Selesai mandi, Hana melabuhkan punggungnya di birai katil. Tangannya
berterusan mengeringkan rambut yang masih basah dengan kain tuala. Sesekali,
bibirnya menyanyi-nyanyi kecil. Senang hati apabila dapat menghabiskan cuti 2
hari di hujung minggu di rumah bersama-sama dengan keluarganya.
Matanya yang terarah
kepada sudut yang menempatkan meja belajarnya membuatkan tangannya yang sedari
tadi melakukan kerja terhenti perlahan-lahan. Hana mula melangkah menuju ke
ruangan tersebut.
Kain mafela yang
tersangkut di kerusi belajarnya dicapai. Aroma wangi yang dapat dicium oleh
Hana membuatkan tangannya terus mendekatkan kain mafela tersebut kepada
hidungnya.
“Wanginya...”, bibir Hana
terukir sebaris senyuman. Pertemuan yang tidak diduga dengan jejaka yang tidak
dikenali di stesyen bas semalam, mencuit semula memori Hana dipagi itu.
“Siapa dia tu?”, Hana
menggumam seorang diri. Berkerut dahinya apabila memikirkan gerangan yang tidak
dikenali itu.
“Baik hati..”, Hana tersenyum lagi apabila memuji kebaikan hati jejaka di
stesyen bas semalam. Belum pernah dia dilayan sebaik itu. Apatah lagi daripada
seorang lelaki. Malah, belum pernah pun dia mempunyai mana-mana kawan baik
sebelum ini.
Dalam mengenang nasib
dirinya, Hana mula melepaskan keluhan. Menyesali banyak perkara yang sedang
terjadi di dalam hidupnya kini.
“Apa nak jadi dengan aku ni?”, Hana mula bermonolog di kerusinya sebaik
mengambil tempat di situ.
Kalaulah dia tidak terlalu
penakut untuk berdepan dengan segala permasalahan yang melanda dirinya kini.
Lebih-lebih lagi apabila seraut wajah Rina Batrisya muncul kembali!Hana mula
mengetap bibir menahan geram. Kenapa dia harus menjadi penakut apabila berdepan
dengan gadis itu?Apa yang ada padanya?
“Tidak. Aku tak boleh lagi
terus macam ni. Lepas ni kalau Rina...”
Hana yang sedang merancang-rancang bagaimana untuk berdepan Rina, terganggu
apabila telinganya mendengar bunyi telefon bimbit yang berada di atas katil.
“Siapa pula?Tak kan Ika
kut?.”
Risau kalau ada apa-apa yang mungkin membuatkan kawan baiknya itu berada di
dalam kesusahan, tangan Hana laju mencapai gadjet tersebut sebelum mengambil
tempat di atas katilnya. Terus, tanpa melihat gerangan si pemanggil, Hana mula
menekan butang untuk menjawab.
“Hei!Kau pergi mana
hah?!Aku pergi bilik kau, kau tak ada. Oh!Sekarang ni kau dah pandai nak
lari-lari ya?!.”
Gulp!Hana menelan air liur. Telefon yang didekatkan di telinganya tadi,
mula dijauhkan. Skrin telefon Nokia itu ditatap.
“Rina!”, desis Hana.
Biarpun dengan suara yang menjerit kepadanya tadi sudah dikenal pasti, sengaja
Hana ingin melihat sendiri untuk mengesahkan gerangan yang menghubunginya di
pagi hari itu.
“Helo!Helo!”, telinga Hana
kembali mendengar suara lantang Rina apabila gadjet itu kembali didekatkan di
telinganya.
“Hei!Kau bisu ke apa ni?Pekak juga ek?”, Rina terus menyembur tanpa henti.
Sempat mata Hana
mengerling kepada jam loceng yang berada di atas meja belajarnya yang baru
hendak menginjak ke pukul 9.
“Hei ugly!Kau dengar tak
apa yang aku cakap ni?”, Rina terus bersuara.
