9
“Syah,
saya nak pergi perpustakaan ni,” aku mengeluarkan buku latihan Fizik yang
dipinjam dari perpustkaan pada minggu lepas.
Nasi lemak dan kuih yang aku beli dari kedai Pakcik Mud sudah habis dimakan
oleh kami berdua sebentar tadi.
“Awak nak ikut tak?,” aku
memandangnya yang masih menyedut air milo ais yang dibeli dari kantin.
“Tak mau la. Saya nak semak balik jawapan Matematik. Yang ogif tu.”
“Kenapa?Tak habis lagi?.”
“Bukan tak habis la. Nak semak je. Mana la tahu kalau-kalau ada yang salah.
Jawapan lain tapi ogifnya lain.”
Aku mengangguk mengakui kebenaran kata-kata Aisyah. Aku pun pernah tersalah
lukis histogram tempoh hari.
“Ok la. Saya pergi dulu,”
aku bergegas keluar apabila mengenangkan waktu rehat yang akan berakhir lebih
kurang dalam 10 minit sahaja lagi.
Sewaktu aku melintasi
tapak perhimpunan yang dipenuhi dengan beberapa buah kereta guru, aku
terpandangkan Mikhael yang sedang duduk di kerusi yang terdapat di bawah pokok,
berhampiran dengan Makmal Sains untuk pelajar menengah rendah.
“Apa yang dia buat?,” aku memberhentikan langkah untuk melihatnya.
“Mungkin dia sedang
berehat. Kan sekarang memang waktu rehat,” aku terus melihatnya yang sedang
duduk di situ.
Aku melihat jam yang hampir ke pukul 11. Kalau tak kerana aku nak
memulangkan buku yang dipinjam di perpustakaan, aku akan pergi mendapatkan
Mikhael.
“Biarlah. Dia nak ambik
angin kat situ agaknya,” aku terus melangkah meninggalkan tapak perhimpunan
untuk pergi ke perpustakaan.
“Harap-harap sempat la,” aku berjalan pantas.
Aku menanggalkan kasut sebaik
tiba di luar perpustakaan.
“Sempat lagi tak?,” aku sedikit tercungap-cungap setelah mendaki anak
tangga untuk sampai di perpustakaan.
Abang Kamal, petugas
kaunter tu tersenyum. Dia yang sudah mengecam mukaku kerana selalu menjadi
pengunjung tetap sejak dari tahun lepas, menganggukkan kepalanya.
“Apa ni?Salam pun tak bagi terus tanya. Apa yang sempat?Apa yang tak
sempat?,” dia mengusik.
“Buku ni. Nak pulangkan
sekarang ni sempat tak?,” aku menunjukkan kepadanya.
“Sempat la. Tengok tu...,,” dia menunjukkan kepada jam yang tergantung di
dinding.
“Tak sampai lagi pukul 11.
Lepas pukul 11 nanti tak boleh la,” dia memaklumkan peraturan perpustakaan yang
aku sudah sedia maklum.
Aku tersenyum. Kalut punya pasal aku terlupa jam di tangan yang waktunya
sengaja aku cepatkan 5 minit kerana tak mahu lewat ke sekolah.
“Nah, dah selesai. Tak mau
pinjam hari ni?,” dia menghulurkan kad pinjaman kepada aku.
“Tak sempat la. Ada kelas ni,” aku terus menyambut kad yang berada di
tangannya.
“Selalu tak kalut macam
ni. Kenapa hari ni lewat?.”
“Tadi tu makan dulu dengan kawan. Lepas tu baru teringat nak kena pulangkan
buku tu,” aku memuncungkan mulut kepada buku latihan Fizik yang masih berada di
mejanya.
“Tak pa la. Esok boleh
pinjam. Buku-buku latihan yang terkini baru sampai tadi,” dia menunjukkan kepada
buku-buku yang masih berada di dalam kotak yang terikat dengan tali rafia.
“Wah!Best la,” aku terhenti di muka pintu. Kata-kata abang Kamal yang
memaklumkan kepada aku mengenai buku-buku terbaru tu membuatkan aku terasa rugi
kerana terlepas peluang untuk meminjamnya pada hari ni.
“Kalau nak pinjam hari ni pun
tak boleh. Sebab nak kena label dulu,” dia tersengih, seakan-akan boleh
mengetahui niatku yang masih berdiri di muka pintu.
“Ok la. Saya pergi dulu. Terima kasih,” aku melangkah keluar.
Betul juga apa yang
dikatakan oleh abang Kamal. Semua buku yang baru sampai mestilah dilabelkan
dulu nombor sirinya. Kemudian, kena pula disusun terlebih dahulu di rak-rak.
