Friday 20 December 2013

ISTERI AKU SLEEPING UGLY?! 12


Penghujung tahun 2006
            Hana tersenyum girang apabila memandang langit yang cerah putih berseri. Sebentar lagi, dia akan menduduki peperiksaan akhir untuk kertas LAW 379 . LAW 379 ialah kod yang diberikan oleh UiTM untuk kertas Business Law ataupun Undang-undang Perniagaan, kalau diertikan ke Bahasa Melayu.
            “Amboi!Berseri-seri muka. Kenapa?Seronok ke kejap lagi nak berpisah dengan saya?,” tegur Ika seraya mencuit pinggang Hana. Langkah mereka diteruskan untuk menuju ke Dewan Mini di mana akan berlangsungnya peperikasaan tersebut.
            “Mana ada la. Bukan sebab tu saya seronok. Mestilah sedih nak berpisah dengan awak. Segala apa yang kita harungi bersama-sama selama tiga tahun ni bukannya mudah tau nak saya lupakan,” tutur Hana jujur.
            Ika yang mendengar semakin meleret senyumannya. Tangan Hana diraih sekaligus membuatkan rakan baiknya itu sedikit terkejut.
            “Kenapa ni?.”
            “Ya lah. Dah hari terakhir kan kita kat sini?Biarlah saya nak pegang tangan awak. Ingat tak macam kita kecik-kecik dulu?Bila kat sekolah rendah ke tadika ke, kalau berjalan mesti pegang tangan macam ni kan?Eleh!Macam awak tak pernah,” tingkah Ika terus tidak melepaskan tangan Hana.
            Hana menguntumkan senyuman. Tadika?Sekolah rendah?Mestilah dia pun pernah melalui zaman berpegangan tangan macam tu tapi kawannya pada waktu itu, lelaki atau perempuan?Itu dia dah kurang ingat.
            “Ish!Tepilah!Nak pegang tangan bagai, couple ke?.”
Rina yang muncul dari belakang terus meredah di tengah-tengah pegangan tangan Ika dan Hana 
            “Woi!Seluas-luas jalan kat sini, sini juga ke kau nak kena lalu hah?!,” tempik Ika yang sudah mulai geram. Rina terus berjalan tidak menghiraukan kata-kata Ika.
            “Sudahlah tu. Biarkan. Dah memang perangai dia macam tu kan?Lagipun entah-entah dia gelabah ke, kita mana tahu?,” tutur Hana memujuk Ika.
            “Iya lah, gelabah ke takut ke panik ke, agak-agaklah. Bukan dia seorang yang nak ambil exam tu. Ramai lagi. Memang perangai dia tu suka nak sakitkan hati orang lain.”
            Ika yang masih tidak berpuas hati mula menarik muncung. Hana yang melirik kawan baiknya itu tertawa kecil.
“Awak ni pun, kalau tak muncungkan mulut tu memang tak sah kan?Dah  la, nanti habis terbang ilmu Law yang ada dalam kepala awak tu.”
            “Ya lah. Ini pun dah macam tak berapa nak ingat ni. Er..pasal contract. Emm..apa ya?Awak ada bawa nota tak?.”
            “Mana ada. Tengok ni, sehelai sepinggang je kan. Ini ada lah,” Hana menunjukkan kotak pensilnya.
            “Lupa pula. Awak memang tak pernah bawa nota kan bila nak ambil exam?Maklumlah orang dah pandai. Rasanya saya ada bawa dalam beg ni.”
            Ika terkial-kial mencari nota yang berada di dalam beg yang digalas di bahu sambil terus melangkah. Hana yang memerhati tersenyum terus. Bukan kerana dia merasakan dirinya pandai lalu tidak perlu dia membawa nota itu, tapi dia akan menjadi lebih gelabah kalau masih membaca di saat-saat akhir sebelum menduduki peperiksaan untuk satu-satu kertas itu. Kalau dibawa tapi tak digunakan, apa tujuannya kan?
            “Ada tak?’.
“Hah!Alhamdulillah, ada pun. Ini dia..,” Ika menggoyang-goyangkan beberapa kertas tangan yang sudah berada di tangannya.
            “Ingat, nanti nak masuk dalam dewan, tinggalkan kat luar. Nanti tak pasal-pasal dituduh bawa ‘toyol’’, ujar Hana lebih kepada peringatan. ‘Toyol’ adalah istilah yang diguna pakai di UiTM untuk nota yang dibawa masuk oleh pelajar secara curi-curi untuk membantunya di dalam peperikasaan.