“Emm..”, Hana membalas dalam keterpaksaan. Hana menutup mata sambil
kepalanya digeleng-gelengkan. Baru sebentar tadi, dia memasang hajat untuk
tidak terus menunduk kepada gadis itu.
“Good!Then I think you
know what to do right?”, suara Rina yang kedengaran di telefon kembali lembut.
Tidak seperti tadi. Seperti orang yang sedang histeria sahaja intonasinya.
“Em..”, balas Hana lagi.
Apa lagi yang dia mampu jawab di saat itu?Dia sudah tahu apa yang membuatkan
Rina menghubunginya dengan emosi sebegitu.
“Hello?!Tu je yang kau
tahu cakap?Emm?Apa kau dah bisu ke pagi-pagi ni?Kau jangan ingat kau tak ada
kat bilik kau tu, kau boleh lari daripada aku. Hari Ahad, Isnin...tak kan kau
tak balik sini kan?”, tutur Rina.
Hana yang mendengar
terdiam. Kata-kata Rina yang berbaur ugutan seperti itu sudah terbiasa di hujung
telinganya.
“Hei!Kau jangan nak cabar aku Hana!Kau dengar tak apa yang aku sedang
cakapkan ni?!”, suara Rina kembali nyaring di telefon.
“Dengar, dengar..”, pantas
Hana menyahut. Kecut perutnya apabila mendengar jerkahan Rina.
“Dengar, dengar tapi nanti
masalah juga yang kau buat. Kau tahukan apa sebabnya aku telefon?”, Rina
melepaskan soalannya.
“Assignment”, balas Hana
ringkas. Masakan dia tidak tahu kalau itulah punca sebenar mengapa Rina sanggup
menelefonnya pagi-pagi sebegini.
“Good!Tahu pun kau kan?So,
as usual, kau akan siapkan satu copy untuk aku. And as usual, jangan sama macam
yang kau pulak. Kalau tak, nanti siapa yang susahkan?Kau juga..”, balas Rina
seakan-akan bersimpati kepada Hana.
Hana terus menyepikan
diri. Tiada hati untuk membalas kata-kata Rina. Dia tahu, tidak ada gunanya pun
untuk terus bertekak dengan gadis itu. Bertekak?Em..seingatnya, belum pernah
pun dia melawan kata-kata Rina Batrisya.
“Kau dengar tak ni?Betul
tak apa yang aku cakap tadi?Nanti siapa yang susah, kau jugakan?”, suara Rina
kembali menyentak Hana.
“Er..a’ah”, balas Hana
menyetujui dengan kata-kata yang lahir dari mulut Rina.
“Bagus. Apa yang aku tahu, by this Sunday, aku punya assignment dah siap.
Oh!By the way, binding juga tau?Kau ni betul bendul. Kalau aku tak cakap
satu-satu, bukannya nak dibuat. Binding yang macam Puan Sufi nak tu. Buat
kemas-kemas sikit. Sama yang macam kau juga. Faham?”, Rina terus kedengaran
memberikan arahan.
“Faham”, sahut Hana. Ya
Allah!Hampir sahaja air matanya mulai gugur.
“Good!.”
Sepatah kata itu menjadi
akhir kepada perbualan mereka berdua di pagi itu. Hana menghempaskan teleefon
bimbitnya ke atas tilam. Geram!Kedua-dua tangannya mula menongkat kepala yang
menunduk.
“Apa dah jadi?Bukankah
tadi aku dah tak nak ikut cakap dia lepas ni?Baru dengar suara sikit, dah
kecut!Dah takut!”, Hana mula memarahi dirinya sendiri. Sakit hati apabila
rancangan yang baru hendak diatur untuk tidak terus menurut kata-kata gadis itu
sejak mereka berada di Semester 1 lagi, hanya berlalu sebegitu sahaja.
Mata Hana terkebil-kebil
memandang tilamnya. Kenangan ketika sesi orientasi di penghujung tahun 2003
menjelma semula....
“Awak!Ya, awak la!Tolong
kejutkan yang di belakang tu..”, seorang pelajar lelaki senior menunjuk ke satu
arah.
