.
Sebaik pintu ditolak, aku memetik semua suis lampu. Semua
lampu yang berada di siling terang menerangi seluruh kelas. Aku melihat
sekeliling kelas. Aku berpuas hati melihat keadaan kelas seperti hari semalam
sewaktu aku menjadi orang yang terakhir meninggalkannya. Kerusi dan meja berada
di tempat yang sepatutnya. Ini bererti tidak ada budak-budak nakal yang
menceroboh masuk dan merosakkan harta benda di dalam kelas ini.
Biarpun tak banyak kes yang dilaporkan, aku tetap
beringat-ingat. Manalah tahu kalau-kalau budak-budak nakal tu sepahkan
barang-barang seperti kaca dan sebagainya yang berbahaya. Aku yakin kes-kes
yang dilaporkan kepada pihak sekolah sebelum ni, dilakukan oleh budak-budak
yang sudah tidak bersekolah lagi, walaupun belum dapat dikenalpasti sama ada
mereka bekas pelajar sekolah ini ataupun daripada sekolah menengah yang lain.
Setelah meletakkan beg di kerusi aku yang terletak di
bahagian depan kelas, aku terus berjalan menuju ke bahagian belakang kelas
untuk mengambil penyapu dan penyodok sampah. Biarpun hari ni bukan hari aku untuk bertugas
membersihkan kelas, sudah menjadi kebiasaan aku untuk mengemas apa yang patut.
Memang aku tak gemar untuk berehat di dalam keadaan yang bersepah atau pun
kotor. Biarpun kelas aku tak bersepah, namun memang lantainya tak dapat
dielakkan daripada habuk-habuk dan segala kekotoran yang dibawa masuk oleh
kasut-kasut penghuni kelas ini.
Keadaan masih lagi kekal sepi. Sekali sekala aku merenung
ke luar tingkap yang mengadap ke jalan raya untuk melihat kalau-kalau bas
sekolah sudah tiba.
Kebiasaannya setiap kali aku mula menyapu, bas sekolah
tersebut akan mula menurunkan pelajar-pelajar yang datang dari Pekan Tanjung.
Selesai menyapu habuk-habuk dan beberapa keping kertas dari bawah meja Asyraf
ke dalam penyodok sampah, aku ke belakang semula untuk memasukkannya ke dalam
bakul sampah.
Sambil berjalan, sekali lagi aku menjeling ke luar
tingkap. Bas sekolah tersebut masih lagi tak kelihatan.
Selesai membuang sampah, aku bergerak ke tempat dudukku
setelah mencapai surat khabar semalam yang belum sempat nak ku baca. Dari satu muka surat ke muka surat aku singkap
untuk mencari bahan yang menarik minat ku.
“Kalau asyik nak tahu pasal Segitiga Bermuda la, Blackhole la, memang la
takkan ada!,” kata-kata Aisyah bermain semula di benakku. Aku tersenyum
sendirian. Hampir 5 tahun kami berkawan, kami berdua sudah maklum akan
kegemaran masing-masing.
Aku memang meminati
cerita-cerita yang boleh dikatakan menjadi misteri bagi logik akal manusia.
Kalau novel juga begitu, aku lebih suka cerita-cerita yang berunsur misteri
ataupun seram. Aisyah pula lebih menyukai novel yang berkisahkan percintaan
yang romantik. Sekali lagi aku tersenyum setiap kali mengingati keletah sahabat
baik aku itu.
Salah satu berita yang
memaparkan kisah seorang remaja sekolah yang dirogol dan dibunuh berjaya
menarik perhatianku setelah hampir beberapa muka surat aku buka.
“Ish!Tak habis-habis. Rogol, rogol, rogol!,” aku melepaskan geram yang
terpendam setelah habis membaca berita berkenaan. Sejak kebelakangan ni, kerap
kali berita yang seumpamanya dipaparkan, baik di media cetak mahupun di kaca
televisyen.
Mak juga bimbang dengan
kebiasaan aku berulang-alik ke sekolah. Lebih-lebih lagi apabila aku memilih
untuk bertolak dari rumal awal-awal pagi dan bertolak lewat ketika waktu pulang
setelah jalan raya juga agak lengang. Tak seperti kebanyakan pelajar-pelajar
yang berpusu-pusu untuk pulang setelah loceng waktu terakhir berbunyi.
