Wednesday 5 March 2014

DIA...MIKHAEL 7



7
            Selesai sembahyang Isya, aku terus teringatkan kerja Matematik yang masih belum aku habiskan. Aku bingkas bangun dan meninggalkan kain telekung di atas sejadah. Aku mencapai beg sekolah untuk mengeluarkan buku latihan dan buku teks yang diperlukan.
            Selepas mencapai buku-buku bersama-sama kotak pensilku, aku melangkah menuju ke katil.
“Leganya!,” aku mengeliat selepas mencapai sebiji bantal setelah berbaring.
            Enak benar rasanya dapat bersenang-senang macam ni setelah seharian di sekolah. Perut aku pun kekenyangan dengan masakan mak, ayam masak kurma yang memang sedap tu. Aku tersenyum sendirian apabila terkenangkan senyuman Mikhael. Entah kenapa, dia sentiasa muncul di ruangan fikiranku sejak akhir-akhir ini.
“Buat kerja la,” aku meniarap sambil membuka buku teks yang muka suratnya telah aku lipatkan sebagai tanda di mana aku harus rujuk.
            Kerjaku yang baru sahaja dimulakan terbantut apabila mataku tidak dapat melihat buku graf yang diperlukan untuk menghabiskan kerja-kerja rumahku. Aku bangun semula untuk turun daripada katil bagi mendapatkan beg sekolahku yang berada di kerusi belajar.
“Ada pun,” aku mencapai buku graf yang elok tersimpan di dalam beg.
            Sebaik sampai di katil, aku melihat buku-buku yang terbentang. Seakan-akan ada kekurangan.
            “Apa ya?,” aku melihat satu persatu. Kotak pensilku, si Garfield masih ada di situ. Buku teks dan buku latihan juga.
“Buku graf kat sini,” aku membebel seorang diri. Namun, seakan-akan ada sesuatu yang tidak mencukupi.
            Aku duduk di birai katil. Fikiranku buntu. Kenapa sejak kebelakangan ni aku tak dapat mengingati dengan sempurna seperti sebelum-sebelum ni?Kalau dulu, senang saja aku dapat mengingatkan apa yang kurang, apa yang dah aku buat tapi sekarang ni sukar untuk aku untuk melakukan benda yang sama.
            Apakah kerana terlalu banyak benda yang bermain di dalam fikiran aku?Ataupun aku yang terlampau banyak berfikir seperti cakap Aisyah?Mungkinkah kerana peristiwa-peristiwa aneh yang berlaku tu menyebabkan aku tak dapat menumpukan perhatian seperti selalu?
            Kadang-kadang aku menjadi keliru. Walaupun jauh di hatiku, aku meyakini bukan aku yang melakukan sesetengah perkara itu. Benda yang paling aku yakini ialah, kertas-kerta yang berselerakan di bawah meja Khairul.
“Bukan aku,”  aku menggelengkan kepala beberapa kali setelah terkenangkan semula kejadian tersebut. Masakan aku akan masuk semula ke kelas untuk membersihkannya semula kalau memang benar aku telah pun melakukan demikian sebelum mengunci kelas?
            “Astagfirullah,” aku meraup muka. Kenapa fikirkanku boleh jadi seperti ni?Akukah yang tidak dapat membezakan apa yang nyata dan apa yang tidak?
“Kalkulator!,” aku memetik jari setelah teringatkan apa yang menjadi kekurangan untuk kerja rumahku.
            Aku melangkah semula ke meja belajar. Beg sekolah yang terbuka dari tadi memudahkan kerjaku untuk menggeledah bagi mencari apa yang aku perlu.
“Mana ni?,” aku mengeluarkan buku-buku yang tersimpan di dalamnya. Satu persatu aku keluarkan setelah tidak menjumpai apa yang aku cari.