Selagi tak ditempatkan di rak, selagi tu juga la para pelajar tak dibenarkan
meminjamnya.
“Mana pula ni?,” aku
melihat di sekitar pintu masuk.
“Tadi ada,” aku membebel seorang diri. Aku yakin aku tanggalkan kasut di
depan pintu sebaik sampai di sini tadi. Senang untuk aku nak terus memakainya
apabila nak balik.
“Awak cari apa ni?,” satu
suara yang menegur membuatkan aku menoleh.
“Fakri..bila awak ada kat sini?.”
“Dah lama. Lepas habis
makan kat kantin tadi saya datang sini dengan Zaim tapi dia balik dulu tadi.
Jadi tinggal la saya sorang-sorang. Awak cari apa?,” dia tersenyum.
“Kasut,” aku mencari di belakang pintu perpustakaan yang terbuka. Mana la
tahu kalau tersorok di situ.
“Kasut?,” dia bertanya
kehairanan.
“Ya la. Kasut saya. Tadi ada kat sini,” aku menunjukkan ke lantai.
“Awak ni kelakar Lida!,”
dia ketawa.
Aku merenungnya. Kelakar?Aku yang kehilangan kasut tapi dia cakap kelakar?
“Ok, ok. Jangan la marah. Tu..,”
dia menunjukkan kepada rak kasut yang ditempatkan berhampiran dengan dinding.
“Saya bukan letak kat situ. Saya tanggalkan kat sini. Kalau ada pun kat
situ, mesti kasut orang lain,” aku mengetap bibir. Macam mana kalau kasut aku
hilang?
Fakri terus ketawa.
“Apa yang kelakar sangat?,” aku memandangnya.
“Memang la kasut orang
lain. Kasut abang Kamal...tapi ada ke dia pakai kasut sekolah macam kita?.”
“Hah?Apa maksud awak ni?,” aku tak faham dengan apa yang dikatakan oleh
Fakri.
“Cuba tengok..,” dia
menunjukkan sekali lagi.
Aku melihat kepada rak kasut di situ. Hanya 2 pasang kasut sekolah yang ada
di situ. Kasut yang berwarna hitam tu sudah semestinya milik abang Kamal. Salah
satu kasut yang berada di situ...
“Kasut siapa tu?Yang
bertali tu?,” aku melihat Fakri yang berjalan menuju ke rak kasut.
Dia mencapai kedua-dua pasang kasut yang berada di situ.
“Nah!Jangan la terlupa
awak letak kat mana,” dia tersenyum. Masih menahan ketawanya. Sesekali dia
menggelengkan kepalanya.
Aku ikut duduk di sebelahnya untuk memakai kasut aku yang baru diambilnya
di rak tadi.
Macam mana kasut yang aku
tinggalkan di pintu masuk tadi tersusun di rak kasut tu?Bersebelahan dengan
kasut Fakri?
“Fakri...awak ke yang simpan kat situ?,” aku bertanya.
Soalan aku mengundang
semula ketawa Fakri.
“Bukan la. Macam-macam awak ni!,” dia masih lagi ketawa. Aku sudah mendapat
jawapannya.
Kalau bukan Fakri, mesti la “dia” yang tak pernah jemu-jemu membantu.
“Jom
la. Kita ikut jalan sana, dekat sikit. Lagipun dah lewat ni.”
Aku mengikuti Fakri yang menghala menuju ke laluan yang menghubungkan
perpustakaan dengan sebuah bangunan yang menempatkan beberapa lagi buah kelas.
Aku sempat melihat buku
yang berada di tangannya.
“Buku awak ke atau awak pinjam tu?,” aku bertanya.
“Yang mana?Yang ni?,” dia
menunjukkan kepada buku rujukan Sejarah yang setebal hampir 2 inci itu.
Aku mengangguk.
“Yang ni buku saya. Yang
ni baru la saya pinjam,” dia menunjukkan sebuah lagi buku rujukan Sejarah.
“Kan awak dah ada subjek tu. Buat apa pinjam buku rujukan untuk subjek yang
sama?,” aku menjadi pelik dengan sikap Fakri.
“Saja. Boleh tahu apa
perbezaannya antara kedua-dua buku ni,” sesekali dia membelek isi kandungan
buku rujukan yang baru dipinjamnya tadi.
“Perbezaan?Bukan sama ke?Kan subjek tu sama.”
“Cuba tengok..,” dia
menghulurkan sebuah buku.
“Buku tu buku saya sendiri. Cuba tengok yang ni pula,” dia membuka sebuah
lagi.