Belum sempat aku hendak
menghabiskan bacaan, terdengar enjin bas yang berhenti di depan sekolah. Aku
memandang ke luar tingkap. Mesti sebentar lagi Aisyah akan melangkah ke kelas.
Tak la aku sunyi tak berteman lagi. Pandanganku dihadapkan semula ke surat
khabar yang aku bentangkan di atas mejaku.
Tak sampai beberapa muka
surat aku baca, perutku meragam.
“Aduh!Time ni juga dia nak buat
perangai,” aku melipat semula surat khabar dan bergegas menuju ke luar. Aku
melewati kelas 5 K1 dan juga 5 K2 untuk menuruni anak tangga yang berhampiran
dengan surau untuk ke tandas pelajar perempuan di tingkat bawah. Keadaan
kedua-dua kelas berkenaan masih lagi gelap menandakan tiada lagi penghuninya
yang datang.
Sebaik menuruni anak
tangga, aku membelok ke kanan dan tanpa disedari, aku bertembung dengan
seseorang yang sedang berjalan dari arah yang bertentangan.
Aku terkejut melihat buku-bukunya jatuh berteraburan di atas lantai. Aku
hanya melihat dia tunduk mengambil semula buku-buku tersebut tanpa berkata
apa-apa.
Aku terus berdiri seperti
patung. Tak tahu apa yang nak dibuat. Melihat dia yang hendak melangkah pergi,
membuatkan aku menarik beg sekolahnya.
Dia menoleh ke arahku.
“A..ma..maaf. Tadi tu saya
tak...”
“Tak apa. Tak sengaja kan?,” pelajar lelaki berkenaan bersuara memintas
cakapku. Macam tahu-tahu pula dia apa yang nak aku luahkan.
Aku hanya mengangguk
mengiyakan apa yang dikatakannya.
Dia tersenyum sebelum melangkah pergi. Aku terdiam. Hanya pandangan mataku
yang melihat ke mana dia menghilang.
Hajat yang nak aku tunaikan sebentar tadi terbantut terus.
Perlahan aku memusing
semula ke belakang untuk menaiki semula anak tangga. Wajah manis pelajar lelaki
tadi yang tersenyum bermain di mindaku. Tak pernah pula aku bersua dengan dia
sebelum ni di mana-mana kawasan sekolah. Entah-entah pelajar baru kut?Dari
pakaian seragamnya yang berbaju kemeja lengan panjang berwarna putih itu dan
berseluar biru gelap, mungkin dia pelajar Tingkatan 6 Rendah atau Tingkatan 6
Atas.
Setibanya
aku di tingkat atas, pantas aku mencari kelibat pelajar lelaki tadi. Mungkin aku
boleh nampak dia berjalan di tapak perhimpunan untuk ke bangunan yang terletak
di belakang, bangunan yang menempatkan kelas-kelas untuk pelajar Tingkatan 6.
Sambil berjalan menuju
semula ke kelas, sekali lagi aku meninjau-ninjau tapi hampa. Kelibatnya
langsung tak kelihatan. Entah-entah dia singgah di kantin tak?Kalau dia ke
kantin memang aku takkan boleh nampak kerana pandangan aku dihalang oleh dewan
sekolah. Hanya dewan sekolah dan tapak perhimpunan yang boleh disaksikan dari
bangunan kelas aku ni.
Siapa pelajar
tersebut?Ah!Biarlah. Takkan la semua pelajar sekolah ni aku kenal. Mungkin dia
baru berpindah masuk ke Sekolah Menengah Sri Mewangi ni. Mungkin dia dari
Sekolah Menengah Sri Alam yang agak jauh dari pekan ni dan berpindah masuk ke
sini setelah mengikut keluarganya berpindah, aku membuat cerita sendiri di
dalam kepala.
Aku melihat ke arah kelas 5 K1, kelas yang berjiran
dengan kelasku. Seorang pelajar perempuan sedang asyik mengadap buku yang
berada di depannya. Aku perhatikan kelas itu suram, hanya diterangi oleh satu
lampu yang berada berhampiran dengan tempat duduknya.
“Pelik!Kenapa dia tak on kan semua lampu dalam kelas?,” getus aku di dalam hati. Takkan la tugas yang itu pun nak berkira?Aku dapat perhatikan dia yang sedang khusyuk sekali membaca.