“Saya?”, Ika yang terpinga-pinga menoleh ke arah belakangnya.
“Ya Allah!Hana..”, desis
Ika yang mulai kaget apabila melihat kawan yang baru dikenalinya semalam tertidur.
Pasti Hana kena marah dengan senior-senior yang bertugas sebagai OC lepas ni!
Tangan Ika mula menggoncang-goncang
bahu Hana yang sudah terlentok di tiang jaring bola jaring yang menjadi tempat
sandarnya.
“Hana!Hana!”, Ika terus memanggil-manggil nama gadis yang sedang lena itu.
Sesekali, ekor matanya memandang sekeliling apabila semua pelajar yang berada
di situ memandang ke arah mereka.
“Tak sedar lagi?”, pelajar
lelaki senior itu bertanya semula.
“Er..Dah, dah. Kejap lagi”, Ika berbohong. Tangannya terus
menggoncang-goncang bahu Hana.
Terpisat-pisat Hana bangun
apabila terasa dirinya diganggu. Diperhatinya wajah Ika yang berkerut.
“Awak tertidur lagi”, suara Ika seakan-akan berbisik menerangkan perkara
yang telah berlaku.
Hana terkejut. Tertidur
lagi?Adoi!Matilah dirinya lepas ni!
Terus, dari bersandar dia kembali membetulkan duduknya di padang itu.
Tangannya turut membetulkan kain tudung yang tersarung di kepala. Sesekali, dia
berdehem untuk menghilangkan debaran di dadanya.
“Kenapa?Tak cukup tidur ke
semalam?”, suara sinis kedengaran dari hadapan barisan yang sedang mengadap
para OC untuk mendengar taklimat aktiviti mereka pada pagi itu.
Lambat-lambat Hana
mengangkat wajahnya. Mencari sumber suara yang sememangnya dituju kepadanya.
“Saya tanya awak ni!”,
perempuan itu bersuara lagi.
Hana mendiamkan diri. Wajarkah dia menjawab atau terus membatukan
diri?Bebola matanya menatap seraut wajah yang dikenalinya. Kakak itulah yang
memarahinya semalam kerana belum mendaftar dan tertidur pula di bawah pokok.
“Er...maaflah”, Hana
bersuara. Wajahnya kembali ditundukkan apabila memandang beberapa pasang mata
yang berhampiran yang masih memandang kepadanya. Malunya!
“Apa?Apa awak cakap?Saya tak dengar!”, senior perempuan itu memandang
kepada Hana. Masih lagi tidak berpuas hati.
“Saya minta maaf”, Hana
menguatkan suaranya.
“Ok, ok!Dah tu”, salah seorang OC yang bertugas mula mencelah. Dikerlingnya
sekilas kepada Hana yang berada di belakang sekali di dalam barisan kedua itu.
“Dia ingat dia nak jadi
sleeping beauty ke apa. Ada pula putera raja nak tolong bangunkan!Dah la tu
kalau cantik time tidur tu tak pe juga. Ni tak, ugly!”, satu suara kedengaran.
Kata-kata itu disambut dengan ketawa dari mereka yang berada di padang pada
pagi itu.
“Rina Batrisya!”, Hana
menutur nama itu untuk yang kesekian kalinya. Gadis itulah yang menyemburkan
gelaran itu kepadanya. Sleeping ugly!Mustahil Hana dapat melupakan bagaimana
dia ditertawakan pada pagi itu oleh mereka semua. Semuanya kecuali Ika.
Adanya Ika yang banyak
menolong dirinya. Sejak kejadian di sesi orientasi itu, dia yakin Ika jujur
untuk berkawan dengan dirinya.
“Ah!Sudahlah. Macam mana pun memang aku nak kena buat juga assignment tu
untuk Rina. Lebih baik aku keluar ambil angin dulu”, Hana melepaskan keluhan
apabila mengenangkan bebanan tugasan untuk
dua orang yang ditanggungnya kini.