Aku berhenti untuk melihat
muka surat yang ditunjukkan oleh Fakri.
“Apa bezanya?Sama je saya tengok,” aku tak dapat mencari perbezaan yang
dikatakan oleh Fakri.
“Memang lebih kurang. Cuba
tengok..yang ni tak ada soalan-soalan untuk sub-topik. Terus satu bab
soalan-soalan latihan dia. Yang ni ada..,” dia menunjukkan kepada buku yang
berada di tangannya.
Aku mengangguk-angguk faham. Teliti betul si Fakri ni!
“Jadi, senang la. Kalau
tak faham satu-satu topik tu, kat belakang ada penerangan dia. Tak la, nak
masuk satu bab terus. Kena la fahamkan sub-topik dulu,” dia menutup semula buku
yang berada di tangannya.
Aku memulangkan semula
buku kepada Fakri.
“Habis tu kenapa awak beli yang tu?Tak beli macam yang awak pinjam tadi?.”
“Yang ni pun sebenarnya
buku abang saya. Dah boleh guna, guna la lagi. Lagipun topik-topik yang diajar
tak berbeza. Cuma latihannya saja yang kadang-kadang tak lengkap.”
Rajin betul Fakri. Aku mengagumi sikapnya yang memang rajin ke perpustakan.
Aku pun tak teliti sangat mengenai buku-buku rujukan ni.
“Tengok. Cantiknya!,” aku
menunjukkan kepada lukisan mural di dinding sewaktu kami berdua melintasi
kawasan tersebut sebelum menuruni tangga.
Lukisan yang menggambarkan pelajar-pelajar yang sedang melakukan pelbagai
aktiviti. Ada yang membaca, membersihkan kawasan sekolah, sedang menerima
hadiah, bersukan dan ada juga gambar guru-guru di situ.
“Ni gambar arwah Cikgu
Hamid,” Fakri menunjukkan kepada salah satu gambar yang dilukis, siap bertanda
nama.
Aku terdiam. Kenangan bersama arwah terimbas semula.
“Tengok ni. Nama-nama
orang yang buat,” Fakri menunjukkan di bahagian bawah.
“Ira, Imah, Hakim, Epul dan juga Ari,” Fakri membaca.
“Tahun pun ada tu,” aku menunjukkan.
“Tahun 1999. Wow!Dah
hampir 10 tahun,” Fakri memandang aku.
“Cantik kan?,” aku mengagumi lukisan mural yang terlukis di dinding.
“Awak pandai melukis?,”
aku memandang Fakri.
“Pandai...tapi orang lidi je la,” dia ketawa.
Aku ikut ketawa. Lucu juga
si Fakri ni. Dia yang pendiam di dalam kelas mempunyai sifat yang berbeza
apabila berada di luar.
“Saya pun tak pandai lukis. Untung orang yang ada bakat melukis ni.”
“Kenapa pula untung?.”
“Ya la. Bila dah besar boleh jadi kartunis ke..lukis potret ke.”
“Betul juga. Bakat seni tu
bukan senang nak dapat.”
Aku leka menatap lukisan mural yang cukup cantik di pandangan mataku. Wajah
yang dilukis menjadi dengan rupa sebenar cikgu-cikgu yang ada di sekolah ni.
“Eh!Dah lewat ni. Jom!,”
Fakri mengingatkan.
Kami berdua menuruni pantas anak tangga untuk mengatur langkah menuju ke
kelas. Tiada lagi pelajar-pelajar di sekeliling menandakan semua sudah masuk ke
dalam kelas masing-masing.
“Agak-agak Cikgu Khalida
dah sampai ke?,” aku risau apabila terkenangkan reaksi yang bakal dipamerkan
oleh Cikgu Khalida.
“Mungkin dah. Tengok la sekarang dah pukul berapa,” Fakri berjalan pantas.
Aku sedikit ketinggalan di belakangnya.
“Cepat!,” dia menoleh.
“Dah cepat la ni!,” aku sedikit kepenatan. Leka sangat menatap lukisan
mural tu menambahkan kelewatan kami berdua.
“Assalammualaikum
cikgu!Maaf lambat,” Fakri yang mendahului memberikan salam.
Aku yang berada di belakangnya menurut langkahnya memasuki kelas.
“Waalaikummussalam. Tak
apa. Saya pun baru nak mula,” Cikgu Khalida yang sedang memegang kapur tulis
tersenyum kepada kami berdua.
“Terima kasih cikgu,” giliran aku pula untuk bersuara.