“Halida!Awak pergi mana?,”
suara yang menegur membuatkan aku mengalih pandangan.
“Syah..Lambat sampai hari ni?,” aku berjalan mendapatkan Aisyah yang sedang
berdiri di pintu kelas.
“Orang tanya dia, dia
tanya kita balik,” Aisyah mencuit pinggangku.
Aku ketawa. Senang dapat bergurau dengan sahabat baik aku yang sentiasa
menceriakan hari-hari aku di sekolah ni.
“Saya nak pergi toilet la tadi”.
“Kenapa?Tak sihat?,” dia mengerutkan mukanya.
“Tak la. Biasa la, semalam
agaknya banyak makan sambal ikan bilis tu,” aku tersenyum.
“Yang awak kenapa sampai lambat hari ni?”.
“Dah bas lambat, lambat la
sampai. Saya nak pergi koperasi ni. Nak ikut tak?”.
“Malas la. Bukan semalam dah giliran awak ke jaga kedai?,” aku bertanya
mendapatkan kepastian.
“Memang la tapi hari ni si
Devi minta tolong. Dia kan pengawas so nak
kena jaga gate hari ni. Betul tak mahu
ikut?,” Aisyah mengangkat keningnya.
Aku hanya menggeleng.
“Tak takut ke?,” dia
mengusik.
“Nak takut apa. Bukan ada apa pun. Tengok, dah nak cerah pun,” aku menunjukkan
ke langit.
“Mana la tahu...,” dia
ketawa.
Aku menggeleng-gelengkan kepala. Tak habis-habis Aisyah ni dengan
perangainya yang suka mengusik.
“Ke awak yang takut nak
jaga kedai sorang-sorang?Sebab tu minta saya temankan awak kan?,” aku mengusik.
Ketawanya terhenti. Dia mencebikkan bibir.
“Janganlah. Tahu la dia
berani tak payah la nak cakap macam tu”.
“Ha!Tahu takut?,” aku bertanya.
“Sikit-sikit la,” dia
tersenyum.
“Dah la. Nak sembang sampai bila pun tak habis. Pergi la, nanti marah pula
budak-budak yang nak beli pen la, pensil la, liquid paper la...,” aku mengingatkan.
“Ok. Selalunya budak-budak
Tingkatan 1 dengan Tingakatan 2. Yang dah tua-tua macam kita ni dah jarang nak
membeli-belah kat koperasi lagi,” Aisyah mengemaskan tudungnya.
“Dah cantik pun. Takkan la nak melaram kut,” pantas tangan Aisyah melayang
menghadiahkan satu cubitan di lenganku. Aku ketawa meliha mukanya yang merah
padam.
“Bukan nak melaram la. Nak
bagi kemas. Ok la, saya turun dulu. Assalammualaikum”.
“Waalaikummussalam,” aku menghantarnya pergi dengan pandangan mata.
Koperasi yang tidak jauh dari bangunan kelas kami memang menjadi tumpuan pada
waktu pagi, lebih-lebih lagi pada waku rehat setelah kedai koperasi tersebut
menjual pelbagai jenis makanan ringan juga.
Aku melangkah masuk ke
kelas untuk menyambung semula bacaan yang terhenti dari tadi. Sebaik sampai di
mejaku, aku terkejut. Pantas aku memerhatikan ke sekeliling kelas. Hanya
Aminudin yang ada di tempatnya, di belakang kelas berhampiran tingkap.
“Amin, awak ambik surat
khabar kat sini ke?,” aku menunjukkan kepada mejaku.
“Yang hari ni ke?,” dia bertanya kembali.
“Bukan la. Yang semalam,
saya tak habis baca lagi,” aku menerangkan kepadanya yang sedang sibuk menulis.
Mungkin kerja rumah Bahasa Melayu yang nak dihantar kepada cikgu hari ni.
“Ingatkan yang terbaru,
hari ni. Yang semalam, tu...,” dia menunjukkan ke 2 buah meja yang disusun di
bahagian belakang kelas, menjadi Sudut Bacaan untuk kelas kami. Aku berjalan ke
ruangan tersebut.