            “Ish!Sepatutnya ada!,” aku melepaskan geram. Kerja yang sepatutnya senang menyusahkan aku pula untuk mencari di mana aku letakkan kalkulator yang setia menjadi teman apabila aku memulakan kerja Matematik.
            Habis semua buku-buku aku keluarkan namun masih tak ketemu. Kedua-dua poket kecil di kiri dan kanan beg sekolah juga telah aku periksa walaupun aku tahu ruangnya adalah terhad untuk menyimpan kalkulatorku yang saiznya melebihi ruang itu.
“Kat mana ni?,” aku menghembus nafas, geram setelah apa yang aku cari tidak berjumpa.
            “Macam mana nak buat macam ni?,” aku berfikir. Adik-adik aku yang masih  bersekolah rendah bukannya menggunakan kalkulator pun. Kalau tidak pastinya tidak akan menjadi masalah untuk aku meminjam daripada mereka.
            Aku melihat jadual waktu. Sudah!
“Hari Isnin ni,” aku mengetuk jari beberapa kali apabila melihatkan subjek itu yang ada untuk hari Isnin ni. Kalau tidak, bolehlah aku meminjam memeriksa di dalam laci meja sekolahku kerana kalau tidak ada di rumah ni, aku yakin pastinya aku tertinggal di sana.          
            “Atau nak beli yang baru?,” aku bertanya sendirian. Rugi la pula rasanya untuk membazir duit sedangkan kalkulator aku yang sedia ada masih lagi boleh digunakan. Cuma, aku tak tahu di mana ia berada sekarang.
“Mesti kat sekolah,” aku mengangguk-angguk beberapa kali. Cuba meyakinkan diri sendiri setelah laci meja belajarku juga sudah aku geledah.
            Aku merebahkan diri di karpet. Tidak ada hati untuk menyentuh buku latihan yang memang pasti tak kan boleh disiapkan tanpa kalkulator.
“Biarlah!,” aku masih melepaskan geram yang bersarang di hati tapi salah siapa?
            Soalan tu membuatkan aku bertambah geram. Geram dengan sikap cuaiku sendiri.
Macam mana la benda yang penting itu pun boleh terlupa?Aku menutup mata. Cuba mengingati di mana aku letakkan objek yang berwarna hitam itu.
            Aku memandang meja belajarku sekali lagi.
“Mustahil. Kalau tak, mesti la dah ada di situ.”
            Mustahil juga adik-adik aku yang mengambilnya kerana mereka tidak menggunakannya. Lain la kalau alat-alat tulis aku yang kadang-kadang “dicuri” oleh mereka. Itupun akan dimaklumkan kepada aku, biarpun selepas mereka telah menggunakannya.
            Aku bangun menuju ke katil. Mata yang layu memaksa aku untuk mengemas buku-buku yang berselerak.
“Macam mana pulak?!,” aku mencapai kalkulator yang berada di sisi buku teks Matematik. Aku tak bermimpi. Mustahil mataku tersilap pandang tadi. Tadi memang ia tidak ada di situ.
            Aku meletakkan kalkulator di atas katil semula. Buku-buku yang berselerakan juga aku biarkan. Aku terus berbaring di bantal.
Apa yang berlaku ni?Kenapa aku?Mengapa rajin benar “benda” yang aku tak ketahui itu menolong aku?Atau aku yang berhalusinasi?
            Arghh!Banyak sangat persoalan...
###########################################
            Suara seseorang yang seakan-akan berbisik membuatkan aku membuka mata.
“Dah Subuh ke?,” aku tertanya-tanya.
            Kebiasaannya jam loceng yang akan membangunkan aku seperti selalu. Tak pun, suara azan dari surau yang terdekat yang berada di dalam kawasan perumahan ni.
            Aku mengeliat. Tanganku menyentuh sesuatu di sisi kanan.
Aku mengiring ke kanan.
