Sekarang, tahun 2013
“Ayah baliklah dulu. Tak
payah tunggu orang” tutur Hana buat kesekian kalinya sebelum melangkah turun
dari kereta milik ayahnya itu.
“Ya lah, tahu. Hana dah
cakap tadikan,” sahut ayahnya.
“Balik tau?Orang bukannya budak-budak lagi,” Hana
membesarkan matanya. Tertawa kecil Pakcik Kamarudin dengan tingkah anak
gadisnya itu yang juga merupakan satu-satunya permata hati dia bersama isteri.
“Nanti bila dah sudah, Hana telefon ayah ya,” pesan
Pakcik Kamarudin. Siapa yang tidak risau dengan keadaan anaknya itu yang boleh
terlelap di mana-mana sahaja?Lebih-lebih lagi dengan apa yang telah terjadi
kepada anaknya itu kira-kira 7 tahun yang lepas.
“Kalau yang itu tak pe. Nanti Hana telefon tapi sekarang
ayah kena balik dulu,” ujar Hana bersungguh-sungguh sebelum menutup pintu
kereta. Pakcik Kamarudin menganggukkan kepalanya sebagai tanda jawapan.
Hana yang sudah beberapa tapak melangkah, menoleh semula
ke belakang.
“Pergi, pergi..,” desisnya perlahan.
Siap dengan gerak tangan kanan persis ketika menghalau kucingnya yang berada di
rumah.
“Budak ni..,” Pakcik
Kamarudin tersenyum sebaris. Nampak sangat anaknya itu inginkan dirinya untuk
tidak berada di situ pada pagi itu. Enjin kereta yang baru sahaja dimatikan,
dihidupkan semula setelah memerhati Hana yang masih belum melangkah masuk ke
dalam bangunan tersebut.
Hana yang kemas mengenakan
baju kurung dengan selendang biru muda yang berwarna sedondon dengan bajunya
itu, tersenyum senang hati setelah melihat kereta ayahnya yang sudah melepasi
pintu pagar.
Dia yang kini sudah
berusia 27 tahun mula membuang langkah memasuki Kompleks Dewan Undangan Negeri
Perlis itu yang terletak di Persiaran Wawasan, 01000 Kangar. Siap alamat
lengkap lagi!
Sekeping kertas yang
disimpan di dalam failnya sejak minggu lepas, mula dikeluarkan.
“Tingkat 2 kan?,” gumam
Hana seorang diri. Kaki mula diatur menuju ke sebuah kaunter. Kaunter
pertanyaan la tu.
“Assalammualaikum cik.
Tumpang tanya, memang betul kan alamat ni?,” Hana menghulurkan kertas yang
berada di tangan. Seorang wanita yang sedang duduk di kerusi di kaunter itu
tersenyum manis.
“Waalaikummussalam,” sahut
wanita berkenaan yang berusia 30-an sebaik kertas bertukar tangan. Kertas
diteliti seketika.
Hana yang memang sudah
tahu bangunan berkenaan sekadar bertanya bagi memastikan yang dia memang tidak
tersilap tempat. Matanya merayap memerhati sekeliling. Bangunan yang turut
dikenali sebagai Mini Putrajaya oleh penduduk setempat itu kelihatan begitu
moden di pandangan matanya. Biarpun tidak sebesar Putrajaya yang sebenar,
mungkin ia mendapat jolokan namanya kerana ini merupakan pusat pentadbiran bagi
negeri Perlis.
“Adik, betul inilah
tempatnya. Adik kena pergi ke tingkat dua ya,” tutur wanita berkenaan seraya
menghulurkan kembali kertas itu kepada Hana.
“Terima kasih cik,” sahut
Hana berbahasa. Adik?Dia dah 27 tahun tau!Tapi kenapa wanita tersebut
membahasakannya adik? Dia mula menguntumkan senyuman. Yes!Dia nampak
mudakan?Kalau dia nampak tua, mesti wanita tersebut memanggilnya kakak. Kan?
Kaki mula berjalan menuju
ke lif. Sempat Hana menoleh ke belakang memeriksa keadaan sekeliling. Kenapa
hanya dia seorang sahaja?Tidak ada yang lain ke?
Hana mula melangkah ke
dalam lif. Butang yang tertera nombor 2
ditekan untuk membawanya ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis itu. Tiba
di aras berkenaan, Hana melangkah keluar. Dia menoleh ke kiri. Kosong. Ke kanan
pula dipandang. Kelihatan seorang lelaki di sebuah meja.