Sebaik sampai di Sudut
Bacaan, aku terkejut. Pelik!Surat khabar yang aku ambil untuk aku baca tadi,
elok terlipat di situ. Sedangkan aku yakin betul, sewaktu perut aku meragam,
aku tak simpan di sini. Memang aku tinggalkan di atas mejaku.
“Amin, awak ambik simpan kat sini ke?,” aku memandang sekali lagi kepada
Aminudin yang sibuk menulis.
“Mana ada!,” dia
menafikan. Nada suaranya yang agak lantang menunjukkan dia kurang senang,
mungkin dengan sikapku yang mengganggu kerjanya.Aku mendiamkan diri, tak ada
hati nak teruskan bertanya. Aku tatap surat khabar tu lama-lama. Pelik!
Sesi pembelajaran pada
hari itu tidak berlalu dengan baik buat aku. Selain wajah pelajar lelaki yang
bertembung dengan aku berhampiran dengan tandas pada pagi tadi, peristiwa surat
khabar yang tersimpan kembali di tempat asalnya turut berselang seli di dalam
kepala.
Aku yakin bukan aku yang
menyimpannya kembali kerana aku belum habis membacanya. Takkan la Amin nak
mempermain-mainkan aku?Dia yang buat tapi tak mengaku?Mungkin juga.
Pelajar-pelajar lelaki ni boleh tahan nakalnya tapi apa tujuan dia nak buat
macam tu?
Wajah pelajar lelaki yang
bertembung dengan aku tu pula sentiasa terbayang di dalam ingatanku. Puas aku
cuba elakkan dari terus berfikir tapi seakan-akan ada kuasa yang memaksa aku
untuk terus memikirkan si dia.
“So, tak balik lagi ke?,” suara
Aisyah mematikan khayalanku.
“A...ah. Macam tu la.
Macam biasa,” aku mengeluarkan buku nota yang berada di dalam laci meja unuk
dikemaskan.
“Ok la. Saya keluar dulu. Jangan lupa tau kunci kelas,” Aisyah terburu-buru
apabila melihat bas yang telah sampai di luar pintu sekolah sambil mengingatkan
aku seperti biasa.
“Ok,” aku menjawab ringkas
dan melihatnya yang melangkah laju keluar dari kelas.
Aku memandang ke sekeliling. Mazirah, Zarida, Fakri dan Asyraf yang masih
ada di dalam kelas, termasuk aku. Mazirah dan Zarida, Pengawas Pusat Sumber
jadi mesti mereka bertugas hari ni, sebab tu tak terus pulang seperti selalu.
Fakri dan Asyraf yang
tinggal di asrama memang akan balik ke asrama agak lewat, lebih kurang sama
seperti aku, 15-20 minit setelah kebanyakan pelajar bertolak pulang setelah
loceng terakhir dibunyikan.
Aku menyiapkan kerja rumah Matematik sementara menunggu masa berlalu.
“Halida, jadi orang terakhir
lagi ke hari ni?,” Zarida menegur. Aku mendongakkan kepala memandang dia dan
Mazirah yang sudah berada di depan mejaku.
“Nampaknya macam tu la,” aku tersenyum.
“Bertugas ke hari ni?,”
aku bertanya.
“Bukan. Ada mesyuarat kat Pusat Sumber,” sahut Mazirah.
Aku hanya menganggukkan kepala.
“Kami pergi dulu ok. Bye!”.
Aku melihat angka-angka yang tercatat di atas buku latihan. Sayangnya tidak
ada kertas graf untuk aku lukiskan carta histogram untuk soalan yang baru aku
selesaikan sebentar tadi.
“Rajin nampak,” aku
menoleh ke belakang mencari sumber suara yang menegur.
“Bukan rajin, dah memang kena buat,” aku menjawab teguran Asyraf.
“Awak tak balik lagi?,”
aku bertanya kepadanya yang mengambil tempat duduk Aisyah di sisiku.
“Belum. Dalam 5 minit lagi la. Balik
terus makan kat kantin dengan Fakri,” dia menunjukkan ke belakang, tempat Fakri.
“Ni cari apa?Nak guna
kertas graf?,” tanya Asyraf setelah dia melihat hasil kerja aku yang berada di
atas meja.
“Tak apa la. Kat rumah pun boleh buat,” aku terus mengemas buku-buku
latihan dan nota untuk dimasukkan ke dalam beg.