            “Buku?,” aku melihat buku teks Matematik yang bertindan dengan buku latihannya. Kalkulator dan kotak pensilku juga turut diletakkan di atas buku latihan itu. Aku menutup mata. Ini bukan mimpi!Bukan!
            Aku membuka kembali mata. Sah, memang buku-bukuku masih ada di situ. Ya Allah, kenapa la “benda” tu tak habis-habis nak menyusahkan aku?
Menyusahkan ke?
            Tak juga. Kalau difikirkan betul-betul, banyak juga yang dah ditolongnya. Sampah yang dibersihkan, bekalku yang dibawa ke kelas dan sekarang buku-bukuku yang dah disusunnya tapi siapa dia?Atau apa “benda” tu?
Yang pasti ia bukan manusia kerana aku tak dapat melihatnya. Pasti ia bertubuh halus seperti yang pernah dikatakan oleh ustaz tapi apa?Syaitan ke?
            “Subhanallah, subhanallah...,” suara itu kedengaran kembali. Suara yang sama yang membangunkan aku dari tidur.
Aku melihat jam. Hampir ke pukul 4 pagi. Suara siapa tadi tu?
            Sudah la. Agaknya aku hanya tersalah dengar. Aku memejamkan kembali mata. Mataku yang separuh tertutup sempat melihat susuk seseorang yang duduk di atas sejadahku.
Ya Allah, apa tu?Hantu ke?!
            Aku mengiring ke kanan semula. Bantal yang tadi berada di pelukanku, aku bawa ke muka. Nafas yang ku hela tidak teratur. Bercampur aduk dengan perasaan takut dan terkejut  yang datang menerjah. Siapa tadi tu?Seperti bayang-bayang tapi aku dapat tengoknya yang sedang duduk di sejadah.
Masakan hantu atau syaitan akan duduk di sejadah?Mengadap kiblat pula tu!
            “Astagfirullah,” aku beristigfar, cuba menenangkan diri sendiri.
Ya, tak kan la syaitan akan tunduk kepada Allah?Mustahil!Apakah suara yag aku dengar tadi tu milik dia yang sedang duduk di atas sejadah aku?
            Nak tengok ke tak?Aku memejamkan mata. Perasaan takut bercampur aduk dengan perasaan ingin tahu. Apakah dia yang selama ni membantu aku?
“Lailahaillallah...,” aku membuka kembali mata. Betul, memang suaranya. Perlahan dia menyebut kalimah suci itu. Pasti, bukan syaitan kerana dia mengakui kewujudan Allah yang satu dan tadi pun ia memuji kesucian-Nya.
            Keadaan kembali sepi. Aku menyeka peluh di dahi. Benarkah apa yang baru aku nampak tadi?Aku masih setia memeluk bantal yang menutup mukaku.
Aku mengiring semula ke kiri untuk melihat. Kosong. Tidak ada apa-apa di situ.
            Mungkinkah aku yang bermimpi?Aku bangun sambil memegang bantal. Kalau-kalau diperlukan untuk menutup semula mukaku.
Tidak ada apa-apa pun di situ. Aku menarik nafas lega dan berbaring semula. Namun, mataku masih sempat melihat kain telekungku yang tersidai di tempatnya. Ya, sejadah!
            Aku bangun semula untuk melihat. Sejadah itu terlipat kemas di atas permaidaniku.
Walaupun mengadap kiblat, namun sudah beralih arah dari tempat asalnya!
            Pelik betul dengan apa yang berlaku. Aku bertambah pasti yang aku tak berangan-angan. Masakan aku menyusun buku-buku Matematik di sisi bantalku sebelum aku tidur tadi?
            Aku ingat dengan jelas yang aku terus berbaring dan tertidur sebaik sahaja aku menemukan kalkulator tu. Tak guna kalau aku terus nak buat ulangkaji dan kerja rumah dengan fikiranku yang berserabut.
