Wednesday 18 December 2013

ISTERI AKU SLEEPING UGLY?! 8


            Hana tergopoh-gapah melangkah menuruni anak tangga di bangunan pentadbiran apabila menyedari waktu yang kian menghambat dirinya di saat itu. Tercungap-cungap sedikit nafasnya sebaik anak tangga habis dituruni.
            “Sempat ke tak ni?,” nada Hana berlagu bimbang apabila mengerling kepada jam di pergelangan tangannya. Niatnya untuk menyempurnakan solat Zohor sebelum kelas yang bakal menyusul pada pakul 2.10 petang itu, mula kelihatan samar-samar.
            Fail yang dipeluk kemas ditatap geram apabila kelihatan beberapa helaian kertas tugasan Ekonomi yang bakal menjadi kepunyaan Rina kelak. Geram kerana untuk yang kesekian kalinya, dia tewas lagi kepada Rina. Hajat yang ditanam untuk melawan balik kata-kata arahan gadis itu terbang hilang entah ke mana apabila berhadapan dengan Rina.
            “Entah ilmu apa yang dia pakai,” Hana menggerutu seorang diri. Dalam tak sedar, kakinya yang terus melangkah mula tersasar dari laluan yang disediakan dan mula menghala ke longkang kecil yang terdapat di sisi laluan pejalan kaki yang berbumbung itu.
            “Aduh!.”
Hana mengaduh kesakitan apabila sebelah kakinya sudah terpelecok ke dalam longkang kecil yang dalamnya hanya beberapa inci itu. Terlepas genggaman tangannya yang sedari tadi memeluk kemas sebuah fail yang berwarna merah jambu.
            Sempat mata Hana memerhati sekeliling. Waktu di mana masing-masing sibuk untuk mengisi perut pada waktu makan tengah hari itu membuatkan keadaan sekeliling di situ sunyi sepi.
            Laju tangan Hana mula mencapai beberapa helai kertas yang melayang keluar daripada failnya yang terjatuh. Dia yang masih belum bangun mula menggosok-gosok buku lalinya yang terasa sakit dek terpelecok tadi.
            “Apa la malang sangat nasib aku ni?Lepas satu, satu yang berlaku..,” Hana mula mengeluh. Wajahnya berkerut menahan perit setiap kali tangannya mengurut-urut buku lalinya yang mulai membengkak.
            “Assalammualaikum.”
Satu suara yang menyapa ke telinga Hana membuatkannya sedikit tersentak.
            “Er..waalaikummussalam,” tergagap Hana menyambut salam yang diberikan oleh sosok tubuh yang sedang berdiri di sisinya kini.
“Kertas awak kan?Ada kat situ tadi,” Adif tersenyum sambil menghulurkan dua helai kertas yang dipenuhi dengan tulisan tangan Hana.
            “Er..ya,” lambat-lambat Hana menganggukkan kepalanya apabila kertas tersebut bertukar tangan.
“Awak kenapa?Terjatuh ke?,” Adif melepaskan soalan yang sudah bolah diagak akan jawapannya apabila melihat keadaan Hana yang terduduk di sisi longkang kecil.
            “Emm..,” Hana mengumam sambil terus memberikan anggukan kepala.
“Boleh bangun tak ni?Nak saya tolong?Kalau....”
            “Tak pe!Tak pe!Saya ok!,” laju Hana menjawab sambil menoleh sekilas kepada Adif yang setia berdiri. Tangan kanannya turut menggawang sebagai tanda jawapan ‘tidak’ kepada tawaran pertolongan pelajar lelaki itu.
            “Betul ke ni?Are you sure?,” Adif menyoal lagi sambil memerhati sekeliling. Dia tahu nasib pelajar perempuan yang sering ditertawakan itu. Kelas yang bakal menyusul akan membuatkan laluan itu bakal dipenuhi oleh para pelajar bila-bila masa sahaja.
            “Awak tahu kan kelas dah nak mula ni?Nanti kalau ada siapa-siapa tengok awak macam ni..,” tutur Adif lebih kepada memberi peringatan kepada Hana.
            Hana hanya mendengar tanpa memberikan sebarang respons. Masakan dia tidak tahu maksud pelajar senior itu. Setelah memasukkan kertas yang diberikan oleh Adif sebentar tadi, Hana mula untuk berdiri.
            Adif yang memerhati mula serba-salah. Nak dipegang nanti, takut dituduh untuk mengambil kesempatan pula!
            “Saya ok,” balas Hana apabila sudah berdiri.
Adif yang melirik ke arah pelajar perempuan itu mula menganggukkan kepalanya. Ah!Kalau dia sendiri tak nak dibantu, apalah dayanya lagi kan?
            “Baiklah, kalau macam tu. Saya pergi dulu,” balas Adif sebelum melangkah.
Hana yang sedari tadi menunduk kerana menahan malu, mula memerhati sosok tubuh lelaki itu yang sudah berada di anak tangga.
            “Er..abang Adif!,” Hana menjerit kecil melaungkan nama lelaki itu.
Spontan langkah kaki Adif terhenti apabila mendengar suara Hana. Terus kepalanya menoleh ke arah pelajar juniornya itu.
            “Te..terima kasih. Ni..,” Hana mengangkat failnya yang berwarna merah jambu itu, isyarat kepada kertas-kertas yang terkandung di dalamnya.
            “Sama-sama!,” balas Adif yang turut melaung dari anak tangga. Bibirnya mula tersenyum apabila memandang Hana yang mulai melangkah. Dalam tak sedar, kepalanya menggeleng perlahan apabila mengenangkan nasib pelajar juniornya itu sejak sesi orientasi pada semester lepas.
            Adif sedar yang pelajar junior itu menjadi bahan usikan pelajar-pelajar yang lain kerana sifatnya yang satu itu. Tidur yang tidak mengira tempat mahupun masa!
            “Hana...,” perlahan nama itu diseru oleh ulas bibir Adif. Sayup-sayup kelibat juniornya itu semakin menghilang daripada pandangan matanya.
            “Ugly. Sleeping ugly, kenapalah malang sangat nasib kau?,” Adif menggumam seorang diri. Nama timangan yang diberikan oleh Rina itu ternyata melekat sehingga kini. Ke mana-mana sahaja langkah kaki gadis itu, ‘Ugly’ sudah sinonim dengan diri Hana di dalam kampus UiTM ini.
            Telefon yang berdering di dalam poket seluar mula mengubah pandangan mata Adif yang terus memerhati sosok Hana yang sudah menghilang.
            “Assalammualaikum,” ucapnya.
“Hai sayang!Ops!Er..assalammualaikum.”
            Berkerut wajah Adif apabila mendengar suara yang sudah terbiasa di hujung telinganya.
            “I kan yang bagi salam tadi?You ni tahu jawab salam ke tak?.”
“Tersasul la sayang. Waalaikummussalam,” suara manja Rina kembali kedengaran.
            “Emm..,” Adif melepaskan nafas. Telinganya terus saja ditadahkan untuk mendengar ucapan maaf daripada buah hati yang tidak dapat berjumpa dengannya untuk sama-sama menikmati makan tengah hari tadi.
            Janji yang tidak ditepati oleh Rina seperti juga semalam.

