Penghujung tahun 2006
Hana tersenyum girang
apabila memandang langit yang cerah putih berseri. Sebentar lagi, dia akan
menduduki peperiksaan akhir untuk kertas LAW 379 . LAW 379 ialah kod yang
diberikan oleh UiTM untuk kertas Business Law ataupun Undang-undang Perniagaan,
kalau diertikan ke Bahasa Melayu.
“Amboi!Berseri-seri muka.
Kenapa?Seronok ke kejap lagi nak berpisah dengan saya?,” tegur Ika seraya
mencuit pinggang Hana. Langkah mereka diteruskan untuk menuju ke Dewan Mini di
mana akan berlangsungnya peperikasaan tersebut.
“Mana ada la. Bukan sebab
tu saya seronok. Mestilah sedih nak berpisah dengan awak. Segala apa yang kita
harungi bersama-sama selama tiga tahun ni bukannya mudah tau nak saya lupakan,”
tutur Hana jujur.
Ika yang mendengar semakin
meleret senyumannya. Tangan Hana diraih sekaligus membuatkan rakan baiknya itu
sedikit terkejut.
“Kenapa ni?.”
“Ya lah. Dah hari terakhir
kan kita kat sini?Biarlah saya nak pegang tangan awak. Ingat tak macam kita
kecik-kecik dulu?Bila kat sekolah rendah ke tadika ke, kalau berjalan mesti
pegang tangan macam ni kan?Eleh!Macam awak tak pernah,” tingkah Ika terus tidak
melepaskan tangan Hana.
Hana menguntumkan
senyuman. Tadika?Sekolah rendah?Mestilah dia pun pernah melalui zaman
berpegangan tangan macam tu tapi kawannya pada waktu itu, lelaki atau
perempuan?Itu dia dah kurang ingat.
“Ish!Tepilah!Nak pegang
tangan bagai, couple ke?.”
Rina yang muncul dari belakang terus meredah di tengah-tengah pegangan
tangan Ika dan Hana
“Woi!Seluas-luas jalan kat
sini, sini juga ke kau nak kena lalu hah?!,” tempik Ika yang sudah mulai geram.
Rina terus berjalan tidak menghiraukan kata-kata Ika.
“Sudahlah tu. Biarkan. Dah
memang perangai dia macam tu kan?Lagipun entah-entah dia gelabah ke, kita mana
tahu?,” tutur Hana memujuk Ika.
“Iya lah, gelabah ke takut
ke panik ke, agak-agaklah. Bukan dia seorang yang nak ambil exam tu. Ramai
lagi. Memang perangai dia tu suka nak sakitkan hati orang lain.”
Ika yang masih tidak
berpuas hati mula menarik muncung. Hana yang melirik kawan baiknya itu tertawa
kecil.
“Awak ni pun, kalau tak muncungkan mulut tu memang tak sah kan?Dah la, nanti habis terbang ilmu Law yang ada
dalam kepala awak tu.”
“Ya lah. Ini pun dah macam
tak berapa nak ingat ni. Er..pasal contract. Emm..apa ya?Awak ada bawa nota
tak?.”
“Mana ada. Tengok ni,
sehelai sepinggang je kan. Ini ada lah,” Hana menunjukkan kotak pensilnya.
“Lupa pula. Awak memang
tak pernah bawa nota kan bila nak ambil exam?Maklumlah orang dah pandai.
Rasanya saya ada bawa dalam beg ni.”
Ika terkial-kial mencari
nota yang berada di dalam beg yang digalas di bahu sambil terus melangkah. Hana
yang memerhati tersenyum terus. Bukan kerana dia merasakan dirinya pandai lalu
tidak perlu dia membawa nota itu, tapi dia akan menjadi lebih gelabah kalau
masih membaca di saat-saat akhir sebelum menduduki peperiksaan untuk satu-satu
kertas itu. Kalau dibawa tapi tak digunakan, apa tujuannya kan?
“Ada tak?’.
“Hah!Alhamdulillah, ada pun. Ini dia..,” Ika menggoyang-goyangkan beberapa
kertas tangan yang sudah berada di tangannya.
“Ingat, nanti nak masuk
dalam dewan, tinggalkan kat luar. Nanti tak pasal-pasal dituduh bawa ‘toyol’’,
ujar Hana lebih kepada peringatan. ‘Toyol’ adalah istilah yang diguna pakai di
UiTM untuk nota yang dibawa masuk oleh pelajar secara curi-curi untuk
membantunya di dalam peperikasaan.
“Ya la. Tahulah saya. Kita
kan dah semester terakhir. Dah tu hari yang terakhir pula, yahuuu!,” Ika mula
bersorak.