            Tadi pula aku mendengar suara itu yang berzikir, memuji kesucian Allah dan mengakui akan kewujudan-Nya. Bukan setakat mendengar malah aku terlihat susuk seseorang yang seakan-akan bayang sedang duduk di atas sejadahku.
Buktinya sejadah aku sudah beralih tempat, berada di atas permaidani. Begitu hampir dengan sisi katilku sehingga aku dapat melihat susuk itu yang sedang membelakangiku dan mengadap kiblat, tapi apa sebenarnya benda tu?
            Patutkah aku menceritakan hal ni kepada mak dan ayah?Mana la tahu kalau-kalau semua peristiwa ni dapat ditamatkan?Tak la aku diganggu lagi oleh benda tu.
            “Ganggu?Em..,” aku memandang siling.
Tak la mengganggu tapi aku kira lebih bersifat kepada pertolongan, mungkin?
            Aku tak tahu pun apa benda tu. Malah, sebelum-sebelum ni tak pernah pula berlaku perkara-perkara macam ni kepada aku, baik di sekolah mahupun di rumah. Mengapa harus sekarang ia datang menduga?
            “Astagfirullah,” aku menutup mulut yang menguap.
Mengantuknya!
            Aku megiring semula ke kanan. Angin kipas masih lagi setia bertiup. Membuatkan mataku hampir tertutup semula.
            Kalau di sekolah bolehlah aku elak dengan pergi lambat, tak macam selalu. Biarkan si Asyraf yang datang dengan Fakri untuk membuka kunci pintu kelas. Aku pula akan bertemankan dengan Mikhael sehingga ke sekolah. Jadi, tak perlu lagi aku nak melalui kejadian-kejadian yang hanya membuatkan aku pening kepala.
            Waktu balik pula, aku hanya perlu menunggu lebih kurang 5-10 minit. Bukannya hampir setengah jam seperti selalu. Jadi aku tak kan keseorangan ataupun menjadi orang yang terkakhir meninggalkan kelas.
            Itu kalau di sekolah, dapatlah aku elak dengan melewatkan waktu aku ke sekolah dan mempercepatkan waktu pulang aku. Biarpun macam tu, kadang-kadang aku masih melalui kejadian aneh. Suara yang turut mengucapkan alhamdulillah tu, adakah suara yang sama menyebut zikir-zikir tadi?
            Aku tak pasti.
Mata yang hampir tertutup berlawanan dengan akalku yang ingin terus berfikir. Aku mengiring ke kiri, cuba mencari lena.
            Deru angin yang bertiup membangkitkan rasa nyaman. Aku memeluk bantal. Dalam hati aku bersorang girang apabila esok adalah hari cuti. Dapatlah berehat lama sikit.
Aku menutup mata. Antara sedar dan tidak, aku merasakan selimut yang bergerak menutupi bahu menambahkan keselesaan buat aku.
            “Assalammualaikum,” perlahan suara yang berbisik.
Mataku sudah tak berdaya untuk dicelikkan. Namun, telingaku masih dapat mendengar suaranya yang ku rasakan cukup dekat dengan diriku.
            Aku dapat merasakan tilam dihujung kaki yang diberati sesuatu.
Dia kah?
###########################################  
          Selesai sembahyang Subuh, aku bangun menuju ke meja belajar sambil membawa bersama sejadah. Sebelum duduk di kerusi, aku menanggalkan telekung. Aku mencapai pen dan mengeluarkan sekeping kertas daripada laci meja.
            Aku dah pun mendapat idea untuk memastikan apa yang berlaku kepada aku bukanlah  aku yang berkhayal ataupun bermimpi. Kadang-kadang suara yang muncul dan menghilang sesuka hatinya itu membuatkan aku tertanya-tanya sama aku yang berangan terutama sekali ketika di waktu-waktu tidur aku.
            Aku dapat mendengar suaranya yang memberi salam semalam. Begitu hampir dengan diriku. Aku dapat rasakan suaranya yang seakan-akan berbisik perlahan. Mustahil aku bermimpi!
