Saturday 25 January 2014

DIA...MIKHAEL 3



3
Aku mengayuh basikal menuju ke jalan keluar dari kawasan perumahanku. Syukurlah, tak ada kejadian-kejadian pelik yang terus berlaku selepas aku bersembahyang Maghrib pada hari Sabtu lepas. Semuanya kembali seperti sedia kala sehinggalah pada hari Ahad, mak, ayah dan adik-adik aku pulang semula ke rumah.
            Aku sempat melihat Makcik Zabedah yang sedang berjalan menuju ke kedai kopi Pakcik Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Pakcik Mud di kawasan perumahan ini.
“Awal makcik?,” aku menghentikan basikal.
            “Kena la awal. Nanti pukul 7 van kilang tu dah sampai. Boleh juga budak-budak kilang tu beli kuih dan nasi lemak ni,” dia menunjukkan ke dalam bakulnya.
“Makcik buat nasi lemak juga?Bila?,” aku kehairanan. Selalunya hanya kuih-muih yang diletakkan di kedai. Nasi lemak pula dibuat oleh orang lain.
            “Dah rezeki. Makcik Umi yang selalu letak nasi kat kedai Pakcik Mud tu dah tak buat. Dia nak jaga anaknya dalam berpantang. Sekarang ni makcik la yang buat. Esok-esok nanti entah la..,” mendatar suaranya.
Aku memerhatikan raut wajah wanita yang di dalam lingkungan 40-an itu. Mestilah dengan nasi lemak yang dibuatnya dapat membantu memberikan pendapatan tambahan kepadanya.
            “Tak apa. Nanti mesti Pakcik Mud suruh makcik buat lagi. Kuih makcik pun sedap!,” aku cuba menceriakan hatinya.
Makcik Zabedah tersenyum.
            “Ya la tu. Kamu ni pun awal sangat pergi ke sekolah kenapa?Dah ada ke kawan-kawan yang datang?.”
“Tak la. Saya memang selalu pergi awal. Dah biasa. Nanti mesti jalan sibuk. Tak seronok. Makcik bagi la saya satu nasi lemak tu,” aku menunjukkan ke dalam bakulnya.
            Pantas tanganku menyeluk saku baju kurung mencari duit sekolah yang telah diberikan oleh ayah untuk satu minggu terus.
“Tak payah, tak payah. Makcik bagi kamu rasa. Nanti kalau kurang rasa apa, bagitahu kat makcik,” dia menolak tanganku yang menghulurkan duit kertas RM1 kepadanya.
            “Mana boleh. Makcik kan berniaga,” aku tetap memasukkan juga duit tu ke dalam bakulnya. Kemudian, pantas aku mengayuh basikal meninggalkannya. Kalau tidak, mesti Makcik Zabedah enggan menerima duit tersebut.
            Aku sudah masak dengan perangainya yang selalu menolak duit setiap kali aku membeli kuih donat daripadanya.
“Ish!Budak ni. Degil..Halida!Hati-hati naik basikal tu!,” jeritnya daripada belakang.
            “Ok!,” aku melambaikan tangan, isyarat aku mendengar apa yang dipesannya. Aku berazam untuk menolongnya kelak apabila aku dah berkerjaya suatu hari nanti. Memang malang nasib yang menimpa Makcik Zabedah. Mujurlah rumah yang didudukinya sekarang sudah pun dibeli oleh arwah suaminya sebelum meninggal.
            Hendak bergantung harap kepada keluarganya, adik-beradiknya pun bukan senang. Masing-masing dah berkahwin dan mempunyai tanggung jawab masing-masing. Emak dan ayahnya pula dah meninggal. Mengenai keluarga mertuanya, tak pula aku pernah dengar. Mungkin terus terputus hubungan selepas kematian suaminya.
 ################################################           
Sampai di bangsal basikal, aku melihat seorang pelajar perempuan sudah ada di situ. Dia yang sedang duduk mencangkung di sisi basikalnya, membelakangkanku.
“Selalunya aku orang pertama yang sampai,” getus aku di dalam hati. Dia masih lagi duduk di situ. Aku yang hanya beberapa meter daripadanya dapat melihat beg sekolahnya yang berwarna kuning air itu.
“Apa yang dia buat?Basikalnya rosak tak.” Aku memerhatikan dia yang masih juga tak bangun-bangun.
            “Agaknya dia sedang periksa tayar,” aku membuat andaian sendiri.