Hana sendiri berasa
gembira. Bukan saja dia akan tamat belajar sebagai pelajar Diploma Pentadbiran
Awam tetapi, dia juga akan merdeka sebagai orang suruhan kepada Rina Batrisya.
Itulah yang paling diingininya sejak beberapa semester yang lepas. Berkat
kesabarannya, hari ini akhirnya telah tiba juga.
“Ramainya!.” Ika memerhati
para pelajar yang memenuhi perkarangan Dewan Mini. Pelbagai gelagat dapat
diperhatikan. Ada yang berbual-bual kosong, bergelak ketawa dan tak kurang ada
juga yang sedang membaca majalah dan suratkhabar, relaks habis!Tentunya yang
paling ramai adalah yang masih membelek-belek nota buat kali terakhir sebelum
melangkah masuk ke dalam dewan nanti.
“Maunya tak ramai. Bukan
pelajar sepenuh masa je kan macam kita ni tapi kan pelajar jarak jauh, e-PJJ
pun ada juga,” Hana menunjuk ke arah satu kumpulan. Ika ikut memerhati ke arah
kumpulan lelaki dan perempuan yang kelihatan jauh lebih berumur jika
dibandingkan dengan para pelajar yang lain.
“Itulah, terlupa,” Ika
tersengih.
“Jom la. Duduk kat situ dulu. Selesa sikit kalau awak nak baca,” Hana mula
melangkah ke arah anak tangga. Kaki lima dewan yang sesak dipenuhi para pelajar
yang rata-ratanya bersila di situ sudah kelihatan tidak mempunyai ruang untuk
dirinya dengan Ika lagi.
“Nak?,” Ika bertanya
sepatah sambil menghulurkan beberapa keping kertas nota.
“Takk mau lah. Lagi takut adalah,” Hana menggelengkan kepalanya. Dadanya
yang berdebar cuba ditenangkan dengan mengambil nafas dalam-dalam.
“Ingat tau, kalau saya
tertidur nanti...”
“Tahulah saya nak kejutkan awak. Siapa yang kejutkan awak kalau bukan muka
ini kan Cik Hana?,” tingkah Ika tanpa mengalihkan pandangannya yang jatuh ke
atas helaian-helaian nota.
Hana tersenyum sebaris
mengiyakan kebenaran di sebalik kata-kata kawan baiknya itu. Memang setiap kali
dia tertidur sewaktu menduduki peperiksaan, Ikalah orangnya yang akan tolong
mengejutkan dirinya. Mujur juga petugas-petugas peperiksaan memahami keadaannya
itu.
Melihatkan Ika yang sedang
fokus kepada pembacaannya, membuatkan Hana terus mendiamkan diri. Tidak ada
hati untuk mengganggu kawannya itu. Jam di pergelangan tangan dikerling.
“Baru pukul 1.45,” getus
Hana.
Peperiksaan yang bakal
berlangsung pada pukul 2 petang itu masih berbaki 15 minit sebelum ia bermula.
Hana mula gelisah. Tidak sabar rasanya ingin menduduki kertas yang terakhir itu
dan mengakhiri apa yang dilaluinya selama 3 tahun ini.
Dia bersyukur selama
tempoh tiga tahun ini, belum pernah dia gagal di dalam mana-mana subjek yang
diambil. CGPA yang diperolehinya juga cukup memuaskan dengan 3 pointer dan ke
atas.
“Saya nak ke toilet
kejap,” Ika bingkas bangun .
“Jangan lambat sangat kat dalam tu. Nanti orang dah masuk tinggal awak je
yang belum.”
“Tak pe. Awak tolong jawab
untuk saya sekali,” sempat Ika bergurau sebelum berlalu pergi.
Hana tertawa kecil. Sempat
lagi kawan baiknya itu mengenakannya. Beberapa helaian nota yang hampir
melayang ditiup angin menarik perhatian Hana yang membuang pandangan memerhati
gelagat para pelajar yang lain.
“Ika, Ika..kenapalah tak
disimpan tadi?,” omel Hana. Tangannya bergerak menyusun satu persatu helaian
nota untuk subjek Undang-undang Perniagaan itu.
“Hei ugly!Kau ada
pen?Pinjam satu. Pen aku habis dakwat la pulak. Time-time macam ni nak susahkan
aku!.”
Tanpa perlu menoleh pun,
Hana sudah tahu gerangan yang memanggilnya. Siapa lagi pelajar perempuan yang
memanggilnya dengan nama gelaran begitu?