###################

            “Eh!Nak pergi ke mana tu?Kan awal lagi ni?Awak dah lapar ke?,” tegur Ika apabila melihat Hana yang tergesa-gesa mengenakan tudung sebaik selesai menunaikan solat Asar.
            “Tak la. Saya nak pergi ke food court,” sahut Hana tanpa menoleh. Siap mengenakan tudung, dia melangkah menuju ke meja belajarnya. Ika yang sedang menelaah di meja belajar hanya memerhati tingkah sahabat baiknya itu.
            “Food court?Kalau tak lapar lagi kenapa nak pergi sana Cik Hana oit?,” tanya Ika yang masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima. Sempat matanya mengerling kepada jam loceng di atas meja yang menginjak ke pukul 5.30 petang.
            “Er..tu. Saya nak...”
Terjongket sebelah kening Ika apabila menatap sahabat baiknya itu yang sedang tergagap-gagap untuk memberikan jawapan. Sebelah tangan Hana pula sedang memegang kertas kerja yang sudah siap di binding.
            Ika yang sudah duduk di kerusinya selama hampir sejam yang lalu bingkas bangun apabila melihat Hana yang ingin berlalu. Terus tangannya meragut assignment yang sedang dipegang oleh Hana.
            “Tengok!,” tutur Ika yang sudah berjaya merampas tugasan tersebut dari tangan Hana. Matanya terus menatap muka hadapan tugasan yang jelas tertera nama empunya diri.
            Persis seorang pensyarah, Ika menyingkap sehelai demi sehelai muka surat untuk menatap sekali lalu isi kandungan. Sesekali matanya mengerling kepada Hana yang kelihatan gelisah.
            “Ekonomi?,” soalnya kepada Hana.
“Emm..,” gumam Hana dengan memberikan anggukan kepala. Apa lagi yang mampu dilakukannya?
            Hana mengeluh perlahan. Dia sendiri tahu yang dia tak mampu untuk menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat baiknya itu.
            “Ni bukan kerja berkumpulankan?,” soal Ika lagi sambil mengangkat assignment tersebut dengan sebelah tangan.
            Hana yang menjeling hanya mampu membatukan diri. Dia yang sudah berada hampir dengan pintu melangkah semula ke katil dan mengambil tempat di birai.
            “Awak dah tahukan?Macamlah awak tak faham..,” tutur Hana perlahan. Dia sendiri kalau boleh tidak ingin perkara tersebut berlarutan tapi apalah dayanya?Setiap kali berhadapan dengan Rina, ternyata semangatnya menjadi lemah. Kalau tak, tak kan la sampai terpelecok kakinya tengah hari tadi dek kerana terlalu memikirkan perihal assignment Rina tu?
            “Sebab saya fahamlah saya tak suka tengok semua ni. Kenapalah dengan awak ni Hana?,” Ika mula membebel kesal dengan apa yang berlaku kepada kawan baiknya itu. Dia yang turut mengambil tempat di birai katil itu mula memaut bahu Hana.
            “Dah nasib saya Ika..,” sahut Hana lemah.
“Tapi sampai bila?Don’t tell me sampai final semester awak nak terus buat semua kerja untuk dia. Banyaklah lemak dia kalau macam tu!Yang dia terus nak bersenang-lenang!,” nada Ika terus berubah 100%. Dari duduk, terus berdiri sambil bercekak pinggang. Nampak sangat Cik Ika ni tak berpuas hati dengan Rina!
            Hana hanya menadah telinga mendengar omelan daripada Ika. Terasa dirinya bersemangat setiap kali mendengar kata-kata daripada kawan baiknya itu.
            “Betul!Sampai bila aku nak jadi kuli si Rina tu?Betul apa yang Ika cakap. Tak kan sampai semester akhir nanti kut aku nak terus buat semua kerja-kerja dia?Tapi....”