Aku mencapai nasi lemak yang berada di dalam raga.
“Wanginya!,” terbuka seleraku sebaik mencium bau nasi lemak Makcik Zabedah yang dialas dengan daun pisang dibalut pula dengan suratkhabar.
            “Minta-minta biarlah laku nasi ni,” aku tersenyum. Kemudian melangkah menuju ke kelas setelah mengunci basikalku. Beberapa langkah aku meninggalkan tempat menyimpan basikal, aku menoleh semula ke belakang.
“Ada lagi budak tu. Apa yang dia buat?,” aku dapat melihat budak perempuan itu masih lagi setia di sisi basikalnya.
            “Mungkin tunggu kawan dia kut,” aku teruskan berjalan menaiki anak tangga menuju ke kelas. Aku kehairanan melihat bilik kaunseling yang terang benderang. Cahayanya yang menyimbah hingga ke tangga dapat aku lihat dengan jelas. Pintu bilik kaunseling yang terbuka memanggil aku untuk menjengah.
            “Assalammualaikum cikgu,” aku menegur sebaik terpandang kelibat Cikgu Hamid yang sedang duduk di kerusinya.
Dia tersenyum memandang aku.
“Awal cikgu hari ni,” aku menghampiri pintu bilik kaunseling.
            Cikgu Hamid hanya mengangguk. Aku melihat ada beberapa kertas yang bersepah di atas mejanya. Mungkin dia banyak kerja yang nak dibuat sebab tu la datang awal. Buat apa la aku nak mengganggunya?
“Saya pergi dulu cikgu,” aku berbahasa. Cikgu Hamid hanya mendiamkan diri. Aku berlalu ke kelas.
            Setelah membuka pintu, aku memerhatikan sekeliling kelas setelah menghidupkan suis lampu, seperti biasa yang aku lakukan sebelum melangkah masuk.
“Alhamdulillah, tak ada apa-apa,” aku berpuas hati dengan keadaan kelas yang masih sama seperti hari terakhir aku meninggalkannya.
            Aku meletakkan beg di kerusi dan mula berjalan ke belakang kelas untuk mencapai penyapu dan penyodok sampah. Memang pada hari Isnin, hari aku bertugas untuk membersihkan kelas tapi bagi aku yang sudah biasa menyapu setiap hari, aku merasakan sama sahaja. Tidak ada perbezaan.
            Deruman enjin bas yang berhenti menarik perhatianku.
“Aisyah,” aku tersenyum kerana sebentar lagi boleh la aku berkongsi nasi lemak yang aku beli dari Makcik Zabedah tadi. Memang menjadi kebiasaan kami berdua untuk berkongsi makanan yang dibawa, biarpun tak banyak. Kadang-kadang dia juga akan membawa bekal nasi goreng ataupun jemput-jemput yang dibuat oleh emaknya, Makcik Kamsiah.
            Tanganku pantas menyapu. Seperti kebiasaannya, tak banyak yang perlu aku kemaskan kerana hari Jumaat yang lepas aku sudah menyapu sebelum aku pulang. Ketika menyapu di bawah meja Khairul, ingatanku melayang mengenangkan peristiwa kertas-kertas yang bersepah di bawah mejanya dan bagaimana sampah-sampah tersebut boleh berada di dalam tong sampah.
            Namun aku cuba membuangkan kejadian itu daripada terus bersarang di dalam kepalaku. Mungkin kerana terlalu penat dengan ulangkaji membuatkan aku ternampak atau memikirkan yang bukan-bukan.
            Selama 2 hari cuti yang aku habiskan tanpa membuat ulang kaji biarpun sedikit, membuatkan aku kembali segar. Hanya kerja-kerja rumah dan nota Sejarah yang perlu aku siapakan mengisi masa cutiku. Selebihnya, aku gunakan untuk menonton TV dan bermain dengan kucingku, Koko.
Aku tersenyum mengenangkan gelagat Koko. Warna bulunya yang coklat tu membuatkan aku memberinya nama Koko.
            Aku mengangkat bakul sampah yang sudah penuh berisi untuk dibawa keluar.
Sewaktu berlalu di depan kelas, aku berhenti di papan kenyataan yang tertampalnya jadual tugasan.
“Fakri,” aku meyebut namanya sebaik membaca tugasan siapa yang perlu membuang sampah pada hari ini.         