Cikgu Khalida menganggukkan
kepalanya dan mula menulis di papan hitam.
“Awak pergi mana?Bukan main lama,” Aisyah berbisik.
“Perpustakaan la. Kan tadi
dah cakap,” aku mengeluarkan buku teks Matematik.
“Dengan Fakri?,” dia tersenyum.
“Jangan nak fikir yang
bukan-bukan. Saya terjumpa dia kat sana la.”
“O...terjumpa...ke memang rancang nak berjumpa?,” dia menyiku aku.
“Mana ada!,” aku
menyikunya kembali. Aisyah terus tersenyum.
Aku terus mengadapkan pandangan ke papan hitam. Cikgu Khalida masih lagi
meneruskan pembelajaran mengenai topik ogif yang belum lagi selesai.
“Betul tak jawapan awak?,”
aku bertanya kepada Aisyah.
“Rasa macam betul..tapi nanti cikgu baru nak bincang,” Aisyah meneliti
semula buku grafnya.
Aku mencari buku graf yang
disimpan di dalam laci.
Aku terpandangkan Nadirah yang sedang melihat ke arah aku.
Aku mengukirkan senyuman
kepadanya tapi tiada balasan.
Hanya jelingan yang diterima.
Ada masalahkah dia tu?Atau
aku melakukan kesalahan kepadanya.
“Awak kemas-kemas ni nak balik juga ke?,” Aisyah
bertanya.
Aku yang sedang sibuk memasukkan buku-buku ke dalam beg menggeleng.
“Balik macam biasa la...tapi tak la lewat macam selalu tu,” aku menerangkan
kepadanya.
“O...ok la. Saya gerak
dulu,” dia mencapai buku rujukan Kimianya yang berada di atas meja.
“Ok. Hati-hati.”
Dia melambai sebaik sampai
di pintu kelas.
“Ingat tau!Esok..nasi lemak.”
“Ya la, ya la. Kuih?.”
“Kalau ada ok je,” dia tersenyum.
Aku menghantarnya pergi dengan pandangan mata.
Habuk pensil yang aku asah
ketika hendak melukis ogif tadi, aku kais dari laci meja ke tapak tangan. Aku
berjalan menuju ke belakang kelas.
“Lewat ke hari ni?,” Asyraf bertanya.
“Tak la. Dalam 5 minit
lagi saya keluar la,” aku membuang habuk ke dalam bakul sampah. Aku
menepuk-nepuk habuk yang bersisa di tapak tangan.
“Nampaknya saya lagi la kena kunci pintu.”
Aku tersenyum memandang
Asyraf.
“Dah nasib...selalu saya yang balik lewat dan datang awal.”
“Ingatkan hari tu awak tak
datang. Hari yang awak lambat tu.”
Aku teringat semula hari pada minggu lepas. Bukan lambat tapi aku yang
sengaja memilih untuk keluar lewat daripada rumah, tak seperti kebiasaannya.
“Awak nak pinjam ke buku
ni?,” Fakri mengangkat buku rujukan Sejarah yang berada di atas mejanya.
“Ish!Tak la. Saya dah ada.”
“Kalau nak ambik la. Saya
guna yang ni,” dia menujukkan kepada sebuah lagi buku rujukan Sejarah. Aku pun
tak pasti yang mana satu kepunyaannya dan yang dipinjamnya tadi.
“Tak la. Saya saja tanya
tadi tu sebab nampak sama. Saya dah ada la.”
“Lebih baik bagi aku yang pinjam,” Asyraf merebut dari tangan Fakri.
“Kalau ya pun nak, minta
la elok-elok,” aku tersenyum melihat tingkah mereka berdua yang bersahabat
baik.
“Ok. Saya balik dulu,” aku melihat jam di tangan. Pukul
2.30
“Nadirah, tak balik lagi?,”
aku menegur dia yang sedang berada di tempat duduknya.
“Tak lagi. Lewat sikit hari ni,” dia tersenyum.
Pelik. Tadi dia
seakan-akan marah kepadaku. Biarlah..bukankah dia dah senyum?Maksudnya ok la
tu.
Sewaktu aku menggalas beg sekolah, aku melihat Nadirah pergi ke belakang
kelas, mencapai surat khabar di sudut bacaan.
“Fakri, nak baca?,” aku
melihatnya yang membawa surat khabar tu ke tempat duduk Khairul yang
berhampiran dengan tempat Fakri.
Aku melangkah meninggalkan kelas.
bestnya cite ni!! nak next entry ^_^
ReplyDeleteTq Aqila..malam ni akak upload ya new entry untuk cite ni;-)
ReplyDelete