Fail dipeluk kemas sambil
kaki mula melangkah lagi menuju ke meja berkenaan.
“Assalammualaikum,” ucap Hana kepada lelaki tersebut yang agak sibuk
meneliti beberapa helaian kertas.
“Waalaikummussalam.
Temuduga L29?,” lelaki tersebut mendongak memandang kepada Hana yang tercegat
di depan mejanya. Bagaikan sudah mengetahui, soalan itu dilontarkan.
“Ya, ini suratnya,” Hana
menghulurkan surat tawaran yang turut diserahkan kepada wanita di kaunter
pertanyaan tadi. Lelaki tersebut menyambut tanpa banyak soal. Seorang lagi
calon telah datang melaporkan diri. Nama gadis itu dicari di antara puluhan
nama yang sudah tercetak di atas kertas.
“Ok. Awak nombor dua ya.
Duduk dulu. Nanti bila dah dipanggil baru masuk. Kat sana ya,” lelaki tersebut
menunjuk ke satu arah sebelum menyerahkan kembali surat tawaran tersebut.
“Terima kasih.” Hana mula
melangkah ke arah yang ditunjukkan. Terdapat deretan kerusi yang telah disusun di luar sebuah pintu.
“Panjangnya!,” desis Hana
apabila memerhati deretan yang terbentuk. Kerusi pertama yang terletak paling
hampir dengan pintu tiada penghuninya. Hanya sebuah fail dan telefon bimbit
yang ditinggalkan di situ.
“Mana tuannya?Berani dia
tinggalkan barang-barang dia macam tu je?,” Hana memandang sekeliling. Tiada
sesiapa pun yang kelihatan kecuali lelaki yang bertugas di meja tersebut. Hana
mula melabuhkan punggungnya di kerusi yang kedua. Dadanya yang sedikit berdebar
cuba dikurangkan dengan menambil nafas dalam-dalam.
Sudahlah Hana. Inikan
temuduga kau yang ketiga. Apa yang nak ditakutkan lagi?Macamlah tak ada
pengalaman sebelum ini kan?Dia cuba memujuk diri sendiri.
Seseorang yang mengambil
tempat di sisi kanannya mencuri tumpuan mata.
“Awak yang kedua?,” seorang perempuan yang baru sahaja menduduki kerusi
yang ditinggalkan tadi melontarkan soalan.
“Ya,” jawab Hana sepatah
sambil menganggukkan kepalanya.
“Saya pergi tandas tadi,” beritahu perempuan tersebut tanpa dipinta. Hana
tersenyum sebaris. Apa lagi yang nak dikatakan?
Hana memerhati perempuan
tersebut yang khusyuk membaca sebuah buku. Sempat matanya mencuri pandang tajuk
buku yang sedang dipegang oleh perempuan tersebut yang tidak diketahui namanya
itu.
“Malaysia Legal System,”
Hana menggumam perlahan. Walaupun tidak pasti mukasurat mana yang menjadi
pilihan perempuan tersebut tetapi Hana berani katakan pastinya topik mengenai
kehakiman dan mahkamah-mahkamah yang terdapat di dalam Malaysia ini menjadi
sumber bacaan perempuan tersebut yang kelihatan muda beberapa tahun berbanding
dirinya.
Hana mengeluh perlahan.
Terasa lambat waktu berlalu pada pagi itu. Sungguh, dia tidak betah untuk terus
berlama-lama tanpa melakukan sebarang aktiviti. Duduk dan terus menunggu. Jam
di pergelangan tangan dikerling sekali lalu.
Jarum yang menunjukkan
tepat pukul 8 membuatkan Hana mula menguntumkan senyuman. Temuduga yang
dijadualkan bermula pada pukul 8 pagi itu akan bermula bila-bila masa sahaja
dari sekarang.
“Macam nak ambil exam
pula,” desisnya perlahan.
Exam?UiTM?Ah!Kenapa nak diingatkan lagi semua perkara yang telah berlalu
itu?Dah hampir 7 tahun sudah kan?Biarkanlah. Hana memujuk lagi dirinya sendiri.
Benarkah semuanya sudah
berlalu?Ya, masa memang berlalu tapi tidak peristiwa itu. Kejadian yang masih
terpatri kemas di dalam mindanya.
“Saya masuk dulu,” suara
perempuan itu menarik perhatian Hana. Hilang peristiwa yang baru hendak di
ulang tayang di dalam kepalanya.
“Ya, good luck!,” Hana
tersenyum kepada perempuan tersebut.