            Aku melihat ke kanan, di hujung bangunan di mana tong sampah berada. Aku berjalan laju menuju ke situ apabila mengingatkan Aisyah yang bakal sampai bila-bila masa. Minta-minta janganlah dia sudah bersarapan di rumah kerana kalau tak, terpaksalah aku menunggu waktu rehat untuk makan nasi lemak tu.
            Selesai memasukkan sampah ke dalam tong, aku berjalan semula menuju ke kelas. Kelas 5 K2 masih lagi bergelap. Ketika aku melewati kelas 5K1, aku melihat seorang pelajar perempuan yang berada di depan kelas.
“Budak tu..,” kakiku terhenti. Budak yang sama aku lihat pada hari Jumaat lepas. Asyik betul dia membaca. Maklum la budak kesusasteraan mestilah rajin membaca.
            Dulu aku juga bercita-cita untuk masuk ke kelas Kesusasteraan ni kerana aku memang gemar membaca tetapi cikgu penyelia tingkatan 4 pada waktu itu mengatakan bahawa keputusan peperiksaan aku melayakkan aku ke kelas Sains, jadi terpaksalah aku akur.
            Aku melangkah perlahan-lahan menuju semula ke kelas. Hanya satu lampu yang berhampiran dengannya yang menerangi kelas 5K1, seperti hari Jumaat yang lepas.
Sewaktu aku mengerling ke arahnya, tiba-tiba dia menundukkan wajahnya. Buku yang sedari tadi diletakkan secara menegak, dihempaskan ke meja.
            Bunyi yang bergema di dalam keadaan yang sunyi tu mengejutkan aku.
Marahkah dia?
            Aku melihatnya yang terus membaca setelah merebahkan buku ke meja. Agaknya dia tahu aku memerhatikannya?
Bukannya salah pun!Kalau dia memandang kepadaku dan tersenyum, mungkin kami boleh menjadi kawan. Lagipun kelas aku dan dia hanya bersebelahan, mana la tahu kalau saling memerlukan bantuan nanti.
            Aku terus berjalan ke kelas. Aminudin sudah berada di tempat duduknya. Dia masih lagi sibuk membuat kerjanya.
“Nota Sejarah ke?,” aku bertanya sewaktu berjalan ke belakang kelas untuk menyimpan semula bakul sampah.
            “Bukan la. Eksperimen Kimia. Terlupa nak siapkan,” dia tersengih. Aku hanya memerhatikan sudut bacaan yang masih lagi kemas.
“Eh!Lida..tahu tak?,” aku yang baru nak mengorak langkah ke tempat duduk terhenti.
            “Tahu apa?,” aku mengerutkan dahi.
“La..tak dengar lagi ke?,” dia memandangku.
            “Tahu apa?Dengar apa ni?,” aku kehairanan.
“Pasal Cikgu Hamid...,” mukanya serius menyebut nama cikgu yang baru aku temui sebentar tadi.  Mesti dia terkejut melihat Cikgu Hamid yang berada awal di bilik kaunseling.
            “O..Cikgu Hamid. Kenapa?,” aku bertanya acuh tak acuh sambil berjalan menuju semula ke kerusi. Aku tunduk melihat nasi lemak yang masih berada di dalam laci meja.
“Kenapa?Tahu tak dia dah meninggal. Kemalangan 2 hari lepas waktu balik sekolah. Dah heboh tau!.”
            Aku yang sedang sibuk melihat nasi lemak tu mengalihkan tumpuan kepada Amin.
“Hah!Biar betul ni?!,” aku seakan-akan tak percaya. Mungkin cikgu lain yang terlibat tapi si Amin ni tersalah dengar. Biasa la bila dah jadi buah mulut orang. Fakta yang penting pun boleh berubah.
            “Betul la. Semua dah tahu la. Jangan-jangan awak je yang tak tahu,” selamba Amin menyerkap jarang walaupun itu memang adalah hakikatnya.
Mustahil!Baru tadi aku bertemu dengannya. Dia tersenyum kepadaku. Dia sibuk meneliti beberapa kertas di atas mejanya.
            Aku berjalan keluar dari kelas. Kalaulah Cikgu Hamid berada di situ, memang sah Amin ni tersalah dengar berita. Cikgu lain yang meninggal, disangkanya Cikgu Hamid.
            Aku menelan air liur apabila melihat pintu bilik kaunseling tertutup dan bermangga. Jangan katakan pintunya, cahaya lampunya juga tidak ada!