            “Ya la. Tahulah saya. Kita kan dah semester terakhir. Dah tu hari yang terakhir pula, yahuuu!,” Ika mula bersorak.
            Hana sendiri berasa gembira. Bukan saja dia akan tamat belajar sebagai pelajar Diploma Pentadbiran Awam tetapi, dia juga akan merdeka sebagai orang suruhan kepada Rina Batrisya. Itulah yang paling diingininya sejak beberapa semester yang lepas. Berkat kesabarannya, hari ini akhirnya telah tiba juga.
            “Ramainya!.” Ika memerhati para pelajar yang memenuhi perkarangan Dewan Mini. Pelbagai gelagat dapat diperhatikan. Ada yang berbual-bual kosong, bergelak ketawa dan tak kurang ada juga yang sedang membaca majalah dan suratkhabar, relaks habis!Tentunya yang paling ramai adalah yang masih membelek-belek nota buat kali terakhir sebelum melangkah masuk ke dalam dewan nanti.
            “Maunya tak ramai. Bukan pelajar sepenuh masa je kan macam kita ni tapi kan pelajar jarak jauh, e-PJJ pun ada juga,” Hana menunjuk ke arah satu kumpulan. Ika ikut memerhati ke arah kumpulan lelaki dan perempuan yang kelihatan jauh lebih berumur jika dibandingkan dengan para pelajar yang lain.
            “Itulah, terlupa,” Ika tersengih.
“Jom la. Duduk kat situ dulu. Selesa sikit kalau awak nak baca,” Hana mula melangkah ke arah anak tangga. Kaki lima dewan yang sesak dipenuhi para pelajar yang rata-ratanya bersila di situ sudah kelihatan tidak mempunyai ruang untuk dirinya dengan Ika lagi.
            “Nak?,” Ika bertanya sepatah sambil menghulurkan beberapa keping kertas nota.
“Takk mau lah. Lagi takut adalah,” Hana menggelengkan kepalanya. Dadanya yang berdebar cuba ditenangkan dengan mengambil nafas dalam-dalam.
            “Ingat tau, kalau saya tertidur nanti...”
“Tahulah saya nak kejutkan awak. Siapa yang kejutkan awak kalau bukan muka ini kan Cik Hana?,” tingkah Ika tanpa mengalihkan pandangannya yang jatuh ke atas helaian-helaian nota.
            Hana tersenyum sebaris mengiyakan kebenaran di sebalik kata-kata kawan baiknya itu. Memang setiap kali dia tertidur sewaktu menduduki peperiksaan, Ikalah orangnya yang akan tolong mengejutkan dirinya. Mujur juga petugas-petugas peperiksaan memahami keadaannya itu.
            Melihatkan Ika yang sedang fokus kepada pembacaannya, membuatkan Hana terus mendiamkan diri. Tidak ada hati untuk mengganggu kawannya itu. Jam di pergelangan tangan dikerling.
            “Baru pukul 1.45,” getus Hana.
            Peperiksaan yang bakal berlangsung pada pukul 2 petang itu masih berbaki 15 minit sebelum ia bermula. Hana mula gelisah. Tidak sabar rasanya ingin menduduki kertas yang terakhir itu dan mengakhiri apa yang dilaluinya selama 3 tahun ini.
            Dia bersyukur selama tempoh tiga tahun ini, belum pernah dia gagal di dalam mana-mana subjek yang diambil. CGPA yang diperolehinya juga cukup memuaskan dengan 3 pointer dan ke atas.
            “Saya nak ke toilet kejap,” Ika bingkas bangun .
“Jangan lambat sangat kat dalam tu. Nanti orang dah masuk tinggal awak je yang belum.”
            “Tak pe. Awak tolong jawab untuk saya sekali,” sempat Ika bergurau sebelum berlalu pergi.
            Hana tertawa kecil. Sempat lagi kawan baiknya itu mengenakannya. Beberapa helaian nota yang hampir melayang ditiup angin menarik perhatian Hana yang membuang pandangan memerhati gelagat para pelajar yang lain.
            “Ika, Ika..kenapalah tak disimpan tadi?,” omel Hana. Tangannya bergerak menyusun satu persatu helaian nota untuk subjek Undang-undang Perniagaan itu.
            “Hei ugly!Kau ada pen?Pinjam satu. Pen aku habis dakwat la pulak. Time-time macam ni nak susahkan aku!.”
            Tanpa perlu menoleh pun, Hana sudah tahu gerangan yang memanggilnya. Siapa lagi pelajar perempuan yang memanggilnya dengan nama gelaran begitu?