“Awak pun,” sempat lagi perempuan tersebut membalas. Dalam tak sedar,
deretan kerusi yang sedarinya kosong sudah pun dipenuhi oleh calon-calon yang
telah dipanggil untuk ditemuduga bagi mengisi kekosongan jawatan Pembantu
Undang-undang gred L29 itu. Jawatan yang diletakkan di bawah Jabatan Peguam
Negara itu sememangnya menjadi pilihan utama buat bekas penuntut-penuntut
Diploma Pentadbiran Awam seperti dirinya.
Hana memerhati rata-rata
calon yang sibuk membaca. Ada yang memegang buku, ada juga yang memegang
beberapa helaian kertas di tangan mereka. Tidak ubah persis situasi ketika
ingin melangkah masuk ke dalam dewan untuk menduduki peperiksaan. Ala, peperiksaan
lagi!Sudahlah Hana.
“Ai!Apa nak jadi ni?,”
suara lelaki yang bertugas di kaunter menarik perhatian semua calon yang debar
menanti.
“Tengok tu. Main masuk
macam tu je. Ingat!Nak masuk tu ketuklah dulu pintu tu. Bukannya susah sangat
pun,” lelaki itu memuncungkan mulutnya ke arah perempuan yang baru sahaja
menghilangkan diri ke dalam sebuah bilik.
Ya, itu adalah satu
tanggapan yang akan diberikan oleh para penemuduga kepada calon. Biarpun
perkara kecil, mengetuk pintu sebelum masuk, tidak keterlaluan kalau dikatakan
itu adalah perkara pertama yang akan dinilai oleh penemuduga nanti.
Hana mengerling ke arah
pintu. Mungkin ini adalah pengalaman pertama untuk perempuan tadi. Semestinya
perasaan gementar menguasai diri. Ini adalah kali ketiga dia akan ditemuduga.
Sepanjang 7 tahun ini, belum pernah dia bekerja secara tetap di mana-mana
tempat. Paling lama yang dia mampu bertahan pun lebih kurang 3 bulan sebelum
dia dipecat dari salah sebuah pasaraya di Kangar itu.
Semuanya gara-gara waktu
tidurnya yang tidak pernah mengenal masa dan ketika. Hatta tempat sekalipun.
“Ok, awak boleh masuk
sekarang.” Suara lelaki yang bertugas di kaunter menerjah ke pendengaran.
“Terima kasih,” ucap Hana
seraya menganggukkan sedikit kepalanya. Nafas ditarik dalam-dalam. Mata
dipejamkan seketika. Tidak!Bukan sekarang. Jangan pejamkan mata Hana. Jangan
sesekali!
Tangan kanan dihayunkan ke
pintu. Tidak terlalu kuat dan tidak juga terlalu perlahan. Cukup untuk
didengari oleh sesiapa yang berada di dalam bilik tersebut.
“Masuk!,” satu suara
lantang kedengaran.
Pintu mula dikuak. Sebaik
kaki melangkah masuk, Hana menutup semula daun pintu berkenaan dengan tertib.
Kaki mula diatur menuju ke sebuah meja di mana sudah ada dua orang lelaki yang
akan menemuduga dirinya sebentar lagi.
“Assalammualaikum cik,”
ucap Hana dengan memandang kedua-dua orang lelaki tersebut.
“Waalaikummussalam. Sila
duduk,” seorang lelaki yang berumur 40-an menunjukkan sebuah kerusi kosong yang
terdapat di depan meja. Mungkin kira-kira 1 meter jaraknya dari meja berkenaan.
“Boleh saya tengok
dokumen-dokumen yang dipinta?,” suara lelaki berkenaan kembali didengari sebaik Hana melabuhkan punggungnya di kerusi.
“Ya, semuanya ada di
sini,” Hana bingkas bangun semula untuk menghulurkan fail yang mengandungi segala
macam jenis sijil dari sekolah rendah sehingga tamat belajar di UiTM. Sebaik fail bertukar tangan, dia mengambil
semula tempat duduknya.
Satu minit. Dua minit.
Keadaan sunyi sepi. Hana menahan debaran di dada. Debaran yang kian menghebat
apabila melihat resumenya sudah berada di tangan penemuduga itu.
“Baiklah, Cik Hana
Antasaha Kamarudin, am I right?,” penemuduga itu memulakan bicaranya. Hana tahu
inilah saatnya dia akan dinilai.