“Ada dalam...,” belum pun
sempat Hana ingin menyahut, kotak pensilnya telah pun berada di tangan Rina.
Sebenarnya, tidaklah kotak sangat pun. Lebih kepada sebuah bekas yang diperbuat
daripada kain dan mempunyai satu zip. Bekas sederhana besar berwarna coklat tua
itu padat diisi dengan pelbagai jenis alat tulis. Pen saja, sudah melebihi 7
batang. Semuanya untuk kegunaan dirinya sendiri kalau-kalau ada kecemasan.
Hana menyambung semula
kerjanya yang terhenti dek panggilan Rina tadi. Tidak sampai seminit pun, suara
Rina kembali didengari.
“Aku pinjam eh. Nah!.”
Bekas alat tulis itu diberi semula kepada Hana. Hana memerhati Rina yang sudah
berlalu semula kepada kawan-kawannya.
“Ambil terus pun tak pe.
Lepas ni kita tak kan jumpa lagi,” bisik Hana sendirian. Bibirnya kembali
tersenyum mengenangkan hari-hari yang bakal mendatang tanpa kelibat gadis yang
menjunjung nama Rina Batrisya itu.
Ika yang sudah beberapa
langkah menjauhi tandas memerhati apa yang baru terjadi. Langkahnya mula
dipercepatkan untuk mendapatkan kawan baiknya.
“Hana, kenapa minah tu
datang sini tadi?Apa yang dia nak?Dia buat apa kat awak?,” soal Ika
bertubi-tubi.
Berkerut wajah Hana
mendengar soalan yang bertalu-talu daripada kawan baiknya itu.
“Ish, ish..kalau ya pun
satu persatu la Ika. Apa yang Rina tu nak buat kat saya?Mana ada apa-apa.
Tengok ni, hidup lagi kan?,” tingkah Hana dalam senyuman.
Mata Ika mengerling semula
kepada Rina yang sedang berbual-bual dengan kawan-kawannya.
“Tapi kenapa dia datang
jumpa awak tadi?Tak puas hati ni!.”
“Dia datang pinjam pen je la. Bukannya ada apa-apa pun. Lepas dapat pen dia
pergi sana balik,” Hana memuncungkan mulutnya ke arah Rina.
“Hmm..tu je?.”
“Ya la. Pinjam pen. Awak ingat dia nak apa?,” Hana mengangkat kening.
“Ya la. Mana la tahu
kalau-kalau dia ada niat tak baik ke. Bukannya kita tak tahu perangai dia macam
mana kan?.” Ika yang masih tak berpuas hati cuba memikir tindakan Rina itu
tadi.
“Kalau dia ada niat tak
baik, kenapa nak tunggu hari ni?Hari terakhir kita kat sini?Lebih baik dia buat
pada semester-semester yang lepas, betul tak?Bila dia kenakan saya macam
tugasan Puan Sufi tu, awak ingatkan?Bukan main happy lagi dia waktu tu. Kalau
nak kenakan saya sekarang apa yang dia dapat?Dah tak ada apa-apa pun, betul
tak?.”
Ika tidak terus
mengangguk. Dia masih lagi berfikir logiknya tindakan Rina. Pinjam pen?Tak kan
la orang macam Rina tu ada pen sebatang saja untuk peperiksaan akhir macam
ni?Tapi kata-kata Hana ada juga betulnya. Kalau dia kenakan Hana sekarang pun
bukannya dia untung apa-apa pun kan?
“Dah la. Tak baik nak
berprasangka buruk kat orang.”
Hana mencuit lengan Ika. Belum pun sempat Ika ingin membuka mulutnya, sudah
terdengar suara petugas peperiksaan yang memanggil para pelajar yang mengikuti
kursus Pentadbiran Awam untuk memasuki ke dalam dewan.
“Eh!Tu kursus kita tu.
Jom!.”
Hana bingkas bangun. Kotak pensilnya dicapai.
“Nah!Slip awak.”
Ika menghulurkan slip menduduki peperiksaan kepunyaan Hana yang dicapai
dari begnya.
“Terima kasih. Ingat!Nota
tu..,” bisik Hana sebelum melangkah sebaik tiba di depan pintu dewan.
“Ya la!,” Ika berlalu
semula untuk meninggalkan beg yang dipenuhi dengan nota-nota di luar dewan di
tempat yang sudah dikhaskan. Kawan baiknya itu sudah pun melangkah masuk.