“Tak nak balik lagi?,” aku
bertanya setelah melihat Fakri mengambil tempat di kerusi guru sambil memandang
ke luar tingkap. Kalaulah aku pulang terlebih dahulu, bagaimana kalau salah
seorang daripada mereka perlu untuk masuk semula ke dalam kelas setelah di
kunci?
“Kalau awak nak balik, balik la dulu. Kan saya ada kunci pendua,” Asyraf
bagaikan mengerti.
Ya Allah!Macam mana la aku
boleh terlupa yang si Asyraf ni pun ada kunci kelas?Sudah menjadi persetujuan
seisi kelas kami untuk membahagikan kunci kelas kepada salah seorang pelajar
yang menginap di asrama, supaya tidak akan menjadi masalah kalau orang yang
pertama memegang kunci tidak hadir ke sekolah.
“Saya lambat lagi. Nak
baca surat khabar dulu,” aku berlalu ke belakang. Sekali lagi aku tak dapat
lari daripada memikirkan bagaimana surat khabar tu tersimpan kembali di tempat
asalnya sebaik sampai di sudut berkenaan. Pelik betul!Tak mungkin aku
berangan-angan.
Aku mencapai majalah
Readers Digest dan berlalu ke kerusi yang paling hampir dengan sudut bacaan,
tempat duduk Khairul. Aku melirik ke bawah mejanya yang bersepah dengan
kertas-kertas. Sengaja aku mencapai salah satu kertas yang telah digumpalkan.
“Melampau Khairul ni. Padahal bukannya jauh pun tempat duduk dia dengan
bakul sampah. Mentang-mentang la esok cuti, senang-senang je dia buat sampah!,”
aku membebel di dalam hati.
Aku membuka gumpalan
kertas yang sudah berada di tangan. Aku melihat jalan kira yang dibuat untuk
subjek Fizik tapi hanya separuh jalan. Memang patut la dia buang sebab salah jalan
kira yang dibuatnya tapi janganlah sepahkan macam ni!
Aku terus membaca majalah kegemaranku itu. Sebentar lagi sebelum aku balik,
aku akan bersihkan tempat si Khairul ni, aku merancang di dalam kepala.
“Lida, nota Sejarah tu nak
kena buat ke?,” Asyraf yang masih berada di tempat duduk Aisyah bertanya.
“Em..kalau tak salah, memang Cikgu Yasir galakkan kita buat walaupun dah
ada buku nota yang kita beli tu. Senang nak ingat,” aku memaklumkannya.
Asyraf mengeluarkan buku
catatannya, mungkin mencatat kerja rumahnya yang perlu dihabiskan.
Fakri masih lagi merenung ke luar tingkap, seolah-olah mengelamun. Asyik
betul dia melihat ke luar kelas. Macam-macam ragam!
Aku meneruskan pembacaan.
Macam-macam jenis cerita yang dipaparkan di dalam majalah ni. Segala fakta yang
menarik juga turut dimuatkan.
“Ok la. Kami keluar dulu.
Kunci tau kelas,” suara Asyraf mengganggu tumpuanku.
“Ok,” aku menegakkan ibu jari tanda mendengar apa yang dikatakannya.
Fakri yang menggalas beg sekolahnya hanya tersenyum. Aku menyenangi dia
yang memang tak banyak bercakap di dalam kelas ni. Agaknya kerana perangai kami
yang sama juga la menyebabkan kawan-kawan sekelas kerap mengusik. Aku tersenyum
sendirian sambil melihat mereka berdua melangkah keluar.
Aku melihat jam di tangan,
hampir ke pukul 2.45 petang. Lebih baik aku pun balik kerana mesti
pelajar-pelajar dah berkurangan di jalan raya. Jadi tak la sibuk seperti pukul
2.15 petang sewaktu semuanya berpusu-pusu keluar.
Selesai menyimpan majalah,
aku berlalu ke tempat dudukku untuk mencapai beg. Selesai menggalas beg, aku berjalan
keluar dan menutup pintu untuk dikunci. Sebaik hendak mengunci menggunakan
mangga, aku teringatkan kertas yang bersepah di bawah meja Khairul.