            Hana terus berperang dengan perasaannya sendiri. Memang dia tak menafikan semangatnya berapi-api setiap kali mendengar kata-kata Ika tapi sayangnya tak lama. Apabila berhadapan dengan Rina, hilang entah ke mana kata-kata yang sudah disusun untuk diluahkan kepada gadis itu. Lesap macam tu saja!
            “Awak dengar tak ni Hana apa yang saya cakap?Awak kena lawan perempuan tu!Jangan biar dia terus buli awak macam ni. Kalau...”
            “Ika, macamlah awak tak ingat apa yang jadi hari tu dengan Puan Sufi. Bukannya saya tak nak tapi kalau benda yang sama berulang lagi?,” Hana mula bersuara. Sesungguhnya, ugutan Rina amat melekat di dalam kepalanya sehingga kini semenjak kes tersebut.
            Ika terdiam. Dia sendiri mula ketandusan idea. Bagaimana caranya untuk membuatkan perbuatan si Rina tu dapat didedahkan?Dia tahu ideanya kepada Hana agar terus pergi berjumpa dengan Puan Sufi tu hanya memakan diri kawan baiknya itu apabila ternyata Rina yang bertindak terlebih dahulu.
            “Dah la. Saya pergi dulu. Nanti tak pasal-pasal mengamuk pula dia kalau saya terlambat,” ujar Hana yang ingin menutup perbualan mereka. Isu sama yang tak akan ada jalan penyelesaiannya buat masa sekarang.
            Ika hanya mampu memerhati Hana yang sudah melangkah keluar daripada bilik yang dihuni oleh mereka berdua.
            “Sampai macam tu sekali Hana ni takutkan perempuan tu?,” omel Ika perlahan. Apalah yang kawan baiknya itu fikirkan sehingga boleh patuh macam tu saja kepada Rina?
            “Yang Rina tu pula dia ingat dia siapa?Banyak cantik muka dia!Ada hati nak perintah-perintah orang macam tu. Buat kerjalah, jangan lambatlah..Ei!Kalau akulah kat tempat si Hana..mampuslah dia aku kerjakan!,” Ika mengepal-ngepal buku limanya. Luahan rasa terus dibuat walaupun tiada siapa yang mendengarnya di dalam bilik itu.
            ‘Rina..Rina Batrisya!,” Ika menutur nama itu dengan penuh emosi. Nama sama yang tertera di muka hadapan tugasan Ekonomi yang akan diserahkan oleh Hana sebentar lagi.
            “Ada ubi ada batas Rina. Kau tak tahu aku siapa. Tunggulah!Satu hari nanti baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah. Waktu tu, kalau kau menangis air mata darah sekali pun, tiada siapa akan dapat tolong kau. I promise you that!.”
            Terangguk-angguk kepala Ika yang sedang membuang pandangannya ke arah medan selera yang boleh dilihat dari tingkap biliknya yang berada di tingkat 4 itu. Pertemuan pertamanya dan pertemuan-pertemuan seterusnya di antara dia dengan Rina hanya semakin menjelaskan sikap sombong gadis itu yang tidak bertempat.
            Kata-kata yang keluar dari bibir Rina umpama racun yang cukup berbisa buat dirinya. Racun yang berbisa itulah yang menyuburkan dendam di hati Ika yang hanya menanti masa untuk dilunaskan.

            “Tak pe Hana. Saya akan balas untuk awak nanti!.”

5 comments:

  1. suka sangat! not because heroin dia Hana, but the story itself. hari-hari check ur blog,, don wanna miss the sequel. smile!!

    ReplyDelete
  2. tq hannah;-) ala, kalau suka sebab heroinnya hana pun apa salahnya, hehe..nanti akak update lagi ya..tq so much!Luv u!!!

    ReplyDelete
  3. kalau najwa jadi ika, memang dah cepuk dah kepala si rina tu!

    ReplyDelete
  4. Hehe...sabar najwa..akan ada pembalasan untuk rina, tunggguuu ;-)

    ReplyDelete

EH, EH..ADA ORANG NAK BAGI KITA KOMEN?YEAYYY!!!