Aku mula memandang telekung dan sejadah yang berada di tangan.
            “Nak simpan sejadah dan telekung,” bibirku seiring dengan tangan yang mula menulis di atas kertas.
“Apa lagi ya?,” aku memusing-musing pen di tangan. Aku cuba memikir apa lagi yang sepatutnya aku tulis sebagai ingatan dan petanda untuk diri aku sendiri.
            “Nak ambik kasut sekolah,” aku tersenyum sambil menulis. Kasut sekolah aku yang berada di luar pintu ketika aku pulang dari sekolah semalam membuatkan aku teringat apa yang patut aku lakukan di hari cuti seperti hari ni.
            “Nak kemas baju,” aku terus mencatat aktiviti yang hendak aku buat sambil menjeling kepada baju-baju aku yang masih tergantung di tempat sidaian yang juga turut menjadi tempat kebiasan aku menggantungkan sejadah dan kain telekung.
            Aku mencapai glob salji yang memang menjadi minat aku. Aku kocakkan beberapa kali sambil melihat salji-salji dan sebuah istana yang terdapat di dalamnya.
            “Cantiknya!,” aku tersenyum melihat salji-salji yang seakan-akan berterbangan di dalam glob salji itu. Satu persatu mula jatuh ke bahagian bawahnya.
            Aku meletakkan glob itu ke atas kertas yang sudah aku catatkan aktiviti-aktiviti yang bakal aku lakukan pada hari ini. Aku berlalu keluar bilik untuk menuju ke dapur. Sebelum aku melangkah keluar, sempat aku menjeling kertas tersebut yang berada di atas meja. Pasti aku tak kan menjadi keliru selepas ini.
            Aku mencapai mug untuk dipenuhkan dengan air teh.
“Tak makan?,” mak yang turut berada di dapur bertanya. Hidungku dapat menangkap bau nasi goreng yang baru siap di atas dapur.
            “Nanti la mak. Mak pun dah nak makan ke?,” aku menuang air teh yang sudah siap dibancuh oleh mak.
“Jarang la mak nak makan pagi-pagi ni. Lewat sikit baru mak makan,” aku meninggalkan mak yang mencuci pinggan di sinki.
            Di dalam kepala aku mula terbayangkan perkara pertama yang nak aku lakukan iaitu mengemas sejadah dan telekung yang aku tinggalkan di atas katil sebelum keluar.
Aku meletakkan mug di atas meja. Terus aku menuju ke katil untuk mencapai sejadah dan telekung yang ditinggalkan di situ tadi.
            “Macam mana...” ayatku mati di situ apabila ternampak kasut sekolahku sudah pun berada di kaki katil. Aku mengalihkan pandangan ke tempat sidaian baju. Hanya sejadah dan telekung yang tersidai kemas di bahagian tengahnya. Bahagian atasnya yang tadi masih tergantung baju-baju aku sudah kosong.

            Aku meluru ke almari pakaian aku dan membuka pintunya. Di situlah tempat sebenar aku menyimpan pakaian aku.  Aku yakin memang ada sesuatu yang menolong aku kali ini!



5 comments:

  1. Suspen! Apa benda tu? Kalau sy 'nampak' benda tu, sure dah lari lintang pukang!

    ReplyDelete
  2. Hannah,tq sudi bagi komen lagi;-) hargai sangat2 tau!!

    ReplyDelete
  3. Sure sis, hari2 jenguk not to miss ur update ;)

    ReplyDelete
  4. Tq so much!!Tau tau nak cakap apa dah, huhu..;-)

    ReplyDelete
  5. sebab saya OTAKU saya fikir 'dia' tu mcm ninja..terus tak seram -_-"
    twisted minded betul aku nie..

    ReplyDelete

EH, EH..ADA ORANG NAK BAGI KITA KOMEN?YEAYYY!!!