“Ala. Sapu je la. Hari
Isnin nanti dah tak payah sapu,” aku membuka semula pintu dan berjalan menuju
ke belakang untuk mengambil penyapu. Beg sekolah masih lagi tergalas di
belakangku. Sebaik mencapai penyapu, aku memusing untuk ke tempat Khairul yang
memang tak jauh dari sudut bacaan dan juga tempat tersimpannya bakul sampah dan
penyapu.
“Astagfirullah!,” aku beristigfar
sebaik terpandang bawah mejanya yang bersih. Jantungku berdegup kencang!Mataku
melilau melihat sekeliling kelas. Keadaan yang agak sunyi tiba-tiba membuatkan aku berasa seram.
Perlahan-lahan aku menyandarkan
kembali penyapu di dinding. Aku melihat ke dalam bakul sampah. Aku menarik
nafas untuk melegakan perasaan aku sendiri apabila melihat kertas-kertas yang
bersepah di bawah meja Khairul tadi berada di situ!
Aku yakin kali ini bukan
aku yang berangan-angan. Aku tak berhalusinasi!
Aku melihat keadaan kelas sekali lagi. Tiada apa-apa yang aneh!Kalau la aku
ceritakan peristiwa ni, mesti takkan ada orang yang akan mempercayai aku.
Lama aku berdiri di situ.
Cuba untuk mendapatkan kembali semangat yang kurasakan hilang setelah melihat
peristiwa tadi. Jari-jari yang sedikit menggeletar aku satukan kesemua menjadi
genggaman. Aku membaca al-Fatihah dan ayat Kursi untuk memberikan sedikit
kekuatan kepada diri sendiri.
Biar apa pun yang sedang
berhadapan dengan aku sekarang, dia juga makhluk Allah seperti aku. Selagi aku
tak mengganggunya, dia juga tidak mempunyai sebab untuk mengacau aku.
Perlahan-lahan aku
berjalan menuju keluar. Sebelum menutup pintu, sekali lagi aku memandang
keadaan kelas. Suis kipas dan lampu semuanya sudah ditutup. Setelah berpuas
hati, aku menutup pintu dan menguncinya.
Apa maksud semua ni?Selama
hampir 5 tahun aku belajar di sini, tak pernah aku mengalami peristiwa macam
ni. Ini kali pertama aku berhadapan dengan situasi pelik macam ni.
“Mungkin ini ujian buat aku,” aku berbisik perlahan.
Sewaktu melewati pondok
pengawal, aku melemparkan senyuman kepada Pakcik Mahfiz seperti kebiasaannya.
Dia yang sedang menyedut air juga turut tersenyum.
Aku memandang ke kiri jalan sebelum melintas.
Mataku pantas menangkap
kelibat seorang pelajar lelaki yang sedang berjalan pulang. Dia yang tiba-tiba
menoleh sebelum melintas membuatkan aku terkejut.
“Dia..budak tu,” aku
melihat sekali lagi ke kanan sebelum melintas dan pantas menoleh semula ke kiri
untuk melihat pelajar lelaki tu.
Aku mengerutkan dahi. Dah ghaib!Takkan la dia berlari kut?Tak pun mungkin
dia dah masuk ke lorong jalan tu, aku membuat kesimpulan sendiri.
Sambil mengayuh basikal,
aku terus memikirkan siapakah pelajar lelaki terbabit, tapi kejadian surat
khabar dan sampah di bawah meja Khairul lebih mengambil tempat di dalam kotak
fikiranku. Selama aku di sini belum pernah aku mengalami kejadian-kejadian
pelik macam ni. Tak pernah pula aku dengar cerita-cerita yang seperti ini dari
kawan-kawan sekelasku. Semakin aku fikir hanya membuatkan aku menjadi semakin
buntu!
cerita tentang apa ni, kak? mcm best je..:)
ReplyDeletewaaa crita bru...
ReplyDeleteakk tp iasu stil update ye :)
NI YG JELES NI,
ReplyDeleteBYK BETUL IDEA AKAK
Miss Imaginative, cite ni dah lama akk tulis..konon2 nak buat cite seram la;-)
ReplyDeleteLyna, insya allah IASU still update cam biasa..ME, tak de bendanya nak jeles..bukan hebat sngt pun..cuma cite biasa2;-)
ReplyDeletebest!!! hehehe jangan biarkan hidup andadiselumbungi misteri
ReplyDelete