“Yes, sir,” sahut Hana
sambil menganggukkan kepalanya sekali. Soalan demi soalan diajukan kepada
dirinya. Apa yang dia tahu, dijawab dan cuba disampaikan dengan sebaik yang
mungkin. Biarpun penemuduga yang seorang lagi itu, seorang lelaki yang sudah
beruban kepalanya, mungkin berusia dalam lingkungan 50-an hanya mendiamkan diri
sedari tadi, tetap dipandang oleh Hana ketika memberikan jawapan. Dia tidak
mahu dilihat seolah-olah hanya berbual dengan penemuduga yang pertama sahaja.
“Baiklah Cik Hana. Kalau
tadi kita dah berbual pasal luar negara, sekarang kita berbalik ke dalam negara
kita, negara Malaysia. Siapa Peguam Negara kita?.”
Ini adalah pengetahuan
umum. Di UiTM memang tidak diajar pun. Hana menghela nafas seketika. Dia tahu jawapannya. Masakan tidak, dari
piagam pelangggan sehinggalah kepada fungsi-fungsi Jabatan Peguam Negara telah
dicari di ‘Google’ pada mingggu lepas lagi.
Mata dipejamkan seketika.
Terasa nyaman udara yang berada di sekelilingnya ketika ini. Hana menarik
nafas. Debaran di dadanya sudah lama menghilang sejak berjaya menjawab
soalan-soalan yang diaju oleh penemuduga tadi.
Nafas diambil lagi.
Selesa. Aman. Keadaan ini begitu mendamaikan. Kepalanya dirasakan ringan.
Sungguh membahagiakan.
“Ehem..Cik Hana?Cik
Hana?.”
Suara siapa itu yang mengganggu dirinya?Tak nampakkah yang dia sedang
bersantai begini?Cukup selesa. Wait!Tadi ada soalankan?Soalan apa ya?
“Cik Hana!.” Suara itu
lagi. Kali ini lebih lantang berbanding yang tadi.
Ya, dia dah tahu. Itulah
jawapannya.
“Aaron Aziz!.”
Terlopong kedua-dua penemuduga itu dengan jawapan yang lahir dari bibir calon yang sedang berada di
depan mereka. Sudahlah tadi bukan main sedap dia tidur, sekarang ini
jawapannya?Biar betul!
“Pardon me. Aaron Aziz?.”
Kali ini barulah kedengaran suara penemuduga yang kedua itu. Ohoo, dengar nama
Aaron Aziz baru buka mulut ya?
“Er..sorry?,” Hana
bertanya kembali. Dia mengetap bibir. Otaknya cuba mencerna apa yang baru
berlaku. Matanya terkebil-kebil. Ya Allah!Dia tertidur lagi ke?Malunya!Entah
apa tanggapan yang diberikan kepada dirinya kini. Lambat-lambat wajahnya yang menunduk
mulai diangakat.
Kelihatan kedua-dua
penemuduga itu tersenyum. Tidak!Entah-entah sedang menahan ketawa?Peguam Negara
Malaysia, Aaron Aziz?Ish, ish!Hana, Hana, apa nak jadi ni?Sadis betullah!
“I’m very-very sorry sir. I
know the answer. It just that...” Hana mula menggelabah. Kenapa nama Aaron Aziz
pula yang boleh terkeluar tadi?Adoi!Entah mana dia nak letakkan mukanya kini?
“That’s okay Cik Hana. By
the way, Cik Hana ni memang meminati aktor tersebut ke?,” penemuduga kedua
mengangkat keningnya. Nak kena jawab ke?Ke dia sekadar mengusik?
“Err...” Hana terjeda.
Inilah kali pertama dia tidak dapat memberikan jawapan untuk penemuduga sejak
dia bersoal jawab tadi. Entah berapa lama dia berada di dalam bilik itu dia
sendiri tidak sedar.
“Minat ke?,” penemuduga
kedua itu masih mengajukan soalan yang sama. Lama berfikir, Hana mula membuka
mulut.
“Er..tak juga. Tak la
minat sangat.”
“Habis tu, siapa yang Cik Hana minat?,” soalan masih diteruskan.
Sudah!Dari isu-isu
perundangan di dalam dan luar negara, kini kena mengadap isu-isu artis pula ke?
“That’s okay. Saya saja
nak tahu. Bab peguam negara itu, kami berdua yakin Cik Hana tahu jawapannya.
Cuma saya tertanya-tanya kalau tak minat, kenapa nama aktor tersebut yang
disebutkan tadi. So, siapa pelakon yang Cik Hana suka?.”
Hana menghela nafas.
Panjang berjela pula penemuduga kedua bercakap kali ini. Sebut je la Hana satu
nama. Lepas ini, mesti dia akan diam, bisik hati Hana.