Tiba di dalam dewan, Hana
memerhati kerusi yang sudah dikhaskan untuk pelajar Pentadbiran Awam. Dua
tempat duduk yang masih kosong menarik perhatian. Bolehlah dia duduk
bersebelahan dengan Ika nanti. Kalau dia tertidur kawan baiknya itu boleh
membantu mengejutkan dirinya.
Sebaik mengambil tempat di
kerusi, Hana menarik nafas dalam-dalam. Dia yakin semua orang yang berada di
dalam Dewan Mini itu mesti merasakan debaran yang sama sepertinya kecuali para
petugas je la yang tidak akan menduduki peperiksaan itu nanti!
“Good luck!,” bisik satu
suara di sisi kirinya. Hana mengerling.
“Awak pun,” Hana tersenyum kepada Rina. Sedikit rasa pelik menjelma di
dalam diri. Belum pernah Rina Batrisya itu mengucapkan ‘selamat’ kepadanya.
Baik di dalam ujian kuiz mahupun peperiksaan akhir sebegini.
“Agaknya sebab hari ni
hari terakhir kan?,” getus Hana ingin melontar jauh-jauh fikiran jahat yang
mula menyerang.
Kelihatan para petugas
yang sibuk memeriksa kertas-kertas di bahagian depan. Hana tidak peduli kertas
soalan atau pun kertas tulis yang disediakan untuk para pelajar. Apa yang
penting, dia ingin fokus dan menjawab sebaik yang mungkin.
Tepat pukul 2 petang,
semua pelajar yang berada di dalam Dewan Mini mula menyingkap kertas soalan
setelah mendengar arahan daripada petugas peperiksaan.
“Alhamdulillah,” bisik
Hana sendirian setelah meneliti soalan-soalan yang tercetak di atas kertas.
Bibirnya mula menguntumkan senyuman. Bahagian A tidaklah sesukar mana. Apatah
lagi kesemua 25 soalannya adalah soalan objektif yang disediakan pilihan
jawapan. Bahagian B yang memerlukan dia menjawab di dalam bentuk esei juga
kelihatannya tidaklah sepayah mana.
Hana mula mencapai
sebatang pen. Beberapa isi penting mula dicoretkan di atas kertas soalan agar
dia tidak terlupa nanti. Beberapa minit dimanfaatkan untuk melakukan perkara
tersebut.
Setelah yakin tiada apa
lagi yang tertinggal, Hana mula menjawab soalan-soalan di bahagian A. Hampir
setengah jam diperuntukkan di bahagian itu, dia mula beralih ke bahagian B.
Sesekali, Hana berhenti untuk menghilangkan lenguh
jari-jemarinya yang menulis hampir sejam setengah yang lalu tanpa henti. Hanya
tinggal beberapa baris ayat yang perlu ditulis bagi menyempurnakan soalan
ketiga yang juga soalan terakhir di bahagian B itu.
“Siap,” gumam Hana. Tangannya mula menyingkap lembaran
kertas jawapan untuk menyemak jawapan yang diberikan olehnya. Sempat matanya
memandang para pelajar yang lain yang masih tekun menulis.
Jam yang tersangkut di dinding di depan dewan, ditatap.
Tepat menunjukkan pukul 4 petang. Masih berbaki sejam untuk pelajar-pelajar
menyempurnakan jawapan masing-masing untuk subjek yang diperuntukkan masa
selama 3 jam itu.
Hana tersenyum lagi. Bukan
hanya kerana dia berjaya menjawab soalan-soalan untuk subjek itu tetapi kali
ini dia tidak tertidur seperti waktu-waktu yang lain. Alat tulis mula dicapai
dari atas meja. Dia sudah bersedia untuk meninggalkan Dewan Mini. Ini kerana
peraturan telah pun dinyatakan dengan jelas oleh petugas peperiksaan tadi
bahawa, setengah jam yang pertama dan setengah jam yang terakhir, tiada
mana-mana pelajar yang dibenarkan meninggalkan dewan peperiksaan.
“Aku dah habis menjawab.
Buat apa nak tunggu kan?.” Detik hati Hana. Tidak tega dia menghabiskan masanya
berteleku di meja sedangkan sudah tidak ada apa-apa yang hendak dilakukannya di
situ.
Zip kotak pensilnya
ditarik. Sekeping kertas kecil berwarna putih yang ditimbuni oleh alat tulisnya
menarik perhatiannya.
“Apa ni?.” Tangan Hana
membuka sedikit kertas yang elok terlipat di dalam kotak pensilnya tanpa
dikeluarkan.