“Eh!Nak pergi mana tu?”, Makcik
Hashima menegur anak daranya yang siap berseluar panjang hitam dan berbaju T
biru gelap.
Hana yang sedang menyarungkan tudungnya ke kepala sempat
melemparkan senyuman kepada emaknya yang berada di ruang tamu itu.
“Nak pergi beli
suratkhabar”, jawab Hana apabila selesai mengenakan tudung. Makcik Hashima yang
duduk di sofa sambil menonton TV hanya memerhati tingkah anak gadisnya itu.
“Ya la tu. Cakap nak beli suratkhabar tapi tu..silap-silap sampai ke sana
Hana pergi kan?”, tangan Makcik Hashima menuding ke satu arah.
Hana hanya tersengih.
Mustahil dia dapat berbohong kepada emaknya.
“Ala mak, bukannya jauh pun”, balas Hana seakan-akan membenarkan apa yang
dikatakan oleh emaknya itu. Wajah Makcik Hashima mula berkerut apabila
mendengar jawapan anaknya.
“Yang Hana ni suka sangat pergi tengok vila tu kenapa?Dah
la jalan sana tu sunyi. Kalaulah ada apa-apa nanti..”, nada Makcik Hashima mula
berbaur bimbang.
“Mana ada apa mak..”, Hana
yang baru melangkah ke muka pintu terhenti. Bibirnya mula mengukirkan senyuman
untuk menyedapkan hati emaknya itu. Sekaligus, cuba membuatkan emaknya tidak
berlagu bimbang mengenai dirinya nanti.
“Manalah tahu. Kat situ
bukannya orang kerap lalu pun. Lagipun vila tu dah lama terbiar. Manalah tahu
kalau-kalau semak samun tu ada ular ke apa ke..”, Makcik Hashima yang tidak
berpuas hati masih ingin berdebat.
“Hana yang selalu
pergikan?Hana tahulah. Mana ada apa-apa pun. Lagipun, Hana tengok dari luar je.
Pintu pagar pun berkunci. Mana boleh masuk. Yang semak-samun tu kat sebelah
dalam. Hana kat luar je”, ujar Hana seakan-akan membela diri.
Makcik Hashima melepaskan
keluahan kecil. Mustahil dapat dihalang niat anak gadisnya yang sudah bersiap
sedia untuk melangkah keluar itu.
“Saja je Hana ni. Jadikan
suratkhabar tu sebagai alasan kan?Kalau ayah dah beli tadi?”, duga Makcik Hashima
ingin memancing reaksi Hana.
“Er..kalau ayah dah beli,
Hana keluar juga. Nak beli..em..hah!Gula-gula”, Hana tersengih.
“Kalau dah alasan tu kan..”, Makcik Hashima tersenyum
dengan jawapan anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu. Matanya menghantar
pemergian Hana yang sudah melangkah keluar daripada rumah. Hana mencapai
basikalnya yang berwarna ungu gelap itu. Sesekali, bibirnya tersenyum melihat
basikal yang masih lagi berada di dalam keadaan elok itu. Basikal yang banyak
berbakti kepadanya sejak dia bersekolah di Tingkatan 1.
Sebaik keluar daripada
pintu pagar rumahnya yang terletak di Taman Kodiang itu, Hana mula menunggang
basikalnya menuju ke sebuah kedai buku yang terletak di dalam kawasan perumahan
itu.
“Dah cuti ke sekarang ni?”,
Abang Asnol yang menjadi pemilik kedai buku itu memandang pelik kepada Hana
apabila menyambut duit yang diberikan oleh gadis itu.
“Tak la. Esok saya balik
UiTM la. Saja je nak balik rumah cuti Jumaat dengan Sabtu ni”, terang Hana
sebaik duit baki bertukar tangan.
“Oh!Ingatkan dah cuti semester. Kamu ni memang tak boleh berpisah lama-lama
dengan keluarga ya”, Abang Asnol mula tersenyum mengusik. Hana cuma tersenyum
kelat. Berpisah lama-lama?Siapa cakap dia tak boleh?Kalau sahaja keadaan di
UiTM itu tidak memberikan tekanan kepadanya saban minggu, malah saban hari!Dan
yang paling best kalau sahaja si pengarah itu dan ini, Rina Batrisya tidak
wujud di bumi ini!