“Hmm...Christian Bale.”
Wah!Class kau Hana, aktor antarabangsa tu!
“I see. So let me guess,
filem lakonan dia yang Cik Hana suka mesti Batman, right?.”
Ish!Nak berteka-teki berbagai pula encik penemuduga kedua kita ini. Hana
menghela nafas lagi. Mata mula mengerling kepada penemuduga pertama yang
mengukirkan senyuman kepadanya seraya menganggukkan kepala. Seakan-akan
menginginkan Hana untuk menjawab soalan tersebut.
“Bukan. Saya suka
Equilibrium dan Rescue Dawn. The Prestige pun ok juga,” jawab Hana jujur.
Nah!Nak sangat jawapan kan?Sampai berkerut dahi penemuduga kedua itu dengan jawapan
yang lahir dari bibir Hana.
“Tak pernah dengar pun
tajuk tu?.”
“Ada. Bagi saya,
ketiga-tiga buah filem tu lagi best dari Batman,” sahut Hana. Tidak berani dia
untuk menokok tambah yang lain. Bukankah dia ke sini untuk ditemuduga bagi
mengisi kekosongan jawatan Pembantu Undang-undang?Lainlah kalau untuk menjadi
PA Christian Bale!
“Macam tu..,” tukas
penemuduga kedua perlahan. Kepalanya juga mengangguk sekali dua. Gadis di
depannya berani menyatakan pendapatnya sendiri. Tidak terus ikut bersetuju dengan
pandangannya. Bukan seperti calon-calon yang pernah berdepannya sebelum ini.
“Cik Hana tahukan kalau
Cik Hana lulus temuduga ini, Cik Hana dikehendaki menjalani pemeriksaan
kesihatan?.”
Suara penemuduga pertama
kembali didengari semenjak sesi soal jawab itu diambil alih oleh penemuduga
kedua. Sekaligus, suasana yang lebih santai tadi kembali bertukar kepada
suasana yang lebih formal.
“Ya,” Hana pantas menjawab
sambil matanya mengerling kepada penemuduga kedua.
“Saya cuma...”
Hana berdebar menantikan kata-kata penemuduga berkenaan. Cuma apa?. Hana
memandang kedua-dua penemuduga itu silih berganti. Kedua-dua penemuduga itu
saling pandang memandang di antara satu sama lain. Mungkin hanya mereka berdua
sahaja yang saling memahami bahasa isyarat yang sedang diberikan.
“Macam inilah. Cik Hana
balik dulu dan tunggu jawapan daripada kami. Saya pun bukannya doktor dan tidak
adil untuk saya terus mengadili Cik Hana.”
Riak wajah tenang milik
Hana mula berkerut sebaik mendengar kata-kata penemuduga berkenaan. Apakah
maksudnya?Dia bukan doktor?Nak mengadili?Apa ni?!
“Betul tu. Kami berdua
yakin dengan Cik Hana tapi apa pun, Cik Hana kena lulus juga ujian untuk
pemeriksaan kesihatan tu. Kalau itu pass, everything should be all right,”
tambah penemuduga kedua.
Hana terkebil-kebil. Tidak
tahu patah perkataan yang harus diucapkan. Kalau dia gagal di dalam temuduga
ini, kenapa kedua-dua penemuduga ini seakan-akan memberikan signal yang positif
kepadanya?Kalau positif kenapa pula isyaratnya bercampur baur?Arghh!!!
“Ya lah.” Akhirnya itu
yang terkeluar dari bibir Hana. Dia mengangguk perlahan.
“Kalau macam tu, sampai
sini saja. Terima kasih kerana sudi datang,” ucap penemuduga kedua seraya
menghulurkan fail kepada Hana.
Hana bingkas bangun.
Tangan mula dihulur bagi menyambut kembali fail yang diberikan sebelum mula
ditemuduga.
“Terima kasih juga atas
masa encik berdua,” tutur Hana seraya menganggukkan sedikit kepalanya sebagai
tanda menghormati kedua-dua penemuduga itu. Kelihatan kedua-dua lelaki itu
tersenyum sambil memberikan anggukan kepala.
Hana mula mengatur langkah
ke pintu. Debarannya yang sudah hilang kini diganti dengan satu pertanyaan.
Bolehkah jawatan ini menjadi miliknya kelak?Kalau berdasarkan respons kedua-dua
penemuduga tadi, jawapannya seakan-akan ya tetapi kenapa jawapan ‘tidak’ itu
seakan-akan ingin mengambil tempat juga?Serabutnya!