            “Ada dalam...,” belum pun sempat Hana ingin menyahut, kotak pensilnya telah pun berada di tangan Rina. Sebenarnya, tidaklah kotak sangat pun. Lebih kepada sebuah bekas yang diperbuat daripada kain dan mempunyai satu zip. Bekas sederhana besar berwarna coklat tua itu padat diisi dengan pelbagai jenis alat tulis. Pen saja, sudah melebihi 7 batang. Semuanya untuk kegunaan dirinya sendiri kalau-kalau ada kecemasan.
            Hana menyambung semula kerjanya yang terhenti dek panggilan Rina tadi. Tidak sampai seminit pun, suara Rina kembali didengari.
            “Aku pinjam eh. Nah!.” Bekas alat tulis itu diberi semula kepada Hana. Hana memerhati Rina yang sudah berlalu semula kepada kawan-kawannya.
            “Ambil terus pun tak pe. Lepas ni kita tak kan jumpa lagi,” bisik Hana sendirian. Bibirnya kembali tersenyum mengenangkan hari-hari yang bakal mendatang tanpa kelibat gadis yang menjunjung nama Rina Batrisya itu.
            Ika yang sudah beberapa langkah menjauhi tandas memerhati apa yang baru terjadi. Langkahnya mula dipercepatkan untuk mendapatkan kawan baiknya.
            “Hana, kenapa minah tu datang sini tadi?Apa yang dia nak?Dia buat apa kat awak?,” soal Ika bertubi-tubi.
            Berkerut wajah Hana mendengar soalan yang bertalu-talu daripada kawan baiknya itu.
            “Ish, ish..kalau ya pun satu persatu la Ika. Apa yang Rina tu nak buat kat saya?Mana ada apa-apa. Tengok ni, hidup lagi kan?,” tingkah Hana dalam senyuman.
            Mata Ika mengerling semula kepada Rina yang sedang berbual-bual dengan kawan-kawannya.
            “Tapi kenapa dia datang jumpa awak tadi?Tak puas hati ni!.”
“Dia datang pinjam pen je la. Bukannya ada apa-apa pun. Lepas dapat pen dia pergi sana balik,” Hana memuncungkan mulutnya ke arah Rina.
            “Hmm..tu je?.”
“Ya la. Pinjam pen. Awak ingat dia nak apa?,” Hana mengangkat kening.
            “Ya la. Mana la tahu kalau-kalau dia ada niat tak baik ke. Bukannya kita tak tahu perangai dia macam mana kan?.” Ika yang masih tak berpuas hati cuba memikir tindakan Rina itu tadi.
            “Kalau dia ada niat tak baik, kenapa nak tunggu hari ni?Hari terakhir kita kat sini?Lebih baik dia buat pada semester-semester yang lepas, betul tak?Bila dia kenakan saya macam tugasan Puan Sufi tu, awak ingatkan?Bukan main happy lagi dia waktu tu. Kalau nak kenakan saya sekarang apa yang dia dapat?Dah tak ada apa-apa pun, betul tak?.”
            Ika tidak terus mengangguk. Dia masih lagi berfikir logiknya tindakan Rina. Pinjam pen?Tak kan la orang macam Rina tu ada pen sebatang saja untuk peperiksaan akhir macam ni?Tapi kata-kata Hana ada juga betulnya. Kalau dia kenakan Hana sekarang pun bukannya dia untung apa-apa pun kan?
            “Dah la. Tak baik nak berprasangka buruk kat orang.”
Hana mencuit lengan Ika. Belum pun sempat Ika ingin membuka mulutnya, sudah terdengar suara petugas peperiksaan yang memanggil para pelajar yang mengikuti kursus Pentadbiran Awam untuk memasuki ke dalam dewan.
            “Eh!Tu kursus kita tu. Jom!.”
Hana bingkas bangun. Kotak pensilnya dicapai.
            “Nah!Slip awak.”
Ika menghulurkan slip menduduki peperiksaan kepunyaan Hana yang dicapai dari begnya.
            “Terima kasih. Ingat!Nota tu..,” bisik Hana sebelum melangkah sebaik tiba di depan pintu dewan.
            “Ya la!,” Ika berlalu semula untuk meninggalkan beg yang dipenuhi dengan nota-nota di luar dewan di tempat yang sudah dikhaskan. Kawan baiknya itu sudah pun melangkah masuk.   
            Tiba di dalam dewan, Hana memerhati kerusi yang sudah dikhaskan untuk pelajar Pentadbiran Awam. Dua tempat duduk yang masih kosong menarik perhatian. Bolehlah dia duduk bersebelahan dengan Ika nanti. Kalau dia tertidur kawan baiknya itu boleh membantu mengejutkan dirinya.