“Tak boleh. Itu dah macam
zalim pula”, Hana mula mengelamun apabila kakinya sudah berada di pedal
basikal. Perlahan-lahan, dia mengayuh sambil menikmati angin pagi itu.
“Setidak-tidaknya kalau saja dia tak wujud di UiTM tu. Atau lebih tepat
lagi dalam hidup aku..”, Hana mula melepaskan nafas. Sedikit kepenatan mula
menguasai diri apabila kakinya mula mengayuh sedikit laju.
Sambil menikmati
pemandangan sekelilingnya, di kiri dan kanan jalan raya yang rata-ratanya
terdapat beberapa buah rumah dan kedai runcit, Hana tersenyum senang hati.
Sedikit sebanyak, hatinya terubat apabila memandang kawasan yang sudah terbiasa
oleh dirinya. Melayang seketika fikirannya daripada terus mengingati tugasan
yang perlu disempurnakan untuk dua orang sekaligus.
Sedar tak sedar, basikal
yang ditunggangi sudah membawa Hana tiba di destinasi yang ingin ditujuinya
iaitu di Batu 2, Jalan Changloon. Sebaik melangkah turun daripada basikalnya,
Hana menyorong basikal itu sehingga hampir ke pintu pagar sebuah vila yang
tersergam di atas tanah milik persendirian itu. Meliar mata Hana memerhati
sekeliling halaman vila tersebut yang tidak lagi bersemak-samun seperti minggu
lepas kali terakhir dia datang ke situ.
“Pelik!Tuan dia dah balik ke?”, Hana berbicara sendirian
di pintu pagar itu.
Vila berwarna putih dan
berbumbung ungu gelap, sama seperti warna basikal milik Hana itu menarik
pandangan matanya lagi untuk yang kesekian kalinya. Terkebil-kebil dia di depan
pintu pagar itu sambil memerhati vila yang berjaya menarik minatnya sejak dia
masih di bangku sekolah menengah lagi.
“Besar, cantik..bila
agaknya aku nak boleh ada rumah macam ni?”, Hana memuji vila yang hanya boleh
ditatap dari luar itu. Itu pun sudah cukup baginya untuk terus bertandang ke
situ apabila dia ada kelapangan. Vila yang terletak beberapa meter daripada
pintu pagar itu dapat dilihat dengan agak jelas setelah tiada lagi semak-samun
yang memenuhi halaman vila berkenaan. Bibir Hana menguntumkan senyuman apabila
pintu vila itu kini jelas di pandangan matanya. Tidak seperti minggu lepas
apabila dia berkunjung ke situ.
Hana mengetap bibir
apabila melihat tiada lagi mangga yang berada di pintu pagar itu.
Perlahan-lahan tangannya menolak pintu pagar yang diyakini tidak berkunci itu.
“Hoi!”, satu sergahan menyentak Hana. Terjegil matanya
apabila melihat seseorang yang sedang berdiri sambil bercekak pinggang di depan
pintu vila itu. Kelam-kabut Hana mendapatkan basikalnya yang ditongkatkan tadi
untuk segera meninggalkan kawasan tersebut.
“Tunggu!”, suara itu menjerit lagi.
Hana yang sudah berada di
atas basikalnya tidak menghiraukan suara yang semakin menghampiri itu. Terus
tanpa bertangguh, kakinya mula mengayuh pedal basikal dengan laju.
“Hoi!Apa yang kau buat kat
sini hah?!”, suara itu semakin lantang. Hana tidak peduli. Kakinya terus
mengayuh laju. Risau kalau-kalau si pemilik suara itu akan mengejarnya. Apa
yang pasti, dia harus menjauhi vila itu dengan segera. Untung sahaja tadi,
wajahnya tidak dapat dilihat oleh orang yang menegurnya tadi.
best la!
ReplyDelete