Ritma jantung yang
berdegup normal mula tergugat apabila matanya dapat menatap biarpun sedikit
cuma apa yang tertulis di atas kertas itu. Hana mula menggelabah. Kepalanya
mula diangkat. Dia memerhati sekeliling dewan. Kelihatan beberapa petugas
peperiksaan berada di depan dewan. Beberapa yang lain pula sedang berjalan
melewati meja-meja yang disusun dengan
jarak yang diselang lebih kurang satu meter itu.
Hana cuba mengawal diri.
Nafasnya yang tidak teratur mula menyebabkan kolam matanya digenangi air.
Pantas, matanya disapu. Tidak!Dia tidak boleh gagal dalam subjek ini. Dia tidak
boleh menimbulkan sebarang syak wasangka kepada para petugas peperiksaan.
Walaupun dia tidak tahu bila dan macam mana nota itu boleh terselit di dalam
kotak pensilnya, dia tidak ingin gagal di semester terakhir ini.
Seorang petugas yang kian
menghampiri mejanya, membuatkan tangan Hana pantas menarik zip menutup semula
kotak pensilnya setelah pen dan cecair pemadam dimasukkan. Apa yang tinggal
sekarang ialah dia hanya perlu bangun dari tempat duduknya, meninggalkan kertas
jawapannya di atas meja dan berjalan keluar dari Dewan Mini itu. Itu sahaja.
Semuanya akan berakhir. Ya!Dia harus segera meninggalkan dewan tersebut.
Sekarang!
Hana menolak kerusi yang
didudukinya hampir dua jam yang lalu ke belakang perlahan-lahan. Tangannya
sedikit menggeletar. Dia tidak ingin gagal. Tidak!Setelah bersusah-payah selama
tiga tahun, ini tidak seharusnya terjadi kepada dirinya. Bukan sekarang.
Mata Hana mengerling
sekeliling. Perlahan-lahan dia bangun dan mengatur langkah menuju ke pintu yang
jaraknya lebih kurang 5 meter daripada mejanya. Kotak pensilnya dipegang erat
seakan-akan itu adalah hartanya yang paling berharga. Harta yang perlu
dilindungi hatta nyawanya menjadi pertaruhan sekalipun.
Kaki dipercepatkan. Semua
ini harus berakhir segera. Dia tidak meniru dari kertas tersebut tapi siapa
yang akan percaya?Sudahlah dia adalah orang pertama yang melangkah keluar, akan
adakah orang yang akan percaya dirinya kalau semua itu terdedah?
Tangan yang sudah berada
di daun pintu membuatkan Hana sedikit lega. Sebaik daun pintu ditarik...
“Tunggu!.” Satu suara yang
menjerit di dalam keadaaan yang sunyi sepi itu jelas menusuki deria pendengarannya.
Tipu, kalau dia cakap tak dengar dan ingin meneruskan langkahnya. Hana menahan
gelodak di dadanya.
“Awak, tunggu dulu!,”
suara seorang petugas perempuan kian menghampiri. Tangan Hana masih memegang
erat daun pintu Dewan Mini. Dia tidak ingin melepaskan daun pintu itu. Apa yang
berbaki tadi, dia hanya perlu membuang setapak langkahnya ke luar sebelum
dipanggil.
“Saya minta maaf tapi saya
perlu periksa kotak pensil awak tu,” petugas tersebut menunjuk ke arah kotak
pensil yang digenggam kemas oleh Hana. Terasa berat tangannya untuk
menghulurkan bekas alat tulisnya itu kepada petugas tersebut.
Petugas tersebut yang
menanti beberapa ketika mula mengambil sendiri kotak pensil dari tangan Hana.
Hana mengetap bibir. Kolam matanya
sekali lagi digenangi air. Dia menoleh ke belakang memerhati beberapa pasang
mata yang masih setia memandangnya. Kelihatan Ika yang sedang mengangkat kening
kepadanya.
“Apa ni?.” Suara petugas
tersebut menarik kembali perhatian Hana. Kelihatan sekeping kertas yang sudah
dibuka lipatannya sudah berada di tangan petugas yang berkerut wajahnya itu.
“Bu..bukan..bukan saya. Percayalah!,” Hana mula tidak
keruan. Air matanya sudah dilempiaskan. Hanya itu saja kata-kata yang mampu
dituturkan oleh bibirnya ketika itu.
“Ikut saya.” Petugas itu memulakan langkah tanpa menanti
patah kata daripada Hana. Kepala Hana mulai bingung. Apa yang akan terjadi
kepadanya selepas ini?
geram....
ReplyDeletehehe..tau tak pe. si rina ni memang dasyat ;-) tq sudi komen baby mio, luv u!!!
ReplyDeletealamak~!! hati ni dah dup dap dup dap
ReplyDelete