            Mustahil, mustahil!Ya Allah, apa maksud semua ni?
Aku semakin keliru. Baru tadi aku nampak dia. Aku tegur dia. Dia juga senyum kepadaku. Tak mungkin dia dah meninggal. Memang selalu aku akan menyapanya sebelum berlalu pulang, kalau dia masih lagi berada di dalam bilik itu.
            Aku teringat bagaimana aku pergi berjumpanya sewaktu aku berada di tingkatan 4 pada tahun lepas. Bagaimana dia menyuruh aku menjawab soalan-soalan untuk mengenal pasti minat aku yang sebenarnya kerana aku mengadu kepadanya bahawa aku lebih meminati bidang kesusasteraan dibandingkan bidang Sains.
            Mustahil dia telah meninggal. Bukan aku menidakkan kekuasaan Allah tapi sukar aku nak menerimanya. Baru tadi aku menyapanya.
Aku menoleh sekali lagi ke arah pintu bilik kaunseling yang tertutup kemas.
            “Cikgu..,” air mataku mula bergenang.
Perlahan aku membacakan Al-Fatihah buat cikgu yang banyak memberikan nasihat. Semoga dia aman dan rohnya juga diterima oleh Allah.
“Berehatlah cikgu,” aku menyeka air mata. Aku melihat langit yang semakin mencerah.
            “Tengok. Dulu kata tak minat, boleh score juga. Lepas ni belajar elok-elok. Awak memang ada potensi nak jadi pelajar yang cemerlang. Tahniah!,” suaranya yang mengucapkan tahniah kepadaku sewaktu aku menjadi pelajar terbaik untuk subjek Kimia dan Bahasa Melayu pada tahun lepas bermain semula di ingatanku.
            Aku akan sentiasa mendoakan dia, Cikgu Hamid yang takkan pernah aku lupakan. 
 #######################################
            Perhimpunan pada pagi tu dimulakan dengan berita kematian Cikgu Hamid oleh Tn. Pengetua. Semua murid yang beragama Islam diminta menyedekahkan al-Fatihah untuknya. Beberapa pelajar dan guru juga terutamanya perempuan, menitiskan air mata.
            Arwah Cikgu Hamid memang amat disenangi kerana sifatnya yang kelakar itu membuatkan dia senang mendekati ramai pelajar. Statusnya sebagai guru kaunselor juga membuatkan ramai pelajar senang berurusan dengannya terutama sekali pelajar-pelajar perempuan.
            Aku memikirkan betulkah apa yang aku nampak pagi tadi?Cikgu Hamid yang berada di dalam bilik kaunseling tu?Memang dia tersenyum kepada aku. Pintu bilik tu pun terbuka luas sewaktu aku menghampiri nak lihat Cikgu Hamid yang berada di kerusinya.
Aku menoleh ke belakang melihat bilik kaunseling.
            “Kenapa?Tengok apa?,” Aisyah yang berdiri di belakangku berbisik. Suara cikgu disiplin masih lagi kedengaran memperkatakan isu ponteng dan sebagainya.
Aku menggeleng. Perlukah aku menceritakan apa yang aku nampak pagi tadi?Akan percayakah Aisyah?
            Aku cuba meletakkan diri aku ditempat Aisyah. Mungkin aku juga akan berasa susah nak mempercayai cerita yang sedemikian rupa walaupun aku memang mempercayai sememangnya wujud makhluk-makhluk lain ciptaan Allah di muka bumi ini. Apatah lagi Aisyah yang lebih mementingkan logik untuk sesuatu perkara.
“Kenapa ni?,” cuit Aisyah dipinggangku.
“Apa?,” aku menoleh kepadanya.
            “Ya la. Awak tengok apa tadi?,” dia bertanya tidak puas hati.
Aku dah masak dengan perangainya yang tidak akan duduk diam selagi tidak memperolehi jawapan yang diperolehi, seperti aku juga!
            “Tu..a.. dalam kelas, teringat nasi lemak!,” aku berbohong.
“Nasi lemak?Awak beli ke?,” dia tersenyum.
            “Ya la. Yang baru punya. Rehat nanti kita kongsi ok.”
“Elok la tu. Saya bawa nasi goreng. Lapar pula,” dia tersenyum.