            Sebaik mengambil tempat di kerusi, Hana menarik nafas dalam-dalam. Dia yakin semua orang yang berada di dalam Dewan Mini itu mesti merasakan debaran yang sama sepertinya kecuali para petugas je la yang tidak akan menduduki peperiksaan itu nanti!
            “Good luck!,” bisik satu suara di sisi kirinya. Hana mengerling.
“Awak pun,” Hana tersenyum kepada Rina. Sedikit rasa pelik menjelma di dalam diri. Belum pernah Rina Batrisya itu mengucapkan ‘selamat’ kepadanya. Baik di dalam ujian kuiz mahupun peperiksaan akhir sebegini.
            “Agaknya sebab hari ni hari terakhir kan?,” getus Hana ingin melontar jauh-jauh fikiran jahat yang mula menyerang.
            Kelihatan para petugas yang sibuk memeriksa kertas-kertas di bahagian depan. Hana tidak peduli kertas soalan atau pun kertas tulis yang disediakan untuk para pelajar. Apa yang penting, dia ingin fokus dan menjawab sebaik yang mungkin.
            Tepat pukul 2 petang, semua pelajar yang berada di dalam Dewan Mini mula menyingkap kertas soalan setelah mendengar arahan daripada petugas peperiksaan.
            “Alhamdulillah,” bisik Hana sendirian setelah meneliti soalan-soalan yang tercetak di atas kertas. Bibirnya mula menguntumkan senyuman. Bahagian A tidaklah sesukar mana. Apatah lagi kesemua 25 soalannya adalah soalan objektif yang disediakan pilihan jawapan. Bahagian B yang memerlukan dia menjawab di dalam bentuk esei juga kelihatannya tidaklah sepayah mana.
            Hana mula mencapai sebatang pen. Beberapa isi penting mula dicoretkan di atas kertas soalan agar dia tidak terlupa nanti. Beberapa minit dimanfaatkan untuk melakukan perkara tersebut.
            Setelah yakin tiada apa lagi yang tertinggal, Hana mula menjawab soalan-soalan di bahagian A. Hampir setengah jam diperuntukkan di bahagian itu, dia mula beralih ke bahagian B.
Sesekali, Hana berhenti untuk menghilangkan lenguh jari-jemarinya yang menulis hampir sejam setengah yang lalu tanpa henti. Hanya tinggal beberapa baris ayat yang perlu ditulis bagi menyempurnakan soalan ketiga yang juga soalan terakhir di bahagian B itu.
“Siap,” gumam Hana. Tangannya mula menyingkap lembaran kertas jawapan untuk menyemak jawapan yang diberikan olehnya. Sempat matanya memandang para pelajar yang lain yang masih tekun menulis.
Jam yang tersangkut di dinding di depan dewan, ditatap. Tepat menunjukkan pukul 4 petang. Masih berbaki sejam untuk pelajar-pelajar menyempurnakan jawapan masing-masing untuk subjek yang diperuntukkan masa selama 3 jam itu.
            Hana tersenyum lagi. Bukan hanya kerana dia berjaya menjawab soalan-soalan untuk subjek itu tetapi kali ini dia tidak tertidur seperti waktu-waktu yang lain. Alat tulis mula dicapai dari atas meja. Dia sudah bersedia untuk meninggalkan Dewan Mini. Ini kerana peraturan telah pun dinyatakan dengan jelas oleh petugas peperiksaan tadi bahawa, setengah jam yang pertama dan setengah jam yang terakhir, tiada mana-mana pelajar yang dibenarkan meninggalkan dewan peperiksaan.
            “Aku dah habis menjawab. Buat apa nak tunggu kan?.” Detik hati Hana. Tidak tega dia menghabiskan masanya berteleku di meja sedangkan sudah tidak ada apa-apa yang hendak dilakukannya di situ.
            Zip kotak pensilnya ditarik. Sekeping kertas kecil berwarna putih yang ditimbuni oleh alat tulisnya menarik perhatiannya.
            “Apa ni?.” Tangan Hana membuka sedikit kertas yang elok terlipat di dalam kotak pensilnya tanpa dikeluarkan.
            Ritma jantung yang berdegup normal mula tergugat apabila matanya dapat menatap biarpun sedikit cuma apa yang tertulis di atas kertas itu. Hana mula menggelabah. Kepalanya mula diangkat. Dia memerhati sekeliling dewan. Kelihatan beberapa petugas peperiksaan berada di depan dewan. Beberapa yang lain pula sedang berjalan melewati meja-meja yang disusun  dengan jarak yang diselang lebih kurang satu meter itu.