            Aku mengadapkan semula pandangan ke hadapan, di mana cikgu disiplin masih lagi setia berucap. Isu rambut pelajar lelaki yang tidak mengikut sahsiah rupa diri juga disebut.
            Tak lama tumpuanku dapat difokuskan kepada ucapan cikgu berkenaan. Kepalaku masih lagi terbayang wajah Cikgu Hamid yang aku ketemu di bilik kaunseling pagi tadi.  Aku yakin dia tersenyum kepadaku walaupun dia tak bercakap apa-apa kepadaku.
Kenapa hanya aku yang melalui semua ni?
            Nak dikatakan rapat sangat aku dengan Cikgu Hamid tak juga. Masih ada pelajar lain lagi yang rapat dengan arwah. Baik yang berkunjung ke bilik berkenaan untuk menyelesaikan masalah atau sekadar nak berbual dengan arwah Cikgu Hamid.
Aku tak faham...
 ##################################### 
            “Syah..,” aku memanggilnya sewaktu kami sedang makan berdua di dalam kelas. Nasi lemak yang dibuat oleh Makcik Zabedah memang sedap tapi banyak yang aku berikan kepada Aisyah kerana seleraku tidak terbuka sepertimana pagi tadi, sebaik tercium bau wangi nasi tersebut.
            “Kenapa?,” Aisyah masih lagi menyudu nasi lemak itu ke dalam mulutnya.
Aku sedang memikirkan sama ada patut atau tidak untuk aku berkongsi cerita mengenai kejadian yang berlaku pagi tadi. Selama hampir 5 tahun kami saling mengenali, boleh dikatakan tidak ada apa-apa rahsia di antara kami.
            “Sedap la nasi lemak ni. Nanti boleh la awak beli lagi,” aku memerhati gelagatnya yang masih berselera mengadap nasi lemak yang memang wangi baunya tu.
Aku mencapai air teh ais yang dibeli di kantin sebelum kami mula makan di dalam kelas. Semua kawan-kawan sekelas yang tidak ada di dalam kelas, membuatkan aku tefikir untuk berkongsi cerita dengannya.
            “Awak...percaya tak kewujudan makhluk lain?,” lambat-lambat aku menuturkan soalan itu. Sengaja aku mengutarakan soalan itu untuk memancing reaksinya sebelum aku menceritakan apa yang berlaku.
            Suapan Aisyah terhenti. Dia menoleh kepadaku.
“Kenapa tiba-tiba tanya pasal ni?.”
            Aku melihat reaksinya yang kehairanan. Tiba-tiba aku menyentuh mengenai hal yang selalunya dibincang di dalam kelas Pendidikan Islam mungkin membuatkan dia bersikap begitu.
            “Tak la. Saja tanya. Kan dulu ustaz pernah cakap. Selain manusia, makhluk lain pun ada juga kat dalam dunia ni.”
Aisyah meneruskan suapannya yang terhenti.
            Aku mengerling jam di tangan, pukul 10.45 pagi. Lebih kurang 15 minit lagi masa rehat akan habis. Mungkin kalau aku nak menceritakan sekarang pun. belum tentu sempat!
“Mesti awak ada baca apa-apa yang terbaru kan?Beli buku baru ke?,” Aisyah menoleh semula kepadaku.
            “A..tu la. Tiba-tiba terfikir,” aku seakan-akan mengiyakan apa yang ditanya oleh Aisyah.
“Dah agak dah. Selalu kalau lepas baca apa-apa, macam ni lah perangai awak. Banyak diam. Lepas tu fikir, fikir, fikir...” Aisyah seakan-akan membebel.
Aku hanya mendiamkan diri. Fikir?Salah ke?Salahkah aku berfikir mengenai kejadian-kejadian aneh, macam yang berlaku di Segitiga Bermuda tu?Memang kejadian tu menarik dan aneh.
            “Ha, tengok!Kan betul saya cakap. Dah la tu,” Aisyah mencebikkan bibirnya.
“Orang tanya tak jawab,” aku menampar bahunya.
            “Apa?Pasal benda-benda lain ni?,” dia menyedut air milo aisnya.
“Ya la!,” aku memandangnya. Geram dengan sikapnya yang seakan-akan sambil lewa dengan pertanyaan aku tadi.
            “Memang ada. Kan ustaz sendiri yang cakap. Dalam Al-Quran sendiri pun ada sebut kan?.”