            Hana cuba mengawal diri. Nafasnya yang tidak teratur mula menyebabkan kolam matanya digenangi air. Pantas, matanya disapu. Tidak!Dia tidak boleh gagal dalam subjek ini. Dia tidak boleh menimbulkan sebarang syak wasangka kepada para petugas peperiksaan. Walaupun dia tidak tahu bila dan macam mana nota itu boleh terselit di dalam kotak pensilnya, dia tidak ingin gagal di semester terakhir ini.
            Seorang petugas yang kian menghampiri mejanya, membuatkan tangan Hana pantas menarik zip menutup semula kotak pensilnya setelah pen dan cecair pemadam dimasukkan. Apa yang tinggal sekarang ialah dia hanya perlu bangun dari tempat duduknya, meninggalkan kertas jawapannya di atas meja dan berjalan keluar dari Dewan Mini itu. Itu sahaja. Semuanya akan berakhir. Ya!Dia harus segera meninggalkan dewan tersebut. Sekarang!
            Hana menolak kerusi yang didudukinya hampir dua jam yang lalu ke belakang perlahan-lahan. Tangannya sedikit menggeletar. Dia tidak ingin gagal. Tidak!Setelah bersusah-payah selama tiga tahun, ini tidak seharusnya terjadi kepada dirinya. Bukan sekarang.
            Mata Hana mengerling sekeliling. Perlahan-lahan dia bangun dan mengatur langkah menuju ke pintu yang jaraknya lebih kurang 5 meter daripada mejanya. Kotak pensilnya dipegang erat seakan-akan itu adalah hartanya yang paling berharga. Harta yang perlu dilindungi hatta nyawanya menjadi pertaruhan sekalipun.
            Kaki dipercepatkan. Semua ini harus berakhir segera. Dia tidak meniru dari kertas tersebut tapi siapa yang akan percaya?Sudahlah dia adalah orang pertama yang melangkah keluar, akan adakah orang yang akan percaya dirinya kalau semua itu terdedah?
            Tangan yang sudah berada di daun pintu membuatkan Hana sedikit lega. Sebaik daun pintu ditarik...
            “Tunggu!.” Satu suara yang menjerit di dalam keadaaan yang sunyi sepi itu jelas menusuki deria pendengarannya. Tipu, kalau dia cakap tak dengar dan ingin meneruskan langkahnya. Hana menahan gelodak di dadanya.
            “Awak, tunggu dulu!,” suara seorang petugas perempuan kian menghampiri. Tangan Hana masih memegang erat daun pintu Dewan Mini. Dia tidak ingin melepaskan daun pintu itu. Apa yang berbaki tadi, dia hanya perlu membuang setapak langkahnya ke luar sebelum dipanggil.
            “Saya minta maaf tapi saya perlu periksa kotak pensil awak tu,” petugas tersebut menunjuk ke arah kotak pensil yang digenggam kemas oleh Hana. Terasa berat tangannya untuk menghulurkan bekas alat tulisnya itu kepada petugas tersebut.
            Petugas tersebut yang menanti beberapa ketika mula mengambil sendiri kotak pensil dari tangan Hana. Hana mengetap bibir. Kolam  matanya sekali lagi digenangi air. Dia menoleh ke belakang memerhati beberapa pasang mata yang masih setia memandangnya. Kelihatan Ika yang sedang mengangkat kening kepadanya.
            “Apa ni?.” Suara petugas tersebut menarik kembali perhatian Hana. Kelihatan sekeping kertas yang sudah dibuka lipatannya sudah berada di tangan petugas yang berkerut wajahnya itu.
“Bu..bukan..bukan saya. Percayalah!,” Hana mula tidak keruan. Air matanya sudah dilempiaskan. Hanya itu saja kata-kata yang mampu dituturkan oleh bibirnya ketika itu.
“Ikut saya.” Petugas itu memulakan langkah tanpa menanti patah kata daripada Hana. Kepala Hana mulai bingung. Apa yang akan terjadi kepadanya selepas ini?









3 comments:

  1. hehe..tau tak pe. si rina ni memang dasyat ;-) tq sudi komen baby mio, luv u!!!

    ReplyDelete
  2. alamak~!! hati ni dah dup dap dup dap

    ReplyDelete

EH, EH..ADA ORANG NAK BAGI KITA KOMEN?YEAYYY!!!