“Jadi, awak percayalah?,” aku tersenyum mendengar jawapannya. Ada harapan aku untuk berkongsi dengannya apa yang berlaku pagi tadi, biarpun bukan sekarang.
            “Ya la. Sebgai orang Islam, wajib kita percaya dengan kitab kita. Dalam Al-Quran sendiri ada sebut mengenai benda-benda ni. Takkan kita nak lawan cakap Allah?.”
            Aku tersenyum lagi mendengar jawapan kawan baik aku tu. Sekali sekala aku menganggukkan kepala apabila mendengar cakapnya yang dipinjam oleh kata-kata ustaz.
“Jadi, tak mustahil la kan kalau kita terserempak dengan benda-benda ni?,” aku bertanya lagi untuk melihat reaksinya.
            Air yang sedang disedutnya hampir tersembur keluar.
“Hah?Terserempak?Gila ke?!,” matanya terjegil memandang aku.
            “Apa pula gila. Kan awak sendiri yang cakap. Benda-benda ni memang wujud. Jadi, kalau la kita terserempak tak mustahil la kan?,” aku membidas cakapnya.
Aisyah menyedut sehingga habis air milonya.
            Dia memang kepadaku sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa?,” aku bertanya. Tak senang dengan cara dia merenungku.
            “Awak la..,” dia menuding jarinya kepadaku.
Aku mengangkat kening isyarat bertanya.
            “Tadi tanya saya percaya atau tak. Sekarang ni tanya pasal terserempak pula. Ada apa-apa ke?,” dia seakan-akan boleh membaca niatku untuk berkongsi peristiwa yang berlaku pagi tadi.
Aku mendiamkan diri. Wajarkah aku memberitahunya?
            “Dengar sini..,” aku memandang Aisyah. Belum sempat aku nak membuka mulut nak memberitahunya apa yang telah berlaku.
Dia mengemaskan kertas pembungkus nasi lemak dan juga bekas yang dibawanya dari rumah untuk mengisi  nasi goreng. Aku sempat melihat nasi goreng yang berbaki di dalam bekas tu.
            “Masalahnya awak banyak berfikir...”
Aku dapat mendengar suaranya yang jelas walaupun beberapa orang pelajar sudah mula memenuhi koridor kelas.
“Amboi!Macam doktor,” aku mengusiknya.
            “Saya serius ni!,” dia memandang aku.
“Ya la, ya la,” aku tersenyum.
            “Awak banyak berfikir. Walaupun memang benda-benda ni wujud, bukan bidang kuasa kita nak fikir, nak kaji pasal mereka. Asalkan kita meyakini apa yang dah tertulis di dalam Al-Quran, bagi saya itu dah cukup,” Aisyah menerangkan pendapatnya.
Aku mendiamkan diri.
            “Bukan kena kaji ke kalau nak lebih memahami?,” aku menyanggah kata-katanya.
Dia merenung kepadaku. Tidak senang dengan soalan yang baru aku tanya.
            “Ok la, ok la. Orang bergurau je la,” aku menyedut air teh ais sehingga habis.
Aku melihat Aisyah yang bangun keluar untuk membuang kertas pembalut nasi lemak.
            Macam mana tak fikir kalau benda ni terjadi kat aku?Bukan aku tak meyakini apa yang dah tertulis, malah aku amat-amat percaya dengan kewujudan makhluk-makhluk ni semua.
Cuma sejak kebelakangan ni, seolah-olah banyak peristiwa-peristiwa yang pelik terjadi.
            Persoalannya kenapa aku?Seolah-olah mereka nak menunjukan diri mereka kepada aku pula!Sedangkan aku pun bukanlah berani sangat pun nak berhadapan dengan semua ni.
Habis tu, macam mana nak elakkan daripada berfikir kalau dah terjadi kat aku sendiri?

 





4 comments:

  1. wah.. makin menarik.. tak sabar nak tunggu entry seterusnya! :)

    ReplyDelete
  2. salam, akak kenapa takda cbox ey?
    lagi satu, skin blog akak terang sangat la..
    agak mengganggu pembacaan me,
    btw me nak bagitahu karya baru me
    bru je me update

    ReplyDelete
  3. akak~!!! superb la!!! hump.. entah kenapa asyu rasa dia ni macam ada sesuatu kuasa je... hurm...

    ReplyDelete

EH, EH..ADA ORANG NAK BAGI KITA KOMEN?YEAYYY!!!